Showing posts with label yang bernama perempuan. Show all posts
Showing posts with label yang bernama perempuan. Show all posts
0

Kalau Dosa Punya Bau

Kata Prof Arif di masjid UIA, Kalaulah dosa itu punya bau, maka akan larilah orang daripada mereka yang melakukan dosa kerana bau yang tidak tertahan akannya.

Setiap anak adam itu berbuat salah. Tetapi sebaik-baik orang yang berbuat dosa itu adalah orang yang bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Orang yang bertaubat nasuha akan kembali seperti orang yang tiada dosa.

Perbanyakkan ketaatan dengan melazimi yang fardu dan memperbanyakkan perkara sunat dan taubat kerana dalam al Quran ada menyebut, kebaikan itu penghapus dosa.

(.هود:114 إن الحسنات يذهبن السيئات)

Dalam suatu hadith riwayat termizi, Nabi juga ada menyebut, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun kamu berada dan gantikanlah setiap kejahatan itu dengan kebaikan kerana kebaikan akan menghapuskan dosa tersebut…”

Kembalilah pada-Nya. Jangan sesekali putus asa dari Rahmat Allah.


Buang Bayi

Menyesali kes-kes buang bayi yang semakin ketara, kita semua berharap akan ada penyelesaian untuk kemelut sosial yang semakin membarah ini. Terbaru, kanak-kanak dicampak dari tingkat 5 sebuah pangsapuri. Esoknya, seorang bayi ditemui dalam ruang buang sampah sebuah rumah teres. Apa yang dikesalkan adalah kebanyakkan penyelesaian masalah yang dicadangkan tidak bersifat pencegahan sedangkan Islam mengajar kita menyelesaikan masalah dari akar umbinya. Penyelesaian yang ada seperti mewujudkan baby hatch dan sekolah perlindungan adalah penyelesaian sementara yang tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sebenar. Kita sama-sama akur perasan ‘tidak mengaku anak’ sehingga sanggup membuang bayi ini adalah kesan rasa malu.


Dosa Menghalang Rahmah

Malu kerana dosa. Dosa inilah yang telah menghilangkan fitrah keibuan seorang wanita sehingga sanggup membunuh anaknya. Dosa itulah yang menutup cebisan sifat rahmah Allah dari memasuki ruang hati mereka yang tergamak membunuh nyawa yang tidak berdosa.

Tuhan telah mencipta 100 rahmat dan memberikan makhluk-makhlukNya satu daripada 100 sifat itu untuk dikongsi bersama. Dengan sifat itulah, seorang ibu mengasihi anaknya tanpa syarat dan binatang-binatang menyayangi anak-anaknya seperti harimau yang garang tetapi rahmah pada anaknya, gajah yang besar tidak pula hilang perasaaan memijak anaknya. Lalu mengapa manusia hilang sifat rahmahnya?

Malu dan 'Iffah Maryam

Dalam Quran ada menyebut tentang Maryam yang melahirkan anak tanpa suami. Memang Tuhan sendiri menggambarkan bagaimana sukarnya seorang perempuan menghadapi saat itu sehingga Maryam sendiri berkata, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini sehingga tiada siapa akan mengingati aku.’’ Menurut ulama’, ada dua sebab mengapa Maryam berdoa seperti itu. Pertama, dia tidak mahu orang memandang serong pada agamanya dan membuat fitnah pada dirinya. Kedua, dia tidak mahu kaumnya dikaitkan dengan penzinaan yang akan merosakkan nama baik kaumnya. (Mereka adalah kaum baik-baik jika dilihat dari kisah bagaimana mereka berebut-rebut untuk menjadi penjaga Maryam, anak yatim). As Syakrawi dalam tafsirnya menyebut, kalaulah anak perempuan Syeikh Madyan begitu malu (baca tentang malu di sini) ketika menjemput Nabi Musa ke rumahnya atas permintaan ayahnya, apatah lagi Maryam yang membawa anaknya bertemu kaumnya sedang tiada bersamanya suami.

