0

Kembalikan, dengan kuasaMu, Tuhan

Aku sudah jadi bisu
Hampir putus asa kalau
Bukan akur pada ingatan Tuhan
tentang rahmatNya yang maha luas

Untuk dia,
Aku benci mahu merayu memohon
Meminta tolong
Kerana dia tidak layak untuk itu semua
Orang yang layak adalah orang yang punya
sesuatu untuk dikongsi

Aku tidak tahu
Apa dia masih punya walau sekeping hati
Buat mengasihi seorang ibu yang sudah acap bermain air mata
Yang hambur dan marah masih dibalas kasih tak terjangkau dalamnya
Buat menyayangi ayah yang tak pernah terbang sabarnya
Biar bentak dan baran menambah sakitnya
Cuma disambut dengan hela nafas dan geleng lemahnya
Buat mengasihani si kecil naïf yang hanya tahu menghambur tangis
Atau menyimpan sendu kerana suaranya dilarang kedengaran biar sesekali mahu menunjuk
Yang dia cuma anak kecil..tangis itu biasa, mahu memancing perhatian

Untuk dia,
Aku…sudah tidak punya hati untuk kasihan
Berilah aku seribu alasan…
Sedang masa sebenarnya sudah lama memberi ruang
Aku sudah tuli mahu mendengar azam demi azam
Kerana mata cerah ini tidak pernah melihat tindakan dan perubahan

Biar kali ini kau kata aku kejam
Aku mahu jadi lebih dari itu
Kerana yang zalim memang harus dihukum
Yan tidak tahu berpegang pada janji
Yang sombong memahami amanah ILahi
Yang angkuh untuk kembali…

Kerana aku cuma seseorang yang gagal juga
Mahu menghalang segalanya dengan kuasa atau suara
Yang aku punya cuma sekeping hati
Yang saban hari meronta mahu berkata
Tapi yang keluar hanya air mata tanpa bunyi
Dalam tunduk dan rafa’ tanganku pada DIA pencipta ‘dia’

Mahu bagaimana aku, Tuhan,
aku hilang kalam mahu berdoa
Bukan azab yang aku pinta tapi
Kasihanilah ya Tuhan…
Ibuayah yang setia dan pemurah kasih itu
Si comel yang tidak pernah mengharap lahir
untuk dibumbu sukmanya dengan duka

Untuk mereka ini, Ya Tuhan…
Aku menyerah dan pasrah
Bagi segala sesuatu buat ‘mendidik’ dan melorongkan jalan ….
Untuk dia.

Dan dengan sisa kasih ini, Tuhan,
Aku menyembah hina…
berlemah-lembutlah pada apa yang Kau takdirkan
Aku bukan mengharap dia pergi…tapi kembali
Pulang..ke jalan Tuhan.
Tinta tanpa mutiara
1216 290909
BACA SELENGKAPNYA - Kembalikan, dengan kuasaMu, Tuhan
2

Pecutan Akhir


Kita berada di minit-minit terakhir. Ini waktu untuk benar-benar pecut. Atau, kita mungkin menyesal kerana tertinggal dari kejuaraan piala taqwa setahun sekali ini.

Apa ya yang harus ditambah lagi di hujung Ramadan ini. Harus berusaha untuk tambah khusyuk dalam solat fardu. Harus memaksa diri melakukan solat sunat di setiap solat fardu. Juga berusaha untuk tidak tertinggal tarawih. Juga menyempatkan diri untuk bangun solat malam. Kalau tidak larat, dua rakaat sebelum sahur atau paling kurang kata ustazah, ambil wudu', duduk sebentar; istigfar dan berdoa.

Apa lagi? Sedekah. Kalau rasa tak berjumpa dengan mana-mana orang yang layak diberi sedekah, anda yang menggunakan perbankan elektronik, boleh sahaja klik kepada rumah-rumah kebajikan yang disediakan oleh sistem bank anda. Mudahkan? Atau, hulur sahaja RM1, 2 sambil menitipkan satu dua pesan yang muluk-muluk pada anak-anak kecil yang ikut serta tarawih. Anak-anak itu pasti gembira dan menggembirakan hati orang kan satu yang dituntut hatta senyuman-تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَة,senyummu kepada saudaramu itu sedekah. Dan untuk kaum wanita yang 'dicutikan' pada hari-hari akhir ini, mungkin boleh lebih rajin memasak dan sedekah kepada jiran tetangga atau belanja sahaja sesiapa makan. Tak perlu ramai,yang termampu. Biar seorang.

Lagi? Kalau ada kesempatan i'ktikaf, terutamanya yang lelaki, harus cari peluang itu. Perempuan, kalau ada peluang, boleh sahaja tapi kalau mahu di rumah juga lebih baik untuk perempuan. Cuma khaskan satu tempat untuk kita i'ktikaf dan niat sahaja. Kalau mahu jadikan acara tahunan keluarga, lebih baik. Seorang ibu memberitahu saya, memandangkan mereka tidak punya kampung, acara i'ktikaf adalah program tahunan keluarga yang ditunggu-tunggu. Beliau akan survey, cari masjid yang sesuai, kemuadian mereka sekeluarga akan beriktikaf, biasanya pada hujung Ramadan, waktu orang sibuk packing barang dan balik kampung. Menarik, kan.

