Showing posts with label Tulisan saya. Show all posts
Showing posts with label Tulisan saya. Show all posts
4

Dekati Al-Quran

Lamanya tak menulis di sini. Maaf, saya sedang berada di medan jihad. Sedang bergelut dengan buku dan kertas. Tak seronok pula rasanya tidak menyediakan hidangan baru untuk tetamu yang datang bertandang ke teratak saya. Saya kongsikan dulu artikel tulisan saya yang tersiar dalam ANIS- Febuari untuk manfaat bersama. Habis exam nanti, saya ulas lagi tentang ini dan saya berminat untuk mengetahui komentar orang lain tentang isu yang saya kongsikan.
Tajuk: Dekati Al Quran
Pasti kehadiran tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 telah disambut oleh para remaja sekalian dengan penuh azam membara. Pasti segala aspek dititikberatkan dengan mengambil kira kekurangan dan kesilapan tahun lalu juga kecemerlangan yang dicapai. Harapnya, salah satu dari azam-azam kita itu adalah untuk memperbaiki hubungan kita dengan Dia-Kekasih.
Apa pun, eloklah dalam bulan-bulan awal ini kita meneliti kembali azam kita. Adakah ia azam yang tersusun, berjadual dan praktikal atau sekadar keinginan dan impian yang akan dipenuhi ‘kalau sempat.’ Justeru, apa kata kita zoom kepada satu azam penting yang tidak harus tertinggal dalam diari seorang muslim.

Ada pelbagai cara mengenal dan mendekati Dia, Yang Maha Pemurah memanjangkan usia kita dalam iman dan kesihatan. Orang bercinta selalunya akan bertambah kasihnya tiap kali menatap dan membaca surat, email atau mesej daripada kekasih. Apakah cinta dan rindu kita pada Dia bertambah saban kali kita membaca al-Quran?
Sejak kecil kita dikenalkan dengan kalam Allah. Dari merangkak-rangkak mengeja, membaca, menghafaz surah-surah pendek untuk dibawa solat hingga khatam keseluruhan al-Quran, apakah semakin kuat mencengkam pesan-pesan Kekasih dalam hati sehingga terzahir kesannya pada peribadi kita atau sebaliknya atau ia cuma bacaan yang tak punya sebarang tarikan, sekadar memenuhi tuntutan al-Quran itu untuk dibaca..

Hak al-Quran
Sahabat, kalam Kekasih itu punya beberapa hak yang dituntut untuk kita melaksanakannya. Hak untuk diimani, hak untuk dibaca, hak untuk difahami isinya dan hak untuk diamalkan. Sehingga usia kita hari ini, sudahkah kita sempurnakan segala hak tersebut? Marilah kita sama-sama mengkoreksi sejauh mana keintiman kita dengan kalam Tuhan ini.


Beriman dengannya? Ya, kita percaya ia mukijzat Rasul s.a.w yang kekal hingga ke akhir zaman. Membaca? Ya, kita sudah beberapa kali khatam. Bertajwid membacanya? Ya, kita sudah belajar dan mematuhinya. Belum? Jangan malu untuk sesuatu yang perlu. Memang tidak wajib mempelajari tajwid tetapi membacanya dengan tajwid adalah wajib. Justeru, kalau masih belum memenuhi hak ini, carilah guru. Usah malu walau usia telah meningkat dewasa.

Berguru
Juga, ingin diingatkan di sini, al-Quran itu perlu dipelajari secara berguru. Ingat bagaimana Jibril a.s mengajar Baginda Rasul kemudian Baginda mengajarnya kepada para sahabat. Para sahabat seterusnya mengajarnya pada sahabat-sahabat yang lain serta kaum keluarga mereka. Begitulah proses pengajaran al-Quran berlangsung dari generasi ke generasi. Sehingga pada zaman Syaidina Uthman apabila beliau mengarahkan umat Islam sepakat mengikut al-Quran yang dihantar kepada mereka, beliau tetap menghantar guru beserta al-Quran tersebut. Ini menunjukkan kepentingan al-Quran itu dipelajari secara berguru.

Kelansungan Interaksi dengan al-Quran
Seterusnya, jika hak di atas telah dipenuhi, marilah kita melihat pula kepada usaha kita mentadabbur atau memahami isi al-Quran. Jika ditanyakan berapa peratuskan isi al-Quran yang sudah difahami maknanya, pasti kita tergaru-garu mencongak. Ya, kita sering mendengar ustaz ustazah menghurai maksud ayat al-Quran dalam ceramah di mana-mana atau di media elektronik atau kita barangkali rajin membaca tafsir. Tapi adakah kita sudah menjadikannya satu jadual wajib seperti mana kita dipaksa oleh ibubapa kita untuk mengaji setiap hari sebelum khatam dahulu? Nah, apakah jadual ‘mengaji’ baru bagi menggantikan jadual lama dahulu?
Setelah khatam al-Quran, kebanyakkan kita sudah kurang mengambil berat tentang perlanjutan hubungan kita dengan al-Quran. Sekadar Yasin setiap malam Jumaat kadang-kadang sudah memadai pada anggapan sesetengah orang. Sedangkan kalam Kekasih itu adalah manual hidup yang merangkumi segala panduan dalam memastikan kita tidak tersasar membawa diri sebagai khalifah di atas muka bumi ciptaan-Nya.

