Common Sense yang Hilang
Terbalikkan perkataan Ini: كمالك تحت كلامك
Apakah hasilnya setelah anda terbalikkan setiap perkataan? Juga untuk kalimah ini: عقرب تحت برقع. Ini sekadar contoh permainan bahasa.
Bahasa Arab sangat indah. Seperti bahasa lain, bahasa menjadi lebih indah apabila anda menyelami sasteranya.
Waktu mula-mula diperkenalkan dengan buku-buku adab Bahasa Arab, saya sangat teruja. Saya akan berhenti pada satu-satu halaman sambil mengulang-ulang ayat-ayat yang menarik perhatian saya. Benar-benar saya tenggelam dalam adunan bahasa indah sang penulis. Tentunya membaca buku adab berbeza dengan membaca buku bahasa Arab yang berkitar tentang fiqh, Quran atau pun subjek-subjek pengajian saya. Kecuali penulis memang bijak memilih bahasa seperti Syed Qutb, buku-buku pengajian lebih menjurus kepada istilah-istilah tertentu dalam bidang yang ditulis. Mengenali buku-buku adab, membuatkan saya lebih seronok membaca. Kemudiannya, apabila saya mula menulis tesis dan perlu membaca untuk itu, saya dapati tumpuan saya sedikit berubah, saya kurang laju untuk menghabiskan bacaan. Tumpuan saya lebih kepada penggunaan bahasa, bagaimana perkataan-perkataan digabungkan. Saya petik dan pindahkan kata-kata itu dalam helaian-helaian nota saya yang bersepah. Kemudian baru saya melihat sudut pandang penulis bagi sesuatu isu. Tapi tetap, penggunaan bahasa penulis sangat mempengaruhi saya.
Hingga saya terbawa-bawa waktu menulis tesis. Awal-awal, penyelia saya sudah menegur. Katanya, “Elakkan bahasa berbunga-bunga. Tesis adalah penulisan ilmiah”. Saya angguk sambil tersenyum panjang. Membaca menjadi aktiviti yang menyeronokkan tika itu sehingga melambatkan kerja menulis saya. (Oh, pastinya kerana saya ada ‘pembekal’ buku-buku yang tepat dan bermutu). Tambahan lagi, saya menulis sesuatu yang saya suka dan sesuatu yang dekat dengan kita semua: KELUARGA. Pastilah saya sangat tamak mahu mewarnakan tulisan saya dengan rangkaian kata yang menambat hati. Kerana apabila bicara tentang keluarga, kita akan bercakap tentang cinta dan kasih sayang, tentang sesuatu hubungan yang terbentuk, tentang perasaan-perasaan, tentang peribadi-peribadi dan watak yang wujud. Tentunya ia akan menjadi lebih indah sekiranya, perkataan itu dapat disusun supaya bahasanya memikat dan persuasif sifatnya supaya yang membaca akan tertarik dan terus membaca. Kerana menulis adalah tanggungjawab. Bukan sekadar memenuhi kehendak pengajian master. Tetapi juga tanggungjawab kepada yang akan menyelak helaian itu nanti apabila ia sudah di ‘digital’ kan di Perpustakaan Darul Hikmah. Supaya yang membaca akan beroleh sesuatu dari pembacaan itu. (Tesis saya pada waktu catatan ini ditulis baru dua minggu berada di tangan pemeriksa kedua. Doakan segalanya dimudahkan)
MULAKAN DENGAN YANG MUDAH
Saya sangat sukakan bahasa Arab. Saya belajar seperti sukatan yang disediakan waktu di sekolah dan di UM. Cuma, kerana minat yang mendalam, waktu di Nilam Puri (waktu memujuk diri kerana tidak dapat melanjutkan pengajian ke Mesir) saya rajin-rajinkan diri membuat salinan artikel-artikel mudah yang menarik untuk dibaca sperti cerita lucu Juha, artikel tentang perkahwinan, motivasi diri dan sebagainya. Kemudian, saya akan habiskan masa membaca setiap baris dan mencari maksud perkataan yang tidak saya fahami dalam Kamus Mawrid. Aktiviti itu menyeronokkan. Pada saya, kerana saya belajar sendiri, maka saya harus mulakan dengan sesuatu yang mudah dan tidak membebankan yang boleh membuatkan saya cepat bosan.
