Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts
0

Wahai Anak, Kembalilah

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلاَ تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ
Hud[42]
(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

Bergenang air mata tatkala menyelami perasaan Nuh ‘alaihis Salam. Lihat kecamuk dan gelora jiwa seorang ayah melihat anak tenggelam di depan mata. Lebih perit lagi, kerana dia tahu, itulah perpisahan akhir dia dan anaknya. Mana bisa dia melihat lagi anaknya kerana dia maklum dengan ingatan Tuhan. Hanya yang beriman akan selamat. Yang inkar akan tenggelam. Itulah pemisah antara dia dan anaknya. Kufur. Hubungan nasab sudah tiada erti. Tuhan memberitahu, Nuh, dia bukan anakmu, bukan ahli keluargamu. Akhirnya, Tuhan memberi tanda aras. Akidah yang menentukan hubungan sebenar.
Nuh memanggil, wahai anak, ke mana engkau mahu pergi. Bagaimana engau mahu lari dari ketentuan Tuhan. Naiklah bersama-sama kami ke dalam bahtera, akan selamatlah engkau.

قَالَ سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاء قَالَ لاَ عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللّهِ إِلاَّ مَن رَّحِمَ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ
Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

Tapi hati anak sedikit pun tidak terusik dengan pujukan si ayah sedang ayah sangat mengetahui situasi dan hakikat sebenar kejadian yg akan berlaku. Ini bukan air bah seperti banjir biasa yang kau sangkakan anakku ..hari ini bukan seprti hari-hari ujian biasa yang kau sangka bisa kau hadapi cabarannya. Tidak anakku..Tidak ada yang akan terselamat.Tidak ada melainkan dengan rahmat Allah.

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءكِ وَيَا سَمَاء أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاء وَقُضِيَ الأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْداً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.

Ah, anak, apa bisa melihat tangis di penjuru kalbu seorang bapa, seorang ibu. Apa pernah terlihat linangan air mata pada setiap doa di hujung solat. Rintih dan rayu kasih seorang ibu, sayang seorang bapa. Memohon pada Tuhan, kembalikan..kembalikan dia ke jalan-Mu Tuhan. Kembalikan iman dalam hati anak ini Tuhan, apalah kiranya kau berlemah lembut dalam ketentuan-Mu padanya. Lorongkan jalan kebenaran buatnya. Suluhi hidupnya dengan cahaya-Mu. Pulangkan dia kepada kami. Pulangkan…
وَنَادَى نُوحٌ رَّبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابُنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

Masih seorang bapa tidak kenal putus asa. Terus berdoa pada Tuhan, moga-moga anaknya terlepas azab di akhirat.

قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلاَ تَسْأَلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.
Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Anak-anak mungkin dekat dengan ibu bapa tapi hakikatnya jauh. Kerana penghubung itu terputus. Penghubung dari doa dan solat setiap waktu. Hubungan hati yang lahir dari iman yang utuh. Bagi yang sudah pergi, apakah hubungan anak dan ibubapa masih kekal; apakah doa kita diterima sebagai doa dari anak yang soleh dan solehah.
BACA SELENGKAPNYA - Wahai Anak, Kembalilah
0

Anak: Petaruh Allah




Dedikasi untuk Sahabat yang bergelar dan bakal menyandang jawatan IBU, MAMA, UMMI, EMAK, WALIDAH, BUNDA, MUMMY…AYAH, BABA, ABI, WALID, PAPA, BAK, ABAH...

Saya kongsikan tanpa mengubah gaya bahasa dan ejaannya supaya jatuh ke hati yang membaca akan indahnya butir kata Bung HAMKA ini.

Dipetik dari Lembaga Hidup (HAMKA):

“ ANAK ADALAH BUNGA HIDUP. Anak adalah harum-haruman rumah tangga. Obat jerih pelerai demam. Kepada anak bergantung pengharapan keluarga di kemudian hari. Dialah ujung cita-cita dalam segenap kepayahan. Misalnya terjadi perselisihan di dalam rumah antara suami isteri, perselisihan bisa didamaikan apabila suami isteri sama-sama melihat anaknya yang masih suci itu, yang tidak boleh turut menjadi korban karena pertengkaran dan perselisihan ayah bundanya.