Quran memang pastinya sesuatu yang tidak harus ditinggalkan. Harus terus intim dengan kalam Tuhan ini. Mungkin sekarang, sudah boleh berkira-kira, merancang bagaimana kita mahu diri kita selepas Ramadan. Azam..azam itu perlu awal, harus selalu diingatkan, diulang-ulang ke dalam diri supaya stamina Ramadan masih kekal ketika Syawal dan bulan seterusnya, kalau kurang pun, mungkin sedikit kerana persekitaran seperti Ramadan tidak ada lagi. Yang penting, tidak hilang terus. KUn Rabbaniyyi wa la takun Ramadaniyyi. Kita bukan hamba Ramadan kan, kita hamba Dia.

Untuk akhirnya, mari sama-sama mengajak diri beramal. Ya, semampunya. Islam tidak memaksa sehingga kita terlalu bersusah-susah tapi jangan sampai terlalu lewa.

Moga bertemu Lailatul-Qadr. Banyakkan doa dan rintih di 10 yang terakhir ini. Kalau ada ingatan, selitkan nama saya dalam doa anda. Juga untuk saudara seIslam yang lain. Ooo..selitkan nama-nama yang anda sayang dalam doa..mahu dia berubah? Mahu dia pakai tudung? Mahu dia jadi lebih sabar, kurang barannya. Juga untuk pemegang kuasa. Hati mungkin terasa sakit, lebih banyak mahu menyumpah dari memuji. Tapi atas barakah Ramadan, tak salah kita melembutkan hati, menitipkan doa, moga mereka dipandu Tuhan, tidak nanar membuat keputusan.
BACA SELENGKAPNYA - Pecutan Akhir
0

Musim Bunga Kerohanian (Spiritual Spring)


Musim Bunga Kerohanian- nama indah untuk Ramadan diberi oleh Dr Uthman El-Muhammady di TV3 pagi ini. Pagi indah 17 Ramadan. Tuhan…cepat benar tahun berlalu. Kita kembali bertemu hari istimewa dalam Ramadan ini. Saya mahu kongsikan beberapa perkara tentang al Quran dan petikan-petikan kata-kata indah yang selalu membuat hati berbunga bila membaca, menambah cinta pada kalam Tuhan.


“Al-Quran adalah sahabat hidup.Ayat-ayatnya mempunyai naungan yang rendang di sebalik maknanya”
“Setiap surah adalah teman yang dekat, tercnta dan menyenangkan. Memiliki keperibadian tersendiri dan ciri-ciri khusus. “
“Al-Quran bukanlah ensiklopedia pengetahuan Islam yang memberi aku pengetahuan tapi tidak membimbing peribadi dalam perjalanan hidup”
-Syed Qutb-


Sahabat, al Quran itu punya beberapa hak untuk dipenuhi. Pertama-Haqqul iman. kita harus beriman dengannya. Kedua- Perlu dibaca. Ketiga- Perlu ditadabbur, difahami. Keempat- Perlu diamalkan isinya. Kelima-Perlu disampaikan kandungannya. Keenam-hak untuk dihafaz
Saya kira soal beriman dan membaca itu, kita mungkin sudah pas. Jadi harus upgrade hubungan kita dengan al-Quran ke peringkat ketiga. Faham. Bagaimana mahu memahami kalau tidak tahu berbahasa Arab. Terjemahan kan ada. Untuk permulaan, kita harus berdikit-dikit rajin membaca terjemahan. Kemudian, boleh pergi pada tafsir-tafsir terpilih. Tafsir Ibn Kathir contohnya yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu. Tafsir Hamka dan Tafsir Syed Qutb juga(Fi Zilal al Quran). Ketika imam membaca ayat-ayat panjang waktu solat Terawih, saya selalu cemburu pada orang-orang Arab kerana itu bahasa mereka. Saya kira solat menjadi saat rehat yang menenangkan.Taraawih..kan waktu untuk rehat. Ia waktu mengulang kembali pesan Tuhan seperti Tuhan sedang bicara. Berpindah dari satu pesan kepada pesan lain, dari satu cerita kepada cerita yang lain.



Tapi saya selalu pesan pada diri. Kefahaman itu milik Dia. Milik Allah. Dia akan beri kepada orang yang dicintai. Memang kalau anda tidak faham sepatah b.Arab pun, selain usaha, berdoalah moga Allah kurniakan kefahaman pada kita. Kalau hebat b.Arab sekalipun tapi Allah tidak buka pintu untuk faham, maka tiada gunanya. Faham itu dilihat dari amal. Sedikit yang difahami dan diamalkan itu lebih baik dari mengumpul ilmu setinggi gunung tetapi sifar amalnya.
Kata Ibn Umar, generasi pertama umat ini iaitu para sahabat Rasul s.a.w hanya menghafal satu surah namun mereka diberikan rezeki untuk beramal sesuai dengan al Quran. Sementara generasi akhir dari umat ini, mereka membaca al Quran, dari anak kecil hingga orang buta namun mereka tidak diberikan rezeki untuk mengamalkan isinya.


