2

Pergantungan ini...Pada Engkau




BACA SELENGKAPNYA - Pergantungan ini...Pada Engkau
0

Palestin - فلسطين-Palestine

Untukmu Pejuang,
Yang mempertaruh nyawa di barisan paling hadapan, yang memberi setiap detik, setiap denyut nadi, setiap helaan nafas untuk al-Qud, sedang kami yang juga punya tanggungjawab pada al-Aqsa, masih di sini… Kenyang, tenang, lena.


َوَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيماً حَكِيماً } النساء104
Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana

Siapakah mereka yang berada di Gaza sekarang? 80% daripada mereka adalah anak, cucu, cicit mereka yang semuanya berasal daripada wilayah yang dirampas oleh pengganas-pengganas Israel.
Kata Israel-
“serangan kami adalah untuk menghentikan serangan roket pejuang HAMAS ke atas wilayah kami”. Wilayah kami? Inilah rules of the jungle yang diamalkan oleh mereka yang berhati binatang.

Kependudukan Israel di bumi al-Quds adalah berikutan Deklarasi Belfour 1917( Keputusan perhimpunan Zionis Sedunia-keizinan penghijrahan Yahudi ke Palestin beramai-ramai) kemudian dirancakkan dengan keputusan PBB (League of Nation) pada 29 Nov 1947 yang membahagikan Palestin kepada 2 bahagian. AS telah memaksa negara-negara kecil dlm PBB untuk bersetuju dengan keputusan memberikan 55% bumi Palestin kepada Yahudi. Seterusnya, negara haram Israel tertubuh pada 15 Mei 1948.

Islam telah lama bertapak di Palestin. Sejak 15 Hijrah(636M). Sebelumnya, ia telah lama didiami bangsa Palestin (bangsa Kan’an) dan keturunannya sehinggalah Islam datang dan majoriti mereka memeluk Islam.

Berdasarkan fakta penyelidikan dr ahli akademik Yahudi sendiri, lebih 80% orang Yahudi hari ini tiada sebarang kaitan sejarah dengan Palestin. Mereka berasal dr keturunan al-Khazar(puak Tatar-Turki) yang menetap di utara Kaukaz (kwsn bekas Soviet) dan memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8M. Mereka sepatutnya pulang ke Selatan Rusia, bukannya ke Palestin.

Mahu minta tolong pada siapa kita? US? Tak perlu bicara tentang mereka kerana polisi mereka adalah polisi Yahudi-Israel itu juga.
Mesir, Jordan dan Turki? Manusia-manusia berkepentingan di negara-negara Islam yang punya hubungan diplomatik dengan Israel ini barangkali tidak pernah belajar sejarah atau memahami ayat tentang Yahudi yang tidak boleh dibuat kawan, tidakkan pernah redha dengan Islam. Liga Arab?.....Anda tahu jawapannya.

Aku…
Akan selalu bermimpi
Menjadi permaisuri
seorang raja berharta punya segala
Akan terus bermimpi
Menjadi suara
Pada hati-hati mengkal
Akan selalu bermimpi
Punya kamar beradu indah
Penuh hiasan mawar putih
dan lilin merah
menyerak harum lavender
campuran rahsia
meresap… menyentak!
Mendiamkan denyut jantung
Seorang lelaki bermata dinar
Yang selalu lupa
Ertinya racun
Jenama diplomasi

Sg.Pusu
0200 050109

Glosari
Zionis- gerakan politik sekular yang berjuang utk mendirikan negara bangsa bagi Yahudi

Fakta dan cerita diambil dr perbincangan Global @1-TV1 dan buku Peluru Lawan Batu: Konflik Palestin&Israel (Maszlee Malik).
BACA SELENGKAPNYA - Palestin - فلسطين-Palestine
0

Cahaya Muharam-Pesan Buat Diri


Saya harus bangun dari mimpi indah yang menguliti zon selesa saya.



Tahun baru, harus saya mulakan dengan penuh azam. Penuh sedar memahami ‘the big picture’ dan melalui hidup penuh ceria meninggalkan kerisauan semalam.

Saya hamba Dia, harus memahami tujuan hidup dan dunia tempat saya menumpang lalu sebelum kembali menemui Dia.