Justeru, nasihat saya pada adik-adik yang sedang belajar bahasa Arab atau belajar menggunakan bahasa Arab di UNIVERSITI, jadilah budak tadika, cari buku yang menarik dan mudah, drama atau filem bahasa Arab yang mudah. Kemudian, baru pergi kepada yang lebih sukar. Saya harap anda tidak akan cepat putus asa mendalami Bahasa Arab. Anda akan sukakannya nanti. Cuma anda belum berjumpa sesuatu yang ‘memegang’ hati anda untuk terus menyelami bahasa al Quran ini. Atau mungkin kerana anda perlu membetulkan niat. Niat yang kurang betul menjadikan bahasa Arab menjadi sangat payah dan membebankan. Niatlah, supaya bahasa ini akan membantu anda memahami Al Quran. Pasti Tuhan akan melorongkan jalan. Saya menanti anda memindahkan butir-butir tafsir yang indah dalam bahasa Arab kepada bahasa Melayu supaya ramai lagi yang akan mendapat manfaatnya. Apapun, siapa pun anda, saya mengajak anda memulakan pelajaran bahasa Arab, atau memulakan KEMBALI pengajiaan bahasa Arab anda yang terhenti atau mendalami lagi bahasa yang anda telah kuasai setakat ini.
BACA BUKU ADAB
Untuk menguasai bahasa Arab, anda perlu baca buku adab. Itu pesan ustaz kami waktu saya dan kawan-kawan mengikuti kelas tuisyen bahasa Arab. Selalunya, selepas belajar Nahu yang memeningkan dengan I’krabnya, kami akan berganti-ganti membaca teks adab. Ustaz akan membetulkan baris yang tersalah. Mula-mula agak menakutkan. Lama-lama ia menjadi aktiviti yang menarik dan ia banyak membantu mengaplikasi apa yang telah diajar dalam nahu. Antara buku yang dicadangkan untuk anda baca seperti:
فصول الإجتماعية – علي طنطوي
من وحي القلم- مصطفى صادق الرافعي
ثمرات القلم – محمد طه محمود
نظرات – مصطفى لطفي المنفلوطي
ساعات بين الكتب والناس – عباس العقاس
قطوف أدبية - عبد السلام هارون
Buku-buku ini membantu anda memperkayakan mufradat selain membantu memperbaiki uslub bahasa anda
Ulama’ Islam sangat kaya dengan ilmu. Limpahannya tidak sempat kita kutip. Kerana halangan bahasa. Kerana masa. Kerana malas. Hari ini saya memuhasabah diri. Mencemburui kawan-kawan yang sangat bersemangat menyalut diri dengan ilmu. Mencemburui sang suami yang rajin membuat nota bacaan.
Terima kasih membaca celoteh saya. Hadiahnya nanti. Akan saya kongsikan sebuah buku adab yang menarik karya al-Manfaluti.
Kalau Dosa Punya Bau
Kata Prof Arif di masjid UIA, Kalaulah dosa itu punya bau, maka akan larilah orang daripada mereka yang melakukan dosa kerana bau yang tidak tertahan akannya.
Setiap anak adam itu berbuat salah. Tetapi sebaik-baik orang yang berbuat dosa itu adalah orang yang bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Orang yang bertaubat nasuha akan kembali seperti orang yang tiada dosa.
Perbanyakkan ketaatan dengan melazimi yang fardu dan memperbanyakkan perkara sunat dan taubat kerana dalam al Quran ada menyebut, kebaikan itu penghapus dosa.
(.هود:114 إن الحسنات يذهبن السيئات)
Dalam suatu hadith riwayat termizi, Nabi juga ada menyebut, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun kamu berada dan gantikanlah setiap kejahatan itu dengan kebaikan kerana kebaikan akan menghapuskan dosa tersebut…”
Kembalilah pada-Nya. Jangan sesekali putus asa dari Rahmat Allah.