Kata Mu’adz bin Jabal : Pelajarilah apa yang kalian kehendaki untuk diketahui namun Allah SWT tdak akan memberikan pahala kepada kalian hingga kalian beramal!


Saya kira kita harus banyak membaca sirah, melihat bagaimana akhlak generasi al Quran supaya tergambar pada kita bagaimana seharusnya peribadi kita, ummat yang punya bimbingan alQuran. Umair bin Hamam, seorang sahabat saat mendengar janji Allah dalam al Quran buat orang-orang yang berjihad bertanya kepada Rasulullah. Saat iUmair sedang makan kurma. Katanya, di mana saya kalau saya mati dalam perang ini? Rasulullah menjawab: Di Syurga. Lalu Umair berkata: Sungguh, menunggu masuk syurga sampai menghabiskan tujuh biji kurma ini adalah sangat lama. Lantas dibuangnya sisa kurma itu dan terus maju ke medan jihad sehingga syahid.


Lihat keyakinan mereka pada janji Tuhan. Kita, biar mendengar gandaan pahala dan janji syurga, masih ‘kering’ hati mahu menyambut tawaran istimewa.


Ayuh kita perbaiki azam, moga cinta kita pada Al Quran seperti cinta Ummu Aiman, pengasuh Rasulullah. Saat Abu Bakar dan Umar datang berziarah, menangis dia kerana teringat akan kewafatan Nabi yang mulia. Lalu berkatalah kedua sahabat ini, “mengapa engkau menangis? Rasululullah sudah mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.” Maka dijawab oleh Ummu Aiman, “ Aku menangis bukan kerana meninggalnya baginda. Tapi aku menangis kerana terputusnya wahyu Allah yang datang kepada baginda pada pagi dan petang hari”. Menangislah kedua sahabat baginda ini mendengar jawapan tersebut.


Sahabat, cinta bukan lalang yang tumbuh sendiri. Ia harus ditanam dan dijaga selalu. Justeru, marilah sama-sama kita tanam dalam hati cinta kita pada Al-Quran dan kita baja dan siram setiap hari dengan usaha kita memahaminya.
BACA SELENGKAPNYA - Musim Bunga Kerohanian (Spiritual Spring)
0

Trek kita...



Ramadan Kareem wallahu akramakum, ahibbaaii.

Bulan tercinta telah tiba, hampir selesai pusingan yang pertama. Kita masih berlari anak atau sudah memecut. Atau memang sudah memecut dan nanti akan kembali ke mode biasa waktu hampir ke garisan penamat. Atau...tidak ikut serta dalam kejuaraan setahun sekali ini. Jangan...masih tidak terlewat untuk turun ke trek. Ini kejuaraan luar biasa. Tidak ada hakim manusia yang menentukan siapa juara di hujung garisan. Dan bukan manusia juga yang menilai mutu larian di trek istimewa ini. Kata Dia, Sang Penganjur...ini untuk Aku, Aku yang menilainya.

"Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya, melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) "

(الصيام لي وأنا أجزي به) Mengapa dikhaskan puasa di sini?
Kata Ibn Hajar, kerana orang tidak riya' bila berpuasa. Mungkin ada, tapi sedikit sekali. Ia amal antara kita dengan Allah. Siapa tahu anda berpuasa atau tidak? Ia amanah. Ya...kita sama-sama berlari, tapi di trek berlainan. Milik peribadi. Justeru, hanya Dia yang Maha Mengetahui dan Melihat layak memberi mata. 10, 100, 1000?
Piala taqwa telah lama disebut-sebut. Tapi iya, sedikit cuma hati-hati yang tertarik mahu merebutnya. Atau memang sangat teringin tapi tidak cukup stamina untuk bertahan di trek yang banyak 'hurdle'nya dan singkat pula waktu yang diberikan buat menghabisinya. Barangkali tidak cukup warm up dan latihan sebelum.

Bertahanlah, belum waktu untuk semput atau putus nafas. Kalau perlu bantuan, segera cari. Kita mungkin perlu teman untuk sama-sama kuat merentasi halangan. Ada rasa malas, ada rasa mengantuk yang sangat. Lalu mahu berhenti dan tidur. Sebentar tidak mengapa, tapi kalau mahu berlama-lama...masa tidak akan menunggu.

Lupa, ini bukan larian biasa. Ini treasure hunt. Ini bukan padang biasa, ini padang hijau penuh pohon rendang, semak juga. Sela-sela berlari harus berhenti mengutip bekal dari pohon rahmah, pohon berkah, pohon magfirah. Jangan silap berhenti...ada wakaf juga, penuh makanan, sangat menggiurkan...ada pakaian-pakaian cantik bergantungan. Mahu? Sekadarnya...jangan berlebihan. Kerana kejuaraan luar biasa ini lain cara nilainya. Kerana ia mahu juara yang bukan calang-calang. Ia mahu juara yang konsisten; yang akan terus berlari biar kejuaraan sudah tamat. Juara yang tahan sabar dan uji, kebal dan ampuh dengan pencabar-pencabar ghaib yang bakal dibiar bebas kembali ke trek selesai kejuaraan ini. Oh, sukar sekali mahu meraih piala taqwa.