Dalam situasi Maryam, dia memang sangat malu tetapi kerana dia tahu itu kuasa Tuhan dan dia sendiri perempuan yang baik-baik, maka sifat Rahmah itu masih kekal dalam dirinya. Waktu Jibril datang menjelma sebagai seorang lelaki, cepat-cepat Maryam bertegas, “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa”. Kata ulama’, ‘iffah(pemeliharaan kehormatan) Maryam pada waktu itu adalah sebaik-baik amal kerana beliau menunjukkan sikap tegas dan hati-hati sedangkan lelaki di hadapannya tidak menunjukkan sebarang niat serong. Malah hanya mereka berdua dalam bilik tersebut.

Teringat saya bicara Prof Husim. Kaunselor terkenal itu menyatakan, salah satu sebab seorang perempuan membuang bayi adalah kerana dia tidak boleh memaafkan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu. Lalu, kebenciaannya pada lelaki itu menyebabkan dia mahu menghapus segala yang berkaitan dengan lelaki tersebut termasuk bayi yang dikandungnya. Ini mungkin kesan kes perkosaan atau zina tetapi lelaki enggan bertanggungjawab. Kita simpati pada kes-kes kelahiran kesan perkosaan tetapi kita harap janganlah ditambah derita itu dengan bebanan dosa membuang anak. Kita lebih marah pada mereka yang membuang anak hasil zina. Dosa ditambah dosa.

Pelajari Sifat Maha Pengampun Tuhan

Seorang lelaki datang menemui Rabiatul Adawiyah dan bertanya,"Aku telah bertaubat. Apakah Tuhan akan ampunkan dosaku?" Rabiatul Adawiyah menjawab," Ya Jahil, engkau bertaubat kerana Tuhan telah mengampunkan engkau. Tidakkah engkau membaca ayat Quran yang menyebut:

ثم تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.) Justeru, jangan persoal adakah Tuhan menerima taubat kita atau tidak kerana apabila timbul keinginan bertaubat bermakna Tuhan memang ingin kita kembali pada-Nya dan melorongkan kita untuk bertaubat.

Tuhan itu Maha Pengampun. Dan dia sangat cinta akan orang yang meminta ampun-bertaubat. Bukankan cinta Tuhan itu paling tinggi nilainya?

قال الحسن البصري رحمه الله: "استعينوا على السيئات القديمات بالحسنات الحديثات، وإنكم لن تجدوا شيئا أذهب بسيئة قديمة من حسنة حديثة، وأنا أجد تصديق ذلك في كتاب الله: {إن الحسنات يذهبن السيئات}(10).

Bacaan tambahan tentang taubat dalam bahasa Arab di:

http://almoslim.net/node/125619,http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5581&version=1&template_id=104&parent_id=15

BACA SELENGKAPNYA - Kalau Dosa Punya Bau
3

Hormatilah wanita!

Izinkan aku, meraut rasa menjadi kata..

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dia perempuan, dari rusuk lelaki dia diciptakan. Dari tulang yang bengkok. Justeru, kalau mahu meluruskannya, harus berhati-hati dan sabar. Dia manusia seperti engkau. Punya hati, punya rasa. Punya hak sebagai dia; manusia.

Dia isteri, wajib taat pada engkau sang suami. Wajib akur…wajib sedia. Wajib teratur dan mahir mengurus rumahtangga dan anak-anak. Wajib tahu kesukaan suami, wajib menggembirakan engkau, wajib selalu menjaga diri dan maruah engkau. Wajib itu..wajib ini…

Tapi, tetap juga dia manusia biasa, punya rasa, punya hak sebagai manusia. Dia bukan hamba buat disuruh-suruh, dibentak-bentak. Dia bukan haiwan buat disepak terajang dan dilibas dengan segala macam cemeti yang tercapai dengan tangan engkau wahai lelaki. Dia manusia…manusia seperti engkau. Yang tahu rasa sakit, yang kenal warna darah. Yang punya rasa penat, marah, sedih, kecewa, cemburu.

Apa kau kira hanya engkau makhluk yang dikurnia segala pancaindera. Hanya engkau yang mampu melihat, mendengar dan merasa. Apa dia pekak, bisu, buta atau besi yang hanya tahu sejuk dan panas?

Dia manusia…manusia…manusia…hormatilah dia seperti mana engkau mahu dirimu dihormati, sayangilah dia seperti mana engkau mahu disayangi. Cintai dia seperti mana engkau mahu dicintai. Kasihanilah dia seperti mana engkau mahu dikasihani saat terleka dan terlupa sesaat rutin wajibmu. Kerana dia manusia yang tak lepas dari lupa dan leka.

