0

To Know is To Be

Mengapa ilmu itu penting ? Mengapa kita belajar? Apa kerana kita mahu digelar sarjana atau pakar dalam bidang kita atau apa? Tersilap memahami konsep pendidikan menjadikan kita hamba ijazah, hamba pangkat, hamba harta dan selainnya.

Kata Ustaz, to know is to be. Kita belajar untuk tahu. Kita tahu untuk beramal dengannya. Bukan sekadar jadi teori atau coretan di buku mahupun himpunan aksara pada folder dalam laptop. Dalam Quran memang kita dididik untuk jadi bangsa membaca, berfikir dan mengkaji –Iqra’... jangan berhenti di situ. Baca sambungannya..bismi rabbikallazi kholak. Baca, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Justeru, pendidikan harus dipandu dengan panduan Ilahi. Membaca itu memang usaha kita tapi kita tak harus lupa, Tuhan yang menciptakan kita, menciptakan segala sesuatu. Lalu kita akan sedar betapa hebat pun kita nanti, kita hanya hamba kerdil yang segala sesuatu adalah pinjaman dari Dia, yang Maha Kaya. Kaya dengan sifat rahmah, kaya dengan sifat pemurah, kaya dengan sifat penyayang, kaya dengan maaf, kaya segala. Tapi kita rupanya tidak belajar dari sifat kaya Tuhan.

Makin kita beroleh nikmat, makin kedekut kita, makin kikir kita untuk berkongsi dengan yang lain. Makin bongkak kita. Makin tidak bertamadun juga terkadang. Kerana kita gagal untuk memahami beberapa perkara asas dalam pendidikan. Gagal untuk kenal diri sebenarnya. Hamba, khalifah, sebaik-baik umat(khair ummah), ummah wasota.

Kita gagal faham, justeru gagal bersyukur. Menarik untuk melihat ayat quran yang menyebut “sekiranya kamu bersyukur akan aku tambahkan nikmat untukmu”. Ayat ini dari surah Ibrahim di mana pokok perbincangannya adalah dakwah. Justeru? Bersyukur yang sebenar itu bagaimana? Kita harus menyibukkkan diri dakwah.

Kalau menyebut dakwah, sepertinya ia suatu yang sangat besar, milik ustaz ustazah yang mengambil jurusan agama, lulusan timur tengah atau mana-mana pondok. Tapi sebenarnya tidak. Ok, gantikan ia dengan perkataan yang lebih mudah; mengajak orang ke arah kebaikan, sesuai seperti yang dikehendaki Islam. Justeru, ia milik semua kan, tugas bersama. Dari komponen kecil terpenting masyarakat iaitu keluarga hinggalah kepada masyarakat yang lebih besar lingkungannya.

Untuk permulaan, tak perlu pergi jauh-jauh. Pertama, lihat diri kita dulu kerana dakwah ini bermula dari kita sendiri. Islah nafsak, wad’uu gairak- Perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain. Diri itu yang asas. Kemudian orang terdekat. Teman rapat contohnya. Jangan kita terkejut nanti di akhirat, teman baik kita sendiri akan saman. Dalam Quran disebut, teman baik itu di akhirat nanti akan saling menyalahkan kecuali orang yang bertaqwa. Kenapa? Kerana sebagai teman kita tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang sepatutnya. Belum sebut lagi orang lain, mereka dari agama lain yang akan sama menyaman kita kerana kita tidak menyampaikan Islam pada mereka.

Bila sebut dakwah , ia berkaitan dengan agama. Islam itu sendiri. Agama, untuk sesetengah kita adalah satu penjara, satu beban. Ia bukan rahmah, solusi untuk masalah kita. Justeru, kita tidak gembira mengamalkan agama mahupun berbangga dan jauh sekali ingin berkongsi kegembiraan dan keseronokan kita beragama kepada orang lain. Mengapa? Kerana kita mengambil agama dari sudut hukum sahaja, wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Kita tidak pergi jauh lagi memahami mengapa wajib itu wajib, haram itu haram? Ada banyak penjelasan tentang ini. Tapi, mari kita renungkan penjelasan ringkas tentangnya. Mengapa kita kena solat? Tak solat tak bolehkah?Solat 5 waktu itu wajib.Macam makan.kena makan tak? Kena. Kalau tak, mati. Hukum-hukum WAJIB ini juga berkaitan hidup dan mati juga. Apa yang mati kalau kita tidak solat? Jiwa. Apa yang akan mati kalau kita berbuat perkara yang haram? Jiwa.

Ingat, diri kita terdiri dari dua komponen, jasad dan ruh. Jasad makanannya- nasi, sayur, ikan, daging. Ruh makanannya- solat, puasa,sedekah,zakat. Untuk dapat kesihatan yang sempurna, kita perlu nutrien yang cukup. Karbohidrat, protein, vitamin, zat galian. Cuba fikirkan ini:
Hidangan asas – nasi = Solat wajib ( solat 5 waktu)
Hidangan Sampingan- ayam, daging, sayur = solat-solat sunat.
Kita pasti perlukan hidangan sampingan itu kan supaya badan kita cukup nutrien. Justeru, untuk ruh kita, apa kata kita set ke dalam fikiran kita, kalau kita malas nak melakukan amalan sunat, maka pada hari itu, makan nasi sahaja. Tahan diri dari makan hidangan berwarna warni yang enak-enak.
To know is to be. Mari sama-sama ingatkan diri kita untuk amal apa yang kita belajar biar sedikit. Berapa ramai dari kita yang berilmu tapi amalnya sifar. Kerana itu keindahan ilmu itu tidak terserlah pada peribadinya. Dan lahirlah dalam masyarakat manusia-manusia terpelajar tetapi rendah nilai akhlaknya kerana mereka orang yang membaca.. menurut perintah Iqra’ tetapi tidak dengan bismi rabbikallazi khalaq.
BACA SELENGKAPNYA - To Know is To Be
0

Menyemai Ruh 'Idul Adha


Hampir menjadi tradisi, setiap kami di Kampung Usrah lebih suka meraikan Hari Raya Korban di rumah kami berbanding pulang ke kampung. Para menantu dan cucu warga Kampung Usrah juga senang meraikannya di sini berbanding pulang ke kampung masing-masing. Istimewanya kerana kami akan melakukan korban selepas solat hari raya, kemudian kaum lelaki berhempas-pulas 'menumbangkan' lembu sebelum kami sama-sama bertakbir waktu lembu disembelih. Kaum perempuan turut serta menyaksikan selain lebih sibuk bertukar cerita. Almaklum, jarang bertemu.

Kemudian, orang lelaki sama-sama melapah lembu, membahagikan dan kemudian emak dan ayah saya selaku 'tekong' akan keluar mengagih-agihkan daging kepada yang berhak. Orang lelaki kemudiannya akan terus memasak sup gear box. (Ops..bahan rempahnya buatan saya yer..hehe). Sungguh ia jadi acara yang ditunggu-tunggu. Ia cukup untuk memenuhkan hari pertama raya korban. Di Johor, tradisi ziarah menziarahi pada Hari Raya Eidul Adha tidak semeriah seperti di Pantai Timur. Waktu berhari raya di Kelantan satu masa dulu, juga di Syria, saya berkeliling ke rumah-rumah sekitar dari pagi santak ke petang.
Para pemerhati bebas

Di Johor, tidak. Justeru, acara seperti ini, selain menjalankan ibadah korban, memberi ruang dan menggalakkan kami, orang-orang muda menjalankan korban, ia juga medan merapatkan silaturrahim sesama jiran tetangga. Budak-budak muda yang lelaki pun dapat belajar 'menguruskan' lembu seekor dari urusan menyembelih, melapah, menimbang, memasak hingga mengagihkan korban. Emak berpesan supaya kami memulakan azam untuk menjalankan korban. Bukannya mahal pun satu bahagian, kata emak. Tahun ini, rumah saya diwakili abang Luqman saya. Tahun depan...hmmm, harap saya ada rezeki untuk turut serta.Amiin.
Acara melapah lembu nan seekor

Kata emak permintaan untuk ikut serta dalam korban tahun ini meningkat. Lebih dari 7 orang yang membawa ke 2 ekor lembu. Tapi memandangkan kami tidak cukup kakitangan, emak menolak. Mungkin mereka ke tempat lain. Ruh Eidul Adha semakin berkurang tahun ke tahun. Waktu kecil-kecil dulu, saya menyambutnya di Melaka. Terasa sambutannya. Ohh, mungkin kerana saya anak kecil, kegembiraan itu dirasakan bila menerima duit raya waktu berziarah. Eidul Adha itu pada korban dan takbirnya. 4 hari. Itu yang kita masih gagal melaksanankannya dengan penuh penghayatan. Saya berdoa, moga tahun-tahun akan datang, kita akan dapat memenuhi tuntutan hari raya itu.
BACA SELENGKAPNYA - Menyemai Ruh 'Idul Adha
0

Muhasabah Jumaat

لا تيأس. فإن اليأس ليس من أخلاق المسلم
Jangan kamu berputus asa kerna putus asa itu bukan daripada akhlak seorang Muslim.

Ada ketikanya kita merasa sangat penat. Mahu berhenti berlari. Mahu terus tidur dan bermimpi. Tapi kita sedar, perasaan galau, lintasan dan hasutan syaitan itu tidak harus mendampingi perjalanan hidup kita yang singkat tapi masih jauh ini.

Entah kenapa minggu ini benar-benar satu ujian buat saya. Ujian hati yang sedikit berat. Dan entah kenapa juga kesabaran saya terhadap karenah manusia tiba-tiba menunjukkan penurunan yang ketara. Saya paksa juga diri berpura-pura sabar. Tasabbar. Memaksa diri bersabar walaupun saya sebenarnya sudah lelah. Tapi entah, Tuhan juga menghadirkan perasaan yang berwarna-warni . Saya marah. Tapi tak sampai berapa minit, orang yg sama membuatkan saya marah, membuatkan saya gembira. Lalu saya simpulkan ia sebagai suatu yang saya sedari sebagai ‘sayang’. Bila kita menyayangi seseorang, kita akan gembira bila melihat dia gembira. Dan kita akan marah bila dia tak seperti yang kita mahukan. Kerana kita mahu dia selalu jadi yang sempurna dan terbaik di mata kita dan orang lain. Ini hasil kesimpulan saya setelah seminggu diuji dengan hal-hal di rumah sewa dan teman-teman.

Semalam hati saya disentuh, ditegur dengan sangat halus tetapi tajam. Membuatkan saya hilang kata-kata, menahan air mata yang bergenang di ruang mata menunggu masa untuk meluru keluar. Saya tidak mendaftarkan diri untuk ke Training Nuqaba’ memikirkan proposal saya yang masih perlukan perhatian. Kak Su di rumah meninggalkan pesan ustaz yang mahu saya segera menghubunginya. Waktu saya datang mengadap beliau di pejabat, redup wajah ustaz merenung saya. Kenapa Maryam? U are not dealing with main switch now. You are playing with something else. Ini satu penghinaan! Saya makin tunduk, tak berani mengangkat muka. Tersentak dengan kata-kata ustaz.

Apa masalah awak? Kalau awak rasa kerja yang awak nak buat itu lebih penting, tak apalah. Ma’aki hak. Ustaz tahu awak dah pergi sem lepas. But I want your contribution to guide your sister. Ini bulan korban Maryam. Student ni kadang-kadang dia lupa, that why I have to remind you. Macam mana? Anti fikirlah. Ustaz tak paksa. Perlahan-lahan saya angkat muka. Sini, saya tulis nama saya ustaz.

