4

Lintasan Fikiran di Zaman Ujian

Sekadar berkongsi sebuah buku yang baik untuk diselak baca waktu-waktu menanti kawan atau LRT atau di waktu santai. Tajuk buku ini mungkin agak berat tetapi buku ini disusun seperti pepatah atau puisi-puisi pendek. Sesuai juga untuk memujuk hati terhadap kekecewaan kekecewaan terhadap perkara-perkara harian yang berlaku di sekeliling kita. Buku ini adalah lintasan-lintasan fikiran, tanggapan- tanggapan atau secara mudahnya respon penulis terhadap perkara di sekitarnya.

Hasil karya Yaman Siba'ii, anak kepada tokoh tidak asing kepada dunia Islam, Mustafa Siba'ii terbitan Maktabah Usamah, Beirut. Tulisan beliau mungkin hasil pengamatan dan pengalaman hidup berdagang di tempat orang, Spain. Sebelum ini saya pernah membaca buku Mustafa Siba'ii yang tidak jauh bezanya dengan metod buku ini. Menarik juga sebagai bahan bacaan ringan, tajuknya هكذا علمتني الحياة ..(Begini Kehidupan Mengajarku).


Saya kongsikan beberapa bait yang menarik perhatian saya dari buku Yaman Siba'ii ini. Tajuk buku ini خواطر في زمن المحنة (Lintasan fikiran di Zaman Ujian- terjemahan saya, mungkin ada terjemahan lain yg lbh tepat)

الأمل الذي لا يقترن بالعمل الموجه الجاد هو بناء في عالم مخدر وسعادة آنية هي في حقيقتها شقاء مرير ووسادة للأحلام ندرك بعد اليقظة أنها كانت ملأى بالأشواك.
-Impian yang tidak disertai dengan usaha yang bersungguh adalah binaan di alam khayalan dan kebahagiaan sementara yang pada hakikatnya adalah kesengsaraan yang pahit dan mimpi. setelah tersedar, ia hanyalah sesuatu yang penuh dengan duri.

كل دمعة لها نهاية ونهاية الدمعة بسمة وكل بسمة لها نهاية ونهاية البسمة دمعة. والحياة بداية ونهاية وبسمة ودمعة، فلا تفرح كثيرا ولا تحزن كثيرا، اذا أصابتك احداهما فنصيبك من الأخرى مخبوء في صفحة القدر...
- Setiap tangisan ada kesudahannya , dan kesudahan tangisan adalah senyuman. setiap senyuman juga ada kesudahannya. dan kesudahan sebuah senyuman adalah tangisan. kehidupan punya permulaan dan kesudahan; senyuman dan tangisan. Justeru, jangan terlalu gembira dan jangan terlalu sedih. Jika kamu mengalami salah satu daripadanya, maka takdir kamu bagi yang satu lagi tersimpan dalm qada' qadar Tuhan.


لا تدع اليأس يستولي عليك، انظر الى حيث تشرق الشمس كل فجر جديد لتتعلم الدرس الذي أراد الله للناس أن يتعلموه.. ان الغروب لا يحول دون الشروق مرة أخرى في كل صبح جديد..
-Jangan biarkan putus asa menguasai dirimu. Lihatlah kepada matahari yang terbit saban pagi untuk mengajar manusia sesuatu yang Allah ingin kita mempelajarinya. Sesungguhnya matahari tidak akan terbenam melainkan akan terbit semula setiap pagi yang baru.

الألم يفجر الطاقات للإبداع ، والإبداع يثير الدهشة والتساؤل ، والتـساؤل يهدي إلى الإيمان ، ومن الايمان تـنـبـثـق الأخلاق ونـعـرف الحب ، وبالحب نبني الحياة ، وفي الحياة نتعلم الألم !
- Keperitan melahirkan usaha ke arah kreativiti, Kreativiti melahirkan keterujaan dan persoalan. Persoalan membawa kepada keimanan. Daripada iman lahirlah akhlak dan menjadikan kita mengenal cinta. Daripada cinta, kita bina kehidupan. Dan daripada kehidupan kita belajar tentang keperitan.