Dia, yang engkau ambil dengan lafaz yang mulia. Yang kau bersaksi dengan ikatan yang diangkat tinggi oleh Tuhan adalah teman yang menjadi amanah buat engkau. Kalau engkau merasa besar sebagai ketua rumahtangga, haruslah engkau malu kerana gagal membimbing ‘pekerja’mu menjadi yang terbaik. Kalau engkau merasa besar sebagai penguasa, malulah kerana engkau gagal melaksanakan tugasmu sehingga rakyatmu tempang menunaikan amanahnya. Malulah…malulah pada dirimu yangmerasa kuat tetapi memilih lawan yang lemah. Kemenangan apa yang mahu kau hebahkan kepada dunia?

Suami adalah kepala, isteri adalah anggota. Bagaimana sesuatu yang saling melengkapi boleh mencemuh dan menyakiti sebahagian yang lain? Dia isteri; dia ibu anak-anakmu...dia amanah dan hadiah berharga dari Tuhan. Jangan terlambat mengenal nilainya sehinggalah dia pergi dari hidupmu.
BACA SELENGKAPNYA - Hormatilah wanita!

MALU SEORANG PEREMPUAN

Dari Ibn Majah, sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya bagi setiap agama itu, akhlak tertentu. Dan akhlak Islam adalah sifat malu. Menelusuri buku Qisas al-Quran al-Karim tulisan Dr Fadl Hassan Abbas, saya tertarik dengan kupasan beliau pada ayat di bawah waktu membawakan kisah Musa bertemu dua orang perempuan; anak kepada Syeikh Madyan di dalam al-Quran:
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا
"kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu(malu) sambil berkata:" sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami".

Ulas beliau, malu itu hiasan seorang perempuan.

Pada ayat ini, ada 2 cara waqaf(berhenti) :

1)فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي . Kemudian mula kembali dgn membaca عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ ( dalam keadaan tersipu-sipu(malu) dia berkata )
~ Waqaf begini menunjukkan sifat malu waktu berkata-kata~
atau

2) فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ (berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu)
Kemudian mula kembali dgn membaca قَالَتْ إِنَّ أَبِي
~Waqaf begini pula menunjukkan sifat malu waktu berjalan~

Dr Fadl menyimpulkan: kedudukan kalimah(عَلَى اسْتِحْيَاءٍ) di antara dua kalimah (تَمْشِي)dan قَالَتْ memberikan gambaran bahawa sifat malu pada seorang perempuan baik-baik itu harus ada pada perkataan dan perbuatannya.


Waktu bicara tentang ayat ini bersama seorang teman saya, kami sama-sama termenung menopang dagu dan tergelak malu sendiri berkata; haya nisaii(malu seorang perempuan) itu tidak begitu ada pada kita, ya. Bagaimana gambarannya ya? Ngak pa pa, masih ada sifat pemalu itu pada diri kita kan, bilang teman saya, Cut gadis Acheh yang sangat percaya diri dan mandiri. Yang penting kan malu yang dasarnya iman. Malu untuk berbuat munkar dan maksiat yang dilarang Tuhan.

Benar, seorang perempuan itu ada aturan bagaimana mahu menuturkan kata di hadapan lelaki ajnabi, juga bagaimana seharusnya tingkah laku perbuatannya. Al-Quran telah mebentangkan manualnya dan tajribah hidup sudah membuktikan akibatnya jika seorang perempuan( lelaki juga) tidak patuh pada manual itu. Malu itu perisai. Seperti sifat takut juga. Harus ada dalam diri semua kita perempuan supaya lebih hati-hati menjaga diri. Tapi tetap ada peratusnya. Tidak boleh berlebihan malu atau takut. Seperti garam dalam masakan. Biar cantik, tampak enak menyelerakan, tanpa garam, selera jadi mati. Terlebih garam, begitu juga.

Syeikh Hassan dalam kuliahnya tentang malu menyebut Haya' (malu) menurut Ibn Qayyim daripada hayat(hidup). Hujan / al Matar dipanggil haya kerana apabila Allah menurunkan hujan, ia menghidupkan bumi yang mati. Begitulah Allah menghidupkan hati dan ruh dengan malu. Malu akan membuat kita meninggalkan perkara-perkara buruk samada dari segi percakapan, perbuatan atau akhlak dan mengelakkan kita daripada terkurang daripada melaksanakan hak kepada yang berhak.

