5

Cameron Highland; Cuti Perpisahan

Mengukir Detik Manis Bersama

Cut, teman saya hampir saban hari sejak dua minggu lalu mengulang pujukannya supaya saya memasukkan acara percutian ke Cameron dalam jadual saya sebelum dia berangkat pulang ke Acheh. Tesisnya sudah selesai. Cuma menunggu kelulusan senat sahaja. Saya, dari sehari ke sehari menangguh kerana beberapa urusan yang belum selesai. Akhir minggu lalu, saya selesaikan urusan proposal untuk program gabungan Halaqah kami juga beberapa hal peribadi yang tertangguh. Segera kami bertanya Mr Google segala berkaitan dengan Cameron Highland. Segalanya diselesaikan hari Jumaat, dua hari sebelum kami bertolak ke tanah tinggi itu. Urusan menempah penginapan, juga acara ronda-ronda di sana.

Saya tinggalkan sebentar netbook dan thesis. Cut, teman rapat yang setia mendengar cerita dan omelan saya akan mengucapkan selamat tinggal hujung minggu ini. Sabtu lalu, Hanan, teman dari Columbia ikut musafir bersama suami dan anaknya ke Mesir untuk mendalami bahasa Arab dan pengajian Islam. Hanan baru usai sarjana dalam bidang undang-undang manakala suaminya sarjana muda dalam bidang apa ya…saya terlupa. Hanan rakan usrah saya. Dia dan suaminya memeluk Islam waktu masih di Columbia lagi sebelum ke Malaysia. Temannya, Sakinah, juga dari Columbia berkahwin dengan lelaki Melayu dan menetap di sini. Tahu siapa nama anak Sakinah? Maryam. Hehe. Kami jadi rapat kerana halaqah. Juga dalam sebulan ini, ada lagi yang bakal pergi. Saya mula terasa kehilangan seorang demi seorang rakan. Mula terasa tua berada di UIA. Tapi, saya masih mahu setia di sini. Ya, kerna masih belum selesai. Juga kerana peluang belajar seperti makin terbuka dan terbuka. Lebih ramai yang saya kenal hari ke hari. Dan mereka adalah orang yang kaya dengan ilmu, tidak kedekut berkongsi masa mengajar saya. Saya, memang selalu dahaga. Kalau ada yang sudi berkongsi bekal di perjalanan, mengapa mahu saya menolaknya. Saya merasa detik-detik akhir saya di sini semakin berharga dan bermakna.
Cameron Highland
Asalnya Cuma berdua setelah yang lain tidak dapat ikut serta. Akhirnya berlima. Saya, Cut, Rini dan Mimi juga dari Aceh dan Fatimah, Muslimah Cina dari China yang telah lama menetap di sini. Baru menyudahkan Phd nya dalam bidang bahasa Arab. Kami menaiki bas dari Pudu jam 3.30ptg Ahad. Saya duduk berdua bersama Fatimah. Mimi dan Rini. Cut sendirian. Memangnya dia tisak suka sendiri. Saya terlupa. Waktu di hotel malam itu katanya, dia berkata dalam hati, tak mengapalah. Dia adalah penghubung dua hubungan. Rakan-rakan senegaranya dan kami, rakan-rakan belajar.

Perjalanan sederhana laju. Tenang sahaja pada awalnya. Tapi apabila bas mula mendaki Cameron, perjalanan jadi mencabar. Saya benar-benar terlupa akan masalah ‘mabuk darat’ saya. Tiada langsung persediaan untuk itu. Kerana sudah lama saya ‘sembuh’ dari itu. Tapi kali ini saya benar-benar jadi tak keruan. Memaksa diri untuk tidur pun tak mampu. Terpaksalah saya berperang. Alhamdulilah, saya tidak muntah di perjalanan. Pemandangan cantik sepanjang jalan tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Kondisi bas juga adalah faktornya. Ya, sesuailah dengan harga yang kami bayar.
Cantik, Masya Allah…memang. Kehijauannya, ketenangannya, redupnya. Jauh dari Kuala Lumpur yang penuh asap dan sesak. Kami tiba jam 8 lebih. Turun sahaja, kedengaran suara melaungkan nama saya. Pihak Kang Traveller Hotel sudah menanti kami. Tempatnya tidak jauh dari perhentian bas di Tanah Rata itu, cumanya kerana malam dan kami belum biasa, mereka menjemput kami. Hmm…memang tak boelh komen banyakla dengan harga yang kami bayar. Jangan tertipu dengan perkataan ‘hotel’ itu, ya. Kami memang menempah dua bilik without attached bathroom. Tak mengapalah. Kami berkongsi pun, berlima. Saya, Cut dan Fatimah sebilik- RM55. Rini dan Mimi berdua, RM45. Menurut maklum balas di internet, Kang Traveller Lodge /Hotel memang antara pilihan backpacker kerana harganya dalam bajet murah.