Justeru, ada baiknya untuk tahun ini kita berdikit-dikit cuba meningkatkan usaha kita untuk mendekati Dia. Bukankan dengan mendekati Dia, kita akan lebih mengenali diri kita? Tidakkah kita mahu mengenali Dia yang telah mencipta segala keajaiban yang maha hebat? Antaranya seperti yang terkandung dalam firman Allah:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفاً أَلْوَانُهَا...
Maksudnya “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya…” (Faatir: 27) . Lihat, dari air hujan yang sama, dihadiahkan kita buahan-buahan pelbagai rupa juga haruman berbeza dari bermacam bunga-bungaan aneka warna yang menyejukkan mata memandang.

Susun Jadual
Bukan mudah memulakan azam ini. Mulakanlah dengan mengkaji ayat-ayat yang sering kita dengar atau baca. Kemudian diteruskan dengar ayat-ayat yang dekat dengan kehidupan harian kita. Jika kita pelajar Sains, ada pelbagai fenomena alam termaktub dalam al-Quran. Kalau kita seorang perempuan, antara surah yang dipesan oleh Syaidina Umar dan Ummul Mukminin, ‘Aisyah untuk diajarkan kepada kita adalah Surah an-Nur. Untuk permulaan, cara ini mungkin akan dapat menumbuhkan minat kita kepada tafsir al-Quran berbanding mula membaca tafsirnya dari awal al-Fatihah, al-Baqarah dan seterusnya. Ini untuk mengelakkan kita mudah jemu dan berhenti walaupun baru sahaja memulakannya. Mintalah pandangan dan bantuan tentang ayat-ayat pilihan ini daripada mereka yang mendalami bidang ini.

Bagaimana dengan pilihan kitab tafsir? Ada beberapa kitab yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Fi Zilal (Sayyid Qutb). Juga ada tafsir yang memang ditulis dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Hamka dan Tafsir Sonhadji. Jangan lupa mencatat setiap ayat yang telah kita baca dan fahami huraian ayatnya selain mematuhi jadual yang kita tetapkan untuk diri kita. Buatlah sasaran peribadi contohnya, dua ayat seminggu bagi bulan pertama kemudian meningkat kepada tiga ayat seminggu untuk bulan seterusnya. Motivasikanlah diri anda dengan jadual berwarna-warni atau cari kawan yang akan berganti-ganti dengan anda membaca dan menerangkan kefahamannya kepada anda.

Akhir sekali, jangan lupa tentang hak al-Quran untuk diamalkan isinya. Tanamlah dalam hati agar al-Quran yang kita baca tidak melaknat kita semula hanya kerana keegoan kita untuk tunduk dan patuh pada pesan Pencipta, Kekasih Agung.
Ayuh, mulakan melarik jadual anda sementara masih dikurnia hammasah (semangat) darah muda dan upaya melaksanakannya.
BACA SELENGKAPNYA - Dekati Al-Quran
0

"Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza"

Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza. Itulah tajuk ulasan Pn Siti Hajar Che Man terhadap keempat-empat cerpen yang tersiar dalam Tunas Cipta Disember. Salah satunya adalah “Pacai itu Cendana” tulisan saya yang keempat berjaya menembusi media. Saya kongsikan sedikit ulasan Pn. Siti Hajar dalam Tunas Cipta Januari di sini.
Beliau memetik kata-kata Judson Jerome dalam bukunya The Poet and The Poem(1979), kepekaan dapat ditahapkan kepada enam, iaitu kepekaan kepada diri, fakta, bahasa, seni, umur dan misteri. Keenam-enam kepekaan ini adalah bersumberkan dari dalam diri dan merupakan tindak balas terhadap dunia luar. Dan beliau mengulas cerpen saya sebagai demikian:

“Demikian juga dengan cerpen “Pacai itu Cendana” karya Maryamnour agak unik kerana cerpen ini telah menampilkan semua watak wanita yang diterajui oleh gadis terpelajar bernama Hanis. Cerpen ini juga menarik dan telah berjaya menambah ilmu kepada pembaca khususnya orang Islam iaitu kursus/proses pengurusan jenazah. Pengalaman, pengamatan, penelitian, penyelidikan dan pengetahuan pengarangnya Maryamnour disalurkan/dipindahkan kepada Ustazah Roshayati Samad yang merupakan pengurus jenazah Jabatan Agama Daerah.”

