6

Hari Tua



Hari ini saya benar-benar berasa diri sudah tua.

Selama ini saya masih berasa muda. Bila melihat anak-anak kawan, saya akan sebut, cepatnya awak besar tanpa berasa saya juga sudah bertambah usia.

Selalu saya berasa muda. Lagi-lagi selalu ketemu kawan sekolah rendah di FB. Masih terasa mengayuh basikal beramai-ramai ke kedai lepas kelas tambahan hujung minggu.

Ada grup sekolah menengah. Throwback nya akan membuatkan saya berasa sepoi angin Bukit Mahkota, bau nyaman selepas hujan. Saya sangat sukakan hujan waktu sekolah menengah. Itu waktu membaca yang paling ideal. Duduk di hujung tangga, menghabiskan buku Geografi. Geografi, subjek kegemaran saya. Kecintaan saya ialah melihat peta dunia dan merasanya dengan tangan. Nenek saya selalu sebut, kau ni nanti jalan jauh. Makbul doa itu. Dan saya masih ingin berjalan jauh…

Ada grup rakan sekampus yang selalu rancak. Isunya rencam, kejap menjadikan kami sangat muda, sekejap berasa sangat tua. Tapi saya masih berasa masih muda.

Bila Ustazah Nawirah dalam kelas tadabbur pagi tadi menghurai tentang fityah, pemuda al kahfi yang melalui waktu syabab mereka dengan tidur  dan bertanya kepada kami; anda semua di mana sekarang?

Saya mencari diri saya dalam garisan masa tersebut mengikut lafaz yang disebut dalam al quran; sobiyy, tifl, ghulam, fata, kahl, syaikh, haram.

Ya, sudah di hujung zaman muda. Ustazah mengingatkan tentang 

 لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاه
ُ
Dari Abu Barzah Al Aslami berkata: Rasulullah SAW bersabda: Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, kemana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya” HR Tirmizi 

Isi masa yang berbaki dengan lebih baik.

Saya mahu belajar lebih banyak tentang ar rifk, al hikmah. Memperbanyak ahsanu amal.

Akhirnya, pastilah harus memohon pada Allah agar memudahkan kita untuk melakukan ketaatan.

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada Muaz bin Jabal a.s.




 الْلَّهُمَ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ 

 

(Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur di atas nikmat-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu)

 

Bukan mudah nak bentuk habit. Tapi kalau Allah izinkan, semuanya mudah.

Saya tertarik dengan huraian Dr Salman Audah tentang kalimah ilaf yang biasa kita baca dalam surah al Fil.

Allah jadikan musafir untuk berdagang itu satu adat kebiasaan kepada kaum Quraisy. Musafir bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi pada zaman itu. Tetapi ia bukan sesuatu yang dirungutkan malah menyenangkan bagi Quraisy. Begitulah Allah memudahkan bagi mereka, menjadikan mereka melazimi perjalanan musim sejuk dan panas sehingga disebut sebagai rehlah; seolah-olah satu perjalanan panjang kerana mereka hanya berehat seketika di Mekah sebelum memulakan perjalanan baru ke tempat satu lagi.

Maka, sangat perlu kita meminta kepada Tuhan yang mengatur alam ini agar memudahkan kita mengatur kembali kehidupan kita dengan kebiasaan-kebiasaan baru yang cekap-masa dan bermanfaat buat bekal di hari kemudian.

Habit apa yang anda sukar mulakan?

Habit apa yang anda mahu mulakan?

Habit apa yang mahu anda kekalkan?

BACA SELENGKAPNYA - Hari Tua
Back to Top