Cuaca sedikit dingin. Usai solat jama’, kami keluar makan. Saya sebenarnya, sudah membawa sedikit bekalan kerana kata orang makanan di situ agak mahal. Tapi tidak juga sebenarnya. Haraganya lebih kurang sama seperti Kuala Lumpur. Satu kelebihan menginap di sini, banyak pilihan kedai makan Muslim juga kemudahan kedai runcit dan bank berdekatan. Ini di Tanah Rata. Kalau di Brincang, satu lagi kawasan pilihan, saya tak pasti. Kebanyakkan kedai-kedai ditutup awal. Jam 10 sudah mulai sunyi. Kami menapak pulang ke Hotel setelah selesai melihat-lihat kawasan sekitar.
Kami mula kedinginan. Tapi dinginnya nyaman. Tidaklah sampai menggigit ke tulang. Tidur saya enak malam itu. Tenang. Membuang segala risau. Cuti sekejap, kata Cut. Kami tidur lewat. Bertukar cerita, berkongsi rasa. Yang sama. Tuhan kan Maha Mendengar. Kami tidak akan pernah berputus asa dari Rahman dan Rahim-Nya.
Acara pagi Isnin adalah lawatan ke lapan tempat. Kami di bawa melawat menaiki kenderaan pacuan 4 roda. Malangnya, Kilang The tutup pada hari Isnin, justeru kami tidak dapat melihat proses pembutan teh. Sekadar melawat lading sahaja. Memandankan kami semua Muslim, Mr Balan Tandok tidak membawa kami ke Buddist temple.

Tempat pertama dan paling menarik pastinya Rose Garden. Tak terucaplah dengan kata-kata. Kemudian Butterfly Farm, Bee Farm, Ladang Teh, Strawberry F arm dan akhir sekali ke pasar di mana saya memborong sayur. Penuh kedua-dua tangan saya menjinjitnya. Memang saya tak tahan hati kalau melihat sayur segar dengan harga yang murah.
Kalau ada umur, saya kira pada masa akan datang saya akan memilih pakej lawatan ladang yang akan membawa kita melihat bagaimana sayuran ditanam, melawat kampong orang asli, air terjun, juga ada pakej merentas hutan. Pasti menarik. Mr Balan yang membawa kami memberitahu, lebih baik pada masa akn datang, kami menyewa 4 by 4 seharian dan mereka akan membawa kami ke mana sahaja pilihan kami.

Kami selesai jam satu tengahari. Pulang, makan tengahari dan menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur jam 1.45. kali ini bas yang lebih selesa dan pastinya lebih mahal. Tak mengapalah. Kami sudah keletihan dan saya pun tak sanggup berperang dengan jalan yang seperti ular kena palu itu. Sampai di UIA jam tujuh malam menaiki teksi dari KL Sentral. Cut puas kerana impiannya tercapai. Saya senang kerana sangat teruja dengan keindahan milik Tuhan. Ahh…nyamannya masih terasa di hati. Lembut anginnya masih terasa membuai tubuh. Sesekali memberi rehat pada diri, musafir menambah pengalaman, mengenal kawan di perjalanan. Moga ikatankan berkekalan.