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ }الأنبياء35
Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Dia, sejak saya belum melihat manis senyum, hijau daun dan biru laut, merasa hangat dakapan, nyaman angin dan sejuk air, mendengar kekek tawa, kicau burung dan kokok ayam, menikmati kasih insan dan nyanyi alam telah lama pemurah mengizinkan saya menjadi juara dari sekian banyak yang berlumba mahu mengenal dunia, kemudian menetapkan empat perkara untuk saya –rezeki, ajal kematian, amalan dan bahagia deritanya saya.

Ah, terima kasih Tuhan, kerana masih memberi rahmat untuk hamba yang kedekut amat mengintai waktu menunduk malu mengaku bisu mengucap rindu pada Engkau yang tak pernah lupa memberi ruang mencari peluang memahami hakikat – suatu kesempurnaan sebuah penciptaan seorang Maryam.
Maaf. Kerana setua ini masih merangkak memaham makrifat. Hanya syukur mampu dipanjat kerana masih sudi mencampak cahaya dalam hati.

Moga mampu menjadi… dari lilin ke purnama penuh.
1 Muharam 1430H
BACA SELENGKAPNYA - Cahaya Muharam-Pesan Buat Diri
0

Eidul Adha di Kampung Usrah

Cuma ada lima keluarga di Kampung Usrah. Tapi sudah cukup untuk kami merasa kemeriahan Hari Raya Haji bersama. Manakan tidak, satu keluarga sahaja, anak beranaknya mencecah lima belas orang malah lebih kalau cucu cicit juga pulang. Ini untungnya adik-beradik ramai.

Gotong royong dijalankan dua hari sebelum hari raya. Orang perempuan kemas surau dan sediakan sarapan. Orang lelaki kemas keliling kampung dan sediakan tempat sembelihan lembu.


Beberapa hari sebelum, Mak Zah datang berbincang minta emak usahakan kalau ada orang mahu turut serta korban tahun ini. Kalau tak cukup 7 orang, alamat tak bermaknalah Raya Haji tahun ini. Apalah ertinya Eidul Adha tanpa korban. Emak telefon sana sini bertanyakan kawan-kawannya. Masih ada 3 bahagian lagi.
Nampaknya niat yang baik dipermudahkan Allah. Korban selain melaksanakan tuntutan fardu kifayah, waktu untuk bersedekah ia juga salah satu cara mengeratkan silaturrahim antara kami sekampung dan mereka yang terlibat. Usai solat dan khutbah yang diimami imam dan khatib muda (anak-anak lelaki yang pulang bercuti), orang lelaki akan berganding-bahu melapah lembu, menimbang dan mengagih-agihkan. Selalunya, ayah saya yang akan pergi mengagihkan daging korban.
Kemudian, mereka akan beramai-ramai masak sup gear box. Kami yang perempuan di rumah, kena sabar jelah menanti hidangan sup panas. Biasanya orang perempuan Cuma kena siapkan sambal kicap untuk dimakan bersama sup dan sediakan rempah sup yang ‘dimasak atas darat’ (ditumis asing. Apabila daging sudah empuk, baru dimasukkan rempah). Tahun ini seperti tahun sebelumnya, hujan di pagi raya dan pagi ini hujannya lebih lebat. Tapi itu semua tidak mematahkan semangat kaum lelaki ini. Beberapa minit selepas usai solat waktu kami yang perempuan masih berbasa-basi bertukar salam dan cerita, mereka sudah berkumpul dekat dengan lembu. Kami yang perempuan menyaksikan penyembelihan itu dari atas surau. Akhir sekali pasti acara menjamu selera bersama-sama yang pastinya tak terlupakan. Iyalah,setahun sekali begini.
Dan seperti biasa, kami berazam agar tahun depan, ada rezeki lagi korban dijalankan di Kampung Usrah. Ini kali yang ketiga saya kira setelah bertahun-tahun kami tidak menghidupkan Eidul Adha kami dengan korban. Setelah pemergian Us. Borhan, Naqib merangkap Ketua Kampung Kg Usrah dan masa yang berlalu menyebabkan ahli-ahli usrah sudah tidak seperti dulu, kami generasi muda sangat berharap agar kampung kami kembali seperti dulu. Saya yang sempat merasai kegemilangan Usrah Rengit waktu di Parit Masjid sehinggalah ke pembentukan Kg Usrah di tanah yang dibeli secara lot oleh ahli-ahli Usrah Rengit sangat menghargai suasana lama yang banyak membentuk kami.