BACA SELENGKAPNYA - Lintasan Fikiran di Zaman Ujian
2

Teruslah Berlari!

Salam Aidilfitri.Minal ‘aidin wal faizin. Mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan laku. Moga hari raya ini menambah ukuwah, menautkan hati-hati yang dingin dan menjernihkan segala yang keruh.

Lama tidak berblog. Menggunakan kesempatan menunggu bas ke Perlis jam 11 ini, hati terniat mahu mengetik sesuatu.Saya sudah tiba sejak jam 6.30 petang dari Johor. Bercinta rasanya menunggu sehingga hampir tengah malam. Tiket kehabisan. Saya yang lambat, alpa yang saya sudah berpindah jauh ke utara tanah air. Bas dari selatan ke utara tidak banyak dari tempat saya.

Membaca buku Transformasi Ramadan dan Rindu Bau Pohon Tin karya Abu Saif menggamit rindu saya pada kelas-kelas pengajian dan buku-buku di perpustakaan UIA. Dua minggu bercuti cukup memisahkan saya dari dunia penulisan tesis yang masih berbaki minta disiapkan. Waktu mencium tangan emak tadi, emak sudah member amarannya. Siapkan tesis baru kahwin! Saya menunjuk sengih. InsyaAllah. Mana-mana yang dulu mak ya.

Akhir-akhir ini ayah menjadi peminat Saifulislam yang setia. Satu demi satu buku karya beliau dihadamnya dan dikongsi bersama kami anak-anak. Almaklum, anak-anak masing sedang menuju dewasa, sedang mengintai-ngintai untuk membuka lembaran hidup baru berdua. Lucunya, ayah yang membaca, bercerita kembali kepada kami tentang adab pergaulan, tentang pertunangan, tentang kehidupan. Patutnya anak-anak ini yang menghadap. Saya memang sudah lama menyelesaikan Aku Terima NIkahnya 1. ATN 2, hanya sempat dibaca lompat-lompat. Alhamdulillah ayah beli buku selainnya, dapatlah saya tumpang baca. Menarik apa yang dipetik oleh Saifulislam tentang rusa dan singa. Hidup, kita harus terus berlari dan berlari. Rusa berlari supaya dia akan terus hidup dan tidak menjadi mangsa sang singa. Singa juga terus berlari untuk hidup, mendapatkan makanan atau dia harus mati kelaparan. Memang rezeki itu sudah ditetapkan tapi Tuhan menetapkan ia dengan usaha.
.
Lalu kehidupan,biar perit harus tetap diteruskan kerana kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Saya mendengar dan menghadapi mereka-mereka yang kecewa dengan hidup, bertanya tentang kasih sayang Tuhan, putus harapan dan sebagainya. Memang berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Tapi sahabat, adik-adik, putus asa terhadap RAHMAT Allah itu tidak patut ada dalam kamus hidup kita. Hari ini Allah uji kita, siapa tahu ujian itulah tiket untuk ke syurga kalau kita sabar dan bijak menghadapinya. Jangan dikira ujian dan musibah sebagai pengabaian Tuhan pada kita. Ujian adalah peringatan untuk kita kembali pada Dia. Berserah penuh pada-Nya.

Kita tidak masuk syurga dengan amalan kita. Kerana amalan biar sebanyak mana belum tentu dapat membayar setiap helaan nafas, setiap denyutan nadi, setiap kerlipan mata. Nikmat yang melimpah. Justeru, jangan cepat menyoal Tuhan kenapa kebaikan yang kita lakukan tidak dibalas segera. Kenapa pertolongan Tuhan tidak datang saat kita merintih memerlukan. YAKINLAH, PERCAYALAH bahawa janji Allah itu benar. Segala yang baik pasti dibalas baik dan yang buruk pasti mendapat balasan. Cuma cepat atau lambat sahaja. Atau syurga neraka kesudahannya.