Iya, justeru harus bertanya diri, apa kita sedang berlari dengan betul, apa kita tahu apa yang harus kita cari di padang luas ini, apa yang harus kita kutip dari laluan sukar ini? Ini padang yang cantik dan indah. Justeru memang ramai yang turun merai. Sekali lagi ingatan, jangan cepat terpesona. Fokus pada trek anda. Kerana tidak semua yang turun ke padang ini benar-benar mahukan piala taqwa kerana habuan lain banyak juga. Anda tentukan...mahu piala taqwa atau habuan selainnya!
BACA SELENGKAPNYA - Trek kita...
0

Pulanglah


Pulang dari Interfaith Dialogue membincangkan tajuk "Tujuan Hidup" dari 3 perspektif agama di UIA tadi, saya berkira-kira mahu menyambung menyiapkan slide untuk pembemtangan hari Khamis ini- kelas Muslim Scholarship in Comparative Religion. Fokus saya adalah Ara' al Hind (Pandangan Orang Hindu) tulisan Shahrastani. Saya sedikit tenang selepas bertemu Dr Komar bertanyakan fokus pembentangan saya. Sedikit sebanyak saya perlahan-lahan mula memahami opps..masih cuba memahami dengan lebih mendalam berkenaan agama lain. Masih sangat pening memahamkannya sebenarnya. Dr Komar baru selesai membentang tentang Judaism dan Cristianity. Saya masih perlu masa memahami beberapa konsep utama dalam setiap agama.

Syukur, itu sahaja yang mampu saya katakan. Berpeluang belajar dengan Dr Komar, biar sedikit menakutkan saya kerana ketegasannya namun sangat menyenangkan saya. Kelas beliau selalu memberi inspirasi yang bukan sedikit. Selalu menyentak saya. Selalu menguji dan mencabar kefahaman saya tentang Al Quran. Selalu mengujakan saya tentang hikmah setiap kalam Tuhan dan cerita yang terakam di dalamnya. Memahami perbezaan antara agama menyebabkan saya melihat lebih luas dan lebih memahami agama saya. Menghargainya.

Kembali, memang setelah internet dapat saya akses 24jam di rumah, ia sangat 'mengganggu' saya. Inilah contohnya. Bukan presentation yang saya hadap tapi email dan blog. Tiba-tiba malam ini saya kembali mebaca email-email lama dalam folder tertentu. Email empat lima tahun lalu. Melihat semangat yang pernah marak dalam diri. Saya baca kembali email-email saya kepada YB Fong Po Kuan dan jawapan balasnya yang penuh dengan semangat kewanitaan. Juga email dari Anna, wanita German yang kami temui dalam satu diskusi di pejabat Sisters in Islam dan kongsi bersamanya isu-isu wanita, Islam, Liberalisasi ( macam tak caya..saya pernah melalui zaman ini). Juga email-email antara saya dan teman di Malaysia sebelum dan semasa saya di Syria. Usai bacaan, saya bertanya, sayakah itu?

Saya tiba-tiba melihat diri saya berlari mengejar semangat yang hilang seperti kanak-kanak kecil mengejar rama-rama...Melihat cantik dan indahnya haiwan kecil itu hingga terlupa menikmati taman indah yang saya sedang berlari di dalamnya. Bukan..saya punya semangat hari ini. Tapi saya cemburukan semangat yang dulu. Saya rindukan hati polos dan keyakinan tulus pada Tuhan waktu saya menyerah urusan pada Dia waktu nekad ke Syria.

Tiba-tiba. Tapi Ramadan tidak datang tiba-tiba. Ia datang dengan tujuan. Ada tujuan hidup yang terakam di balik pensyariatan puasa. Dan bukan tiba-tiba juga saya tergerak untuk kembali menyorot zaman lama kan?

Moga Ramadan menyuntik inspirasi, mengembali jati diri, membina stamina, membangun jiwa. Saya mahu balik ke kampung Ramadan dengan penuh berserah. Saya harus tinggalkan kacau pikir dan jiwa yang mengganggu. Saya harus membuang harap pada manusia. Saya harus campak ego dan ragu saya. Saya harus pulang dan menyerah. Pada Dia. Saya harus...pulang... dan menyerah.....
BACA SELENGKAPNYA - Pulanglah
0

Merai dan Meraih Nikmat yang Dilupakan



Sudah hampir separuh bulan Sya'ban kita lalui. Hampir kita tidak sedar ia berlalu. Memang seperti kata Baginda Rasul, Sya'ban ini bulan yang dilupakan kerana ia di antara dua bulan mulia;bulan Rejab dan bulan Ramadan. Kata Baginda lagi, ini adalah bulan di mana amalan dipersembahkan kepada Allah. Kata Baginda s.a.w: Aku suka kalau amalan aku diangkat pada waktu aku berpuasa.

Aisyah berkata, aku tidak pernah melihat Baginda Rasul s.a.w berpuasa sebanyak dia berpuasa di bulan Sya'ban.

Antara waktu di mana amal lebih dituntut dan diberi lebih ganjaran adalah pada waktu-waktu yang manusia lalai terhadapnya. Antara waktu gaflah(lalai) adalah bulan Sya'ban, antara Magrib dan Isyak juga waktu Solat Asar. Contoh lain adalah berzikir waktu kita pergi ke pasar. Kerana lumrah pasar adalah waktu manusia sibuk dan lalai dari mengingati Allah.