Saya seperti anak kecil ditegur ayah. Serabut hati saya terbang. Saya seperti rasa ‘ditempeleng’ dan ia menjadikan saya normal kembali. Syukur. Tuhan masih menghadirkan insan-insan terbaik buat saya. Memang saya seperti hilang arah selepas habis exam. Sukar menyusun jadual yang efektif. Benar kata ustaz. Saya tidak bekerja dengan ‘main switch’ kerana itu saya hilang arah. Saya terlupa menyerahkan urusan hidup pada Dia yang Maha Tahu. Saya merancang dan merancang, berharap dan menyulam azam. Tapi saya gagal bertawakkal penuh pada Tuhan. Saya kata saya serahkan urusan pada-Nya tapi sebenarnya tidak. Saya masih ragu. Saya bertanya-tanya.

Pagi Jumaat yang indah ini saya mahu memuhasabah diri. Bagaimana mahu menyerahkan urusan pada Tuhan? Bagaimana untuk jadi yakin seperti yakinnya Hajar pada Tuhan waktu ditinggal sendiri bersama anak kecil di tengah padang pasir kontang. Saya Maryam. Kata emak, dia mahu saya jadi sabar seperti Maryam. Kuat juga saat sendirian melahirkan Isa a.s. Juga jadi taat dan solehah sepertinya. Hati saya barangkali terlalu sibuk dengan dunia hingga tak merasa lazatnya ibadah. Ihdina Ya Rabb.

Pesan buat hati: Setiap perbuatan yang lahir dari hati akan mudah mengetuk hati.
BACA SELENGKAPNYA - Muhasabah Jumaat

MALU SEORANG PEREMPUAN

Dari Ibn Majah, sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya bagi setiap agama itu, akhlak tertentu. Dan akhlak Islam adalah sifat malu. Menelusuri buku Qisas al-Quran al-Karim tulisan Dr Fadl Hassan Abbas, saya tertarik dengan kupasan beliau pada ayat di bawah waktu membawakan kisah Musa bertemu dua orang perempuan; anak kepada Syeikh Madyan di dalam al-Quran:
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا
"kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu(malu) sambil berkata:" sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami".

Ulas beliau, malu itu hiasan seorang perempuan.

Pada ayat ini, ada 2 cara waqaf(berhenti) :

1)فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي . Kemudian mula kembali dgn membaca عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ ( dalam keadaan tersipu-sipu(malu) dia berkata )
~ Waqaf begini menunjukkan sifat malu waktu berkata-kata~
atau

2) فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ (berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu)
Kemudian mula kembali dgn membaca قَالَتْ إِنَّ أَبِي
~Waqaf begini pula menunjukkan sifat malu waktu berjalan~

Dr Fadl menyimpulkan: kedudukan kalimah(عَلَى اسْتِحْيَاءٍ) di antara dua kalimah (تَمْشِي)dan قَالَتْ memberikan gambaran bahawa sifat malu pada seorang perempuan baik-baik itu harus ada pada perkataan dan perbuatannya.


Waktu bicara tentang ayat ini bersama seorang teman saya, kami sama-sama termenung menopang dagu dan tergelak malu sendiri berkata; haya nisaii(malu seorang perempuan) itu tidak begitu ada pada kita, ya. Bagaimana gambarannya ya? Ngak pa pa, masih ada sifat pemalu itu pada diri kita kan, bilang teman saya, Cut gadis Acheh yang sangat percaya diri dan mandiri. Yang penting kan malu yang dasarnya iman. Malu untuk berbuat munkar dan maksiat yang dilarang Tuhan.

Benar, seorang perempuan itu ada aturan bagaimana mahu menuturkan kata di hadapan lelaki ajnabi, juga bagaimana seharusnya tingkah laku perbuatannya. Al-Quran telah mebentangkan manualnya dan tajribah hidup sudah membuktikan akibatnya jika seorang perempuan( lelaki juga) tidak patuh pada manual itu. Malu itu perisai. Seperti sifat takut juga. Harus ada dalam diri semua kita perempuan supaya lebih hati-hati menjaga diri. Tapi tetap ada peratusnya. Tidak boleh berlebihan malu atau takut. Seperti garam dalam masakan. Biar cantik, tampak enak menyelerakan, tanpa garam, selera jadi mati. Terlebih garam, begitu juga.

Syeikh Hassan dalam kuliahnya tentang malu menyebut Haya' (malu) menurut Ibn Qayyim daripada hayat(hidup). Hujan / al Matar dipanggil haya kerana apabila Allah menurunkan hujan, ia menghidupkan bumi yang mati. Begitulah Allah menghidupkan hati dan ruh dengan malu. Malu akan membuat kita meninggalkan perkara-perkara buruk samada dari segi percakapan, perbuatan atau akhlak dan mengelakkan kita daripada terkurang daripada melaksanakan hak kepada yang berhak.

Malu menurut beliau terbahagi kepada dua bahagian:

1) Malu Fitrah/Jibilliyy/Gharizi
contoh malu jika tidak berpakaian di hadapan manusia. Malu fitrah ini kalau diperhatikan semkain hilang daripada manusia.

2) Malu Iman/Muktasab
diperolehi jika kita kenal Tuhan kita. Tidak akan lahir kecuali kita merasai bersyukur atas nikmat Allah dan merasa kekurangan atas hak-Nya yang tidak kita penuhi. Dengan segala nikmat yang Tuhan beri, maka kita akan jadi malu sendiri pada Dia yang telah memberikan segalanya kepada kita. Malu ini akan dapat kita perolehi dengan ketaatan kita kepada Allah.

Lihat bagaimana Allah Yang Maha Mengetahui dan Melihat segala amal perbuatan, mengetahui segala dosa kita tapi Dia tetap melindunginya, tidak memperlihatkannya pada manusia lain. Memikirkan ini, saya kira, kita harus jadi sangat bersyukur. Betapa kitalah manusia yang selalu lalai dan leka, alpa terkadang hingga tak terlepas daripada berbuat dosa. Tapi Tuhan masih sangat menyayangi kita. Sangat...! Dosa itu kekal antara Dia dan kita. Allah tahu kita tak kan tertanggung malu jika ia terdedah kepada manusia. Ya Rabb, Allahummas turna wala tafdahna. Allahummar zuqna hayaan.( Ya Allah tutupla rahsia kami dan janganla engkau dedahkannya, Ya Allah kurniakanlah kami sifat pemalu) .

Bagaimanakah praktikalnya sifat malu itu? Dan apa pentingnya malu itu? Malu akan menjadikan kita anak yang hormat pada orang tua, hamba yang merendah diri daripada sifat tamak, riya'. Akan mengelakkan kita daripada berbuat yang haram tak kira dari segi apa, makan, berfikir, melakukan...Malu untuk tidak menyempurnakan tugas dan kewajipan seperti yang sepatutnya. Begitu malu itu menjadi perisai kerana malu itu satu bahagian daripada iman.

Hari ini, saya mahu mengatakan kepada diri saya, seorang perempuan; sesungguhnya hiasan terbaik seorang perempuan adalah sifat malu. Aduh,serasanya Syaidina Uthman itu beribu kali pemalunya daripada saya.
BACA SELENGKAPNYA - MALU SEORANG PEREMPUAN
0

Mati itu Pasti

Kematian itu pasti. Yang masih tidak pasti adalah keyakinan kita pada sebuah kematian, pada suatu waktu yang kita tiba-tiba bangun dan melihat berada di tempat lain.

Jangan tanya saya adakah kubur itu luas atau sempit atau bagaimana. Saya tidak tahu itu. Yang saya tahu hanya ingatan Nabi s.a.w tercinta; kubur itu samada akan jadi taman daripada taman-taman syurga atau lubang daripada lubang-lubang neraka.
القبر روضة من رياض الجنة، أو حفرة من حفر النار
Amal kita nanti yang akan memilih; taman syurga atau lubang neraka.

Kata kubur setiap hari:
Aku rumah yang sepi, jadikan bacaan Quran temanmu,
Aku rumah yang gelap, terangilah dengan melazimi solat malam,
Aku rumah yang penuh dengan tanah , bawalah amal soleh sebagai tilam hamparan,
Aku rumah ular berbisa, bawalah amalan Basmallah sebagai penawar,
Aku rumah si penyoal Munkar dan Nakir, maka banyakkan bacaan "Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya mudah kamumenjawab soalnya
Setiap kali kita melawat orang meninggal, sering kita bacakan Yasin atau kita mendengar orang membaca Yasin. Lalu apakah peringatan dalam Yasin itu jatuh ke hati kita?
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ 12.
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab yang jelas nyata.

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ
51.dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَن بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا هَذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ 52
(pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! siapakah yang membangkitkan Kami dari kubur tempat tidur kami?,, (lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh rasul-rasul!,
Ahh, alangkah bahagianya kalau kita yang bergelar penghuni syurga:

إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ 55.
Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِؤُونَ 56
mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ 57.
mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

سَلَامٌ قَوْلًا مِن رَّبٍّ رَّحِيمٍ 58.
(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Tapi ya, sebelum ke syurga harus masuk court dahulu untuk dibicarakan. Siapa yang akan jadi saksi amalan kita?

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ 65
pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
Justeru, dari setitik air mani asal kita, sangat kecil di mata Tuhan, lalu kita mahu derhaka padaNya? Dan segera lupa yang Dia, Tuhan yang Maha Berkuasa mampu menghimpunkan tulang belulang kita dan menghidupkan kita kembali!

أَوَلَمْ يَرَ الْإِنسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ 77
tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلْقَهُ قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ
78. Mereka mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan mereka lupa keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?"

قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ 79
katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan ia Maha mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
Kata pepatah arab: Kafa bilmauti wa’izan- Cukuplah mati sebagai peringatan.
Kita punya anak soleh yang boleh mendoakan? Atau ilmu yang telah dikongsi untuk dimanfaatkan orang lain atau sedekah jariah yang bakal jadi bekal saat berseorangan bertemu Tuhan…
Ayuh kita hitung apa yang mampu kita bawa kalau kita dipanggil pergi sebentar lagi..
Akhirnya, saya mahu kongsikan kata Ad-Dhahhak, seorang ahli tafsir yang dipetik dari buku HAMKA, Lembaga Hidup:
“Yang bernama hidup bukanlah nafas yang turun naik. Karena tidak sedikit orang yang nafasnya turun naik tetapi dia mati. Dan tidak sedikit orang yang nafasnya sudah berhenti turun naik, tetapi dia masih hidup, lantaran akalnya.”
**************************************************
Dedikasi untuk sahabat; Khadijah dan Ramadan; sungguh kalian akan rindukan syurga kerana sudah ada yang menunggu di sana…sungguh kalian insan pilihan untuk tetap dekat dengan Tuhan lantaran ujian yang hadir. Sungguh, perpisahan itu pahit tapi kasih Tuhan akan selalu bersama hambaNya yang redha dan selalu yakin serta percaya pada Qada’ Qadar Tuhan.
BACA SELENGKAPNYA - Mati itu Pasti
0

Cinta,Love, الحب

Gantikan secawan kopi hitam ini...

Ia bukan segala-galanya. Yang cantik, indah, handsome dipandangan belum tentu yang terbaik. Yang Nampak menyelerakan, menggiurkan belum tentu baik dan sedap bila dimakan. Begitu mata mudah tertipu. Justeru ada timbangannya dalam hidup ini bila mahu menilai sesuatu.

Tertarik dgn cerita Dr Komar semalam. Dalam satu majlis beliau ditanya tentang hak/right? Kata Dr, beliau tidak berminat untuk turut serta menuntut hak wanita seperti yang diperjuangkan sesetengah wanita . Rakan yang bertanya, seorang non muslim memperlihatkan kehairanan. Ya, menurut mereka kan, wanita Islam tidak mendapat hak yang sepatutnya. Segalanya didominasi oleh lelaki. Ya..kerana Quran menurut mereka ditafsir dari kaca mata seorang lelaki. Bukankan hampir semua kitab-kitab tafsir muktabar ditulis oleh lelaki. Kata Dr, dalam Islam kami sudah mendapat hak kami. Yang sesuai dengan keperluan kami. Dan ia sangat adil kerana yang menentukan hak itu tidak lelaki mahupun perempuan. Ohh? Terperanjat dia yang bertanya. Tuhan kamu bukan lelaki? Bukan. Tidak lelaki, tidak juga perempuan. (lelaki ini masuk Islam kemudiannya, tidak silap saya ).