“Pada hemat saya, kisah yang dipaparkan luar biasa, jarang-jarang ada pengarang muda yang bijak memilih kisah atau cerita yang jarang-jarang pula akan memberikan impak kepada pembaca. Dalam hal ini Maryamnour telah “melawan arus” lari daripada konvensi dan berjaya membina invensi. Ceritanya bersahaja tetapi amat signifikan. Judul cerpen yang dipilij juga menarik kerana berjaya memberikan kesan tanda tanya kepada pembaca-apa itu pacai? Sekali lagi pembaca dihidangkan dengan sebuah cerpen didasarkan kepada penelitian, pembacaan, penyelidikan, pengamatan dan praktikal. Setiap satunya dihubungkan dengan bakat Maryamnour yag bijak mengawal proses kreatif. Mesej cerpen ini bersifat dua dalam satu, memenuhi masa senggang dan dalam masa yang sama mendapat ilmu fardu kifayah.

Pembaca diberitahu langkah-langkah awal sebelum seorang itu menemui ajalnya. Pengarang menyatakan secara tertib, bermula dengan (1) adab berziarah orang sakit,(2) tanda-tanda yang kelihatan pada orang yang sudah dekat waktunya, (3) minta orang berkenaan berwasiat, (4) ajar mengucap (5) wajib bagi minum atau titikkan air di mulutnya atau basahkan bibirnya (6) apabila berpisah jasad dengan roh raupkan mata dan ikat dagu (7) salin baju dan tutup dengan kain bersih . Pembaca juga diberitahu bagaimana mayat dimandikan dan apakah keperluan yang perlu disediakan. Setiap satu peralatan dijelaskan secara ringkas tetapi rinci, iaitu kain kapan lima helai, kapas, serbuk kapur barus, serbuk pacai (serbuk cendana), kain harus diukur sesuai dengan ketinggian tubuh. Paling berkesan pesan Mak Yati ialah “jangan terpaksa membeli kain baru. Kita yang silap, si arwah yang difitnah.” Dalam hal ini teknik penyampaian Maryamnour sangat kreatif dan imaginatif. Hal ini kerana (1) beliau berjaya menjalinkan secara selari antara maklumat/fakta dengan elemen susatera, (2) ceritanya segar seolah-olah pembaca turut hadir dalam kursus tersebut (3) campur tangan pengarang cukup minima. Kesannya, pembaca terhibur dan dalam masa yang sama mendapat beberapa info penting tentang pengurusan mayat. Itulah istimewanya sastera!”

“Dalam keasyikan pembaca melewati cara-cara pengurusan mandi mayat, pembaca turut dibekalkan dengan kata-kata nasihat yang disampaikan secara sindiran halus tetapi mengenai sasaran. Umpamanya, telitikan teguran yang diberikan pengarang (1) “hari ini guru datang dengan segala macam alat bantu mengajar sedang pelajar berlenggang-kangkung. Dahulu, guru yang datang dengan tangan kosong dan pelajar sibuk dengan buku dan alat tulis,” (2) Hari ini penceramah terutamanya yang bercakap tentang agama kadang-kadang hampir jadi badut di pentas mahu memastikan pendengar seronok dan mahu belajar. Hakikatnya, itulah yang sebenarnya berlaku dalam dunia realiti. Pemerhatian yang dibuat oleh pengarang adalah tepat Syabas kepada Maryamnour!”

Pn Siti Hajar menutup ulasan beliau dengan mengungkapkan kata Michel Zeraffa yang menyatakan:
“The work of the writer is the expression of a reality which already has in his/her mind a form and a meaning and he/she expresses it by means of technique, and some of which he/she has worked out himself from phenomena he/she has actually observed”.

Secara peribadi, saya agak teruja dengan ulasan beliau kerana pada permulaan menulis saya agak teragak-agak juga untuk mengemukakan cerita tentang pengurusan jenazah, isu tidak popular yang mahu saya angkat sebagai tema cerita saya. Namun, sebenarnya ada perkara lain dalam kepala yang membuatkan saya meneruskan niat.

Pertamanya, warga tua wanita yang kuat semangat menuntut ilmu. Saya kira di kampung dan di bandar situasinya tidak banyak berbeza sekarang. Dan semangat itu saya jumpa di kampung saya sendiri dan di universiti tempat saya belajar sekarang. Jujur, sungguh, saya cemburu! Saya cemburu akan semangat itu. Saya mempunyai satu ketakutan dalam diri. Takut sekiranya nikmat cinta ilmu itu ditarik dari hati saya suatu waktu nanti. Jangan. Kerana usia muda ini pun saya agak cuai dengan disiplin membaca.