Sahabat, Ramadan makin hampir..Syurga sedang dihias, sudah melambai-lambai menyambut. Seisi makhluk Tuhan sedang berdebar menanti bulan penuh berkat mendekati. Syaitan sedang menggiat usaha terus memmbujuk hati untuk tidak merasa akan hadirnya tetamu mulia. Syaitan sedang cuba menutup deria-deria rasa kita pada bau angin syurga yang berpuput lalu mengucap selamat datang kepada Ramadan. Ah..kita masih mamai. Belum bersedia dan berhias. Bagaimana mahu merai tetamu yang sudah hampir di ambang pintu...

Ahlan...ahlan..kami merinduimu.
BACA SELENGKAPNYA - Merai dan Meraih Nikmat yang Dilupakan
2

Adab, Adab, Adab


Ad-Din Nasiihah. Sungguh hujung minggu ini hati saya dijamu dengan hidangan yang hampir tak mampu saya menghadamnya. Terlalu banyak. Sedikit berat. Cuba juga saya menghimpunnya ke sisi. Biar saya tidak mampu mengunyahnya hari ini, tapi saya mahu simpan buat bekalan. Bila saya bersedia, saya akan berusaha menghadamnya.

Mengenali Ustaz semenjak semester lalu adalah anugerah buat saya. Bermula dengan tanggapan biasa, pandangan saya berubah bila ustaz mula menghujankan satu demi satu tarbiahnya. Saya selalu suka mahu berlama-lama menghadap ustaz. Tapi, ya kesibukkannya tidak mengizinkan dan semester ini selalunya tak sampai dua minit saya dapat bercakap dengan ustaz.

Saya mula memahami kata ustaz. Amal…amal…amal.Tak guna menghimpun setinggi gunung ilmu, berkejar ke sana ke mari mahu menggalinya sebanyak mungkin tapi tetap sifar pada amal. Tetap gagal pada adab. ADAB! ADAB! ADAB! Ini yang ustaz ulang dan ulang dalam setiap pertemuan Nuqaba’ atau nama glamernya di UIA ini fasilitator. Semester ini tugasan saya bertambah. Halaqah dan Fardu Ain. Sungguh saya bersyukur terpilih menyertai kumpulan kecil fasilitator Fardu Ain. Ustaz lebih tegas, lebih berat menekan di sana sini. Usai mesyuarat pertama kami, waktu kaki perlahan menuruni tangga, saya akhirnya sedar. Ini yang saya cari. Bagaimana pun saya tidak boleh lari. Jiwa saya terubat dalam dunia ini. Bukan mencari sesuatu di luarnya. Saya tetap akan berasa kosong. Larikah saya dari tugas ini selama hampir dua tahun? Saya bukan lari, saya berniat mahu bawa diri dan belajar lagi di luar lingkungan biasa saya sebelum ini. Tapi ya, bila kita tidak beroganisasi, maka kita bermain-main dengan diri sendiri.

Tarbiah itu apa? Pengurusan. Education means management. Everything is a part of the whole system. Ingat, setiap butiran itu penting. Biar sesuatu itu kecil tapi ia penting untuk menyempurnakan satu system. Kerana itu kita harus membuka horizon pemikiran kita. Bukan menghadkan pemikiran pada dunia kecil di sekitar kita sahaja. Pengurusan melambangkan profesionalisme kita. Profesionalisme terlihat daripada pengurusan masa dan skill perhubungan kita. Maaf, saya mahu menyusun isi untuk dikongsi juga sebagai catatan yang lebih tersusun. Maaf kalau masih tidak teratur. Itu bayangan apa yang di kepala saya. Saya masih belum dapat menyusun segalanya sebaiknya.

Mari kita mulakan.
أن القرآن مأدبة الله فتعلموا من مأدبته ما أستطعتم .
Sesungguhnya Al-Quran itu adalah hidangan daripada Allah. Justeru, belajarlah daripadanya sebanyak mungkin.
Ma’dabah berasal daripada kata asal Adab. Para salaf selalu berpesan kepada anak-anak mereka: Wahai anakku, jadikan amalmu seperti garam dan adabmu seperti tepung. Maksudnya, amal yang sedikit tapi penuh dengan adab lebih baik daripada amal yang banyak tapi sifar adabnya.

Kata Hasan al-Basri
من لا ادب له لا علم له، ومن لا صبر له لا دين له ومن لا ورع له لا زلفى له.
Sesiapa yang tiada adab, tiada baginya ilmu. Dan siapa yang tidak punya sabar, tiada agama padanya dan sesiapa yang tidak wara’, tiadalah dia dekat dengan Allah.

Adab menurut al Qusyairi dalam Ar Risalah adalah himpunan sifat-sifat baik dan hasilnya adalah- faqih dalam urusan agama, zuhd pada dunia dan mengetahui hak-hak Allah.

Menurut Abi Nasr As-Sirraj, manusia itu terbahagi kepada tiga dari segi adabnya:
1- Adab ahli dunia: Mereka yang hafal ilmu dan teori
2- Adab ahli agama: Latihan jiwa, didik anggota badan , hafal tentang hukum dan tidak menurut hawa nafsu
3- Adab ahli khusus: Kebersihan hati, jaga rahsia, tunai janji, jaga waktu.