Buang Bayi
Menyesali kes-kes buang bayi yang semakin ketara, kita semua berharap akan ada penyelesaian untuk kemelut sosial yang semakin membarah ini. Terbaru, kanak-kanak dicampak dari tingkat 5 sebuah pangsapuri. Esoknya, seorang bayi ditemui dalam ruang buang sampah sebuah rumah teres. Apa yang dikesalkan adalah kebanyakkan penyelesaian masalah yang dicadangkan tidak bersifat pencegahan sedangkan Islam mengajar kita menyelesaikan masalah dari akar umbinya. Penyelesaian yang ada seperti mewujudkan baby hatch dan sekolah perlindungan adalah penyelesaian sementara yang tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sebenar. Kita sama-sama akur perasan ‘tidak mengaku anak’ sehingga sanggup membuang bayi ini adalah kesan rasa malu.
Dosa Menghalang Rahmah
Malu kerana dosa. Dosa inilah yang telah menghilangkan fitrah keibuan seorang wanita sehingga sanggup membunuh anaknya. Dosa itulah yang menutup cebisan sifat rahmah Allah dari memasuki ruang hati mereka yang tergamak membunuh nyawa yang tidak berdosa.
Tuhan telah mencipta 100 rahmat dan memberikan makhluk-makhlukNya satu daripada 100 sifat itu untuk dikongsi bersama. Dengan sifat itulah, seorang ibu mengasihi anaknya tanpa syarat dan binatang-binatang menyayangi anak-anaknya seperti harimau yang garang tetapi rahmah pada anaknya, gajah yang besar tidak pula hilang perasaaan memijak anaknya. Lalu mengapa manusia hilang sifat rahmahnya?
Malu dan 'Iffah Maryam
Dalam Quran ada menyebut tentang Maryam yang melahirkan anak tanpa suami. Memang Tuhan sendiri menggambarkan bagaimana sukarnya seorang perempuan menghadapi saat itu sehingga Maryam sendiri berkata, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini sehingga tiada siapa akan mengingati aku.’’ Menurut ulama’, ada dua sebab mengapa Maryam berdoa seperti itu. Pertama, dia tidak mahu orang memandang serong pada agamanya dan membuat fitnah pada dirinya. Kedua, dia tidak mahu kaumnya dikaitkan dengan penzinaan yang akan merosakkan nama baik kaumnya. (Mereka adalah kaum baik-baik jika dilihat dari kisah bagaimana mereka berebut-rebut untuk menjadi penjaga Maryam, anak yatim). As Syakrawi dalam tafsirnya menyebut, kalaulah anak perempuan Syeikh Madyan begitu malu (baca tentang malu di sini) ketika menjemput Nabi Musa ke rumahnya atas permintaan ayahnya, apatah lagi Maryam yang membawa anaknya bertemu kaumnya sedang tiada bersamanya suami.
Dalam situasi Maryam, dia memang sangat malu tetapi kerana dia tahu itu kuasa Tuhan dan dia sendiri perempuan yang baik-baik, maka sifat Rahmah itu masih kekal dalam dirinya. Waktu Jibril datang menjelma sebagai seorang lelaki, cepat-cepat Maryam bertegas, “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa”. Kata ulama’, ‘iffah(pemeliharaan kehormatan) Maryam pada waktu itu adalah sebaik-baik amal kerana beliau menunjukkan sikap tegas dan hati-hati sedangkan lelaki di hadapannya tidak menunjukkan sebarang niat serong. Malah hanya mereka berdua dalam bilik tersebut.
Teringat saya bicara Prof Husim. Kaunselor terkenal itu menyatakan, salah satu sebab seorang perempuan membuang bayi adalah kerana dia tidak boleh memaafkan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu. Lalu, kebenciaannya pada lelaki itu menyebabkan dia mahu menghapus segala yang berkaitan dengan lelaki tersebut termasuk bayi yang dikandungnya. Ini mungkin kesan kes perkosaan atau zina tetapi lelaki enggan bertanggungjawab. Kita simpati pada kes-kes kelahiran kesan perkosaan tetapi kita harap janganlah ditambah derita itu dengan bebanan dosa membuang anak. Kita lebih marah pada mereka yang membuang anak hasil zina. Dosa ditambah dosa.