Malu menurut beliau terbahagi kepada dua bahagian:

1) Malu Fitrah/Jibilliyy/Gharizi
contoh malu jika tidak berpakaian di hadapan manusia. Malu fitrah ini kalau diperhatikan semkain hilang daripada manusia.

2) Malu Iman/Muktasab
diperolehi jika kita kenal Tuhan kita. Tidak akan lahir kecuali kita merasai bersyukur atas nikmat Allah dan merasa kekurangan atas hak-Nya yang tidak kita penuhi. Dengan segala nikmat yang Tuhan beri, maka kita akan jadi malu sendiri pada Dia yang telah memberikan segalanya kepada kita. Malu ini akan dapat kita perolehi dengan ketaatan kita kepada Allah.

Lihat bagaimana Allah Yang Maha Mengetahui dan Melihat segala amal perbuatan, mengetahui segala dosa kita tapi Dia tetap melindunginya, tidak memperlihatkannya pada manusia lain. Memikirkan ini, saya kira, kita harus jadi sangat bersyukur. Betapa kitalah manusia yang selalu lalai dan leka, alpa terkadang hingga tak terlepas daripada berbuat dosa. Tapi Tuhan masih sangat menyayangi kita. Sangat...! Dosa itu kekal antara Dia dan kita. Allah tahu kita tak kan tertanggung malu jika ia terdedah kepada manusia. Ya Rabb, Allahummas turna wala tafdahna. Allahummar zuqna hayaan.( Ya Allah tutupla rahsia kami dan janganla engkau dedahkannya, Ya Allah kurniakanlah kami sifat pemalu) .

Bagaimanakah praktikalnya sifat malu itu? Dan apa pentingnya malu itu? Malu akan menjadikan kita anak yang hormat pada orang tua, hamba yang merendah diri daripada sifat tamak, riya'. Akan mengelakkan kita daripada berbuat yang haram tak kira dari segi apa, makan, berfikir, melakukan...Malu untuk tidak menyempurnakan tugas dan kewajipan seperti yang sepatutnya. Begitu malu itu menjadi perisai kerana malu itu satu bahagian daripada iman.

Hari ini, saya mahu mengatakan kepada diri saya, seorang perempuan; sesungguhnya hiasan terbaik seorang perempuan adalah sifat malu. Aduh,serasanya Syaidina Uthman itu beribu kali pemalunya daripada saya.
BACA SELENGKAPNYA - MALU SEORANG PEREMPUAN
0

Cinta,Love, الحب

Gantikan secawan kopi hitam ini...

Ia bukan segala-galanya. Yang cantik, indah, handsome dipandangan belum tentu yang terbaik. Yang Nampak menyelerakan, menggiurkan belum tentu baik dan sedap bila dimakan. Begitu mata mudah tertipu. Justeru ada timbangannya dalam hidup ini bila mahu menilai sesuatu.

Tertarik dgn cerita Dr Komar semalam. Dalam satu majlis beliau ditanya tentang hak/right? Kata Dr, beliau tidak berminat untuk turut serta menuntut hak wanita seperti yang diperjuangkan sesetengah wanita . Rakan yang bertanya, seorang non muslim memperlihatkan kehairanan. Ya, menurut mereka kan, wanita Islam tidak mendapat hak yang sepatutnya. Segalanya didominasi oleh lelaki. Ya..kerana Quran menurut mereka ditafsir dari kaca mata seorang lelaki. Bukankan hampir semua kitab-kitab tafsir muktabar ditulis oleh lelaki. Kata Dr, dalam Islam kami sudah mendapat hak kami. Yang sesuai dengan keperluan kami. Dan ia sangat adil kerana yang menentukan hak itu tidak lelaki mahupun perempuan. Ohh? Terperanjat dia yang bertanya. Tuhan kamu bukan lelaki? Bukan. Tidak lelaki, tidak juga perempuan. (lelaki ini masuk Islam kemudiannya, tidak silap saya ).