Anda mungkin tidak menemukan nama Kg Usrah pada peta Johor tetapi kalau anda tidak menulisnya di sampul surat, surat anda tidak akan sampai pada kami. Saya percaya, Usrah Rengit yang dulu banyak memberi kesan dan mentarbiah ramai orang sekeliling. Saya sendiri berharap anak-anak saya nanti dapat dibesarkan dalam suasana saya dibesarkan dulu. Tapi memang, sukar membentuk komuniti seperti itu lagi. Ada tidak ada, kami hanya mampu menghidupkan yang termampu, solat jemaah, usrah keluarga dan aktiviti bersama sedikit-sedikit.
BACA SELENGKAPNYA - Eidul Adha di Kampung Usrah
0

Bahasa yang dirasa

Buku yang baik memang punya aura tersendiri yang mampu menerobos minda dan membelah jiwa menjadi ubat hati yang mujarab. Muqaddimahnya sahaja sudah mampu membuat kita teruja dan mahu terus membaca dan membaca. Saya antara orang yang senang tersihir dengan pilihan kata dan karangan bahasa. Saya pernah ‘sakit’ seketika selepas membaca sebuah novel (antara pemenang hadiah sastera). Saya dilanda ‘konflik diri’ sehingga saya pulang ke kampung. Di rumah pun saya memerap di dalam bilik dan menangis. Puas emak saya memujuk. Sangkanya saya putus cinta. Tapi sekarang bila membaca kembali buku itu, perasaannya biasa-biasa sahaja. Dahulu mungkin kerana saya masih keliru dan kabur tentang impian dan cita-cita lalu terkesan dengan cerita itu.

Dan untuk pengajian saya, saya banyak terdorong oleh bahasa Syed Qutb. Ayat pertama pada muqaddimah Fi Zilalnya sahaja sudah membuat saya jatuh cinta untuk terus mendalami ilmu tafsir. Saya juga sukakan cara beliau waktu mentafsir sesuatu ayat. Saya tidak ingat ayat apa, tetapi beliau menulis lebih kurang begini –“ saya masih tercari-cari kaitan perkara ini dan ini. Kalaulah anda, pembaca menemukan pertalian antara keduanya, kongsikanlah bersama saya.” Ulama Ulum Quran yang terkemudian ada yang berpendapat bahawa manusia akan terus menemui mukjizat-mukjizat baru Al-Quran yang lain daripada yang sedia diketahui. Ya, I’jaz al Quran ini akan selalu ada membuka hati-hati yang mencari dan akal yang mahu berfikir. Kita yang pelbagai bangsa, berbeza bahasa dan berasingan lokaliti ini mampu disatukan dengan petunjuk Al-Quran yang sama isinya di seluruh dunia. Tiada beza. Bezanya cuma, uslub yang mana mengetuk hati kita. Ada pelbagai pendekatan al-Quran dalam mendekati pembacanya. Ada orang terpesona dengan pengulangan ayat-ayatnya, ada yang terpukau dengan kehebatannya mengungkap fakta saintifik waktu belum wujud sebarang kajian empirical dengan teknologi canggih, ada yang teruja dengan rima ayatnya, ceritanya dan pelbagai lagi.

Saya sebenarnya menulis entri ini selepas terpesona dengan muqaddimah Dr. Ahmad Shalabi dalam bukunya- Muqaranah al-adyan/perbandingan agama. Mahu saya kongsikan sedikit ungkapan-ungkapan menarik daripadanya.. Mohon diterima terjemahan saya yang ‘kureng’ ini.

“Ya Rabb. Sesungguhnya antara saat paling indah sepanjang umur adalah sewaktu seseorang itu sampai pada tujuan yang diingininya. Dan aku, dengan bantuan Engkau telah sampai pada tujuan yang kuharapkan dalam bidang pengajian ini.
Ya Rabb. Aku telah memasuki bidang perbandingan agama di antara harapan dan ketakutan. Kemudian, harapan itu mengatasi ketakutan dan bertukar menjadi reality…..
Ya Rabb. Aku bersyukur kepada Engkau seperti syukur orang yang mengetahui hakMu dan mengakui yang kejayaannya adalah daripada Engkau dan hidayahMulah yang mengilhamkanku taufik dan memberikan cahaya di hadapanku.”