Apa kaitan cerita Dr Komar dengan tajuk cliché saya? Tiba-tiba bercakap tajuk ini. Ya, segalanya terhubung akhirnya dengan Sang Pencipta. Setiap sesuatu, buruk baik itu ukurannya pada Dia, seperti yang telah diperintah Dia, seperti yang sudah dimaktubkan dalam Quran, kalam-NYa. Bukan ukuran bagus dan baik itu pada tangan kita, manusia yang cepat berubah hati. Cepat terpesona dengan manisnya kata, tulusnya bahasa, indahnya budi. Lebih lagi saat ‘cinta’ yang sudah dibilang orang banyak kali; buta ,itu jadi teman setia. Lalu yang ada Cuma cinta. Tidak lain. Quran waktu menerangkan saat Zulaikha mabuk cinta pada Yusuf menggunakan perkataan [qad syarofaha hubba). Syaghofa itu maksudnya hatinya dipenuhi, ditutupi, gelap dengan cinta hingga tak mampu berfikir selainnya. Bagaimana mahu menerima selainnya, kalau tidak ada lagi ruang untuk diberi tempat kata nasihat dan pedoman.

Justeru selalu pepatah bilang, kalau cinta, jangan sepenuhnya, benci juga begitu. Beri ruang untuk yang lainnya. Supaya kita tidak jatuh bersama-sama si buta bernama cinta dalam perigi yang memang tak bermata. Saat sudah jatuh jangan rasa dunia seperti sepi. Perigi buta memang bukan tempat diamnya manusia yang boleh dibawa bicara. Merasa dunia sepi, hati kosong..i’m empty…rasa seperti mahu mati, bukan kata yang selayaknya untuk seorang Muslim kan., seperti kita tiada Tuhan buat mengadu. Sedih itu biasa. Merasa patah hati itu normal. Manusia kan kita. Tapi berlama-lamaan dalam ‘kekosongan’ dan melayan kesepian itu yang salahnya. Apa Tuhan sengaja mencipta kita untuk diberi masalah? Tidakkan…? hidup ada matlamatnya. Masalah itu ujian; mahu menjadikan kita tambah kuat atau mahu menguji tahap sabar dan iman kita. Justeru kembalilah merenung matlamat hidup. Matlamat hidup Muslim, kemudiannya, cita-cita kita sebagai manusia yang penuh impian dan keinginan juga harapan manusia berjasa, ayah bonda. Teruskanlah hidup.

Kalau sesuatu itu baik, Tuhan pasti melorongkannya biar susah. Serahkan urusan kita pada Dia. Kalau memang bukan untuk kita, belajarlah untuk redha atas ketentuan-Nya. Sekali lagi…Dia, Tuhan yang mencipta lebih tahu yang terbaik untuk ciptaannya.
Untuk adik-adik yang baru berkenalan dengan ‘cinta’, saya titipkan pesan…Jangan dibutakan mata hati dengan kasih sayang manusia’ asing’ dalam hidup kita hingga kita hilang peduli pada kasih manusia setia bernama keluarga yang tidakkan pernah boleh mengucap kata; kita putus, aku ceraikan kau, setakat ini shja hubungan kita. Tidak.

Susah, memang susah kalau perlu melupakan. Kerana yang ada cuma rasa mahu memiliki. Saya kongsikan pesan seorang guru sejak saya di tingkatan dua. Kalau suka seseorang, buat solat hajat.mohon pada Allah, kalau dia milik kita, mohon Allah simpankan(kalau belum masanya) dan jaga hati dia untuk kita. Kalau bukan, minta Allah campakkan jauh-jauh rasa cinta kita pada dia. Cubalah, saya rasa keberkesanannya. Kita memang tak kuat untuk mengharunginya sendiri tapi itu tak bermakna mati itu lebih mudah dan berhadapan dengan munkar nankir sendiri itu mudah. Kalau mahu menangis, silakan…kerana tangisan bukan tanda lemah bagi saya. Tapi ia tanda yang kita akan bangkit kembali, setelah pergi segala yag terbuku bersama air mata tadi. Sekian.


dengan segelas air putih ini.
BACA SELENGKAPNYA - Cinta,Love, الحب
2

Sebaiknya, Sepenuhnya, Sesungguhnya

Sarah muncul, seperti biasa; cepat dan pantas menuju ke arah saya di bilik Kak Jannah. Kak Jannah merungut marah kerana lama tidak bertemu. Sarah mengaju sebab, mengunjuk kakinya yang bengkak. Terseliuh katanya. Dua hari terbaring diurus teman senegara yang baik hati, Anam dan teman baru yang baru beberapa minggu tiba dari Banglore. Tambah becok mulut Kak Jannah, membebel marah kerana Sarah tidak memberitahu. Harus, dia diberitahu agar boleh membantu. Sarah menjawab, tidak mahu menyusahkan. Kak Jannah tarik muka. Dia harus tahu. Dia adik. Sarah mempertahan sikapnya. Kak Jannah membalas. Saya di tengah melihat, tergelak. Sangat lucu melihat kedua-dua teman berperang mesra. Saya katakan pada Sarah, awak tahu apa yang mahu saya buat sekarang? Mahu melukis wajah awak berdua. Sangat menyenangkan bersama keduanya. Kakak-kakak saya yang sangat peramah dan banyak mulutnya. Sarah, ibu anak satu dari India dan Kak Jannah, beberapa tahun lebih tua dari saya, gadis Acheh yang rajin dan kuat semangat.



Sarah datang dengan kaki yang masih sakit. Sudah kurang, tak mengapa, katanya. Saya kesal tidak mengetahui kondisinya hingga dia sanggup bersusah payah bertemu saya di bilik Kak Jannah. Cepat sahaja dia mmbaca baris demi baris dan membetulkan kesalahan tatabahasa assignment saya. Memang dia persinggahan akhir saya sebelum tugas-tugas kuliah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris diserah kepada pensyarah. Sangat senang membantu biar sibuk. Saya selalunya tidak menunggu lama kalau berurusan dengan Sarah. Kerjanya laju, cepat. Dia juga kakak yang baik. Tempat saya mengadu dan menangis bila sesuatu hal menimpa terutamanya yang berkait dengan hati. Hehe. Selalu bicaranya menenangkan dan mendewasakan saya. Saya senang dengan sikap terus terangnya dalam banyak hal. Kalau salah dikata salah, kalau betul disokong.



Kak Jannah juga begitu. Mungkin kerana saya jauh lebih muda, saya jadi manja dan lebih senang mendengar berbanding apabila bersama teman-teman yang sebaya atau lebih muda. Saya akan jadi kakak yang becok dan garang. Saya bahagia, bersyukur dianugerahi sahabat-sahabat terbaik di sekeliling saya.



Semalam, saya memanggil seorang adik dari Sudan bertemu saya secara personal. Dia satu-satunya pelajar antarabangsa dalam kelas Halaqah saya yang berjumlah 45 orang. Selain untuk cover kelas yang tidak dihadirinya, saya mahu berbicara mendengar pendapatnya tentang Malaysia. Dia tersenyum bila saya ajukan soalan. Saya rasa sangat asing pada minggu-minggu pertama saya, katanya. Rakan-rakan Malaysia seolah-olah cuba mengelak untuk bersama kami dalam satu kumpulan apabila perlu kepada kerja-kerja by group. Asing, ya. Budaya kami biasanya memuliakan tetamu. Tapi di Malaysia, anda seperti tidak dialu-alukan. Mungkin kerana imej tidak baik yang dipaparkan pelancong-pelancong Arab terutamanya dari Negara Teluk yang berkunjung ke Malaysia untuk bercuti. Kawan-kawan dan pensyarah menganggap kami yang datang dari keluarga yang kaya. Mereka tidak tahu, kos hidup dan belajar di Malaysia sebenarnya lebih murah berbanding di Sudan.



Saya angguk, mengakui memang ramai rakyat Malaysia yang punya tanggapan buruk kepada warga Arab tanpa membezakan dari mana mereka. Arab adalah Arab, sama semuanya. Mungkin kesan pengalaman menunaikan haji di Mekah atau belajar di Timur Tengah maka, cerita-cerita buruk itu dikongsi dan jadi bahan rujuk ramai orang. Arab kasar, suka duit, gatal dan banyak lagi. Tambah buruk lagi dengan paparan media beberapa bulan lalu soal perkahwinan dengan warga Arab yang banyak menemui kegagalan. Emak saya pantas menelefon apabila keluar kenyataan seorang menteri di Jab Perdana Menteri, mantan pensyarah UIA tentang ini. Tentang ramai pelajar UIA yang jatuh cinta dengan pensyarah atau pelajar Arab. Emak saya menekankan, itu, Dr tu dah bagi statistik. 10 dari 12 pasangan yang berkahwin dengan warga Arab menemui kegagalan. Saya tak salahkan emak. Tapi panas hati dengan kenyataan yang pada saya masih boleh dipersoalkan. Perkahwinan campur memang sukar. Saya akui itu. Tapi itu tak bermakna kita boleh mengatakan ia adalah perkahwinan paling mudah menemui jalan buntu dan berakhir dengan perceraian. Cuba tengok statistic perceraian di Malaysia, menggigil badan melihatnya.



Saya bukan mahu memenangkan sesiapa. Saya cuma mahu berkongsi apa yang saya dengar, lihat dan rasai. Saya kira warga melayu Muslim UIA harus belajardan berusaha membina dunia Islam kecil yang harmoni, tenang dan menyenangkan. Ini bukan kali pertama saya menerima komen dari teman-teman antarabangsa saya. Kita memang gagal dalam bab memuliakan tetamu seperti warga Arab memuliakan tetamu tetapi dengan sedikit santun, budi bahasa dan lembut hati kita, saya kira kita warga Malaysia mampu menjadi rakan yang baik. Entah, apa kerana kita masih sangat pemalu untuk bertegur sapa membina jaringan atau kerana kita tak merasa perlu membina ukhuwah atas dasar iman dan Islam yang kita kongsi bersama. Sukar kan menyambut pesan baginda Rasul s.a.w:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia menyintai saudaranya seperti menyintai dirinya sendiri (Riwayat Bukhari & Muslim).



Memulakan perkenalan pun kita malas, apa lagi mahu menyintai dan menjadi seperti Ansar kepada Muhajirin. Ya, kita menjadi sangat berkira dengan masa untuk membina sesebuah perhubungan, berkira dengan apa yang kita miliki. Sukar untuk berkongsi. Saya masih belajar memahami hadith itu. Tidak mudah mempraktikkannya. Saya pernah menerima sebaiknya, sepenuhnya, sesungguhnya. Namun, saya belum mampu memberi sebaiknya, sepenuhnya, sesungguhnya..

Nota: Sarah lebih tua dari Kak Jannah. Tapi kerana dalam Bahasa Inggeris tidak ada panggilan khas tanda hormat pada seseorang yang lebih tua, maka saya terbiasa memanggil Sarah dengan nama sahaja. Kak Jannah kerana dia juga Melayu, maka gelaran kak itu melekat hingga ke tulisan ini..