Apa kaitan cerita Dr Komar dengan tajuk cliché saya? Tiba-tiba bercakap tajuk ini. Ya, segalanya terhubung akhirnya dengan Sang Pencipta. Setiap sesuatu, buruk baik itu ukurannya pada Dia, seperti yang telah diperintah Dia, seperti yang sudah dimaktubkan dalam Quran, kalam-NYa. Bukan ukuran bagus dan baik itu pada tangan kita, manusia yang cepat berubah hati. Cepat terpesona dengan manisnya kata, tulusnya bahasa, indahnya budi. Lebih lagi saat ‘cinta’ yang sudah dibilang orang banyak kali; buta ,itu jadi teman setia. Lalu yang ada Cuma cinta. Tidak lain. Quran waktu menerangkan saat Zulaikha mabuk cinta pada Yusuf menggunakan perkataan [qad syarofaha hubba). Syaghofa itu maksudnya hatinya dipenuhi, ditutupi, gelap dengan cinta hingga tak mampu berfikir selainnya. Bagaimana mahu menerima selainnya, kalau tidak ada lagi ruang untuk diberi tempat kata nasihat dan pedoman.

Justeru selalu pepatah bilang, kalau cinta, jangan sepenuhnya, benci juga begitu. Beri ruang untuk yang lainnya. Supaya kita tidak jatuh bersama-sama si buta bernama cinta dalam perigi yang memang tak bermata. Saat sudah jatuh jangan rasa dunia seperti sepi. Perigi buta memang bukan tempat diamnya manusia yang boleh dibawa bicara. Merasa dunia sepi, hati kosong..i’m empty…rasa seperti mahu mati, bukan kata yang selayaknya untuk seorang Muslim kan., seperti kita tiada Tuhan buat mengadu. Sedih itu biasa. Merasa patah hati itu normal. Manusia kan kita. Tapi berlama-lamaan dalam ‘kekosongan’ dan melayan kesepian itu yang salahnya. Apa Tuhan sengaja mencipta kita untuk diberi masalah? Tidakkan…? hidup ada matlamatnya. Masalah itu ujian; mahu menjadikan kita tambah kuat atau mahu menguji tahap sabar dan iman kita. Justeru kembalilah merenung matlamat hidup. Matlamat hidup Muslim, kemudiannya, cita-cita kita sebagai manusia yang penuh impian dan keinginan juga harapan manusia berjasa, ayah bonda. Teruskanlah hidup.

Kalau sesuatu itu baik, Tuhan pasti melorongkannya biar susah. Serahkan urusan kita pada Dia. Kalau memang bukan untuk kita, belajarlah untuk redha atas ketentuan-Nya. Sekali lagi…Dia, Tuhan yang mencipta lebih tahu yang terbaik untuk ciptaannya.
Untuk adik-adik yang baru berkenalan dengan ‘cinta’, saya titipkan pesan…Jangan dibutakan mata hati dengan kasih sayang manusia’ asing’ dalam hidup kita hingga kita hilang peduli pada kasih manusia setia bernama keluarga yang tidakkan pernah boleh mengucap kata; kita putus, aku ceraikan kau, setakat ini shja hubungan kita. Tidak.

Susah, memang susah kalau perlu melupakan. Kerana yang ada cuma rasa mahu memiliki. Saya kongsikan pesan seorang guru sejak saya di tingkatan dua. Kalau suka seseorang, buat solat hajat.mohon pada Allah, kalau dia milik kita, mohon Allah simpankan(kalau belum masanya) dan jaga hati dia untuk kita. Kalau bukan, minta Allah campakkan jauh-jauh rasa cinta kita pada dia. Cubalah, saya rasa keberkesanannya. Kita memang tak kuat untuk mengharunginya sendiri tapi itu tak bermakna mati itu lebih mudah dan berhadapan dengan munkar nankir sendiri itu mudah. Kalau mahu menangis, silakan…kerana tangisan bukan tanda lemah bagi saya. Tapi ia tanda yang kita akan bangkit kembali, setelah pergi segala yag terbuku bersama air mata tadi. Sekian.