Untuk yang berminat untuk jalan-jalan cara backpacker to Cameron Highland sehari semalam; Contoh belanjawan saya
Tambang pergi (KURNIA BESTARI) RM22.5
Penginapan (RM55 ÷ 3) RM18.3
Countryside Tour (8 tempat) +tiket masuk RM25 + RM 10
Tambang pulang (Unitity) RM35
Makan (3 kali-sendiri) RM15
Souvenirs, strawberry, teh, sayur RM50
Jumlah: RM175.8

*Hanya dua bas ke sana-Kurnia dan Unitity. Masuk ke Rose garden dan Butterfly Farm masing-masing RM5. Hari Isnin, factory tutup, jadi rugi kalau pergi hari ini. Ada banyak pakej lawatan, boleh pilih ikut minat dan bajet. Sebaiknya, tempah tempat penginapan sebelum pergi.
BACA SELENGKAPNYA - Cameron Highland; Cuti Perpisahan

Apa Khabar Awak dan Quran?

Sesekali bila rindu datang menyapa, saya pejamkan mata membeli kad panggilan antarabangsa. Sesekali… buat melunas rasa di hati, sesekali…tanda ingatan yang tak pernah putus pada guru-guru yang telah menanam cinta Al Quran dan cinta ilmu pada saya. Anisah Maryam ‘Iwad, itu nama guru Al-Quran saya. Di Syria, kami memanggil guru-guru perempuan dengan panggilan Anisah. Maryam li Maryam, kata guru-guru lain saat mengetahui nama kami sama.

Selepas bertukar salam, soalan pertama yang pasti akan ditanya pada saya ialah; kaifa hal Al Quran ma’aki? Bagaimana khabar awak dan Al-Quran ? Dan soalan itu akan ditanya berkali-kali. Juga ditanya jika saya sudah mula mengajar Al Quran. Dan soalan terakhir sebelum gagang diletak yang selalu membuat saya hilang kata… sudahkah kamu mula menghafaz Al-Quran? Saya kehilangan dalih selalunya. Memang saya akur, saya tidak berusaha pun melainkan mengulang surah-surah yang pernah saya hafal dan cuba menghafal ayat-ayat baru yang menarik perhatian saya. Kerana saya kira, memang saya harus ada cukup azam untuk menghafal. Dan saya tidak punya itu. Justeru, selalu saya dalihkan pada hati, belajar tafsir itu lebih penting. Memahami dan cuba mengamal isinya lebih baik. Kata orang, makin bertambah usia, makin kurang kemampuan hafazan. Tapi makin meningkat kemampuan untuk faham sesuatu. Usia emas untuk menghafaz itu sehingga 23 tahun. Saya sudah beberapa tahun melepasi usia itu.

Begitu, hubungan guru-guru saya dengan Al-Quran. Sangat akrab. Sehingga bual bicara pun tak harus lari dari itu. Anisah Maryam itu usianya setahun lebih muda dari saya. Orang tegas, serius dan jarang bicara soal peribadi dengan saya. Berbanding teman-teman saya yang boleh berbicara sedikit bebas, antara saya dan Anisah Maryam penghubungnya cuma Quran. Cuma saya ingat waktu saya sedikit sukar dan putus asa dengan bacaan saya, dia cuba menenangkan ketegangan saya. Waktu itulah dia bertanya tentang peribadi saya. Tentang keluarga saya. Berapa orang adik-beradik saya. Tapi tetap pada soalannya, ada latihan untuk makhraj Kho yang saya selalu gagal mengeluarkannya dengan betul. Kam ikhwah ‘indak? Kam ‘umru akhik?

Di sini, saya cuba meminjam semangat dan kesungguhan guru-guru saya. Waktu Magrib, saya pastikan saya sudah berada di rumah, tidak lagi bebas melepak di bilik kawan-kawan di UIA atau berlama-lamaan di maktabah. Anak-anak jiran saya pasti tidak lepas dipaksa ibu mereka mengaji. Tapi mereka anak-anak yang taat. Jarang membantah. Juga akan gembira kalau melihat motor saya belum berada di parkirnya. Kak Maryam takda, cuti mengajilah hari ni. Anak-anak, sekitar 8-11 tahun sangat cepat menangkap pengajaran. Biar ada juga terkadang ambil lewa dengan sesetengah hukum atau berlumba untuk cepat habis membaca. Maka menjeritlah saya. Nun sabdu, mim sabdu berapa harakat? Mad wajib berapa? Ni keretapi nak pergi mana?