Rahmat Tuhan itu melangit luasnya. Jangan sesekali putus harap padanya. Saya berazam dalam diri untuk tetap mengutus doa saya buat adik-adik, sahabat serta anak-anak didik saya agar tetap kuat dan tabah. Saya mungkin tidak mampu berkongsi beban itu. Tapi saya percaya pada kuasa Allah yang mampu meringankan bahkan menghilangkan pedih dan susah yang ditanggung. Kalau Allah mahu menghilangkan serta merta sakit dan susah nabi Ayyub serta merta, bukan mustahil untuk Dia melakukan yang sama pada kita. Tidak ada yang mustahil dalam kuasa Allah. PERCAYALAH!

Bersangka baiklah dalam urusan Tuhanmu, dik.

Doa pelindung diri daripada godaan. Dibaca oleh nabi kepada seorang lelaki yang datang meminta izin untuk berzina. Elok dibaca oleh ibubapa kepada anak-anak.

Untuk anak lelaki:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهُ وأََحْسِنْ فَرْجَهُ وَاغْفِرْ لَهُ

Untuk anak perempuan:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهَا وأََحْسِنْ فَرْجَهَا وَاغْفِرْ لَهَا

Untuk diri sendiri:
اللهم طَهّرْ قَلْبِي وأََحْسِنْ فَرْجِي وَاغْفِرْ لِي


BACA SELENGKAPNYA - Teruslah Berlari!
4

Berdikari Mencari Ilmu

Saya sukakan wajah-wajah itu. Wajah-wajah yang dahagakan ilmu, wajah-wajah yang mendengar saya dengan penuh minat. Wajah-wajah yang menanti saya setiap selesai kelas dengan pelbagai soalan dari soal hukum sampai konspirasi dunia. Biarpun pelajar saya pelbagai karenahnya, pelbagai wajahnya, dari yang menunjuk mata kuyu atau terus melayan mengantuk atau yang ‘mengajar’ sama waktu mengajar, cukuplah beberapa orang mengubati penat dan marah saya pada yang lain.

Menjadi ustazah, anda harus jadi semua. Walaupun anda dalam bidang Quran, anda kena mahir bidang fiqh, kena tahu bidang muamalah, kena tahu bidang stategik dan politik dunia, kena mahir bidang perhubungan awam, kena jadi doctor, kena semua. Kerana ustaz ustazah adalah seperti kaunter pertanyaan, dihumbankan segala soalan kepada mereka tanpa mengira bidang pengkhususan mereka. Sedang doctor sendiri dihormati mengikut pengkhususan, ditanya mengikut organ badang yang dia pakar tetapi ustaz ustazah harus tahu menjawab semua. Kalau tak tahu itu belum layak jadi ustaz ustazah.

Saya ingat, Tok Mod (Prof Mahmud Zuhdi) sangat lantang dlm soal pengkhususan ini dan mengingatkan orang agama supaya berhati-hati member. Jangan kerana kita ustaz ustazah, maka kita terima semua tajuk yang diminta kita sampaikan. Salah. Salah hukumnya bercakap pada bidang yang kita tidak tahu. Tapi setengah orang membantah kerana pada mereka , mereka belajar semua. Tapi pada Tok Mod, ia salah. Ini yang menjadikan orang memandang lekeh kepada ustaz ustazah kerana bercakap asal boleh. Kadang-kadang menjadi boros mengeluarkan hukum.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Tok Mod. Saya akui itu. Saya dalam bidang Quran, saya tidak belajar mendalam bidang fiqh. Tahu yang asas dan sedikit tentang perselisihan ulama’ itu ya, tapi untuk pergi jauh bercakap dalam bidang itu, saya harus terus belajar. Peluang mengajar adalah peluang untuk terus belajar. Saya harus lebih rajin mencari jawapan biarpun di luar bidang saya. Murid saya mahu tahu. Saya mungkin tidak mampu untuk memberi tahu, tapi saya harus melorongkan jalan supaya mereka mampu untuk menjadi tahu.