Sebab itu Nabi s.a.w sangat besar pengasih kepada anak-anak. Sampai punggungnya diperkudakan –kuda oleh anak-anak sedang dia sujud waktu solat. Sampai anak-anak dipangkunya ketika dia mengerjakan ibadat itu. Apabila dia hendak sujud diletakkan anaknya itu ke sampingnya dan bila dia hendak tegak dipungutnya kembali. Beliau bersabda : “Rumah yang tidak ada anak-anak, tidaklah ada berkat di dalamnya” ( Abu Syaikh, Ibnu Hibban).
“Anak-anak adalah setengah dari harum-haruman syurga (Tirmizi)

Meskipun anak-anak adalah perhiasan rumah dan menjadi pateri pergaulan ayah bundanya, sekali-kali janganlah ayah bundanya merasa bahawa anak-anak itu miliknya, seperti memiliki kain baju. Bukanlah semata-mata untuk dilihat-lihat ditengok-tengok, makanya anak-anak itu dipertaruhkan Tuhan ke dalam rumahnya. Anak adalah petaruh Allah. Kalau dia besar dan dewasa kelak akan disuruh Tuhan mengurus hidup dan berjuang dalam alam dunia sebagaimana manusia yang lain. Karena dia masih lemah, maka dipertaruh Tuhanlah dia kepada ayah bundanya. Supaya tidak merasa keberatan mengasuhnya, diberikan Tuhan nikmat kasih sayang ke dalam hati ayah bunda itu, sehingga tidak keberatan memelihara orang yang sama sekali belum dapat menolongnya.

Kelak setelah dewasa dia kan keluar dari rumah itu, sebagaimana tiap-tiap manusia keluar dari dalam rumah ibu bapaknya.

Karena anak-anak itu petaruh Tuhan, maka ibu bapa yang diserahi petaruh itu wajib memeliharanya, lahir dan batin. Lahirnya ialah memelihara kesihatannya, dan memberikan makan minumnya, batinnya ialah mendidiknya sebagai persiapannya untuk hidup di belakang hari. Dia kelak akan memikul bermacam kewajipan yang berat. Ayah bunda telah banyak mengalami kepahitan dan kemanisan hidup itu. Maka dialah yang dititahkan oleh undang-undang masyarakat mendidik dan mengasuh. Sekian lamanya rumah tangganya telah beroleh bunga, telah beroleh harum-haruman yang sebenarnya tidak dapat dibalas dengan harta bertumpuk kepada Tuhan. Tuhan hanya menyuruh supaya rasa welas asih yang telah diperturunkan ke dalam rumah itu dibalasi dengan memelihara anak itu baik-baik, sehingga kelak dia menjadi orang yang berguna untuk bangsa dan tanah airnya, dan kemanusiaan umumnya.

Sabda Rasulullah s.a.w: Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka. Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu.’ (Bukhari)



Sekian, untuk anda yang membaca, moga bertambah bekal hati menjunjung tugas merawat petaruh Ilahi. Ada masa, kita sambung, k.

Glosari:
Petaruh : 1. amanat (nasihat, permintaan, suruh­an, dll) yg diterima (diteruskan kpd orang lain): ia teringat ~ ayahnya supaya surat itu jangan diberi kpd tangan orang lain; ada ditinggalkan ~ sebelum ia berangkat tadi; 2. amanat (nasihat, wasiat, dll) yg penghabisan drpd orang yg akan meninggal: emaknya yg baru mati tidak sempat meninggalkan apa-apa ~ kepadanya; 3. permintaan barang utk dibeli, tempahan (PRPM-DBP)
BACA SELENGKAPNYA - Anak: Petaruh Allah
5

Anak Hari Ini, Ibu Bapa Masa Depan

اللهم بلغنا رمضان
اللهم سَلِّمني إلى رمضان, وسلم لي رمضان وتُسلَّمه منّي متقبلا
“ Ya Allah, Selamatkanlah aku ke bulan Ramadhan dan selamatkanlah Ramadhan bagiku dan terimalah Ramadhan itu dariku ”
( Doa org-org soleh menyambut Ramadhan menurut Yahya bin abi Kathir )

Mendekati Ramadhan di di hujung Sya’ban. Fikiran melayang mengingat-ngingat sambutan tahun-tahun lalu. Matahari mula terik. Terasa bahangnya. Sebenarnya, salji harapan saya perlahan-lahan mencair. Semalam saya adukan pada Tipah saat senggang waktu antara kelas. Aku dah penat menunggu. Yang mana satu yang ko penatkan? Semuanya. Sabar, janganlah lagi. Entahla. Mak call semalam. Suruh isi borang DPLI. Ada bank dan yayasan yg dah jawab. Hampa. Datangla sini. Tak boleh, kerja banyak. Takpela. Perbualan putus. Hati melayan rasa bosan yg entah apa.