Ustaz selalu mengulang soal waktu. Soal adab ahli khusus. Kalau seorang naqib/h tidak boleh menjaga adab berkaitan waktu ini, bagaiman pula dengan orang lain. Adab tidur sebagai contoh. Apabila tidak dipatuhi dengan baik akan menyebabkan masalah yang lain. Kebanyakkan remaja di AS mati di jalanraya kerana tidak menjaga adab tidur. Mereka berjaga malam bermain internet. Kurang tidur menyebabkan mereka hilang focus apabila memandu dan menyebabkan ramai di antara mereka mati di jalanraya atas sebab ini.

Saya kira isu tidur bukan sesuatu yang remeh. Rata-rata remaja hari ini tidurnya lewat hingga ke 2, 3 pagi. Melantak ke subuh hingga tengahari. Habit ini menjadi karekter. Saya perhatikan. Saya akui benarnya pepatah Inggeris ini.
Watch your actions, for they become habits. Watch your habits, for they become character. Watch your character, for it becomes your destiny.
Karekter apa yang terhasil kesan habits bangun lambat ini? Malas! Tanya ibubapa di rumah bagaimana anak remaja mereka. Membantu di pagi hari..Tidak. Kalau menurut Sunnah, jika kita tidak punya urusan penting selepas Isyak, sebaiknya tidur terus supaya mudah bangun pagi. Tapi kebanyakkan kita ambil remeh perkara ini dengan melayari internet, jaga kebun maya di facebook(huhu), berpindah dari satu drama korea ke satu yang lain, sms, borak dsb. Apa lagi adab lain yang kita tidak patuhi? Adab makan, adab menggunakan handphone, adab bekerja dan menuntut ilmu dan lainnya. Saya pun apa kurangnya tapi, ia…berazamlah kita untuk jadi Muslim yang baik. Yang menurut sunnah. Manhaj hidup ini sudah tersusun sebenarnya. Cantik dan sempurna. Cuma kita…kata ustaz, yang Sahabat suka itulah yang kita benci sekarang dan apa yang Sahabat benci kita suka…Kita yang menukar tujuan hidup kita dari salvation kepada globalization. Kita sambung di lain hari.

Cadangan bacaan lanjut: Min Adab Al-Islam ('Abd al-Fattah Abu Guddah)
BACA SELENGKAPNYA - Adab, Adab, Adab
0

Anak-anak dan Tuisyen


Anak-anak sangat lucu, menghiburkan selalu mengubat rawan. Waktu sedang khusyuk menulis di papan putih saya mendengar alunan..you' re not alone...hmm..ada ramai pengganti Michael Jackson dalam kelas saya. Lagi sekali Muallimah dengar, dia kena zikir. Saya menulis semula. Mereka menyanyi kembali. Kali ini entah lagu siapa. Bangun..anta, Subhanallah 33, anta Alhamdulillah 33, Anta Allahuakbar 33. Sekarang. baca betul2 itu zikir pada Allah. berdosa dibuat main. Anak-anak itu akur. Duduk dan senyum. Kita selawatla Muallimah. Terus mereka melagukan Sollallahu 'ala muhammad tanpa menunggu izin saya. Marah saya terbang. Anak-anak ini hati mereka masih putih. Tidak menyimpan, tiada dendam. Segera sahaja semua dilupakan, ya, termasuk pesan dan nasihat. Sering marah saya bertukar gelak. Pandai juga mereka memuji juga sangat prihatin memerhati. Ammar, si kecil yang selalu suka berlawan cakap dengan saya dan sering membuat hati saya kalah mahu memarahinya bersuara: Muallimah..muallimah lainlah hari ni. Kenapa? Minggu lepas muallimah lain. Apa yang lainnya. Tudung muallimah, yang lain menyampuk. Minggu lepas kat sini, minggu ni kat sini pula. Hai..silang tudung saya pun dia prihatin.


Semput juga saya bila kembali mengajar tuisyen. Dua-dua kelas lelaki. Hero-hero belaka. Yang aktif, yang perlahan sedikit, yang banyak cakap, yang termenung sentiasa, yang tersengih selalu, yang memerhati ..semuanya. Tahap mereka bercampur. Agak sukar juga saya mengatur pengajaran agar tiada yang ketinggalan. Ini tuisyen. Ibubapa mahu melihat perubahan walaupun mereka sendiri tidak berubah. Say tidak banyak pilihan kerana bekerja dengan orang. Kelas tuisyen persendirian saya biasanya tidak boleh lebih 5 orang. Anak-anak ini pulang dari sekolah jam 3.30 terus ke kelas tuisyen untuk tempuh dua jam lagi. Bayangkan bagaimana tepunya otak. Itu pada kita, tapi anak-anak ini masih juga aktif tapi tak kurang yang sudah hilang energi. Lalu saya kadang-kadang serba-salah mahu marah pada yang tertidur. Ada seorang. Kasihan sungguh. Nampak benar dia tidak mampu melawan kantok. Saya tidak sampai hati.

