0

Wadda’an Ayyatuhal Madrasah

Every story begins with a memory, a dream, a thought, an idea, a question, a belief, a feeling; whatever it takes to begin a story, we all know where a good story finally ends – safe in the human heart.

Saya sudah di akhir waktu untuk mengucapkan selamat tinggal buat sekolah tercinta. Dua tahun saya diterima, diberi kepercayaan dan seribu satu pengalaman bersama rakan sekerja dan yang paling penting anak-anak murid tersayang. Tidak sempat saya berbasa-basi dengan teman sejawat juga anak-anak murid kerana waktu ini saya masih sibuk dengan kerja-kerja akhir majalah sekolah. Walaupun kami tidak perlu menyiapkan layoutnya, namun urusan pengumpulan bahan, typing dan susunan bahan sudah cukup menagih masa yang bukan sedikit. Alhamdulillah, bekerja dengan Kak Awin cukup memudahkan saya. Walaupun sudah bersuami dan punya dua anak, dia masih mampu berkampung hingga ke petang hingga ke hari-hari cuti sekalipun. Suami akak faham, katanya. Cuma akhir-akhir ini, dia semakin beringat dengan masa. Anak-anak sudah mula merungut ; orang lain cuti sekolah, pergi berjalan. Abang tak. Saya senyum. Saya juga tidak mahu hilang masa dengan keluarga nanti. Harapnya imbangan antara kerja dan keluarga mampu saya uruskan di samping tolak-ansur dan faham-memahami bersama.

“ Menjadi guru…tugas yang suci, menuntut ilmu, tugas yang murni…peliharalah kewajipan ini…semoga Allah memberkati…”
Haa..inilah lagu sekolah yang telah ‘memujuk’ hati saya untuk bertahan dua tahun sebagai guru. Ia bukan kerjaya pilihan saya. Tapi itu takdirnya dan saya harus akui, saya sudah mula menyukai kerjaya ini. Memberikan sepenuh hari-hari saya untuk tugas ini. Dan sekarang saya memilih untuk kembali menjadi ‘budak sekolah.’

Untuk guru-guru yang masih setia di sana, juga untuk semua yang bergelar guru, tahniah kerana anda terpilih untuk mendidik. Cabaran pendidikan hari ini bukannya sedikit. Berdepan dengan generasi muda yang terdedah dengan dunia langit terbuka sangat memerlukan kesabaran, pengetahuan dan kreativiti. Bukan senang mahu memastikan anak murid memberi sepenuh tumpuan kpd pengajaran dari mula hingga berakhir satu-satu masa pelajaran lebih-lebih lagi cinta ilmu sudah makin kurang tersemai dalam jiwa-jiwa kita tak kiralah budak sekolah ataupun orang dewasa. Anda sudah punya harta peninggalan berharga- ilmu yang bermanfaat.


Terima kasih yang tidak terhingga pada semua yang menyumbang kepada kematangan saya sepanjang hampir dua tahun saya bergelar ‘Muallimah’. Terlalu banyak yang saya pelajari. Bukan setakat ilmu perguruan, malah saya kenal insan-insan hebat yang layak saya nobatkan sebagai pendidik. Saya belum mencapai tahap itu. Selalu saya kagum melihat guru-guru senior yang sangat kuat dan sabar mendidik. Selalu juga saya berfikir, bagaimana mereka boleh bertahan dalam kerjaya perguruan ini. Kagum saya dengan cara mereka menasihat murid. Lebih kagum lagi dengan guru yang tinggal dua tiga tahun untuk bersara, namun masih ingin mempertingkatkan kemahiran diri. Saya ingat, bagaimana Kak Mahani meminta saya mengajar beliau menggunakan perisian Mic. Publisher bagi menghasilkan iklan untuk Hari Kokurikulum sekolah. Setengah orang mungkin mengambil jalan mudah, meminta orang yang lebih arif membuatnya bagi pihak beliau. Tapi, itulah semangat yang saya selalu pinjam dari beliau. Bersama beliau, saya berpeluang mendalami selok belok pengajaran B. Arab dengan lebih baik. Sempat juga saya menjejak kaki ke Kedah, Perak, Villa Ukhuwah, menyelesaikan tugas-tugas berkaitan. Beruntung bekerja dengan ‘orang lama’. Mereka memang tidak lokek dengan ilmu. Cuma kita yang muda, perlu belajar merendah diri, mencari peluang sebanyak mana mengumpul ilmu. Ilmu kehidupan yang tidak dijual di mana-mana supermarket.

Tidak ada drama air mata pada hari perpisahan saya di Al-Amin. Mungkin kerana saya bukan berpindah kerja dan saya masih tinggal tetap di rumah saya yang hanya beberapa langkah dari Al-Amin. Cuma saya masih terpinga-pinga menyusun hidup. Saya selalu ingin ke sekolah. Terbiasa begitu kerana waktu cuti pun saya ke sekolah menyudahkan kerja-kerja majalah. Tapi hari terakhir saya di sekolah bersama murid-murid, sayu hati saya.

Saya sayangkan kerjaya ini. Saya belajar mendidik. Dan saya juga sebenarnya dididik dan terdidik di situ. Saya selalu cemburu saat anak-anak menghafaz al-Quran pada setiap pagi. Usai 6 tahun di Al-Amin, mereka yang betul-betul rajin akan selesai menghafal juz ‘Amma dan surah-surah pilihan seperti Ya Sin, al-Mulk, al-Waqiah dsb. Kan itu memudahkan mereka untuk terus menghafaz pada usia muda. Silibus B.Arab pula sudah memungkinkan mereka menghasilkan satu karangan pendek dengan tajuk-tajuk yang mudah seperti aktiviti harian, tentang sekolah, rehlah dsb. UPSR pun tidak kurang cemerlangnya.

Merekalah generasi muda yang sedang mekar, diminati setiap kumbang , dicemburui mata yang memandang. Kalau salah baja diberi, kurang perhatian si penjaga, takut layu sebelum waktu, tak mampu kembang mewangi bumi. Ah, sukarnya menjadi ibu bapa zaman ini. Saya, pemerhati yang selalu takut untuk menjadi ibu akan datang!

“ Success is a ladder which U cannot climb with ur hands in ur pockete ”

BACA SELENGKAPNYA - Wadda’an Ayyatuhal Madrasah
Back to Top