Berjalan melewati meja-meja teman sekerja, hati terpaut pada buku Indahnya ramadhan di Rumah Kita – terjemahan dari Buyutuna fi Ramadhan karangan Dr Akram Ridha. Tertera nama Bibi Ratna Maidinsah- 1 Ramadhan 1427, 240906. Pinjam kak.Lambatnya saya mengenal buku ini. Sangat objektif saranan-saranannya. Macam MBO program gayanya.

Bacaan memang ubat hati yang mujarab. Cepat sahaja saya kebah dari rasa bosan dan resah yang menggulung-gulung. Petang seperti biasa, bersungguh saya mahu memastikan jadual ilmu yg satu ini saya patuhi. Kadang-kadang terlepas juga kalau ustaz tiada atau saya sendiri tidak sempat ke sana meladeni anak-anak sekolah atau tugas-tugas ruwet lain. Al Musamahah fil Islam. Ustaz memulakan bicara. Suara yang selalu saya rindu. Sama seperti kuliah tafsir subuh di IKIM. Rugi benar rasanya klu ketinggalan.
Saya, gadis yg cepat membawa diri, memilih KL buat memulakan hidup. Sampai emak pun merungut hairan. Kenapa lepas balik Syria dulu kau terus cr kerja jauh-jauh. Entah. Tempat tu yg Kak Uda biasa. Nak duduk sini macam tak tahu mana nak cr keje.

Hari ini bicara tentang hubungan anak dengan ibu bapa kafir melalui firman-Nya dalam surah Luqman. Lihat, kalau mereka memaksa kamu untuk mensyirikkan Allah, jangan kamu taati. Apa? Jangan kamu taati. Wasohibhuma – dan bergaullah dengan kedua ibu-bapa kamu dengan baik. Masya Allah. Inilah Islam. Apa lagi kalau hubungan dengan ibu bapa Muslim. Us Arif menambah, saya sgt kagum dgn suatu keluarga yg saya jumpa. Anak-anaknya berlumba-lumba membukakan pintu untuk bapa mereka. Melayan bapa seperti raja. Lalu saya tanyakan rahsianya. Tenang jawapan sang ayah. Saya jaga hubungan dengan Allah. Justeru, Allah jaga hubungan anak-anak dengan saya. Saya juga dahulu berkhidmat untuk ibu bapa saya. Menjaga mereka. Subhanallah. Allah balas di dunia. Antum..? Kalau mahu anak-anak begitu, berkhidmatlah untuk kedua orang tuamu sekarang. Dan saya termenung mengenang diri. Benar. Cita-cita dan keinginan dalam hati terkadang menjadikan saya sangat mementingkan diri. Dalam menung itupun sempat saya cari alasan membenarkan diri begini. Emak, ayah, saya pohon restu. Selagi semangat saya masih kuat, izinkan saya berjuang. Saya sangat takut kehilangannya. Saya mahu berusaha selagi masih ada usia, selagi keputusan masih di tangan saya, masih blh dirunding dgn emak ayah sebelum kunci ketaatan ini berpindah entah bila, entah pada siapa. Saya cuma mahu redha agar hati saya tenang.

Kuliah dalam B.Arab setiap petang Rabu di Masjid UIA ini selalu menyentuh hati. Bahasanya mudah dan bicaranya persis seperti si ayah menasihati anak. Kerap saya tersentak. Benar – telah lama saya rasakan kesan bicara seorang guru zaman sekolah dulu – Maryam, hari ini awak menangis dgn marah saya. Percayalah, selepas ini, tiada lagi orang yg akan menegur awak dan awak akan selalu rindu dengan zaman ini.
BACA SELENGKAPNYA - Anak Hari Ini, Ibu Bapa Masa Depan
Back to Top