Saya berdoa agar diberi kesempatan menelaah buku-buku hebat karangan mereka yang hebat kerana saya tidak tahu entah bila baru berkesempatan berguru dengan mereka-mereka seperti Dr Fadl Hasan ‘Abbas dsb. Untuk anda juga, moga cinta ilmu tidak hilang di hati kita.
BACA SELENGKAPNYA - Bahasa yang dirasa
0

ERTI CUTI

CUTI...INDAH BUKAN?
Semester ini saya sudah mula berat dengan istilah cuti kerana ia akan kalu tidak banyak pasti sedikit ia akan mengurangkan stamina saya terutamanya kemampuan untuk bertahan berjam-jam di hadapan buku.
CUTI...PENTING BUKAN?
Tapi cuti ini perlu terutama bagi workholic, kaki study dll yang sangat kedekut ruang waktu mereka untuk orang di sekeliling.
CUTI...MENARIKKAN?
Cuti bagi saya adalah waktu mengasah hobi dan melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan waktu sibuk kuliah. Inilah waktunya untuk menulis, membaca buku cerita, memasak sepuas-puasnya, tumbuk beras pulut dan kunyit untuk dibuat pupur muka, menjaga anak saudara yang comel montel itu, pergi berkelah bersama keluarga juga membebel pada adik-adik yang 'kurang sedar' tahun depan depa ada peperiksaan penting.
CUTI...WAKTU BERTEMU NENEK
Menarik juga, inilah waktu berziarah ke rumah nenek dan berkumpul bersama sanak saudara terutamanya kalau ada kenduri tertentu. Nenek saya agak cerewet, orang Melakalah katakan. Serba serbi harus sempurna terutamanya hal bersangkutan dengan dapur. Sesetengah kita mungkin rimas punya nenek yang banyak bebelnya dan banyak pula peraturannya. Saya, berasa sedikit rugi kerana tidak banyak masa dapat dihabiskan bersama nenek untuk belajar ilmu yang bernama pengalaman. Memang, nenek tidak tahu membaca tapi ilmu hidupnya luas. Antara prinsip nenek yang saya pegang adalah- den ado mulut. Nenek dalam tidak tahu membaca itu sudah naik haji seperti orang lain dan berkali-kali juga menaiki kapalterbang bersendirian ke beberapa negeri di Semenanjung dan juga Sabah Sarawak dan biasa sahaja menaiki bas ke rumah anak-anaknya bersendirian. "Nenek kan tak tahu baca, macam mana nenek poie jalan jauh-jauh?" Ini soalan cucu-cucunya. "Dan (den) ado mulut. Dan tanyo jolah." Justeru, saya belajar dari dia. Bagi saya alamat, Insya Allah saya akan sampai ke tempat anda kalau ada keperluan. Tapi sesat barat itu tak usah kiralah. Yang pasti Insaya Allah sampai.
Tapi emak juga selalu pesan bila melihat saya kadang-kadang berani-berani berjalan sendiri terutamanya waktu malam di Kuala Lumpur. "Orang perempuan, kena simpin sedikit rasa takut. Tak boleh terlalu berani. Takut itu untuk elak kita meletakkan diri di dalam bahaya."
Begitulah.
BACA SELENGKAPNYA - ERTI CUTI
0

Kasih di Hati

Hati saya dibawa terbang. Hari ini ke India dan Sri Lanka.