Pelajari Sifat Maha Pengampun Tuhan
Seorang lelaki datang menemui Rabiatul Adawiyah dan bertanya,"Aku telah bertaubat. Apakah Tuhan akan ampunkan dosaku?" Rabiatul Adawiyah menjawab," Ya Jahil, engkau bertaubat kerana Tuhan telah mengampunkan engkau. Tidakkah engkau membaca ayat Quran yang menyebut:
ثم تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.) Justeru, jangan persoal adakah Tuhan menerima taubat kita atau tidak kerana apabila timbul keinginan bertaubat bermakna Tuhan memang ingin kita kembali pada-Nya dan melorongkan kita untuk bertaubat.
Tuhan itu Maha Pengampun. Dan dia sangat cinta akan orang yang meminta ampun-bertaubat. Bukankan cinta Tuhan itu paling tinggi nilainya?
قال الحسن البصري رحمه الله: "استعينوا على السيئات القديمات بالحسنات الحديثات، وإنكم لن تجدوا شيئا أذهب بسيئة قديمة من حسنة حديثة، وأنا أجد تصديق ذلك في كتاب الله: {إن الحسنات يذهبن السيئات}(10).
Bacaan tambahan tentang taubat dalam bahasa Arab di:
http://almoslim.net/node/125619,http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5581&version=1&template_id=104&parent_id=15
Kenangan yang Mendidik
Sejujurnya, entri ini adalah entri penghormatan, terima kasih dan rasa terhutang budi kepada salah seorang guru yang banyak jasanya membentuk saya. Beliau guru saya waktu di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang. Selain mengajar kami waktu itu, beliau juga Ketua Warden. Saya lupa adakah beliau juga penasihat pengawas pada waktu itu. Yang pasti, beliau adalah rujukan utama saya dan sahabat-sahabat yang ditugaskan sebagai pengawas dan jawatankuasa asrama. Ustaz banyak membimbing dan mendidik kami secara langsung atau tidak. Dan secara peribadi, saya banyak terkesan dengan teguran umumnya dalam kuliah-kuliah. Serasa teguran itu bukan umum, sepertinya untuk saya, masuk ke jantung, tepat menusuk, menyentak! Begitu, saya tahu saya ada berbuat salah atau tersilap mencatur langkah. Kerana teguran itu berbentuk umum, maka saya tidak merasa malu pada kawan-kawan, tapi saya tahu, saya harus membetulkan diri. Sehingga saya menyambung pelajaran di UM, Nilam Puri, masih saya mengutusinya buat bertanya kemusykilan terutamanya hal-hal rumit yang sukar saya fahami atau temui jawapannya seperti soal kesufian saat segelintir sahabat waktu itu cenderung belajar tentang itu secara mendalam.
Tanpa saya sedar, jawapan ustaz tentang persoalan yang saya ajukan padanya menjadi asas kepada saya dalam membuat pertimbangan kehidupan seterusnya. Saya ingat, saya coretkannya pada kad nota berwarna kuning dan selalu juga saya pandang waktu memujuk diri saya ketika merasa konflik dan kecewa kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat belajar di Mesir waktu itu. Kata Ustaz, ada lima perkara saya perlu tahu sebelum ikut-ikut orang memilih faham hidup, tariqat dan sebagainya:
1)Tahu keperluan anda
2)Tahu kehidupan andaÉ
3) Tahu kemampuan anda
4) Tahu apa yang anda akan dapat
5)Tahu apa yang akan anda korbankan
Seminggu ini, saya terjumpa blog ustaz. Membacanya kembali membawa saya ke zaman persekolahan peringkat menengah. Zaman lurus, taat, bersungguh, tegas dengan diri. Melihat saya yang penuh azam, penuh disiplin dan tegas juga mendisiplinkan orang sehingga jadi kebencian orang. Zaman penuh nasihat, tazkirah, majlis ilmu. Zaman dikelilingi guru-guru yang sering membetulkan, memandu, menunjuk jalan.
Buat ustaz dan semua guru-guru saya, Jazakumullahu khairal jaza’. Saya sama sekali tidak terbalas jasa itu. Moga kalian dalam jagaan Tuhan dan diberkati-Nya. Sekarang, saya juga sedang meniti jalan yang sama, mengajar dan akan terus berazam untuk jadi pendidik yang terbaik. Terima Kasih!