Keduanya, persoalan keterlibatan orang-orang muda yang sangat kurang dengan program-program di kampung. Saya cuba mencari sebab akan hal ini. Satunya mungkin kerana kebanyakkan orang muda belajar di sekolah asrama, kemudian menyambung pengajian atau bekerja di tempat yang jauh dari kampung menyebabkan mereka jarang-jarang pulang ke rumah. Ini menyebabkan mereka, (saya juga), kurang mengenali warga di kawasan kejiranan. Justeru, waktu cuti sesekali pulang ke kampung itu tidak dimanfaatkan sebaiknya. Malu pergi majlis kenduri-kendara, malu untuk bertegur sapa dengan pak cik mak cik yang berselisihan dengan kita. Soal kenduri ini, ada isu lain juga- malas. Saya kira ibubapa harus bertegas dengan anak-anak sejak kecil. Harus rajin membawa anak-anak ke majlis-majlis silaturrahim ini. Mungkin leceh sedikit kerana harus mengawasi perilaku anak-anak takut mengaibkan. Tapi itulah proses pembelajaran yang tidak harus sesiapapun tertinggal melaluinya. Kebiasaan ini penting untuk mengelakkan rasa malu dan kekok yang menatijahkan malas pada generasi muda kita. Jika tidak, lihat sahaja anak-anak yang agak liat menyertai majlis ‘orang-orang tua’ seperti rewang dan gotong-royong kampung. Saya ungkapkan sedikit tentang ini dalam cerpen ini. Tapi ada sedikit bahagian yang dipotong oleh editor menyebabkan maksud saya tidak kesampaian. Apapun, saya harap pembaca telah mendapat mesej yang lain. Bahagian yang saya warnakan merah dalam entri lepas adalah bahagian yang dipotong.

Bila saya membaca kembali cerpen itu berkali-kali, saya tersedar ada banyak kelemahan yang saya tidak sedari sehingga terlepas dari proses ‘editing’ saya. Antaranya penggunaan kata ganti diri atau sudut pandangan yang masih kurang kemas di beberapa tempat dalam cerpen ini. Seterusnya, saya menyedari yang saya masih tidak mempunyai satu prinsip tetap dalam mengungkapkan komentar saya terhadap isu-isu terutamanya berkaitan dengan agama. Ia sedikit sukar kerana saya seboleh-bolehnya mahu berlapik dan berlapis mengungkap kata tetapi terkadang ia sukar. Dan kadang-kadang juga saya menjadi terlalu berlapis sehingga yang membaca sukar memahami seperti cerpen saya bertajuk “Perempuan Kala” yang tersiar dalam Wasilah tahun lepas. Apapun, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Terima kasih atas perhatian semua.
BACA SELENGKAPNYA - "Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza"
5

Pacai itu Cendana

Saya kongsikan bersama anda cerpen saya yang tersiar dalam Tunas Cipta Disember. Terlambat barangkali tapi saya sedang memahami soal hak cipta dan setelah memahaminya melalui Ummu dan membaca tulisan Kak Nisah Haron, sedikit sebanyak saya mengetahui bila saya boleh menyiarkan tulisan saya di blog ini. Saya tahu, kebanyakkan teman-teman baik saya tidak kenal dengan majalah keluaran DBP ini malah bila saya maklumkan pada keluarga saya, mereka bertanya, majalah apa tu? Tak pernah jumpa pun. Memang, saya tak bertemunya di Rengit. Justeru, moga perkongsian saya dalam cerpen ini bermanfaat untuk anda. Dan saya mengalu-alukan komen. Minggu depan saya akan kongsikan pula komentar cerpen ini dalam TC Januari.