Pagi-pagi saya saya menyibukkan diri di dapur; menggoreng terung, tahu dan tempe. Sambal kicap sudah saya siapkan sejak semalam. Sengaja saya buat lebih supaya senang. Saya sediakan untuk Cut, gadis Aceh di asrama juga ibu serta adiknya yang berkunjung ke Malaysia. Saya singgah bertemu Sarah, wanita India pertengahan 30-an di tingkat bawah untuk mengucapkan selamat berangkat, lalu saya tunjukkan tempe padanya. Dia membulatkan mata, terus mencicah tempe pada kicap, manarik nafas dan tersenyum menggeleng kepala. Maryam, it's good. it's tasty. Ustazah Aminah, wanita lewat 40-an saya kira, dari Sri Lanka turut menyertai sarapan pagi kami. Memang sengaja saya masak lebih. Kalau kebetulan Sarah dan Ustz Aminah menyukainya, satu tupperware sudah saya siapkan untuk mereka. Saya senang mereka menyukainya lebih-lebih lagi sambal kicap yang pedas itu. Sesetengah rakan Melayu saya, tidak menggemari tempe, justeru saya agak teragak-agak pada mulanya untuk memberi Sarah dan Us. Aminah merasa tempe goreng. Kak Jannah, gadis Aceh bersebelahan bilik Sarah mnghadiri program di Janda Baik. Jika tidak pasti meriah sarapan kami seperti sebelum ini. Saya menghantar mereka ke teksi yang akan membawa mereka ke KLIA. "Doakan saya dalam safar/perjalanan anda. Jangan lupa pulang ke mari." Sarah memeluk erat. Wanita tabah yang punya anak berusia 15 tahun itu, memeluk saya erat. Ust. Aminah terseyum. "La nansaki." (Kami tidak akan melupakan awak).

Begitu ukhuwah terjalin. Perkenalan yang singkat terutamanya dengan Ustz Aminah. Baru seminggu kami rapat saya kira. Tapi sudah cukup kuat membekas dalam hati. Berat melepaskan mereka pulang. Waktu cuti beginilah baru saya banyak masa luang mengunjungi mereka di asrama dan membiasakan lidah saya berbahasa Inggeris dengan Sarah dan berbahasa Arab dengan Ustz Aminah, bakal DR (PHD-bahasa Arab). Namanya pun cuti, justeru mereka harus pulang ke negara masing-masing dan saya juga akan pulang ke Johor.

Semalam juga ada tamu, rakan-rakan usrah. Biasanya kami buat di UIA tapi kerana kuliah sudah berakhir, masing-masing tidak berada di kampus, lebih baik usrah dibuat di rumah. Begitu kami memutuskan. Hidangan petang yang ringkas. Betik potong, Karamel dan teh dibubuh daun pudina. Saya harus menyediakan sesuatu yg boleh diterima tekak sahabat Columbia saya, Sakeenah. Dua orang lagi Melayu. Tiada masalah. Memang penggemar tempe dan sambal kicap saya. Hannan, seorang lagi juga dari Columbia tidak dapat hadir kerana harus menguruskan beberapa perkara sebelum anak kecilnya, Maria menjalani pembedahan mata hari ini. Agak terkocoh juga saya semalam. Kerana sepanjang pagi saya habiskan di HUKM bertemu doktor gigi untuk review perkembangan appliance yang saya gunakan. Keputusannya, harus bertukar ke treatmant plan seterusnya.

Kebetulan giliran saya membentangkan tafsir dalam usrah semalam. Kelam kabut saya bersedia. Mahu memasukkan info dan memaksa otak saya menterjemah segala kefahaman itu ke dalam bahasa Inggeris. Surah yang ringkas, padahal. Surah Quraisy. Tapi kerana harus dlm BI, saya harus bersedia. Tapi kami seronok membincangkannya semalam. Memikir tentang tradisi orang Arab yang berkelana ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syam pada musim panas. Mengapa Yaman pada musim sejuk dan Syam pada musim panas. Pemilihan itu bersebab. Dan tradisi itu kalau diteliti, masih diamalkan sekarang. Tradisi keluar dari negara pada kedua musim tersebut. Juga bercakap tentang padang pasir kontang tanpa arah dan petunjuk. Tentang Tuhan yang Maha Pengasih menganugerahkan mereka rasa selamat untuk berpergian, selamat untuk meninggalkan kota Mekah. Juga Tuhan yang Maha Pemurah yang menganugerahkan mereka rezeki.

Lalu kata Allah, kalau engkau tidak mahu menyembah Aku atas alasan-alasan tertentu, engkau masih tetap perlu menyembah aku kerana sebab yang mudah ini- Aku yang memberi engaku makan dan Aku yang menghadirkan rasa selamat dan menjamin keselamatan engkau dalam perjalanan jauh dan menjauhkan engkau dari rasa takut.