dengan segelas air putih ini.
BACA SELENGKAPNYA - Cinta,Love, الحب
0

ERTI CUTI

CUTI...INDAH BUKAN?
Semester ini saya sudah mula berat dengan istilah cuti kerana ia akan kalu tidak banyak pasti sedikit ia akan mengurangkan stamina saya terutamanya kemampuan untuk bertahan berjam-jam di hadapan buku.
CUTI...PENTING BUKAN?
Tapi cuti ini perlu terutama bagi workholic, kaki study dll yang sangat kedekut ruang waktu mereka untuk orang di sekeliling.
CUTI...MENARIKKAN?
Cuti bagi saya adalah waktu mengasah hobi dan melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan waktu sibuk kuliah. Inilah waktunya untuk menulis, membaca buku cerita, memasak sepuas-puasnya, tumbuk beras pulut dan kunyit untuk dibuat pupur muka, menjaga anak saudara yang comel montel itu, pergi berkelah bersama keluarga juga membebel pada adik-adik yang 'kurang sedar' tahun depan depa ada peperiksaan penting.
CUTI...WAKTU BERTEMU NENEK
Menarik juga, inilah waktu berziarah ke rumah nenek dan berkumpul bersama sanak saudara terutamanya kalau ada kenduri tertentu. Nenek saya agak cerewet, orang Melakalah katakan. Serba serbi harus sempurna terutamanya hal bersangkutan dengan dapur. Sesetengah kita mungkin rimas punya nenek yang banyak bebelnya dan banyak pula peraturannya. Saya, berasa sedikit rugi kerana tidak banyak masa dapat dihabiskan bersama nenek untuk belajar ilmu yang bernama pengalaman. Memang, nenek tidak tahu membaca tapi ilmu hidupnya luas. Antara prinsip nenek yang saya pegang adalah- den ado mulut. Nenek dalam tidak tahu membaca itu sudah naik haji seperti orang lain dan berkali-kali juga menaiki kapalterbang bersendirian ke beberapa negeri di Semenanjung dan juga Sabah Sarawak dan biasa sahaja menaiki bas ke rumah anak-anaknya bersendirian. "Nenek kan tak tahu baca, macam mana nenek poie jalan jauh-jauh?" Ini soalan cucu-cucunya. "Dan (den) ado mulut. Dan tanyo jolah." Justeru, saya belajar dari dia. Bagi saya alamat, Insya Allah saya akan sampai ke tempat anda kalau ada keperluan. Tapi sesat barat itu tak usah kiralah. Yang pasti Insaya Allah sampai.
Tapi emak juga selalu pesan bila melihat saya kadang-kadang berani-berani berjalan sendiri terutamanya waktu malam di Kuala Lumpur. "Orang perempuan, kena simpin sedikit rasa takut. Tak boleh terlalu berani. Takut itu untuk elak kita meletakkan diri di dalam bahaya."
Begitulah.
BACA SELENGKAPNYA - ERTI CUTI
0

Gaji Lebih untuk Lelaki?

Saya bukan tradisionalis yang tidak bersedia menerima perubahan jauh sekali mahu menjadi feminis yang hilang panduan menuntut hak yang sebenarnya sedia terbahagi secara adil dalam al-Quran. Adil tidak bermaksud saksama. Sesuatu yang menarik apabila membaca pendapat Tuan Guru Nik Aziz tentang ‘skim gaji Nik Aziz’ jika beliau menjadi perdana menteri dengan slogan ‘gaji lebih untuk lelaki’. Tuan, hamba ini tidak cemburu malah berbunga-bunga hati membaca kerana hamba tahu tuan bercakap tentang memastikan fungsi dan tugas asal seperti yang disyariatkan. Biarlah hamba perturunkan di sini bicara tuan yang bijak laksana:
“ Orang yang bertanggungjawab lebih banyak patut mendapat lebih. Anak lelaki diberi hak sebegitu kerana dia akan berkahwin dan menyara isteri serta keluarga pula. Tanggungjawab lelaki memberi tempat tinggal, pakaian dan makanan kepada isterinya. Apa yang dilakukan perempuan sekarang yang turut bekerja sebenarnya bukan tanggungjawab mereka tetapi pilihan sendiri. Lelaki yang wajib bagi nafkah.”
(Mingguan Wasilah, 17-23 Ogos 2008, ms46)