'Umar, Moga Dapat Bertemumu
Lama saya memendam mahu menulis tentang dia, seorang pemimpin ulung; Syaidina Umar al Khattab. Menulis sedikit, kemudian berhenti, Baru kali ini, saya benar-benar kuat azam setelah mengulit beberapa buku tentang beliau. Setiap kali membaca tentang beliau, saya jatuh cinta pada peribadinya. Teringin benar mahu melihat raut wajah dan perawakan sebenar penglima agung Islami ini.
Solat Witir
Pertama kali saya jatuh cinta, saat membaca tentang pendirian beliau dan Abu Bakar berhubung solat witir. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.wr bertanya kepada Abu Bakr, ‘Bilakah engkau berwitir?’ Jawab Abu Bakr, ‘Awal malam selepas solat Isya’. Soalan yang sama ditujukan kepada Umar. Umar menjawab, ‘Akhir malam.’ Maka baginda berkata, “Adapun engkau wahai Abu Bakar, bersikap berhati-hati (menjaga supaya tidak terlepas solat Witir setiap malam). Manakala engkau wahai Umar, kekal dengan kekuatan azammu (untuk berwitir akhir malam yang afdhal)’.
Saya pengkagum Abu Bakar, selalu mahu dekat dengan peribadinya, tapi saya juga mahu jadi Umar yang tegas, berdisiplin dan kuat azamnya. Kerana itu, saya berharap, kalau punya anak, saya mahu namakan dia Umar. Cuma saya takut, kalau anak saya jadi terlalu tegas tidak mengenal hikmah kerana saya bukan siapa-siapa yang punya kehebatan mencorak peribadi unggul antara tegas Umar dan hikmah Abu Bakr. Ah..cantiknya.
Jaulah Malam
Kemudian, saat membaca tentang jaulah malamnya memeriksa hal ehwal rakyat jelata. Tersentuh saat beliau berkata kepada pembantunya Asim yang ingin membantu beliau membawa karung gandum dan lelemak untuk diberikan kepada sang ibu yang merebus batu mengharap anak tertidur kerana menantikan makan malam yang tiada sebenarnya. Kata Umar, “apakah kamu mahu memikul dosa aku saat aku dihisab di hadapan Tuhan?” Kebetulan, saya waktu itu, baru selesai menemani teman mengajar kelas agama buat wanita gelandangan yang mengharap sesuap nasi dengan memperdagangkan tubuhnya..Kalau engkau masih hidup ya, Umar, pasti akan kau baling genggaman pasir ke muka-muka pembesar negara hari ini yang hidup megah memakai busana angkuh penguasa negara seperti mana yang kau lakukan pada para panglimamu yang berdiri megah berbusana mewah saat menyambutmu hadir menerima penyerahan Baitul Maqdis dari panglima Rom.
Ah, Umar, kalau mahu dihitung dan disifatkan satu persatu cerita tentangmu, pasti ada hati yang merintih merindui hadirnya insan sepertimu memimpin umat yang kalut dan leka dengan bayang-bayang gunung emas dan bukit harta yang disangka boleh membeli syurga.
Didik Rakyat
Umar, rajin berpagi-pagi mengunjungi rakyat yang memulai hari mencari rezeki. Lalu pada setiap orang yang ditemui, ditanyakan khabarnya. Apa khabar, kamu? Baik. Ditanya lagi, apa khabar, kamu? Baik. Diulang lagi soalan, apa khabar kamu? Alhamdulillah, saya baik. Nah, aku bertanya khabar semata-mata mahu mendengar kamu memuji Tuhan di permulaan harimu. Begitu, seorang pemimpin mendidik rakyat.