BACA SELENGKAPNYA - Sebaiknya, Sepenuhnya, Sesungguhnya
2

Syawal; Ziarah dan Puasa Enam



Jemputan Rumah Terbuka mula menghujani. Sukar juga memenuhi sebahagiaannya atas faktor pertindanan, masa atau jarak. Syawal, memang bulan merapatkan ukuwah, buat menautkan kembali hati-hati yang terasa jauh biar atas apa sebab pun. Sungguh, ruang untuk saling bermaafan dan menghubungkan silaturrahim ini tidak harus dipandang enteng.

Saya teringat waktu kecil-kecil dahulu kalau beraya di rumah nenek di Melaka. Nenek punya satu peraturan. Hari raya, kami tidak dibenarkan duduk di rumah. Wajib pergi berziarah. Selepas habis rumah-rumah saudara terdekat kami ziarahi bersama keluarga, saya dan sepupu akan bertandang rumah demi rumah sehingga habis satu kampung (kami sbt; habis satu Ganun-kg nenek saya). Memang, kita sangat teruja menyambut hari raya waktu kecil dahulu kerana habuan duit raya. Tapi saya tak nafikan, peraturan nenek itu banyak mendidik, mengenalkan dan membiasakan kami dengan saudara mara jauh. Kami memang tidak memperkenalkan nama masing-masing. Selalunya orang kampung akan tanya- ekau anak sapo? Maka menjawablah kami. Cucu Nenek Kimbok ngan Tok Jenal, anak Senab(emak saya tidak dikenali dengan nama Ramlah di kg). Sepupu saya yang lain juga; anak Somah, anak Kosum, anak Sonah.

Apabila dewasa, saya jadi marah apabila adik-adik lebih mementingkan tidur atau tv berbanding ikut berziarah ke rumah saudara mara atau teman-teman terdekat emak ayah. Memanglah, kita akan jadi bisu. Tapi kita akan belajar. Penting mengenali mereka-mereka ini. Saudaralah tempat mengadu susah di kemudian hari atau tolong meringankan beban atau paling tidak memeriahkan kenduri di rumah kita nanti. Teman-teman ibubapa pula, bukankah Rasul s.a.w berpesan untuk berbuat baik kepada teman-teman ibubapa apabila ketiadaan mereka? Lalu bagaimana kalau kita tidak mengenali mereka?

Justeru, sambut dan hidupkanlah semangat Syawal ini dengan ziarah tanpa terlupa menyusun hari untuk puasa enam dan puasa qada'. Untuk saya, saya cenderung kepada pendapat yang mendahulukan puasa 6 daripada puasa qada' selaras dengan apa yang dipraktikkan oleh Syaidatina 'Aisyah sebagai usaha untuk merebut pahala puasa 6. Ini kerana puasa ganti ini adalah wajib muwassa' iaitu, panjang waktunya. Namun, ada pendapat yang membenarkan digabungkan kedua-dua puasa. Iaitu niat puasa qada dan moga-moga Allah mengira sekali pahala puasa enam.

Bagaimana ya, prestasi amal kita Syawal ini dan seterusnya selepas graduate daripada madrasah tarbiah Ramadan. Saya akui, penangan kesibukan hari raya sedikit sebanyak mejadikan paras prestasi amal merudum teruk. Stamina juga menurun. Kalau ada sedikit sesal di hati atas kelalaian ini,teman, ayuh...kita semarak dan kobarkan ia kembali. Moga tak tersia latihan sebulan penuh Ramadan. Doa untuk saya, untuk anda juga. Salam Eidilfitri.
BACA SELENGKAPNYA - Syawal; Ziarah dan Puasa Enam
2

Eid Mubarak



Taqabbalallah minna wa minkum. Selamat Hari Raya Eidulfitri.

Macam-macam yang berlaku hari raya ini. Sebelum dan selepas. Begitu Tuhan mendidik manusia terhadap sesuatu. Diberikan ujian untuk muhasabah bagi yang menerima musibah juga untuk manusia di sekitarnya sebagai 'ibrah.

Tak naklah cerita sedih dulu, tak seronok dengan semangat Aidilfitri. Ni gambar-gambar raya. Tahun ni beraya di Rengit. Hampir semua adik beradik ayah pulang. Nenek yang duduk di KL juga balik kampung.Hehe. Tapi lepas adik accident, raya ketiga, kami balik Melaka kampung belah emak juga.
Untuk adik-adik yang masih tak kenal dunia, belajarlah dari kesilapan. Orang Mukmin itu tidak jatuh pada lubang yang sama dua kali. Dan kesilapan terbesar adalah tidak merasa bersalah atas kesalahan yang dilakukan. Ingat, redha Allah pada redha ibubapa. Jangan mengundang murka Allah dengan marahnya ibuayah kita. Masa muda memang gembira...segalanya tampak indah dan manis. Beringatlah sebelum datang pesan kedua dari Tuhan.

Kasihnya ibu...membawa ke syurga

Kasihnya ayah sepanjanglah masa...


BACA SELENGKAPNYA - Eid Mubarak
0

Kembalikan, dengan kuasaMu, Tuhan

Aku sudah jadi bisu
Hampir putus asa kalau
Bukan akur pada ingatan Tuhan
tentang rahmatNya yang maha luas

Untuk dia,
Aku benci mahu merayu memohon
Meminta tolong
Kerana dia tidak layak untuk itu semua
Orang yang layak adalah orang yang punya
sesuatu untuk dikongsi

Aku tidak tahu
Apa dia masih punya walau sekeping hati
Buat mengasihi seorang ibu yang sudah acap bermain air mata
Yang hambur dan marah masih dibalas kasih tak terjangkau dalamnya
Buat menyayangi ayah yang tak pernah terbang sabarnya
Biar bentak dan baran menambah sakitnya
Cuma disambut dengan hela nafas dan geleng lemahnya
Buat mengasihani si kecil naïf yang hanya tahu menghambur tangis
Atau menyimpan sendu kerana suaranya dilarang kedengaran biar sesekali mahu menunjuk
Yang dia cuma anak kecil..tangis itu biasa, mahu memancing perhatian

Untuk dia,
Aku…sudah tidak punya hati untuk kasihan
Berilah aku seribu alasan…
Sedang masa sebenarnya sudah lama memberi ruang
Aku sudah tuli mahu mendengar azam demi azam
Kerana mata cerah ini tidak pernah melihat tindakan dan perubahan

Biar kali ini kau kata aku kejam
Aku mahu jadi lebih dari itu
Kerana yang zalim memang harus dihukum
Yan tidak tahu berpegang pada janji
Yang sombong memahami amanah ILahi
Yang angkuh untuk kembali…

Kerana aku cuma seseorang yang gagal juga
Mahu menghalang segalanya dengan kuasa atau suara
Yang aku punya cuma sekeping hati
Yang saban hari meronta mahu berkata
Tapi yang keluar hanya air mata tanpa bunyi
Dalam tunduk dan rafa’ tanganku pada DIA pencipta ‘dia’

Mahu bagaimana aku, Tuhan,
aku hilang kalam mahu berdoa
Bukan azab yang aku pinta tapi
Kasihanilah ya Tuhan…
Ibuayah yang setia dan pemurah kasih itu
Si comel yang tidak pernah mengharap lahir
untuk dibumbu sukmanya dengan duka

Untuk mereka ini, Ya Tuhan…
Aku menyerah dan pasrah
Bagi segala sesuatu buat ‘mendidik’ dan melorongkan jalan ….
Untuk dia.

Dan dengan sisa kasih ini, Tuhan,
Aku menyembah hina…
berlemah-lembutlah pada apa yang Kau takdirkan
Aku bukan mengharap dia pergi…tapi kembali
Pulang..ke jalan Tuhan.
Tinta tanpa mutiara
1216 290909
BACA SELENGKAPNYA - Kembalikan, dengan kuasaMu, Tuhan
2

Pecutan Akhir


Kita berada di minit-minit terakhir. Ini waktu untuk benar-benar pecut. Atau, kita mungkin menyesal kerana tertinggal dari kejuaraan piala taqwa setahun sekali ini.

Apa ya yang harus ditambah lagi di hujung Ramadan ini. Harus berusaha untuk tambah khusyuk dalam solat fardu. Harus memaksa diri melakukan solat sunat di setiap solat fardu. Juga berusaha untuk tidak tertinggal tarawih. Juga menyempatkan diri untuk bangun solat malam. Kalau tidak larat, dua rakaat sebelum sahur atau paling kurang kata ustazah, ambil wudu', duduk sebentar; istigfar dan berdoa.

Apa lagi? Sedekah. Kalau rasa tak berjumpa dengan mana-mana orang yang layak diberi sedekah, anda yang menggunakan perbankan elektronik, boleh sahaja klik kepada rumah-rumah kebajikan yang disediakan oleh sistem bank anda. Mudahkan? Atau, hulur sahaja RM1, 2 sambil menitipkan satu dua pesan yang muluk-muluk pada anak-anak kecil yang ikut serta tarawih. Anak-anak itu pasti gembira dan menggembirakan hati orang kan satu yang dituntut hatta senyuman-تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَة,senyummu kepada saudaramu itu sedekah. Dan untuk kaum wanita yang 'dicutikan' pada hari-hari akhir ini, mungkin boleh lebih rajin memasak dan sedekah kepada jiran tetangga atau belanja sahaja sesiapa makan. Tak perlu ramai,yang termampu. Biar seorang.

Lagi? Kalau ada kesempatan i'ktikaf, terutamanya yang lelaki, harus cari peluang itu. Perempuan, kalau ada peluang, boleh sahaja tapi kalau mahu di rumah juga lebih baik untuk perempuan. Cuma khaskan satu tempat untuk kita i'ktikaf dan niat sahaja. Kalau mahu jadikan acara tahunan keluarga, lebih baik. Seorang ibu memberitahu saya, memandangkan mereka tidak punya kampung, acara i'ktikaf adalah program tahunan keluarga yang ditunggu-tunggu. Beliau akan survey, cari masjid yang sesuai, kemuadian mereka sekeluarga akan beriktikaf, biasanya pada hujung Ramadan, waktu orang sibuk packing barang dan balik kampung. Menarik, kan.

Quran memang pastinya sesuatu yang tidak harus ditinggalkan. Harus terus intim dengan kalam Tuhan ini. Mungkin sekarang, sudah boleh berkira-kira, merancang bagaimana kita mahu diri kita selepas Ramadan. Azam..azam itu perlu awal, harus selalu diingatkan, diulang-ulang ke dalam diri supaya stamina Ramadan masih kekal ketika Syawal dan bulan seterusnya, kalau kurang pun, mungkin sedikit kerana persekitaran seperti Ramadan tidak ada lagi. Yang penting, tidak hilang terus. KUn Rabbaniyyi wa la takun Ramadaniyyi. Kita bukan hamba Ramadan kan, kita hamba Dia.

Untuk akhirnya, mari sama-sama mengajak diri beramal. Ya, semampunya. Islam tidak memaksa sehingga kita terlalu bersusah-susah tapi jangan sampai terlalu lewa.

Moga bertemu Lailatul-Qadr. Banyakkan doa dan rintih di 10 yang terakhir ini. Kalau ada ingatan, selitkan nama saya dalam doa anda. Juga untuk saudara seIslam yang lain. Ooo..selitkan nama-nama yang anda sayang dalam doa..mahu dia berubah? Mahu dia pakai tudung? Mahu dia jadi lebih sabar, kurang barannya. Juga untuk pemegang kuasa. Hati mungkin terasa sakit, lebih banyak mahu menyumpah dari memuji. Tapi atas barakah Ramadan, tak salah kita melembutkan hati, menitipkan doa, moga mereka dipandu Tuhan, tidak nanar membuat keputusan.
BACA SELENGKAPNYA - Pecutan Akhir
0

Musim Bunga Kerohanian (Spiritual Spring)


Musim Bunga Kerohanian- nama indah untuk Ramadan diberi oleh Dr Uthman El-Muhammady di TV3 pagi ini. Pagi indah 17 Ramadan. Tuhan…cepat benar tahun berlalu. Kita kembali bertemu hari istimewa dalam Ramadan ini. Saya mahu kongsikan beberapa perkara tentang al Quran dan petikan-petikan kata-kata indah yang selalu membuat hati berbunga bila membaca, menambah cinta pada kalam Tuhan.