Pacai itu Cendana



“Ude, cepat! Dah lambat ni,” emak menjerit dari biliknya. Hanis cepat-cepat menyudahkan kunyahannya. Sedikit terkilan kerana tidak benar-benar menikmati mi bandung yang dimasaknya untuk sarapan pagi Ahad itu. Kurang lima minit lagi ke pukul sembilan. Dia mengemaskan kain batik yang sedikit longgar dan segera bergegas ke bilik mengambil baju dan tuala mandi. Sengaja dipilih baju lama warna merah tua dengan taburan bunga-bunga kecil. Memang kebiasaannya memilih baju itu waktu-waktu berkejar dengan masa. Ia dari fabrik yang tidak mudah renyuk, justeru jika tidak digosok pun tidak kelihatan celanya. Hanis mandi ala kadar. Meninggalkan rutin meladeni wajah di cermin mahupun menyental kulit mati di tapak kaki. Selesai mandi, segera disisir rambutnya sebelum menempek bedak padat ke muka. Dia mengenakan tudung, merapikannya, mencapai telefon tangan dan berlari ke luar.
Emaknya yang baru mencapai usia bersara sedang menutup pintu kereta. “La, kata nak cepat? Dah tak jadi pergi ke?” Hanis kehairanan. “Tak boleh nak dihidupkan pula kereta ni. Entah apa sakitnya pagi-pagi ni. Mak dah telefon Cik Bib. Kita pergi dengan dia. Sekejap lagi dia sampai,” emak menjelaskan lakunya. Tujuh minit kemudian Cik Bib, kawan emak yang tinggal di kampung bersebelahan tiba. Kami menumpang Pajero miliknya ke Rumah Berkat yang jauhnya kira-kira setengah jam perjalanan. Ada kira-kira sepuluh kenderaan sudah bersusun di sana. Bangunan itu adalah pusat asuhan kanak-kanak pada waktu pagi dan digunakan untuk pelbagai kegiatan kemasyarakatan pada waktu petang dan malam. Hanis membuntuti emaknya dan ikut menyalami wanita-wanita yang kebanyakannya dalam lingkungan usia 30-an ke atas. “Ha, ni anak kau yang kahwin hari tu kan Nab? Selamat pengantin baru,” Mak Cik Mazmah memeluk Hanis. “Ini adiknya. Yang kahwin hari tu kakaknya,” Mak Cik Bahiyah di belakangnya membetulkan. “Oh, silap orang. Muka lebih kurang,” Mak Cik Mazmah menepuk-nepuk bahu Hanis. “Haa, tak lama lagi la namanya tu,” Mak Jah yang sedang sibuk menguruskan pendaftaran mengusik. Berderai ketawa mak-cik mak-cik di sekeliling Hanis. Hanis ikut tergelak. Dalam hati mengaminkan kata-kata Mak Jah. Terasa bahagia dikelilingi warga desa yang peramah.
“Ude jadi pengerusi majlis, ya. Dah ada orang muda ni, tak payahlah kami yang tua ni nak ke depan,” Mak Jah memandang tepat wajah Hanis. Kawan-kawan ibunya memang ikut memanggilnya dengan gelaran untuk anak ketiga itu. “Bolehlah. Siapa nama penuh penceramah kita hari ni?” Hanis tidak lama berfikir untuk menerima tugas bidan terjun itu. Dia bukannya harus berucap panjang yang memerlukan persediaan atau teks. Sekadar memulakan dan menutup majlis. Tetamu majlis pula bukannya ramai atau asing sehingga menggentarkan dia. Bahasa yang sama juga, bukan Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab. Bukan seperti pembentangan di dalam kelas yang selalu buat dia runsing tidak lena tidur. Tiada markah diberi atau dipotong jika dia terlebih atau terkurang dalam berbicara pagi itu. Tiada sesi soal-jawab untuk dia. Dia hanya mengumpul soalan. Penceramah yang akan menjawabnya. Justeru dia senang memenuhi permintaan itu. Dia pun memang suka duduk dekat-dekat dengan penceramah. Inilah peluang dia lebih-lebih lagi penceramah hari itu sejantina dengannya. Biasanya di majlis-majlis ilmu lain di mana penceramahnya adalah lelaki, Hanis selalu cemburu melihat kaum lelaki bersalaman dengan ustaz, syeikh, profesor atau sesiapa sahaja orangnya. Di kampus, setiap petang selepas solat Asar dan Maghrib memang ada kuliah yang disusun oleh pengurusan masjid universiti. Memang tidak semua kuliah sempat diikutinya. Tapi Hanis sudah mewajibkan diri untuk hadir kuliah Hadis, Tafsir dan Tasauf dari Isnin hingga Rabu. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelak membuat janji dengan sesiapa pada waktu itu. Mujur kelas aerobik di Kompleks Sukan Wanita universiti bermula jam 5.45 petang. Sempatlah dia ke sana walaupun kadang-kadang sedikit terlewat. Lebih cemburu lagi bila guru-guru itu memeluk bahu jemaah masjid lelaki yang hadir menadah ilmu dan mendoakan mereka. Hanis tahu doa orang soleh cepat dikabulkan Tuhan.
Hanis mencari-cari susuk sang penceramah. Waktu turun dari Pajero tadi, emaknya sudah memperkenalkan dia dengannya. Sekadar perkenalan ringkas. Hanis memanggilnya Mak Yati. Kelihatan dia sedang berbual-bual dengan seorang tetamu majlis. Di sisinya, seorang kanak-kanak perempuan bercermin mata berusia lebih kurang enam tahun sedang menggulung-gulung tepi bajunya dengan jari dan seorang gadis bertudung putih sedang meliarkan matanya menyeluruhi setiap wajah hadirin. Pasti anak-anaknya, bisik hati kecil Hanis. Hanis baru pertama kali bertemu dengan Mak Yati. Sebelum ini dia hanya mendengar nama itu diulang sebut oleh emak. Mak Yati lebih muda daripada emak. Emak kadang-kadang ikut membantu Mak Yati melaksanakan tugasnya. Program ini pun menurut emak adalah hasil cadangannya pada mesyuarat jawatankuasa wanita kawasan bulan lepas. Program hari itu penting bagi melahirkan generasi pelapis yang boleh memenuhi tuntutan fardu kifayah. Hanis menangkap isyarat muka Mak Jah memintanya memulakan majlis. Dia merapati mikrofon dan memohon tetamu memenuhi ruang yang besarnya lebih sedikit daripada sebuah padang badminton. Cukup selesa untuk peserta program yang lebih kurang dua puluh lima orang. Mereka semua duduk di lantai beralas karpet. Memang sengaja diatur begitu tanpa kerusi meja bagi memudahkan sesi praktikal program.
Selesai mengucap salam dan mengajak peserta memulakan majlis dengan al-Fatihah, Hanis mengalu-alukan kedatangan peserta yang semuanya perempuan. “Alhamdulillah, syukur kerana kita diberi kesempatan untuk hadir dan belajar tentang pengurusan jenazah bersama seorang yang cukup berpengalaman dan terlatih, Ustazah Roshayati Samad yang merupakan pengurus jenazah Jabatan Agama Daerah. Orang kata, fardu kifayah ini, seorang buat, yang lain tak payah. Tapi hari ini, kita mahu menyahut seruan berlumba-lumba membuat kebaikan dan menampung kekurangan amal fardu ain kita dengan melaksanakan tuntutan fardu kifayah. Justeru, tanpa melengahkan masa, saya serahkan majlis kepada pembimbing kita hari, Ustazah Yati,” Hanis menyerahkan pembesar suara kepada Mak Yati.
Mak Yati memulakan sesinya dengan luahan rasa rendah diri kerana menurutnya ada di antara peserta yang lebih berpengalaman daripadanya. Ceramah pengurusan jenazah diteruskan dengan adab-adab menziarahi orang sakit.
“Sunat hukumnya menziarahi orang sakit tetapi tidak boleh berlama-lama kerana takut memberatkan pesakit yang perlu berehat dan menyusahkan keluarganya melayan kita. Kalau dalam kitab lama disebut waktunya sekadar memerah susu kambing.” Hanis di sebelah terlopong. “Saya pernah tengok orang perah susu kambing. Sekejap sahaja. Paling cepat lima minit. Paling lama bagi seekor kambing itu, lima belas minit. Ikut kesesuaianlah. Kalau yang sakit itu teman baik kita dan dia minta kita tunggu, bolehlah duduk lama sikit sehingga kira-kira dia selesa dengan ziarah itu,” jelas Mak Yati. Hanis mengalih punggung. Mak cik-mak cik yang hadir hampir semua punya pen dan kertas di tangan. Sibuk mereka mencatat setiap butir yang keluar dari mulut penceramah. Hanis benar-benar lupa hari itu dek terkejar dengan masa. Emaknya turut mencatat. Malang, emak berada jauh daripadanya untuk diminta kertas dan pen. Hanis malu sendiri. Teringat dia teguran dalam kolum agama yang pernah dibacanya. Hari ini, guru datang dengan segala macam alat bantu mengajar sedang pelajar berlenggang-kangkung. Dahulu, guru yang datang dengan tangan kosong dan pelajar sibuk dengan buku dan alat tulis. Sudah jadi terbalik sekarang. Hari ini, penceramah terutamanya yang bercakap tentang agama kadang-kadang hampir jadi badut di pentas mahu memastikan pendengar seronok dan mahu belajar. Kalau tidak menarik dan meriah, jangan harap mendapat sambutan. Majlis ilmu jadi enteng pada kaca mata segelintir orang muda kerana ia tidak punya ciri program kegilaan mereka; cool, havoc dan happening. Hanis sendiri sukar mentafsir keinginan sebenar mereka di sebalik frasa itu.