Al-Faruq
Rasulullah s.a.w menggelarnya al-Faruq selepas beliau bersikap tegas dalam menghakimi lelaki munafiq yang cuba mengelak daripada kesalahannya terhadap seorang Yahudi. Lelaki itu telah berjumpa dengan Rasulullah dan kebenaran berpihak kepada sang Yahudi. Tidak puas hati, beliau berjumpa pula dengan Abu Bakr. Apabila keputusan sekali lagi tidak berpihak kepadanya, beliau mengajak Yahudi tersebut bertemu Umardengan harapan keputusan akan memihak kepadanya. Lalu Yahudi tersebut menceritakan tentang perjalanan kes mereka. Umar lantas berkata, “tunggu sebentar sehingga aku keluar”. Beliau keluar dengan membawa sebilah pedang dan memukul lelaki munafiq itu. Kata Umar, beginilah hukumannya bagi mereka yang tidak redha dengan hukum Allah dan hukum nabi-Nya. Rasullullah berkata, anta al-Faruq. (engkaulah pemisah antara yang hak dan batil).
.
Syaitan Takut
Satu keistimewaan beliau, syaitan takut padanya. Kata Rasulullah, “Jika syaitan bertemu engkau di jalanan, maka dia akan mencari jalan lain.’ Hebat! Pastilah kerana kuatnya iman dalam diri sahabat Nabi ini. Kata Umar, “Siapa yang tidak mengenal Jahilliyyah, dia tidak kenal Islam.” Kerana, apabila Tuhan memberi hidayah pada mereka yang kafir atau jahil, mereka akan dapat membezakan kebaikan Islam berbanding lainnya dan benar-benar menghayati nikmat Islam yang diberi Allah. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Umar tentang zaman Jahiliyyahnya, “kadang-kadang kamu menyembah Tuhan yang dibuat daripada kurma dan kurma itu juga yang kamu makan apabila kamu lapar. Tidakkah kamu punya akal?” Jawab Umar, kami punya akal, tapi kami tidak dapat hidayah’.
Profil Umar
Meninggal dunia pada usia 65 tahun, beliau asalnya seorang pembesar Musyrikin yang masuk Islam pada usia 30 tahun berkat doa Nabi s.a.w dan mewakafkan seluruh 35 tahun baki usianya untuk Islam. Beliau merupakan orang kedua yang disayangi baginda di kalangan lelaki selepas Abu Bakr, juga antara sepuluh yang dijanjikan syurga. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang turun muwafaqah/ sesuai dengan pendapatnya atau situasi beliau (muwafaqah-maaf, saya blm jumpa terjemahan paling sesuai untuk maksud muwafaqah ini) antaranya tentang tawanan Badar(Al Anfal:67), ayat Hijab dsb.
Banyak juga pandangan dan ijtihad beliau yang menjadi panduan umat Islam selain merupakan rahmah kepada umat Islam. Antaranya cadangan beliau berkaian pengumpulan Al Quran kepada Abu Bakr berikutan kematian lebih kurang 70 sahabat pada peperangan Yamamah. Himpunan ayat-ayat Al Quran itulah kemudiannya menjadi asas kepada penulisan dan pembukuan al Quran pada zaman Utman. Justeru, jelas sifatnya sebagai seorang yang sensitive dengan hal-hal yang berkaitan dengan survival Islam
Noktah. Sehingga saya bertemu banyak lagi perkara yang menarik untuk dikongsikan tentang Umar. Meminjam kata-kata penulis “عمر بن الخطاب في الإسلام”, Dr Muhd Anis ‘Ubadah الله يا عمر أى رجل كنت يا ابن الخطاب (Allah.. Ya, Umar, lelaki bagaimanakah kamu, wahai Ibn al Khattab).
Baca lagi tentang Umar di:http://saifulislam.com/6164
Rujukan: عمر بن الخطاب في الإسلام, (Dr Muhd Anis ‘Ubadah), ‘Ala Khuto al-Habib (‘Amr Khaled), Sejarah dan Keutamaan Tiga Tanah Suci, (Muhd Isa Selamat), Tafsir Ibn Kathir , Shohih Bukhari dan Sunan Ibn Majah.
Erti hidup pada memberi
Lintasan Fikiran di Zaman Ujian
Teruslah Berlari!