Anak-anak ini datang tuisyen dengan pelbagai tujuan. Memang yang pertama, ibubapa mahu prestasi anak-anak dibaiki. Ibubapa ini niatnya murni. Mahu selalu yang terbaik untuk anak-anak. Tapi anak-anak memangnya sukar memahami itu. Ada yang datang kerana ikut kawan. Yang lain kerana, boleh makan mee hun sup atau mee rebus selepas kelas di kafe ustaz. Kalau menunggu di sekolah tidak dapat peluang itu. Kalau ikut ke pusat tuisyen, seronok sedikit.

Dua tiga orang, kelas ke dua masih sama. Menganga melihat saya. Harus saya bertempik dulu, mana buku, pensil- tak bawa. Dia hanya berlenggang. Aduhai..anak. Saya lihat beg kawannya yang seorang lagi, dengan buku terkelipit di sana sini, nampak tidak terurus buku-buku pelajaran anak itu. Patutla dia tak bawa buku untuk tuisyen. Waktu belajar matanya selalu dihalakan ke siling ataupun kerjanya menoleh ke kanan kiri, cuba mengganggu rakan lain. Dia ada misi lain ke tuisyen. Bukan mendengar saya di hadapan dengan segala aksi dan riak muka.

Ada beberapa perkara kadang-kadang saya tidak mampu meluahnya secara terus-terang. Pusat tuisyen harus melihat bukan sahaja keuntungan tapi bagaimana proses pembelajaran mampu jadi lebih efektif. Ibubapa pula, usahlah melepas tanggungjawab, merasa lega kerana anak sudah dihantar tuisyen. Tambahan. Anak mesti jadi lebih baik. Belum tentu. Tolong, saya merayu, anak-anak ini perlu diberi sedikit perhatian. Tolong, buka beg mereka, tengok apa yang anak-anak anda tulis dalam buku. Tengok apa yang anak-anak anda conteng. Kadang-kadang kami guru ini sudah hilang akal mahu bercakap dengan anak tuan puan. Bolehkah kita bekerjasama?

ليس اليتيم من انتهى أبواه من هم الحياة وخلفاه ذليلا
إن اليتيم هو الذي تلقى له أما تخلت أو أبا مشغولا


Bukanlah anak yatim itu siapa yang ibubapanya telah berhenti menanggung keperitan hidup(meninggal) dan meninggalkannya hina dina,
Bahkan si yatim itu ialah anak yang anda dapati
Ada ibu tidak peduli, ada ayah selalu banyak kerjanya.

Saya memang bukan seorang ibu. Saya sendiri takut memikir bagaimana saya menjaga anak nanti. Apa mampu saya imbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab saya sebagi ibu. Para bapa..tolonglah. Tolong sekali duduk bersama anak-anak, bukan tolong fikir dan arah sahaja. Ada 11 kisah yang dipaparkan dalam al Quran bercakap soal hubungan ibubapa anak. (Rujuk: al Aba' wal abna' fil quran karya Abd Halim Mustafa yang sudah diterjemahkan ke bahasa Malaysia). Hanya satu sahaja hubungan antara ibu dan anak iaitu Maryam dan Isa. Selainnya, bapa dan anak. Apa ertinya itu tuan-tuan? Saya galakkan anda mendengat tafsir quran di IKIM jam 6.30 Isnin-Khamis. Sekarang Ustaz sedang berbicara tentang surah Tahrim, tentang rumahtangga Rasulullah, tentang hak suami isteri. Ayuh, biarlah hidup kita dipandu ilmu.
BACA SELENGKAPNYA - Anak-anak dan Tuisyen
0

القلب يعشق ...كل جميل

Tuhan...
Dalam Rejab doa dipanjat
Menuju Syaa’ban penuh berharap
Moga Ramadhan menyambut hasrat
Ziarah diri ke kota suci

Itu harapan Rejab dari tahun sudah ... Cepat benar masa berlalu meninggalkan kita. Hari ini sudah 27 Rejab. Apa Sya'ban juga akan berlalu tanpa sedar...Bagaimana pula Ramadhan yang mendatang. Rupanya cinta dunia itu masih menyelubungi hampir seluruh hati. Sukar benar meletak ia di tangan. Payah sungguh menyisih ia ke samping waktu perlu lebih munajat pada Tuhan di bulan-bulan mulia ini terutamanya.Harus..harus segera menyusun azam dan niat..tapi rindu Ramadhan pun belum membahang.Mengapa ini. Apa ada yang telah membutakan hati...menggelapkan jiwa. Dunia...sampai bila pun manusia akan kejarkannya. Tinggalkanlah kecintaan itu sementara...Ia tidak ke mana kalau kau terlalu sayangkannya. Nikmat dan barakah yang bakal datang ini tidak lama bersinggah. Sepurnama sahaja. Tenangkan diri. Sisihkan kesibukanmu itu sementara. Pergilah membawa hati bertemu Tuhan...