Hanis kembali mendapatkan dirinya yang menerawang. Mak Yati sedang menyenaraikan tanda-tanda yang kelihatan pada orang yang sudah dekat waktunya dijemput pulang ke negeri abadi; lurus tapak kakinya, tunduk hidungnya, renggang sendi pergelangan tangannya dan lekuk pelipisnya. Anak perempuan kecil Mak Yati di sebelah sibuk mengunjuk kakinya yang diluruskan, menggoyangkan lengannya, menolak hidungnya yang pesek dan menyentuh pelipisnya. “Waktu itu, kalau dia masih belum berwasiat, minta dia berwasiat. Wasiat ni bukan tentang harta sahaja. Ingat apa yang Nabi sebut sebelum kewafatan beliau? Umatku, umatku. Apa maksudnya? Nabi sangat mementingkan kesejahteraan umatnya. Risau kalau kita tergelincir daripada ajarannya. Nabi mahu kita sama-sama bersama dia di syurga. Justeru, kita boleh juga meninggalkan pesan berguna untuk yang bakal ditinggalkan ”
“Kemudian bila kita nampak dah nazak, ajar dia mengucap. Tidak perlu panjang-panjang. Cukuplah dengan lafaz Lailahaillallah atau kita bisikkan kalimah Allah di telinga. Sebahagian yang lain, minta baca surah Yasin dan al-Ra’du. Wajib kita bagi dia minum kalau dia minta. Jika tidak, sunat kita beri. Boleh dititikkan ke mulutnya atau ambil kain, basahkan bibirnya. Apabila sudah berpisah jasad dari ruh, raup matanya, ikat dagunya, salin bajunya dan tutup dengan kain bersih. Letak mayat di tempat yang tinggi dan senamkan kaki dan tangannya supaya mudah dimandikan.”