Bulan ini saya ada cabaran baru, mengajar pasangan suami isteri sekitar 30-an dan emak si suami. Masih awal untuk saya bercerita. Tapi ada beberapa perkara menarik hati saya. Si isteri yang bersungguh pada mulanya lebih-lebih lagi selepas bermimpi dia melihat kuburnya dan suami. Si suami bertanya pada saya pada hari pertama saya mengajar mereka. Agak-agak umur macam kami ni, boleh belajar tak..ok tak, boleh ke? Saya senyum. Tak da yang namanya terlambat bila nak belajar ni. Mungkin untuk belajar ilmu lain ada sedikit sukar. Tapi percayalah, Quran ni lain. Ia ada mukjizat tersendiri. Yang penting, kita nak. Kita ada niat, ada azam, ada kesungguhan. Percayalah, Allah akan bantu. Dan waktu si suami agak lambat mengingat huruf dan selalu tersilap. Saya ingatkan pesan guru saya waktu saya menangis di Syria kerana mutu bacaan saya yang paling teruk saya kira antara kami berempat. Waktu saya sukar menyebut kho, waktu saya gagal menyebut huruf sofir – sin, sod dengan betul kerana susunan gigi saya pada waktu itu(cross bite). Pesan dari hadith- orang yang membaca lancar tanpa sukar mendapat satu pahala dan bagi mereka yang membaca terbata-bata, agar sukar, maka baginya dua pahala.

Saya senang hati mendengar laporan dari kawan saya, teman isteri si suami. Untuk pertama kalinya dalam hidup, kata si isteri, suaminya menyuruh solat. Kemudian, sama-sama mereka membaca Iqra’. Saya mahu berdoa terus…tolong…tolong ikut berdoa bersama saya. Moga Al-Quran dengan mukjizatnya akan menjadikan mereka istiqamah dengan perubahan mereka. Moga Allah akan anugerahkan hidayah dan taufiqNya sentiasa untuk mereka. Saya mendengar beberapa cerita kurang menarik tentang kehidupan rumahtangga mereka sebelum ini. Justeru, saya harap Al-Quran ini akan terus menyatukan mereka. Dan moga malam Sabtu dan petang Ahad saya akan selalu lapang untuk mereka. Moga saya tak menjadi guru yang malas. Saya terkenang guru-guru Al Quran saya yang sanggup menghabiskan masa dari jam 7 pagi hingga 7 malam bersama kami. Jam tujuh pagi musim sejuk, saat semua orang lena dibawah selimut tebal, mereka datang menaiki perkhidmatan awam untuk kami. Demi Al-Quran. Saya, guru yang dijemput dan dihantar ini, mahu memberi alasan apa pula?

Sahabat, tidak pernah ada istilah terlambat untuk belajar. Untuk selalu memperbaiki diri. Dulu saya kira bacaan saya sudah bagus, malah boleh mengajar orang lain. Tapi di Syria, sebaliknya. Hingga saya merasakan itulah pelajaran paling susah saya pelajari. Dua bulan untuk menyudahkan 30 juzu’ Al Quran dengan tajwid yang betul memang cukup mencabar. Dengan tidur yang terbatas dan kurang peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di Syria, Alhamdulillah…rupanya anugerah Al-Quran ini lebih berharga dari segala yang kami terlepas darinya. Al Fatihah buat Syeikh Mukhyiddin Hasan Kurdi yang pergi beberapa bulan lalu, Syeikh yang menguji bacaan kami usai kami menyelesaikan Al Quran seluruhnya. Moga Al Quran jadi saksi amalannya. Juga moga Allah berkati kehidupan guru-guru saya.

Ya Allah, hidupkan hati kami dengan cinta Al Quran, sinarilah hidup kami dengan cahayanya. Jadikan kami orang yang mengambil panduan dan mengamalkan pesannya. Amin, Ya Robb.
BACA SELENGKAPNYA - Apa Khabar Awak dan Quran?
Back to Top