Ini halwa telinga dan hiburan hati buat yang rindu untuk sampai ke sana:
Lagu ini dinyanyikan penyanyi asalnya ialah Ummu Khalthum kemudian ramai yang menyanyikannya semula. Indah sangat lagu ini..Saya nak kongsi dengan anda semua. Kalau anda perempuan, dengarlah lagu ini dinyanyikan sendiri oleh Ummu Khaltum. Cari di You Tube. Versi untuk lelaki-Rachid Gholam (Morocco) atau Firqah Abu Sy'r (Syria)
القلب يعشق

لقلب يعشق كل جميل
وياما شفتي جمال ياعين
الي صدق بالحب قليل .. قليل
وان دام يدوم ... يوم... والاّ يومين
والي هويتو اليوم .... دايم وصاله دوم
لايعاتب الي يتوب ... ولابطبعه اللوم
واحد مافيش غيره ... ملا الوجود نوره
دعاني لبيته ... لحد باب بيته
واما تجلالي .... بالدمع ناديته
*******
كنت ابتعد عنه ..... وكان يناديلي
ويقول مسيرك يوم تخضعلي وتجيني
طاوعني ياعبدي .... طاوعني انا وحدي
مالك حبيب غيري قبلي ولابعدي
انا الي اعطيتك من غير ما تتكلم
وانا الي علمتك من غير ما تتعلم
والي هديتو ليك ... لو تحسبو بأديك
تشوف جمايلي عليك من كل شئ اعظم
سلّم لنا ....سلّم لنا ..... تسلم
******
دعاني لبيته لحد باب بيته
واما تجلالي بالدمع ناديته
*******
مكة وفيها جبال النور .... طلّة على البيت المعمور
دخلنا باب السلام .... غمر قلوبنا السلام
بعفو رب غفور
فقنا حمام الحِما ... عدد نجوم السما
الطاير علينا يشوف .... الوف تِتَابع الوف
طاير يهني الضيوف بالعفو والمرحمة
والي نصب سيره .... واحد مافيش غيره
دعاني لبيتو لحد باب بيته
واما تجلالي بالدمع ناديته

Heart loves all that is beautiful

Heart loves all that is beautiful
And you have seen so many beauty, o my eyes!

Faithful in love are rare and when it lasts
That’s rarely more than a day or two.

The One I loved today is Eternal, His love lasts,
He doesn’t blame the forsaken and reproach is not in His nature.

Unique, no one but Him, His light fills the existence;
He called me and I responded till His house’s door;

And when He dawned to me, I apostrophized Him with tears,
I apostrophized Him with tears!

I used to move away and He used to tell me:
Your destiny is to submit one day and to come to Me!

Obey Me My servant! Obey to Me only!
It’s Me who gave you without you asked, and who taught you without you learnt!

If you count with your hands what I gave you
You’ll realize that My graces upon you are greater than anything else!

Give up to Me and you’ll be safe.

Mecca with the Light Mountains
That face the peopled House,

We entered the Bab Assalam and peace entered our hearts
With the absolution of a forgiving God.

Protecting birds flew upon us as many as the sky stars,
Thousands following thousands, flying with absolution and mercy to greet God’s guests.

He who organize their flight is One with no one else,
He called me and I responded.

We walked near a garden(Raudhah), a garden from Paradise
Where lovers have all they wish!

There is joy and happiness and there is light,
There’s a love cup circulating and each drinker sung,

God’s angels were our drinking companions,
They came with the good news of remission and pardon.

O we wish so much that our beloved receive what we did!
O God, may You promise them that! O God, even before us!

He called Me and I responded till His house’s door,
And when He dawned to me, I apostrophized Him with tears.
(Terjemahan daripada Translatorscafe.com)




BACA SELENGKAPNYA - القلب يعشق ...كل جميل
0

Ahlan, Senyum anda membahagiakan saya.




أخي لن تنال العلم إلا بستة


سأنبيك عن تفصيلها ببـيان


ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة


وصحبة أستاذ وطول زمان


Ahlan..ahlan . Selamat datang. Hayyakumulah. Saya bahagia menyambut wajah segar dan semangat panas anda ke kampus hijau ini. Saya terhibur dengan senyum yang menyambut saya pagi ini. Saya seronok melihat kampus sibuk kembali. Saya tidak akan kesunyian di sini. Anda juga..adik adik, jika anda kenal sahabat yang akan membuatkan anda tersenyum dan tertawa biar anda sendiri, rafiq yang akan mengubat hati . Dan saya selalu ulang pada diri- bacaan adalah ubat hati yang mujarab.

Selamat datang ke dunia ilmu. Selamat datang ke dunia cabaran. Selamat datang ke dunia Islam kecil UIA. Anda tentukan..mahu apa anda di sini, mahu ke mana anda selepas ini dan bekal apa yang mahu anda siapkan di sini. Pilih..pilihlah..anda tentukan. Hanya buku, hanya kawan, hanya guru, hanya pengalaman..hanya Malaysia, hanya Islam , hanya Asia…anda..anda tentukan batas dan lingkungannya

Saya hanya mahu menyatakan kegembiraan saya menerima anda menjadi warga di sini. Selamat datang pengembara!

Ahlan juga untuk diri saya sendiri. Apa mampu saya selesaikan disertasi Master saya dalam hanya satu semester. Selamat datang cabaran menulis. Selamat berhempas pulas. Selamat memulakan jadual baru. Selamat untuk saya dan anda juga. Selamat berkerja dan terus berjuang.
BACA SELENGKAPNYA - Ahlan, Senyum anda membahagiakan saya.
Back to Top