Hadirin makin rancak mencatat. Mak Yati menyambung, “apabila meninggal seseorang, wajib bagi kita yang hidup menyempurnakan empat perkara ke atasnya. Mandi, kapan, solat dan mengebumikannya. Ingat, yang wajib tentang mandi ini, dua perkara; membersihkan segala najis pada mayat dan menyampaikan air pada seluruh badannya. Perkara yang lain-lain itu seperti bilas dengan air kapur barus, air akar sintok, air daun limau purut hanya sunat. Tak perlulah kita berbalah kalau berbeza bahan atau sibuk mencari benda yang tiada. Segerakan mandi dan jangan merumitkannya. Cik Bib mengangkat tangan bertanya, “ apa kelebihan kapur barus dan akar sintok?” “Melalui pengalaman saya, air kapur barus ni boleh melambatkan mayat dari busuk manakala akar sintok atau nama lainnya beluru memang biasa digunakan oleh orang-orang dahulu untuk membasuh rambut. Akar yang masih baru, kalau diramas akan mengeluarkan buih. Kita yang hidup ini pun bagus pakai. Boleh menguatkan rambut, ” Mak Yati menunjukkan akar sintok yang berwarna coklat kekuningan. Hanis menutup mulut yang separuh terbuka. Teruja dapat melihat sendiri Entada Spiralis dari keluarga Leguminosae yang sebelum ini hanya dapat dilihat ilustrasinya pada pembalut syampu.

Mak Yati kemudiannya menunjukkan cara memandikan mayat secara terperinci. Anaknya yang kecil dijadikan model.
“Kalau boleh, biarlah ahli keluarga sendiri yang uruskan mayat. Buruk aib, hina celanya terpelihara daripada pengetahuan orang luar. Biar kita yang simpan. Alhamdulillah, saya anak-beranak menguruskan sendiri mayat suami saya. Saya dapat berita kematiannya semasa saya sedang memandikan mayat di hospital. Sudah sampai waktu dia bertemu Tuhan. Saya redha.” Ada genang di tabir matanya. Majlis khali, sama-sama mengesani sebak dalam tutur Mak Yati. Hanis memandang kedua-dua anak Mak Yati. Ah, apakah dia akan dianugerahkan sabar dan redha saat hilang orang tersayang dari sisi? Dia belum diuji sehebat itu.
Selesai praktikal mandi, mereka beralih kepada urusan mengapankan mayat. Kali ini, anak gadis Mak Yati pula menggantikan adiknya sebagai model. Kain kapan lima helai yang telah dipotong sebelum praktikal mandi dibentang. Mak Yati cekatan menunjuk cara meletak kapas, menabur serbuk kapur barus dan serbuk pacai hinggalah membalut kain kapan pada tubuh mayat. Kalau tersilap memotong kain, serongkan atau sesuaikanlah dia dengan ketinggian mayat. Jangan sampai terpaksa membeli kain baru. Kita yang silap, si arwah yang difitnah. Itu pesan Mak Yati. Hadirin mula menghujankan soalan demi soalan. “Bila nak tabur serbuk warna kuning, hmm..serbuk cendana?” Soalan dilontar bersahaja. “ Pacai itulah cendana. Dulu, masa kecil, datuk saya akan balut tangan saya dengan kain. Kemudian, saya disuruh kikis kayu cendana itu dengan kaca. Sekarang mudah, beli sahaja serbuknya di kedai.”
“Macam mana dengan kacang hijau yang selalu orang buat berzikir masa menguruskan mayat? Orang-orang tua selalu buat.” Mak Yati senyum sambil berseloroh menjawab,“kalau tiada orang tua, tiadalah kita yang muda ni. Mereka buat begitu dulu untuk elak orang berbual masa melawat jenazah. Kita yang faham ini, cukuplah mulut kita sentiasa berzikir, tidak perlu berbuat sebegitu. Lagi satu, kalau orang minta tinggalkan kain sedikit untuk balut batu nisan, beritahu dia, mufti dah haramkan perbuatan tu.” Mak Yati melanjutkan pesanan dengan ingatan agar turut serta menunaikan solat jenazah. “Bagi yang tidak berstoking, turunkan sedikit kain yang kita pakai untuk tutup kaki. Solat jenazah tiada rukuk dan sujud yang akan menyebabkan aurat terselak. Jangan sebab tak bawa telekung, kita terlepas pahala solat jenazah.”
“Selalu kalau orang cium jenazah, apa yang biasa kita dengar...? Jaga air mata. Jangan sampai menitik ke muka mayat. Salahkah? Tidak mengapa sebenarnya. Siapa yang tidak sedih dengan kematian orang yang disayangi. Apa yang dilarang adalah meratap dan meraung-raung.” Hadirin mengangguk-angguk. Hanis ikut sama. Puas. Hari ini dia jelas dengan segala macam kekaburan sebelum ini.