“Al-Quran adalah sahabat hidup.Ayat-ayatnya mempunyai naungan yang rendang di sebalik maknanya”
“Setiap surah adalah teman yang dekat, tercnta dan menyenangkan. Memiliki keperibadian tersendiri dan ciri-ciri khusus. “
“Al-Quran bukanlah ensiklopedia pengetahuan Islam yang memberi aku pengetahuan tapi tidak membimbing peribadi dalam perjalanan hidup”
-Syed Qutb-


Sahabat, al Quran itu punya beberapa hak untuk dipenuhi. Pertama-Haqqul iman. kita harus beriman dengannya. Kedua- Perlu dibaca. Ketiga- Perlu ditadabbur, difahami. Keempat- Perlu diamalkan isinya. Kelima-Perlu disampaikan kandungannya. Keenam-hak untuk dihafaz
Saya kira soal beriman dan membaca itu, kita mungkin sudah pas. Jadi harus upgrade hubungan kita dengan al-Quran ke peringkat ketiga. Faham. Bagaimana mahu memahami kalau tidak tahu berbahasa Arab. Terjemahan kan ada. Untuk permulaan, kita harus berdikit-dikit rajin membaca terjemahan. Kemudian, boleh pergi pada tafsir-tafsir terpilih. Tafsir Ibn Kathir contohnya yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu. Tafsir Hamka dan Tafsir Syed Qutb juga(Fi Zilal al Quran). Ketika imam membaca ayat-ayat panjang waktu solat Terawih, saya selalu cemburu pada orang-orang Arab kerana itu bahasa mereka. Saya kira solat menjadi saat rehat yang menenangkan.Taraawih..kan waktu untuk rehat. Ia waktu mengulang kembali pesan Tuhan seperti Tuhan sedang bicara. Berpindah dari satu pesan kepada pesan lain, dari satu cerita kepada cerita yang lain.



Tapi saya selalu pesan pada diri. Kefahaman itu milik Dia. Milik Allah. Dia akan beri kepada orang yang dicintai. Memang kalau anda tidak faham sepatah b.Arab pun, selain usaha, berdoalah moga Allah kurniakan kefahaman pada kita. Kalau hebat b.Arab sekalipun tapi Allah tidak buka pintu untuk faham, maka tiada gunanya. Faham itu dilihat dari amal. Sedikit yang difahami dan diamalkan itu lebih baik dari mengumpul ilmu setinggi gunung tetapi sifar amalnya.
Kata Ibn Umar, generasi pertama umat ini iaitu para sahabat Rasul s.a.w hanya menghafal satu surah namun mereka diberikan rezeki untuk beramal sesuai dengan al Quran. Sementara generasi akhir dari umat ini, mereka membaca al Quran, dari anak kecil hingga orang buta namun mereka tidak diberikan rezeki untuk mengamalkan isinya.


Kata Mu’adz bin Jabal : Pelajarilah apa yang kalian kehendaki untuk diketahui namun Allah SWT tdak akan memberikan pahala kepada kalian hingga kalian beramal!


Saya kira kita harus banyak membaca sirah, melihat bagaimana akhlak generasi al Quran supaya tergambar pada kita bagaimana seharusnya peribadi kita, ummat yang punya bimbingan alQuran. Umair bin Hamam, seorang sahabat saat mendengar janji Allah dalam al Quran buat orang-orang yang berjihad bertanya kepada Rasulullah. Saat iUmair sedang makan kurma. Katanya, di mana saya kalau saya mati dalam perang ini? Rasulullah menjawab: Di Syurga. Lalu Umair berkata: Sungguh, menunggu masuk syurga sampai menghabiskan tujuh biji kurma ini adalah sangat lama. Lantas dibuangnya sisa kurma itu dan terus maju ke medan jihad sehingga syahid.


Lihat keyakinan mereka pada janji Tuhan. Kita, biar mendengar gandaan pahala dan janji syurga, masih ‘kering’ hati mahu menyambut tawaran istimewa.


Ayuh kita perbaiki azam, moga cinta kita pada Al Quran seperti cinta Ummu Aiman, pengasuh Rasulullah. Saat Abu Bakar dan Umar datang berziarah, menangis dia kerana teringat akan kewafatan Nabi yang mulia. Lalu berkatalah kedua sahabat ini, “mengapa engkau menangis? Rasululullah sudah mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.” Maka dijawab oleh Ummu Aiman, “ Aku menangis bukan kerana meninggalnya baginda. Tapi aku menangis kerana terputusnya wahyu Allah yang datang kepada baginda pada pagi dan petang hari”. Menangislah kedua sahabat baginda ini mendengar jawapan tersebut.


Sahabat, cinta bukan lalang yang tumbuh sendiri. Ia harus ditanam dan dijaga selalu. Justeru, marilah sama-sama kita tanam dalam hati cinta kita pada Al-Quran dan kita baja dan siram setiap hari dengan usaha kita memahaminya.
BACA SELENGKAPNYA - Musim Bunga Kerohanian (Spiritual Spring)
0

Trek kita...



Ramadan Kareem wallahu akramakum, ahibbaaii.

Bulan tercinta telah tiba, hampir selesai pusingan yang pertama. Kita masih berlari anak atau sudah memecut. Atau memang sudah memecut dan nanti akan kembali ke mode biasa waktu hampir ke garisan penamat. Atau...tidak ikut serta dalam kejuaraan setahun sekali ini. Jangan...masih tidak terlewat untuk turun ke trek. Ini kejuaraan luar biasa. Tidak ada hakim manusia yang menentukan siapa juara di hujung garisan. Dan bukan manusia juga yang menilai mutu larian di trek istimewa ini. Kata Dia, Sang Penganjur...ini untuk Aku, Aku yang menilainya.

"Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya, melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) "

(الصيام لي وأنا أجزي به) Mengapa dikhaskan puasa di sini?
Kata Ibn Hajar, kerana orang tidak riya' bila berpuasa. Mungkin ada, tapi sedikit sekali. Ia amal antara kita dengan Allah. Siapa tahu anda berpuasa atau tidak? Ia amanah. Ya...kita sama-sama berlari, tapi di trek berlainan. Milik peribadi. Justeru, hanya Dia yang Maha Mengetahui dan Melihat layak memberi mata. 10, 100, 1000?
Piala taqwa telah lama disebut-sebut. Tapi iya, sedikit cuma hati-hati yang tertarik mahu merebutnya. Atau memang sangat teringin tapi tidak cukup stamina untuk bertahan di trek yang banyak 'hurdle'nya dan singkat pula waktu yang diberikan buat menghabisinya. Barangkali tidak cukup warm up dan latihan sebelum.

Bertahanlah, belum waktu untuk semput atau putus nafas. Kalau perlu bantuan, segera cari. Kita mungkin perlu teman untuk sama-sama kuat merentasi halangan. Ada rasa malas, ada rasa mengantuk yang sangat. Lalu mahu berhenti dan tidur. Sebentar tidak mengapa, tapi kalau mahu berlama-lama...masa tidak akan menunggu.

Lupa, ini bukan larian biasa. Ini treasure hunt. Ini bukan padang biasa, ini padang hijau penuh pohon rendang, semak juga. Sela-sela berlari harus berhenti mengutip bekal dari pohon rahmah, pohon berkah, pohon magfirah. Jangan silap berhenti...ada wakaf juga, penuh makanan, sangat menggiurkan...ada pakaian-pakaian cantik bergantungan. Mahu? Sekadarnya...jangan berlebihan. Kerana kejuaraan luar biasa ini lain cara nilainya. Kerana ia mahu juara yang bukan calang-calang. Ia mahu juara yang konsisten; yang akan terus berlari biar kejuaraan sudah tamat. Juara yang tahan sabar dan uji, kebal dan ampuh dengan pencabar-pencabar ghaib yang bakal dibiar bebas kembali ke trek selesai kejuaraan ini. Oh, sukar sekali mahu meraih piala taqwa.


Iya, justeru harus bertanya diri, apa kita sedang berlari dengan betul, apa kita tahu apa yang harus kita cari di padang luas ini, apa yang harus kita kutip dari laluan sukar ini? Ini padang yang cantik dan indah. Justeru memang ramai yang turun merai. Sekali lagi ingatan, jangan cepat terpesona. Fokus pada trek anda. Kerana tidak semua yang turun ke padang ini benar-benar mahukan piala taqwa kerana habuan lain banyak juga. Anda tentukan...mahu piala taqwa atau habuan selainnya!
BACA SELENGKAPNYA - Trek kita...
0

Pulanglah


Pulang dari Interfaith Dialogue membincangkan tajuk "Tujuan Hidup" dari 3 perspektif agama di UIA tadi, saya berkira-kira mahu menyambung menyiapkan slide untuk pembemtangan hari Khamis ini- kelas Muslim Scholarship in Comparative Religion. Fokus saya adalah Ara' al Hind (Pandangan Orang Hindu) tulisan Shahrastani. Saya sedikit tenang selepas bertemu Dr Komar bertanyakan fokus pembentangan saya. Sedikit sebanyak saya perlahan-lahan mula memahami opps..masih cuba memahami dengan lebih mendalam berkenaan agama lain. Masih sangat pening memahamkannya sebenarnya. Dr Komar baru selesai membentang tentang Judaism dan Cristianity. Saya masih perlu masa memahami beberapa konsep utama dalam setiap agama.

Syukur, itu sahaja yang mampu saya katakan. Berpeluang belajar dengan Dr Komar, biar sedikit menakutkan saya kerana ketegasannya namun sangat menyenangkan saya. Kelas beliau selalu memberi inspirasi yang bukan sedikit. Selalu menyentak saya. Selalu menguji dan mencabar kefahaman saya tentang Al Quran. Selalu mengujakan saya tentang hikmah setiap kalam Tuhan dan cerita yang terakam di dalamnya. Memahami perbezaan antara agama menyebabkan saya melihat lebih luas dan lebih memahami agama saya. Menghargainya.

Kembali, memang setelah internet dapat saya akses 24jam di rumah, ia sangat 'mengganggu' saya. Inilah contohnya. Bukan presentation yang saya hadap tapi email dan blog. Tiba-tiba malam ini saya kembali mebaca email-email lama dalam folder tertentu. Email empat lima tahun lalu. Melihat semangat yang pernah marak dalam diri. Saya baca kembali email-email saya kepada YB Fong Po Kuan dan jawapan balasnya yang penuh dengan semangat kewanitaan. Juga email dari Anna, wanita German yang kami temui dalam satu diskusi di pejabat Sisters in Islam dan kongsi bersamanya isu-isu wanita, Islam, Liberalisasi ( macam tak caya..saya pernah melalui zaman ini). Juga email-email antara saya dan teman di Malaysia sebelum dan semasa saya di Syria. Usai bacaan, saya bertanya, sayakah itu?

Saya tiba-tiba melihat diri saya berlari mengejar semangat yang hilang seperti kanak-kanak kecil mengejar rama-rama...Melihat cantik dan indahnya haiwan kecil itu hingga terlupa menikmati taman indah yang saya sedang berlari di dalamnya. Bukan..saya punya semangat hari ini. Tapi saya cemburukan semangat yang dulu. Saya rindukan hati polos dan keyakinan tulus pada Tuhan waktu saya menyerah urusan pada Dia waktu nekad ke Syria.

Tiba-tiba. Tapi Ramadan tidak datang tiba-tiba. Ia datang dengan tujuan. Ada tujuan hidup yang terakam di balik pensyariatan puasa. Dan bukan tiba-tiba juga saya tergerak untuk kembali menyorot zaman lama kan?