Pada saya, ilmu ini ada kuncinya. Justeru, kalau berjumpa kunci pintu ke khazanah ilmu maka,seseorang itu akan terus terdorong untuk belajar dan belajar. Kadang-kadang kita harus mengembara jauh untuk mencari kunci atau mengetahui tempat tersembunyinya kunci yang sebenarnya ada di depan mata. Saya kira, masalah kebanyakkan kita adalah kita tidak sampai kepada tahap berdikari dalam mencari ilmu. Guru saya, Us Anuar Ridwan pernah menyebut ini. Zaman universiti adalah zaman belajar dan menyediakan diri untuk jadi ‘berdikari’ dalam menuntut ilmu. Belajar memang perlu berguru. Tapi sifat berdikari dlam mencari ilmu itu yang akan menyebabkan kita mencari buku dan mencari guru bukan menunggu guru datang kepada kita atau buku disuguhkan kepada kita baru kita mahu mencari ilmu.

Selamat datang untuk diri ke dunia yang saya nantikan selama ini. Saya menjadi budak kecil, budak baru dalam dunia yang panjang likunya. Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong tunjukkan. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.

BACA SELENGKAPNYA - Berdikari Mencari Ilmu
3

An-Nur; anjuran memudahkan perkahwinan

Terlalu lama saya ‘menjadi malas’ dan beralasan untuk menulis dan berkongsi sesuatu di blog ini. Hari ini saya memaksa kembali diri saya. Kadang-kadang memang sesuatu yang baik itu harus dipaksa terutamanya bila diri menjadi leka dan selesa.

Rejab sudah tiba memasuki ruang hidup menyampaikan salam Ramadan yang menunggu bulan berlalu buat bertemu mereka yang rindu menunggu. Saya masih terkapai-kapai berazam dan mengatur kembali kehidupan sebagai persediaan menyambut tetamu istimewa. Kehidupan kadang-kadang sangat menyibukkan dan melekakan sehingga kita tak mampu menekan butang ‘pause’ dan berhenti seketika melihat hidup yang sedang dilalui. Allahumma bariklana fi Rejab wa ballighna Ramadan.

Sekadar berkongsi bagi menyemarak semangat saya untuk terus menulis. Semalam, saya meneruskan kuliah tafsir Surah An-Nur di Bank negara yang sudah hampir separuh disudahkan. Surah An-Nur memang surah kecintaan saya. Saya jatuh cinta dulu waktu mendengar kata seorang guru saya tentang pesan Umar kepada rakyat Kufah,علموا نساءَكم سورة النور, Ajari kaum wanita Surah An-nur. Kenapa perempuan harus belajar dan tahu tentang surah ini? Kerana ia banyak berbicara tentang kehormatan dan maruah melalui hukum dan adab terutamanya dalam rumahtangga. Bukankah perempuan itu pendidik keluarga? Kata Ahmad Syauqi,
الام مدرسه اذا اعددتها اعدتها اعدت شعب طيب الاعراق
"Ibu adalah sekolah, jika engkau mempersiapkannya, berarti engkau mempersiapkan bangsa yang berketurunan baik." Tapi lelaki jangan ambil mudah pesan ini. Bukankan Umar berpesan kepada lelaki untuk mengajar isteri dan anak-anak perempuan mereka? Bukankan orang yang mahu mengajar itu harus dahulu faham dan menguasai apa yang mahu diajarkan?