**********************************
Saya harus mengucap syukur kepada Dia yang menghadirkan teman-teman baik untuk saya semester ini. Ya, saya memang keseorangan semester lepas. Baru cuba-cuba kenal budaya UIA. Memahaminya. Maksud saya- cara hidup di sini. Bersendirian atau berkumpulan- mengikut bangsa atau negara atau benua. Saya? Saya memilih kedua-duanya. Menggabungkan semuanya. Saya selesa bersendirian ke mana-mana sejak di sekolah menengah lagi. Saya tak suka menunggu dan ditunggu. Tapi saya suka berkawan dan belajar dari manusia di sekeliling saya. Siapa pun anda, ingat, anda dialu-alukan menwarnai kanvas hidup saya. Terima kasih kerana menghulur dan menyambut jalinan ukuwah-nikmat kasih sayang anugerah Dia.
BACA SELENGKAPNYA - Kasih di Hati
0

Dan cita-cita itu terus mekar...

Memang pantang saya diajak bicara soal cita-cita atau diajukan tentang kehidupan saya terutamanya soal belajar ini. Cepat sahaja hati saya berkembang...mekar...menguntum harapan. Saya belum mahu berputus asa. Saya mahu terus berlari. Kalau boleh mahu terbang. Saya tidak pernah memutuskan untuk berhenti mengejar impian, keinginan dan kemahuan saya. Saya selalu bahagia dikelilingi impian yang kadang-kadang menyeksakan juga kerana dia tidak pernah mahu beralah meninggalkan situasi saya. Semput-semput saya mengikutinya. Dipaksakan juga. Ah...itulah impian, cita-cita dan cinta. Mana mungkin dibuang dari hidup hanya kerana satu dua duri di jalanan yang menghalang. Dan saya berazam, mahu terus membajanya, mahu terus menyemai dengan penuh disiplin biar terkadang tuang juga dek kemalasan yang menyapa. Hidup kan lebih bermakna dengan perjuangan.

وانصب فإن لذيذ العيش في النصب!
BACA SELENGKAPNYA - Dan cita-cita itu terus mekar...
0

Jom Buat Selepas Ramadan

Ha nahnu nuwaddi’u Ramadan..itulah permulaan sayu khutbah Jumaat minggu lalu. Kita telah mengucapkan selamat tinggal kepada bulan penuh keberkatan. Kita, atau Ramadan yang mengucapkan selamat tinggal kepada kita sebenarnya?

‘Ala kulli hal, eloklah kiranya kita bertanya kepada diri resolusi Ramadan kali ini. Saya, walau sudah merancang-rancang dalam kepala beberapa perkara, dek kekangan assignment dan hambatan peperiksaan yang kian hampir, masih tidak sempat menyusun, menulis apatah lagi mematuhinya dengan teratur. Tapi saya benar-benar mahu mengubah beberapa pendekatan saya terhadap sesetengah perkara.

Apa yang dapat saya simpulkan dari Dr Mumtaz, pensyarah Islamic Critical Thinking saya, ada dua factor yang membawa kepada kejayaan mereka yang ingin berubah atau ingin mengubah sesuatu. Mengubah dunia mungkin? Pertama, kefahaman. Kedua, keberanian. Faktor kedua ini jarang ada pada kebanyakkan orang. Dalam sejarah dunia, Imam Khomeini adalah contoh seorang yang berani berdasarkan tindakan-tindakannya dalam ketika Revolusi Iran. Ya, ramai orang punya cita-cita, punya keinginan mencorak sekeliling mereka tapi berapa ramai yang mencapai target. Benar, kejayaan bukan isunya tapi usaha itu yang akan dikira dan dinilai. Tapi siapa yang tidak mahu berjaya, kan?

Apapun, biarlah saya kongsikan dahulu 7 perkara yang disebut khatib Jumaat lalu sebagai resolusi Ramadan yang harus diusahakan bagi memastikan kesinambungan tarbiah Ramadan berkekalan hinggalah kita bertemu Ramadan seterusnya.

1) Sentiasa memohon hidayah agar terus istiqamah. Beramallah dengan doa

{رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ }آل عمران8
2) Sentiasa menghadiri majlis ilmu dan mendekati orang-orang soleh (suhbatul
ulama’).
3) Menjaga amalan sunat walaupun sedikit. Bukankah amalan yang disukai Allah
itu sifatnya berterusan walupun sedikit.
4) Segera mengganti puasa yang tertinggal dan segera bertaubat dari dosa-dosa
samada kecil atau besar.
5) Perbanyakkan berzikir dan beristigfar.
6) Membaca sirah para sahabat dan orang-orang soleh. Mengenali mereka dapat
membangkitkan semangat terhadap amal soleh.
7) Istiqamah dengan bacaan al-Quran dan mulalah menghafalnya.