Moga Ramadan menyuntik inspirasi, mengembali jati diri, membina stamina, membangun jiwa. Saya mahu balik ke kampung Ramadan dengan penuh berserah. Saya harus tinggalkan kacau pikir dan jiwa yang mengganggu. Saya harus membuang harap pada manusia. Saya harus campak ego dan ragu saya. Saya harus pulang dan menyerah. Pada Dia. Saya harus...pulang... dan menyerah.....
BACA SELENGKAPNYA - Pulanglah
0

Merai dan Meraih Nikmat yang Dilupakan



Sudah hampir separuh bulan Sya'ban kita lalui. Hampir kita tidak sedar ia berlalu. Memang seperti kata Baginda Rasul, Sya'ban ini bulan yang dilupakan kerana ia di antara dua bulan mulia;bulan Rejab dan bulan Ramadan. Kata Baginda lagi, ini adalah bulan di mana amalan dipersembahkan kepada Allah. Kata Baginda s.a.w: Aku suka kalau amalan aku diangkat pada waktu aku berpuasa.

Aisyah berkata, aku tidak pernah melihat Baginda Rasul s.a.w berpuasa sebanyak dia berpuasa di bulan Sya'ban.

Antara waktu di mana amal lebih dituntut dan diberi lebih ganjaran adalah pada waktu-waktu yang manusia lalai terhadapnya. Antara waktu gaflah(lalai) adalah bulan Sya'ban, antara Magrib dan Isyak juga waktu Solat Asar. Contoh lain adalah berzikir waktu kita pergi ke pasar. Kerana lumrah pasar adalah waktu manusia sibuk dan lalai dari mengingati Allah.

Sahabat, Ramadan makin hampir..Syurga sedang dihias, sudah melambai-lambai menyambut. Seisi makhluk Tuhan sedang berdebar menanti bulan penuh berkat mendekati. Syaitan sedang menggiat usaha terus memmbujuk hati untuk tidak merasa akan hadirnya tetamu mulia. Syaitan sedang cuba menutup deria-deria rasa kita pada bau angin syurga yang berpuput lalu mengucap selamat datang kepada Ramadan. Ah..kita masih mamai. Belum bersedia dan berhias. Bagaimana mahu merai tetamu yang sudah hampir di ambang pintu...

Ahlan...ahlan..kami merinduimu.
BACA SELENGKAPNYA - Merai dan Meraih Nikmat yang Dilupakan
2

Adab, Adab, Adab


Ad-Din Nasiihah. Sungguh hujung minggu ini hati saya dijamu dengan hidangan yang hampir tak mampu saya menghadamnya. Terlalu banyak. Sedikit berat. Cuba juga saya menghimpunnya ke sisi. Biar saya tidak mampu mengunyahnya hari ini, tapi saya mahu simpan buat bekalan. Bila saya bersedia, saya akan berusaha menghadamnya.

Mengenali Ustaz semenjak semester lalu adalah anugerah buat saya. Bermula dengan tanggapan biasa, pandangan saya berubah bila ustaz mula menghujankan satu demi satu tarbiahnya. Saya selalu suka mahu berlama-lama menghadap ustaz. Tapi, ya kesibukkannya tidak mengizinkan dan semester ini selalunya tak sampai dua minit saya dapat bercakap dengan ustaz.

Saya mula memahami kata ustaz. Amal…amal…amal.Tak guna menghimpun setinggi gunung ilmu, berkejar ke sana ke mari mahu menggalinya sebanyak mungkin tapi tetap sifar pada amal. Tetap gagal pada adab. ADAB! ADAB! ADAB! Ini yang ustaz ulang dan ulang dalam setiap pertemuan Nuqaba’ atau nama glamernya di UIA ini fasilitator. Semester ini tugasan saya bertambah. Halaqah dan Fardu Ain. Sungguh saya bersyukur terpilih menyertai kumpulan kecil fasilitator Fardu Ain. Ustaz lebih tegas, lebih berat menekan di sana sini. Usai mesyuarat pertama kami, waktu kaki perlahan menuruni tangga, saya akhirnya sedar. Ini yang saya cari. Bagaimana pun saya tidak boleh lari. Jiwa saya terubat dalam dunia ini. Bukan mencari sesuatu di luarnya. Saya tetap akan berasa kosong. Larikah saya dari tugas ini selama hampir dua tahun? Saya bukan lari, saya berniat mahu bawa diri dan belajar lagi di luar lingkungan biasa saya sebelum ini. Tapi ya, bila kita tidak beroganisasi, maka kita bermain-main dengan diri sendiri.

Tarbiah itu apa? Pengurusan. Education means management. Everything is a part of the whole system. Ingat, setiap butiran itu penting. Biar sesuatu itu kecil tapi ia penting untuk menyempurnakan satu system. Kerana itu kita harus membuka horizon pemikiran kita. Bukan menghadkan pemikiran pada dunia kecil di sekitar kita sahaja. Pengurusan melambangkan profesionalisme kita. Profesionalisme terlihat daripada pengurusan masa dan skill perhubungan kita. Maaf, saya mahu menyusun isi untuk dikongsi juga sebagai catatan yang lebih tersusun. Maaf kalau masih tidak teratur. Itu bayangan apa yang di kepala saya. Saya masih belum dapat menyusun segalanya sebaiknya.

Mari kita mulakan.
أن القرآن مأدبة الله فتعلموا من مأدبته ما أستطعتم .
Sesungguhnya Al-Quran itu adalah hidangan daripada Allah. Justeru, belajarlah daripadanya sebanyak mungkin.
Ma’dabah berasal daripada kata asal Adab. Para salaf selalu berpesan kepada anak-anak mereka: Wahai anakku, jadikan amalmu seperti garam dan adabmu seperti tepung. Maksudnya, amal yang sedikit tapi penuh dengan adab lebih baik daripada amal yang banyak tapi sifar adabnya.

Kata Hasan al-Basri
من لا ادب له لا علم له، ومن لا صبر له لا دين له ومن لا ورع له لا زلفى له.
Sesiapa yang tiada adab, tiada baginya ilmu. Dan siapa yang tidak punya sabar, tiada agama padanya dan sesiapa yang tidak wara’, tiadalah dia dekat dengan Allah.

Adab menurut al Qusyairi dalam Ar Risalah adalah himpunan sifat-sifat baik dan hasilnya adalah- faqih dalam urusan agama, zuhd pada dunia dan mengetahui hak-hak Allah.

Menurut Abi Nasr As-Sirraj, manusia itu terbahagi kepada tiga dari segi adabnya:
1- Adab ahli dunia: Mereka yang hafal ilmu dan teori
2- Adab ahli agama: Latihan jiwa, didik anggota badan , hafal tentang hukum dan tidak menurut hawa nafsu
3- Adab ahli khusus: Kebersihan hati, jaga rahsia, tunai janji, jaga waktu.

Ustaz selalu mengulang soal waktu. Soal adab ahli khusus. Kalau seorang naqib/h tidak boleh menjaga adab berkaitan waktu ini, bagaiman pula dengan orang lain. Adab tidur sebagai contoh. Apabila tidak dipatuhi dengan baik akan menyebabkan masalah yang lain. Kebanyakkan remaja di AS mati di jalanraya kerana tidak menjaga adab tidur. Mereka berjaga malam bermain internet. Kurang tidur menyebabkan mereka hilang focus apabila memandu dan menyebabkan ramai di antara mereka mati di jalanraya atas sebab ini.

Saya kira isu tidur bukan sesuatu yang remeh. Rata-rata remaja hari ini tidurnya lewat hingga ke 2, 3 pagi. Melantak ke subuh hingga tengahari. Habit ini menjadi karekter. Saya perhatikan. Saya akui benarnya pepatah Inggeris ini.
Watch your actions, for they become habits. Watch your habits, for they become character. Watch your character, for it becomes your destiny.
Karekter apa yang terhasil kesan habits bangun lambat ini? Malas! Tanya ibubapa di rumah bagaimana anak remaja mereka. Membantu di pagi hari..Tidak. Kalau menurut Sunnah, jika kita tidak punya urusan penting selepas Isyak, sebaiknya tidur terus supaya mudah bangun pagi. Tapi kebanyakkan kita ambil remeh perkara ini dengan melayari internet, jaga kebun maya di facebook(huhu), berpindah dari satu drama korea ke satu yang lain, sms, borak dsb. Apa lagi adab lain yang kita tidak patuhi? Adab makan, adab menggunakan handphone, adab bekerja dan menuntut ilmu dan lainnya. Saya pun apa kurangnya tapi, ia…berazamlah kita untuk jadi Muslim yang baik. Yang menurut sunnah. Manhaj hidup ini sudah tersusun sebenarnya. Cantik dan sempurna. Cuma kita…kata ustaz, yang Sahabat suka itulah yang kita benci sekarang dan apa yang Sahabat benci kita suka…Kita yang menukar tujuan hidup kita dari salvation kepada globalization. Kita sambung di lain hari.

Cadangan bacaan lanjut: Min Adab Al-Islam ('Abd al-Fattah Abu Guddah)
BACA SELENGKAPNYA - Adab, Adab, Adab
0

Anak-anak dan Tuisyen


Anak-anak sangat lucu, menghiburkan selalu mengubat rawan. Waktu sedang khusyuk menulis di papan putih saya mendengar alunan..you' re not alone...hmm..ada ramai pengganti Michael Jackson dalam kelas saya. Lagi sekali Muallimah dengar, dia kena zikir. Saya menulis semula. Mereka menyanyi kembali. Kali ini entah lagu siapa. Bangun..anta, Subhanallah 33, anta Alhamdulillah 33, Anta Allahuakbar 33. Sekarang. baca betul2 itu zikir pada Allah. berdosa dibuat main. Anak-anak itu akur. Duduk dan senyum. Kita selawatla Muallimah. Terus mereka melagukan Sollallahu 'ala muhammad tanpa menunggu izin saya. Marah saya terbang. Anak-anak ini hati mereka masih putih. Tidak menyimpan, tiada dendam. Segera sahaja semua dilupakan, ya, termasuk pesan dan nasihat. Sering marah saya bertukar gelak. Pandai juga mereka memuji juga sangat prihatin memerhati. Ammar, si kecil yang selalu suka berlawan cakap dengan saya dan sering membuat hati saya kalah mahu memarahinya bersuara: Muallimah..muallimah lainlah hari ni. Kenapa? Minggu lepas muallimah lain. Apa yang lainnya. Tudung muallimah, yang lain menyampuk. Minggu lepas kat sini, minggu ni kat sini pula. Hai..silang tudung saya pun dia prihatin.


Semput juga saya bila kembali mengajar tuisyen. Dua-dua kelas lelaki. Hero-hero belaka. Yang aktif, yang perlahan sedikit, yang banyak cakap, yang termenung sentiasa, yang tersengih selalu, yang memerhati ..semuanya. Tahap mereka bercampur. Agak sukar juga saya mengatur pengajaran agar tiada yang ketinggalan. Ini tuisyen. Ibubapa mahu melihat perubahan walaupun mereka sendiri tidak berubah. Say tidak banyak pilihan kerana bekerja dengan orang. Kelas tuisyen persendirian saya biasanya tidak boleh lebih 5 orang. Anak-anak ini pulang dari sekolah jam 3.30 terus ke kelas tuisyen untuk tempuh dua jam lagi. Bayangkan bagaimana tepunya otak. Itu pada kita, tapi anak-anak ini masih juga aktif tapi tak kurang yang sudah hilang energi. Lalu saya kadang-kadang serba-salah mahu marah pada yang tertidur. Ada seorang. Kasihan sungguh. Nampak benar dia tidak mampu melawan kantok. Saya tidak sampai hati.