Berdikari Mencari Ilmu
Menjadi ustazah, anda harus jadi semua. Walaupun anda dalam bidang Quran, anda kena mahir bidang fiqh, kena tahu bidang muamalah, kena tahu bidang stategik dan politik dunia, kena mahir bidang perhubungan awam, kena jadi doctor, kena semua. Kerana ustaz ustazah adalah seperti kaunter pertanyaan, dihumbankan segala soalan kepada mereka tanpa mengira bidang pengkhususan mereka. Sedang doctor sendiri dihormati mengikut pengkhususan, ditanya mengikut organ badang yang dia pakar tetapi ustaz ustazah harus tahu menjawab semua. Kalau tak tahu itu belum layak jadi ustaz ustazah.
Saya ingat, Tok Mod (Prof Mahmud Zuhdi) sangat lantang dlm soal pengkhususan ini dan mengingatkan orang agama supaya berhati-hati member. Jangan kerana kita ustaz ustazah, maka kita terima semua tajuk yang diminta kita sampaikan. Salah. Salah hukumnya bercakap pada bidang yang kita tidak tahu. Tapi setengah orang membantah kerana pada mereka , mereka belajar semua. Tapi pada Tok Mod, ia salah. Ini yang menjadikan orang memandang lekeh kepada ustaz ustazah kerana bercakap asal boleh. Kadang-kadang menjadi boros mengeluarkan hukum.
Saya sangat bersetuju dengan pandangan Tok Mod. Saya akui itu. Saya dalam bidang Quran, saya tidak belajar mendalam bidang fiqh. Tahu yang asas dan sedikit tentang perselisihan ulama’ itu ya, tapi untuk pergi jauh bercakap dalam bidang itu, saya harus terus belajar. Peluang mengajar adalah peluang untuk terus belajar. Saya harus lebih rajin mencari jawapan biarpun di luar bidang saya. Murid saya mahu tahu. Saya mungkin tidak mampu untuk memberi tahu, tapi saya harus melorongkan jalan supaya mereka mampu untuk menjadi tahu.
Pada saya, ilmu ini ada kuncinya. Justeru, kalau berjumpa kunci pintu ke khazanah ilmu maka,seseorang itu akan terus terdorong untuk belajar dan belajar. Kadang-kadang kita harus mengembara jauh untuk mencari kunci atau mengetahui tempat tersembunyinya kunci yang sebenarnya ada di depan mata. Saya kira, masalah kebanyakkan kita adalah kita tidak sampai kepada tahap berdikari dalam mencari ilmu. Guru saya, Us Anuar Ridwan pernah menyebut ini. Zaman universiti adalah zaman belajar dan menyediakan diri untuk jadi ‘berdikari’ dalam menuntut ilmu. Belajar memang perlu berguru. Tapi sifat berdikari dlam mencari ilmu itu yang akan menyebabkan kita mencari buku dan mencari guru bukan menunggu guru datang kepada kita atau buku disuguhkan kepada kita baru kita mahu mencari ilmu.
Selamat datang untuk diri ke dunia yang saya nantikan selama ini. Saya menjadi budak kecil, budak baru dalam dunia yang panjang likunya. Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong tunjukkan. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.
An-Nur; anjuran memudahkan perkahwinan
Rejab sudah tiba memasuki ruang hidup menyampaikan salam Ramadan yang menunggu bulan berlalu buat bertemu mereka yang rindu menunggu. Saya masih terkapai-kapai berazam dan mengatur kembali kehidupan sebagai persediaan menyambut tetamu istimewa. Kehidupan kadang-kadang sangat menyibukkan dan melekakan sehingga kita tak mampu menekan butang ‘pause’ dan berhenti seketika melihat hidup yang sedang dilalui. Allahumma bariklana fi Rejab wa ballighna Ramadan.
Sekadar berkongsi bagi menyemarak semangat saya untuk terus menulis. Semalam, saya meneruskan kuliah tafsir Surah An-Nur di Bank negara yang sudah hampir separuh disudahkan. Surah An-Nur memang surah kecintaan saya. Saya jatuh cinta dulu waktu mendengar kata seorang guru saya tentang pesan Umar kepada rakyat Kufah,علموا نساءَكم سورة النور, Ajari kaum wanita Surah An-nur. Kenapa perempuan harus belajar dan tahu tentang surah ini? Kerana ia banyak berbicara tentang kehormatan dan maruah melalui hukum dan adab terutamanya dalam rumahtangga. Bukankah perempuan itu pendidik keluarga? Kata Ahmad Syauqi,
"Ibu adalah sekolah, jika engkau mempersiapkannya, berarti engkau mempersiapkan bangsa yang berketurunan baik." Tapi lelaki jangan ambil mudah pesan ini. Bukankan Umar berpesan kepada lelaki untuk mengajar isteri dan anak-anak perempuan mereka? Bukankan orang yang mahu mengajar itu harus dahulu faham dan menguasai apa yang mahu diajarkan?