Khatib menitipkan pesan salafussoleh; seburuk-buruk kaum adalah mereka yang tidak mengenali Allah kecuali pada bulan Ramadan. Moga Allah jauhkan kita daripada sifat ini.

Terlanjur menulis, saya ingat seorang guru berpesan, untuk orang-orang bujang terutamanya, banyakkanlah menghadiri majlis ilmu agar bercahaya wajah.:). Betul juga menurut saya. Mendengar ilmu, hati tenang, terbang gelisah. Tidaklah cepat dahi berkerut. Ubat awet muda yang mujarab. Moga Allah kekal mencampakkan rasa cinta ilmu ke dalam hati-hati kita hingga saat kita bertemu Dia. Saya selalu takut, saya hilang minat pada buku-buku dan majlis ilmu. Melihat buku-buku di khutub khanah UIA, saya berharap-harap dalam hati agar saya tidak pergi jauh dari dunia itu. Saya mahu fasa-fasa hidup saya dipandu dengan ilmu bukan sembrono berfikir dan membuat keputusan tanpa panduan. Terima kasih kepada Dr Mumtaz. Saya sangat teruja untuk terus mendengar kuliah-kuliah beliau tentang pemikiran kritikal menurut perspektif Islam. Maaf, saya harus berhenti. Harus studi untuk peperiksaan subjek itu Jumaat ini. Doakan saya.
BACA SELENGKAPNYA - Jom Buat Selepas Ramadan
0

Cerita Cinta dan Cita-cita

“Prol, ayah kau pesan pada ibu, belanja sekolah itu memang makin mahal tapi kalau anak kita punya cita-cita, duit itu bukan masalah kerana cita-cita itu akan memandu hidup anak kita,” jelas Bu Endang akan keengganannya untuk berkahwin dengan Pak Aji kepada Saprol.
“Kalau kamu punya anak, jadi seperti Bu Endang. Pelihara cita-cita anak kamu,” pesan Pak Haji kepada menantu dan anaknya, Fendi dan Sarah dalam genang air mata meredakan Bu Endang berhijrah. Petikan dari : Drama Kiamat Sudah Dekat

Apa cita-cita Saprol? Mahu jadi rocker. Pada Bu Endang, mempunyai anak yang punya cita-cita tidak kira apa cita-citanya adalah satu keberuntungan. Harus diusahakan cita-cita itu.

Saprol? Saprol akhirnya kerana berat untuk berpindah, meredakan ibu untuk berkahwin dengan Pak Aji. Kerana padanya, kalau berpindah pun belum tentu dia akan jadi rocker nanti. Cita-cita akan berubah. Kalau berbapakan Pak Aji, pasti tak perlu pindah. Hidup lebih mudah.

Pada Bu Endang, soal perkahwinan dengan Pak Aji masih samar. Hari ini, keputusan harus dibuat atas apa yang jelas dan yakin. Dia tidak harus bermain dengan sesuatu yang tidak pasti. Soal hati, memang payah dan lambat pula prosesnya.

Pak Aji, seperti Bu Endang. Kerana dia sendiri tidak pasti akan perasaannya. Akan keputusan terbaik terutamanya soal cinta /perkahwinan di usia tua ini. Lalu, memutuskan untuk meneruskan hasrat ke Tanah Suci Mekah bersama anak menantu dan kawan-kawan mereka tanpa memikir soal Bu Endang. Apa yang ada di tangan itu diusahakan. Apa yang masih samar dalam pertimbangan akal biarpun mungkin sudah lama jelas tertulis dalam takdir Ilahi harus diketepi dahulu.

Itulah akhirnya episod 1 siri ini. Ini kali kedua saya menonton ‘ending’nya. Pertama di TV9 dan kedua ini di saluran Suria, Singapura. Tapi kenapa ya, tak tertangkap isu di atas waktu nonton kali pertama.

Itulah cita-cita dan keyakinan kita pada Tuhan.
BACA SELENGKAPNYA - Cerita Cinta dan Cita-cita
Back to Top