Anak-anak ini datang tuisyen dengan pelbagai tujuan. Memang yang pertama, ibubapa mahu prestasi anak-anak dibaiki. Ibubapa ini niatnya murni. Mahu selalu yang terbaik untuk anak-anak. Tapi anak-anak memangnya sukar memahami itu. Ada yang datang kerana ikut kawan. Yang lain kerana, boleh makan mee hun sup atau mee rebus selepas kelas di kafe ustaz. Kalau menunggu di sekolah tidak dapat peluang itu. Kalau ikut ke pusat tuisyen, seronok sedikit.

Dua tiga orang, kelas ke dua masih sama. Menganga melihat saya. Harus saya bertempik dulu, mana buku, pensil- tak bawa. Dia hanya berlenggang. Aduhai..anak. Saya lihat beg kawannya yang seorang lagi, dengan buku terkelipit di sana sini, nampak tidak terurus buku-buku pelajaran anak itu. Patutla dia tak bawa buku untuk tuisyen. Waktu belajar matanya selalu dihalakan ke siling ataupun kerjanya menoleh ke kanan kiri, cuba mengganggu rakan lain. Dia ada misi lain ke tuisyen. Bukan mendengar saya di hadapan dengan segala aksi dan riak muka.

Ada beberapa perkara kadang-kadang saya tidak mampu meluahnya secara terus-terang. Pusat tuisyen harus melihat bukan sahaja keuntungan tapi bagaimana proses pembelajaran mampu jadi lebih efektif. Ibubapa pula, usahlah melepas tanggungjawab, merasa lega kerana anak sudah dihantar tuisyen. Tambahan. Anak mesti jadi lebih baik. Belum tentu. Tolong, saya merayu, anak-anak ini perlu diberi sedikit perhatian. Tolong, buka beg mereka, tengok apa yang anak-anak anda tulis dalam buku. Tengok apa yang anak-anak anda conteng. Kadang-kadang kami guru ini sudah hilang akal mahu bercakap dengan anak tuan puan. Bolehkah kita bekerjasama?

ليس اليتيم من انتهى أبواه من هم الحياة وخلفاه ذليلا
إن اليتيم هو الذي تلقى له أما تخلت أو أبا مشغولا


Bukanlah anak yatim itu siapa yang ibubapanya telah berhenti menanggung keperitan hidup(meninggal) dan meninggalkannya hina dina,
Bahkan si yatim itu ialah anak yang anda dapati
Ada ibu tidak peduli, ada ayah selalu banyak kerjanya.

Saya memang bukan seorang ibu. Saya sendiri takut memikir bagaimana saya menjaga anak nanti. Apa mampu saya imbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab saya sebagi ibu. Para bapa..tolonglah. Tolong sekali duduk bersama anak-anak, bukan tolong fikir dan arah sahaja. Ada 11 kisah yang dipaparkan dalam al Quran bercakap soal hubungan ibubapa anak. (Rujuk: al Aba' wal abna' fil quran karya Abd Halim Mustafa yang sudah diterjemahkan ke bahasa Malaysia). Hanya satu sahaja hubungan antara ibu dan anak iaitu Maryam dan Isa. Selainnya, bapa dan anak. Apa ertinya itu tuan-tuan? Saya galakkan anda mendengat tafsir quran di IKIM jam 6.30 Isnin-Khamis. Sekarang Ustaz sedang berbicara tentang surah Tahrim, tentang rumahtangga Rasulullah, tentang hak suami isteri. Ayuh, biarlah hidup kita dipandu ilmu.
BACA SELENGKAPNYA - Anak-anak dan Tuisyen
0

القلب يعشق ...كل جميل

Tuhan...
Dalam Rejab doa dipanjat
Menuju Syaa’ban penuh berharap
Moga Ramadhan menyambut hasrat
Ziarah diri ke kota suci
video
Itu harapan Rejab dari tahun sudah ... Cepat benar masa berlalu meninggalkan kita. Hari ini sudah 27 Rejab. Apa Sya'ban juga akan berlalu tanpa sedar...Bagaimana pula Ramadhan yang mendatang. Rupanya cinta dunia itu masih menyelubungi hampir seluruh hati. Sukar benar meletak ia di tangan. Payah sungguh menyisih ia ke samping waktu perlu lebih munajat pada Tuhan di bulan-bulan mulia ini terutamanya.Harus..harus segera menyusun azam dan niat..tapi rindu Ramadhan pun belum membahang.Mengapa ini. Apa ada yang telah membutakan hati...menggelapkan jiwa. Dunia...sampai bila pun manusia akan kejarkannya. Tinggalkanlah kecintaan itu sementara...Ia tidak ke mana kalau kau terlalu sayangkannya. Nikmat dan barakah yang bakal datang ini tidak lama bersinggah. Sepurnama sahaja. Tenangkan diri. Sisihkan kesibukanmu itu sementara. Pergilah membawa hati bertemu Tuhan...

Ini halwa telinga dan hiburan hati buat yang rindu untuk sampai ke sana:
Lagu ini dinyanyikan penyanyi asalnya ialah Ummu Khalthum kemudian ramai yang menyanyikannya semula. Indah sangat lagu ini..Saya nak kongsi dengan anda semua. Kalau anda perempuan, dengarlah lagu ini dinyanyikan sendiri oleh Ummu Khaltum. Cari di You Tube. Versi untuk lelaki-Rachid Gholam (Morocco) atau Firqah Abu Sy'r (Syria)
القلب يعشق

لقلب يعشق كل جميل
وياما شفتي جمال ياعين
الي صدق بالحب قليل .. قليل
وان دام يدوم ... يوم... والاّ يومين
والي هويتو اليوم .... دايم وصاله دوم
لايعاتب الي يتوب ... ولابطبعه اللوم
واحد مافيش غيره ... ملا الوجود نوره
دعاني لبيته ... لحد باب بيته
واما تجلالي .... بالدمع ناديته
*******
كنت ابتعد عنه ..... وكان يناديلي
ويقول مسيرك يوم تخضعلي وتجيني
طاوعني ياعبدي .... طاوعني انا وحدي
مالك حبيب غيري قبلي ولابعدي
انا الي اعطيتك من غير ما تتكلم
وانا الي علمتك من غير ما تتعلم
والي هديتو ليك ... لو تحسبو بأديك
تشوف جمايلي عليك من كل شئ اعظم
سلّم لنا ....سلّم لنا ..... تسلم
******
دعاني لبيته لحد باب بيته
واما تجلالي بالدمع ناديته
*******
مكة وفيها جبال النور .... طلّة على البيت المعمور
دخلنا باب السلام .... غمر قلوبنا السلام
بعفو رب غفور
فقنا حمام الحِما ... عدد نجوم السما
الطاير علينا يشوف .... الوف تِتَابع الوف
طاير يهني الضيوف بالعفو والمرحمة
والي نصب سيره .... واحد مافيش غيره
دعاني لبيتو لحد باب بيته
واما تجلالي بالدمع ناديته

Heart loves all that is beautiful

Heart loves all that is beautiful
And you have seen so many beauty, o my eyes!

Faithful in love are rare and when it lasts
That’s rarely more than a day or two.

The One I loved today is Eternal, His love lasts,
He doesn’t blame the forsaken and reproach is not in His nature.

Unique, no one but Him, His light fills the existence;
He called me and I responded till His house’s door;

And when He dawned to me, I apostrophized Him with tears,
I apostrophized Him with tears!

I used to move away and He used to tell me:
Your destiny is to submit one day and to come to Me!

Obey Me My servant! Obey to Me only!
It’s Me who gave you without you asked, and who taught you without you learnt!

If you count with your hands what I gave you
You’ll realize that My graces upon you are greater than anything else!

Give up to Me and you’ll be safe.

Mecca with the Light Mountains
That face the peopled House,

We entered the Bab Assalam and peace entered our hearts
With the absolution of a forgiving God.

Protecting birds flew upon us as many as the sky stars,
Thousands following thousands, flying with absolution and mercy to greet God’s guests.

He who organize their flight is One with no one else,
He called me and I responded.

We walked near a garden(Raudhah), a garden from Paradise
Where lovers have all they wish!

There is joy and happiness and there is light,
There’s a love cup circulating and each drinker sung,

God’s angels were our drinking companions,
They came with the good news of remission and pardon.

O we wish so much that our beloved receive what we did!
O God, may You promise them that! O God, even before us!

He called Me and I responded till His house’s door,
And when He dawned to me, I apostrophized Him with tears.
(Terjemahan daripada Translatorscafe.com)




BACA SELENGKAPNYA - القلب يعشق ...كل جميل
0

Ahlan, Senyum anda membahagiakan saya.




أخي لن تنال العلم إلا بستة


سأنبيك عن تفصيلها ببـيان


ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة


وصحبة أستاذ وطول زمان


Ahlan..ahlan . Selamat datang. Hayyakumulah. Saya bahagia menyambut wajah segar dan semangat panas anda ke kampus hijau ini. Saya terhibur dengan senyum yang menyambut saya pagi ini. Saya seronok melihat kampus sibuk kembali. Saya tidak akan kesunyian di sini. Anda juga..adik adik, jika anda kenal sahabat yang akan membuatkan anda tersenyum dan tertawa biar anda sendiri, rafiq yang akan mengubat hati . Dan saya selalu ulang pada diri- bacaan adalah ubat hati yang mujarab.

Selamat datang ke dunia ilmu. Selamat datang ke dunia cabaran. Selamat datang ke dunia Islam kecil UIA. Anda tentukan..mahu apa anda di sini, mahu ke mana anda selepas ini dan bekal apa yang mahu anda siapkan di sini. Pilih..pilihlah..anda tentukan. Hanya buku, hanya kawan, hanya guru, hanya pengalaman..hanya Malaysia, hanya Islam , hanya Asia…anda..anda tentukan batas dan lingkungannya

Saya hanya mahu menyatakan kegembiraan saya menerima anda menjadi warga di sini. Selamat datang pengembara!

Ahlan juga untuk diri saya sendiri. Apa mampu saya selesaikan disertasi Master saya dalam hanya satu semester. Selamat datang cabaran menulis. Selamat berhempas pulas. Selamat memulakan jadual baru. Selamat untuk saya dan anda juga. Selamat berkerja dan terus berjuang.
BACA SELENGKAPNYA - Ahlan, Senyum anda membahagiakan saya.
0

PPSMI: Akhirnya.. (yang belum berakhir)

Alhdulilah, keputusan kabinet terbaru memutuskan PPSMI akan diajar dalam Bahasa Melayu. Bagi Sek Cina dan Tamil pula, akan diajar dalam bahasa ibunda mereka. Saya memang menantikan keputusan ini. Cukup-cukuplah menjadikan medan pendidikan bahan ujian, tempat menguji idea kurang masak atau tempat permainan politik. Kasihanilah pada generasi muda yang sudah cukup tercabar jati dirinya dengan biah dan suasana yang tidak membantu menjadi kalau dulunya Muslim Hadhari, sekarang, menjadi seorang berjiwa Satu Malaysia.

Pada sesetengah orang, jati diri bukan pada bahasa. Ya, benar. Tapi ia menyumbang. Pada bahasa ada budaya. Ada nilai. Ada santun. Ada jiwa. Ada cinta.

Merujuk kepada National Standards for Foreign Language Learning: Preparing for the 21st Century, ada 5 C yang melengkapkan pembelajaran sesuatu bahasa dan boleh dijadikan kriteria penilaian;


1) COMMUNICATION


2) CULTURES

Gain Knowledge and Understanding of Other Cultures
Standard 2.1: Students demonstrate an understanding of the relationship between the practices and perspectives of the culture studied
Standard 2.2: Students demonstrate an understanding of the relationship between the products and perspectives of the culture studied



3) CONNECTIONS

Connect with Other Disciplines and Acquire Information
Standard 3.2: Students acquire information and recognize the distinctive viewpoints that are only available through the foreign language and its cultures


4) COMPARISONS

Develop Insight into the Nature of Language and Culture
Standard 4.1: Students demonstrate understanding of the nature of language through comparisons of the language studied and their own
Standard 4.2: Students demonstrate understanding of the concept of culture through comparisons of the cultures studied and their own.