Kata Syed Qutb, paksi perbicaraan surah ini adalah pendidikan melalui saranan-saranan KERAS seperti hukum rejam, qazaf, li'an dan saranan HALUS seperti adab-adab selain menghubungkan hati dengan bukti kekuasaan Allah di alam dan dalam kehidupn manusia. Gabungan didikan antara keras dan lembut ini penting dalam mendidik hati, menggerakkan perasaan juga meninggikan ukuran akhlak dan akhirnya menghubungkan hati dengan nur/hidayah Allah.
Secara umumnya surah ini menyebut tentang adab-adab kemasyarakatan yang wajib diukuti seperti adab masuk rumah, tundukkan pandangan, jaga kehormatan, mengelakkan pergaulan bebas yang mengingatkan tentang pentingnya istiqamah terhadap syariah Allah dan menjaga dari faktor-faktor yang membawa kepada keretakan dan kerosakan akhlak yang membinasakan masyarakat dan ummah. Surah ini dimulakan dengan ayat tentang hukuman sebat terhadap orang bujang yang berzina,diikuti tentang hukuman menuduh orang baik-baik berzina, li'an bagi suami yang menuduh isteri berzina, hadith al-Ifk (fitnah terhadap Aisyah r.a.h) kemudian tentang adab.
Surah ini juga menyeru kepada memudahkan perkahwinan selepas anjuran terhadap jaga pandangan dan kehormatan. Semalam, saya sampai kepada ayat tentang anjuran mengahwinkan orang-orang bujang. Susah juga saya menyusun ayat apabila masuk kepada isu perkahwinan kerana pendengar saya lebih arif dan berpengalaman tentang itu. Tapi saya juga ada beberapa isu sebagai orang bujang yang perlu dan mahu saya kongsikan. Rata-rata kita mengetahui tentang kesukaran berkahwin disebabkan mahar yang tinggi atau syarat-syarat tertentu yang menyusahkan. Kebanyakkan perkahwinan hari ini adalah atas perkenalan sendiri antara anak-anak. Campurtangan dan pilihan ibu bapa sudah makin berkurangan.
Saya kira ibubapa harus kembali masuk campur dan prihatin soal mengahwinkan anak-anak kerana ini adalah tanggungjawab mereka. Bapa khususnya. Mungkin sukar untuk mencari bapa seperti Syeikh Madyan yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa, pemuda tanpa harta, sendiri, pelarian dalam ketakutan dengan syarat Musa berkerja dengannya selama lapan atau sepuluh tahun. Dia adalah bapa yang bijak membaca suasana juga memahami bahasa anak gadisnya. Tapi ya, dia tetap berhati-hati. Musa diterima kerana cukup syarat kepimpinanannya; kuat dan amanah. Kuat; mampu menyara keluarga, amanah; mampu menjaga kehormatan dan memelihara amanah rumahtangga.
Kembali, saya kira ibubapa harus kembali masuk campur terutamnya dengan situasi sekarang, peningkatan hubungan luar nikah sehingga melahirkan zuriat yang tak diingini, peningkatan jumlah mereka yang tidak berkahwin, hilang kepercayaan terhadap institusi perkahwinan dan lainnya. Imam Bukhari menamakan satu bab dalam Sahihnya, bab lelaki menawarkan anak perempuannya atau saudara perempuannya kepada lelaki soleh seperti yang dilakukan Umar terhadap anaknya Hafsah juga bab perempuan menawarkan dirinya kepada lelaki soleh seperti tawaran seorang perempuan terhadap Rasulullah. Ia sunnah yang termaktub dalam sirah.
Catatan Oleh