Jujurnya, waktu isu-isu ketidakadilan terhadap wanita cuba saya fahami waktu zaman kampus dulu, hampir tergelincir hati menurut emosi. Astaghfirullahlah. Tambah lagi semaraknya bila masuk kelas Sejarah Wanita yang antara pensyarahnya ialah Dr Ramlah Adam(Ada tiga orang pensyarah bergilir-gilir mengikut minggu untuk subjek ini dan seorang tutor). Saya ingat bagaimana saya bergegas mendekati Dr. Anisah, pensyarah Jabatan Fiqh apabila ternampak beliau sebaik masuk ke kafe Akademi Islam. Saya tanyakan kepadanya, tidakkah boleh hukum faraid itu berubah kerana fungsi dan tanggungjawab berubah. Lihat sahaja berapa ramai perempuan yang terpaksa menanggung keluarga akibat lelaki yang cuai terhadap tanggungjawabnya. Justeru, hak itu harus diberi kepada perempuan. Dr. Anisah laju menjawab saya, “yang harus dikembalikan adalah fungsi setiap lelaki. Yang harus diubah adalah sikap dan rasa bertanggungjawab lelaki yang hilang. Bukan hukum yang termaktub.” Saya terhenyak. Benar, apabila masalah timbul, kita harus menyelesaikannya dengan kembali ke akar masalah. Bukan menutup ini dengan itu atau mengubah yang tidak berkaitan dengan punca masalah.
Kenyataan Tuan Guru itu sekiranya diketahui bisa sahaja membuat ramai sakit hati. Akan dibentangkanlah kes-kes tuntutan nafkah yang tertunda, aduan keganasan rumah tangga, jumlah janda yang perit menjadi ketua keluarga dan pelbagai lagi data yang menunjukkan betapa tidak layaknya makhluk yang bernama lelaki ini diberi gaji lebih tinggi. Pendek kata, tak cukup kertas mahu ditulis fakta.

Apa pun seperti yang saya katakan tadi, kita harus kembali ke akar masalah. Yang bernama perempuan ini pasti tak punya masalah menerima cadangan tadi sekiranya yang bernama lelaki itu bermula waktu melafazkan akad menerima isteri sudah menetap tekad dalam hati untuk penuh usaha melaksana tanggungjawab sebagai suami menurut panduan Ilahi.

Soal perempuan keluar bekerja dari sudut hukumnya, tidak perlu saya bahas di sini kerana ia sudah maklum. Cuma saya kira, masyarakat kita memang berfikiran; rugi kalau sudah belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya sekadar duduk rumah membancuh kopi. Benar, apa guna ilmu kalau tidak dikongsi. Saya juga fikir begitu dahulu. Mahu belajar setinggi yang boleh, kemudian jadi wanita berkerjaya yang dinamik, elegan dan lain-lain lagi sifat yang hebat-hebat malah mahu jadi menteri. Tapi fikrah ini berubah apabila saya mula menyandang jawatan-jawatan tinggi bermula di sekolah menengah. Sebagai senior dan ketua, ramai yang merujuk dari masalah pelajaran, percintaan hinggalah ke masalah keluarga. Saya kemudiannya mula mencari kesimpulan terhadap masalah-masalah yang diutarakan hingga mengambil pendirian sekiranya saya punya pilihan untuk tidak bekerja, maka itulah pilihan utama saya. Saya sendiri merasa bagaimana hidup dalam keluarga besar yang jumlah adik-beradik cukup untuk satu pasukan bola sepak dan seorang pengurus manakala emak bekerja serta aktif dalam politik kawasan. Alhamdulillah, tarbiah emak sejak kecil menguatkan kami adik-beradik. Tapi saya tidak nafikan ada saat-saat yang sukar hingga saya pernah mohon pada emak supaya berhenti dari aktif berpolitik.

Dengan perkembangan semasa hari ini, saya kira adalah perkara biasa untuk melihat seorang wanita berjaya dan diiktiraf kejayaannya sebagai ibu, pekerja juga ahli politik. Dan wanita memang mampu melakukan itu apabila dia mencapai satu tahap stabil dan matang dari segi emosi. Dia akan punya kekuatan dalaman yang sangat kuat waktu itu. Syabas untuk yang berjaya melepasi halangan-halangan dalaman untuk pergi sejauh itu. Saya? Saya entah kenapa, serasa seperti baru bermula semula untuk memproses semua yang tersimpan di minda sejak dulu hingga kini untuk melihat kembali perancangan hari esok...
BACA SELENGKAPNYA - Gaji Lebih untuk Lelaki?
Back to Top