5) COMMUNITIES


Lihat, kalau mahu belajar bahasa, harus belajar budayanya sekali kan? Lihat corak pendidikan dahulu. Kalau mereka yang bersekolah Inggeris saya kira bersetuju dengan hal ini. Lihat cara berpakaian, lagunya, buku rujukannya juga pelbagai cerita Bed Time Story yang kita hafal jalan ceritanya hingga kini, sistemnya dan lain-lain. Pasti harus kenal dengan Shakespeares dan puisi-puisinya kan?


Kalau sekolah agama pondok , harus menguasai nahu saraf, harus tahu kenapa kata ganda (jama') ada yang ada formula, ada yang tidak; yang diketahui secara simai', harus hafal syiir-syiir arab.


Bahasa datang dengan budaya. Bila kita membaca, cerita tuan punya bahasalah yang kita pelajari, nilai dan adab sopannyala yang kita tekuni. Juga tak lupa agama yang datang bersamanya.

Memang kita tidak akan kehilangan jati diri kalau setakat belajar PPSMI dalam Bahasa Inggeris tapi kita lupa sejak kita membuat keputusan memaksakan pembelajaran PPSMI dalam bahasa orang lain, kita sudah hilang keyakinan diri pada bahasa yang mendidik kita sejak kecil. Kita tidak yakin pada sejarah yang pernah dilakar. Kita rasa rendah diri rupanya berbahasa Melayu. Memangnya ia, kerana kalau anda memasuki dunia pekerjaan, bahasa Melayu hampir tidak laku. Bahasa Cina lebih baik kerana sering kedapatan iklan kerja mensyaratkan kelebihan berbahasa Cina. Lalu anda keliru, anda berada di tanah air sendirikah?
Saya bukan pemikir atau pejuang bahasa. Saya cuma pecinta bahasa yang selalu punya keinginan mahu menguasai bahasa lain. Catatan di atas mungkin dangkal bagi sesetengah anda tapi itulah yang ada di hati saya. Seorang gadis Melayu Malaysia.
BACA SELENGKAPNYA - PPSMI: Akhirnya.. (yang belum berakhir)
3

Jaulah ke Kota Singa-Bhg1


Tiada tempat bagi yg berakal dan beradab ما في المقام لذي عقل وذي أدب
من راحة فدع الأوطان واغترب
Untuk berehat . Justeru tinggalkanlah negara dan berdaganglah
Bermusafirlah, kan kau temui ganti bagi yang ditinggalkan سافر تجد عوضا عمن تفارقه
وانصب فإن لذيذ العيش في النصب
Berusahalah, sesungguhnya kemanisan hidup itu pada kerja keras

Siyahah, ziarah, uzlah atau apa tujuan musafir saya kali ini. Pertama, buat menemankan teman yang punya urusan di kota itu. Kedua, mahu memenuhkan helaian pasport yang masih banyak tidak bercop sebelum tarikh luputnya akhir tahun depan. Ketiga, seperti biasa, hujung minggu adalah waktu uzlah dari rutin biasa buat berfikir, menjernihkan yang kusut dan muhasabah diri.

Maaf, saya menaip seringkasnya daripada catatan panjang dr buku kembara saya. Ada malas menguasai. Seadanya sahajalah catatan ini.

26-28 Jun 09/3-5 Rejab 1430H


Saya kira ini perjalanan yang baik. Moga Tuhan mudahkan perjalanan kami dan moga kami beroleh sesuatu dari perjalanan ini. Perjalanan menaiki keretapi mengambil masa lebih kurang 7 jam 40 minit. Saya berazam menyudahkan bacaan 'Even Angels Ask' karangan Dr Lang. Habisnya, cuma satu dua halaman yang saya ulit. Namun, Alhamdulillah, saya selesa menghabiskan masa merangka outline disertasi saya. Rakan kembara saya, Cik Ummu sibuk menyiapkan tulisannya, Faiz pula tidak lekang dengan kamera. Saya beruntung kerana mudah-mudah menjadi model sepanjang 3 hari. Menaiki keretapi bukan sesuatu yang asing bagi saya. Saya sering berulang-alik ke Kelantan waktu menuntut di Uni Malaya dahulu. Tahu apa yang paling saya suka dalam keretapi? Magginya. Sekali je, saya pernah makan di kafeteria keretapi tapi sedapnya ...masih teringat. Waktu lapar barangkali dulu.
Dalam bas ke Toa Payoh dari KTM, jakunnya awak berdua


Saya kira, musafir paling bermakna bagi saya adalah waktu saya dan teman-teman di bawa ke Buldan, satu kawasan di Syria bermain salji. Waktu itu kami pergi bersama Syeikh Faisal dan Anisah Amal. Sepanjang perjalanan dipenuhi dengan diskusi ilmiah dan Syeikh Faisal penuh sabar menjawab soalan demi soalan kami. Benar-benar saya merasa perjalanan kami terisi walau niat asal adalah untuk bergembira menatap salji buat pertama kalinya. (Ish, kenapa cerita Syria pulak termasuk dalam catatan untuk Singapura...)

Kredit untuk Singapura
Ada 3 perkara yang harus saya berikan kredit untuk negara padat ini.
Pertama, saya sangat sukakan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang ditanam di sini. Ia dari jenis rendang dan kebanyakkannya adalah pokok yang biasa kita jumpa di kebun atau belakang rumah nenek kita. Singapura cuba mengenalkan konsep Garden City dan saya kira ia hampir berjaya. Kalau anda ke perpustakaannya, anda akan disambut dengan pokok yang rimbun dan anda ditawarkan untuk menikmati satu sesi perjalanan mengelilingi perpustakaan dan berkenalan dengan tumbuh-tumbuhan yang boelh menjadi satu terapi untuk anda. Malang, masa terlalu suntuk untuk saya mengikuti sesi itu. Saya kira, Malaysia harus belajar cepat tentang ini. Bercakap tentang La Nina yang semakin ketara dirasai oleh kebanyakkan kira terutamanya di kota pada Kuala Lumpur, saya teringat komen seorang expertise tentang tanaman yang ditanam di KL kebanyakkan adalah dari jenis tumbuhan hiasan, bukan rendang yang membantu mengurangkan kepanasan La Nina.

Cuba teka pokok apa di sebelah saya yang ditanam oleh Cik Ani di depan rumahnya? Pucuk manis. Cik Ani masak untuk kami pada hari kedua dan saya makan dengan puasnya sampai ditegur Cik Ani. Ala, dah lama tak makan sayur ni.

Kedua, pastinya soal kebersihan. Kata Siti, anak Mak Cik Ani, selain factor denda yang tinggi mungkin juga kerana factor tong sampah mudah didapati di kebanyakkan tempat kecuali di lapangan terbang atas factor keselamatan (takut orang buang bahan letupan dsb). Selain itu, kalau kita melihat pangsapuri atau flat-flat mereka, memang terlihat kemas tanpa contengan, sampah bertaburan, pakaian bergantungan sana-sini. Semuanya ada peratuaran. Singapura-fine city.

Ketiga, perkhidmatan awam yang sangat efisien. Tak perlu beli kereta pun kalau begini. Dan tidak sukar merancang perjalanan kerana saya kira jarang ada kes tren terhenti sampai setengah jam, bas tak ikut jadual dsb. Saya teringat Syria, (Syria lagi..) saya sukakan perkhidmatan servisnya yang murah dan mudah didapati. Pergilah jauh atau dekat, 5 lirah ( dalam 20, 30 sen)juga harganya.
Kenapa bas tu tak berhenti? Oo, kita tunggu bas di tempat yg salah.



Yang Terasa Hilang
Kalau anda perlu waktu untuk berfikir sendiri tanpa gangguan manusia samada dari segi fizikal dan emosi, saya memang mencadangkan Singapura. Anda tidak akan diganggu dengan sapaan manusia ataupun terganggu emosi dengan wajah sedih peminta sedekah atau wajah-wajah kemiskinan yang terpapar dari suasana yang anda lihat; anda sukar bertemu ini di sini. Tapi kalau anda manusia yang selalu dahagakan senyum, salam, atau dakapan orang tua yang merasa anda seperti anaknya, anda akan terasa kosong di sini biar segalanya tampak teratur dan sempurna.

Warganya saya kira terutamanya Melayu bergelut untuk survive di kota tanpa subsidi ini. Untuk beli rumah pun sukar, kalau memiliki kenderaan itu, sudah cukup baik memandangkan certificate untuk memiliki kenderaannya mahal.


Yang Perlu Anda Rasa
Oh..tentunya murtabaknya yang besar dan sedap. Oh, saya dah tahu kenapa dia best. Kena rasa seperti merasa Syawarma atau Nasi Mandi di Syria. Juga Tulang. Sebenarnya namanya Sup tulang merah. Tapi kata Siti kalau kita sebut sup, dia akan bagi sup biasa. Jadi kena sebut ‘Tulang’ sahaja. Bakal kakak ipar Siti membelanja kami. Wah, Tuhan je yang tahu saat meratah ‘Tulang.’ Waktu makan, saya benar-benar teringat dan teringin makan bersama adik-beradik saya. Pasti hebat.

Bercakap soal makan, kami berusaha untuk meminimumkan penggunaan wang di luar. Ialah tukaran RM ke Dollar Singapura menjadikan jumlah yang kami ada sedikit sahaja. Sebelum keluar setiap pagi, saya akan memastikan setiap orang punya bekalan air. Tak sanggup nak keluar duit walaupun untuk sebotol mineral. Tapi kadang-kadang air itu bukan untuk diminum, tapi dibuat bersuci waktu perlu mengunjungi toilet yang tak disediakan air. Saya teringat kata-kata Dr Mumtaz, pensyarah IOK saya, toilet pun kena diislamisasikan, komennya terhadap beberapa toilet yang tak mesra pengguna Muslim di Malaysia. Tapi bagusnya Singapura ini, mereka benar-benar menitikberatkan soal penjagaan dari pembaziran air sehingga ada anugerah untuk tidak membazir. Masjid Ba' Alwi sebagai contoh mendapat anugerah penggunaan air yang berhemah. Begitulah lebih kurang, saya lupa nama anugerah sebenarnya. Dan di Masjid Sultan, paip air untuk mengambil wudu' adalah jenis pancur, justeru, air tidak akan mengalir banyak berbanding paip biasa.

Ke Masjid Ba' Alwi ditemani Pak Cik dan Siti.

ٍSeperti biasa, saya suka mahu melihat masjid-masjid di tempat saya berziarah. Kami sempat ziarah ke Masjid Ba’ Alwi dan sempat juga solat di Masjid Sultan. Saya sukakan kedua-dua masjid tersebut. Redup dan sejuk hati waktu melangkah masuk ke dalamnya. Terasa keberkatannya. Seperkara lagi, dua kali saya solat Jamak pada waktu Asar di Masjid Sultan, saya menemui wanita-wanita yang menunggu-nunggu waktu solat. Saya tanyakan hal ini pada Siti, biasa ke mereka menunggu waktu solat. Siti jawab selamba, biasalah kat mana-mana pun. Saya pandang Siti, saya tak biasa melihat situasi ini di masjid di Malaysia. Juga terdapat penerangan-penerangan tentang Islam ditampal dalam Bahasa Cina. Bagus. Masjid kita? Di Putrajaya yang hampir jadi muzium tu ada tak?


















BACA SELENGKAPNYA - Jaulah ke Kota Singa-Bhg1
Back to Top