Hanis mewakili hadirin mengucap terima kasih pada Mak Yati sebelum menutup majlis dan menjemput semua tetamu menjamu selera. Segera dia mendekati Mak Yati, memeluknya dan mengucap terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat itu. Datang Nek Mah, wanita tua dalam lingkungan tujuh puluh tahun yang ikut dalam majlis hari itu. “Ambil ni. Aku dah lama niat nak bagi kau,” Nek Mah menyuakan beg berisi baju kepada Mak Yati. Mak Yati sambut juga hadiah tersebut setelah puas menolak. Hanis memerhati segalanya. Entah apa niat Nek Mah, dia tidak tahu. Entah kerana mahu bersedekah pada Mak Yati yang baru menjadi balu atau kerana tanda terima kasih atas ilmu yang dikongsi. Apa yang pasti, Hanis cukup senang melihat kemesraan yang terjalin. Budaya memberi yang tulus dari sudut hati. Dia dapat membaca keikhlasan dari wajah Nek Mah. Tahadu tahabu. Hanis ingat sabda nabi itu. Saling memberi memang menambah kasih sayang. Nilai yang semakin susut hari ini. Teringat dia niat mahu menghantar kuih daripada air tangannya kepada jiran-jiran rumah sewanya di Kuala Lumpur yang masih tidak terlaksana.
Usai makan, mereka bertolak pulang. Kali ini Nek Mah dan dua orang wanita lain ikut balik sekali. Cik Bib sempat berpesan dalam perjalanan, “Ude, kumpul budak-budak muda yang tengah cuti universiti ni, buat program. Masa ni lah nak belajar hidup bermasyarakat, kenal orang kampung.” Hanis diam. Kalau bukan kerana dua orang anak Mak Yati yang turut hadir menemani ibu mereka, memang dialah orang paling muda dalam majlis tadi. Hanis mencongak dalam kepala membayangkan wajah teman-teman sekitar usianya. Dia hadir kerana ajakan emaknya. Dia tidak kekok dikelilingi orang yang lebih tua daripadanya kerana sejak kecil sudah dibiasakan mengikuti majlis-majlis di kampung. Sudah biasa bergaul. Mahu menyalahkan orang-orang muda sepertinya kerana tidak tahu memasyarakatkan diri pun tidak menyelesaikan masalah. Hanis juga jarang melihat teman-teman emaknya membawa anak-anak mereka hadir sekali ke mana-mana majlis. Kecil-kecil tidak dipaksa memang sukar membiasakan diri waktu dewasa. Hanis mengeluh berat.
Pajero memasuki simpang ke rumah Nek Mah. “Sini..turunkan aku di sini. Aku letak basikal dekat rumah depan tu. ” Cik Bib brek mengejut. Nek Mah turun. Rupa-rupanya dia datang berbasikal dari rumah hingga ke simpang menuju jalan besar. Kemudian menumpang orang lain ke Rumah Berkat. Pajero meluncur meninggalkan Nek Mah mengayuh tenang membelah panas matahari. Ah, cemburunya Hanis pada cinta ilmu yang segar di sebalik tubuh tua itu! Apa dia akan dikurniai nikmat itu waktu diri menjengah senja sedang jiwa muda ini pun selalu berperang melawan malas. Hanis menoleh. Kelibat Nek Mah sudah hilang dari pandangan. Memang lumrah, daun tua yang biasa gugur tapi bukan pelik jika yang muda ikut mencium bumi. Hanis terbayang kain putih menari. Terbayang kuning cendana. Ya, pacai itu sedia berkhidmat pada siapa pun tanpa syarat umur, tanpa had waktu.







BACA SELENGKAPNYA - Pacai itu Cendana
Back to Top