Kata Syed Qutb, paksi perbicaraan surah ini adalah pendidikan melalui saranan-saranan KERAS seperti hukum rejam, qazaf, li'an dan saranan HALUS seperti adab-adab selain menghubungkan hati dengan bukti kekuasaan Allah di alam dan dalam kehidupn manusia. Gabungan didikan antara keras dan lembut ini penting dalam mendidik hati, menggerakkan perasaan juga meninggikan ukuran akhlak dan akhirnya menghubungkan hati dengan nur/hidayah Allah.

Secara umumnya surah ini menyebut tentang adab-adab kemasyarakatan yang wajib diukuti seperti adab masuk rumah, tundukkan pandangan, jaga kehormatan, mengelakkan pergaulan bebas yang mengingatkan tentang pentingnya istiqamah terhadap syariah Allah dan menjaga dari faktor-faktor yang membawa kepada keretakan dan kerosakan akhlak yang membinasakan masyarakat dan ummah. Surah ini dimulakan dengan ayat tentang hukuman sebat terhadap orang bujang yang berzina,diikuti tentang hukuman menuduh orang baik-baik berzina, li'an bagi suami yang menuduh isteri berzina, hadith al-Ifk (fitnah terhadap Aisyah r.a.h) kemudian tentang adab.

Surah ini juga menyeru kepada memudahkan perkahwinan selepas anjuran terhadap jaga pandangan dan kehormatan. Semalam, saya sampai kepada ayat tentang anjuran mengahwinkan orang-orang bujang. Susah juga saya menyusun ayat apabila masuk kepada isu perkahwinan kerana pendengar saya lebih arif dan berpengalaman tentang itu. Tapi saya juga ada beberapa isu sebagai orang bujang yang perlu dan mahu saya kongsikan. Rata-rata kita mengetahui tentang kesukaran berkahwin disebabkan mahar yang tinggi atau syarat-syarat tertentu yang menyusahkan. Kebanyakkan perkahwinan hari ini adalah atas perkenalan sendiri antara anak-anak. Campurtangan dan pilihan ibu bapa sudah makin berkurangan.

Saya kira ibubapa harus kembali masuk campur dan prihatin soal mengahwinkan anak-anak kerana ini adalah tanggungjawab mereka. Bapa khususnya. Mungkin sukar untuk mencari bapa seperti Syeikh Madyan yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa, pemuda tanpa harta, sendiri, pelarian dalam ketakutan dengan syarat Musa berkerja dengannya selama lapan atau sepuluh tahun. Dia adalah bapa yang bijak membaca suasana juga memahami bahasa anak gadisnya. Tapi ya, dia tetap berhati-hati. Musa diterima kerana cukup syarat kepimpinanannya; kuat dan amanah. Kuat; mampu menyara keluarga, amanah; mampu menjaga kehormatan dan memelihara amanah rumahtangga.
Anak-anak, dalam usia muda kadang-kadang terlalu banyak bicara cintanya sehingga keluar dari batasnya atau terlalu bayak fikirnya sehingga tak terjangkau perkahwinan itu dengan kadar segera. Ibubapalah orang yang harus bijak membaca perubahan anak-anak dan menilai tahap perlu tidaknya anak-anak berumahtangga. Kerana silap berhubungan, anak-anak akan jadi mangsa syaitan dan nafsu yang tak pilih imam atau pemuda jalanan. Justeru, jalan-jalan menutup pintu maksiat harus diusahakan dan dimudahkan. Saya tak nak bercakap panjang tentang wang hantaran dan seribu satu syarat yang pernah saya dengar malah akhir-akhir ini ada syarat yang sangat mengejutkan saya. Saya juga pernah membentang syarat tapi saya kira itu masih di lingkungan yang masuk akal dan lurus dengan syariah.

Kembali, saya kira ibubapa harus kembali masuk campur terutamnya dengan situasi sekarang, peningkatan hubungan luar nikah sehingga melahirkan zuriat yang tak diingini, peningkatan jumlah mereka yang tidak berkahwin, hilang kepercayaan terhadap institusi perkahwinan dan lainnya. Imam Bukhari menamakan satu bab dalam Sahihnya, bab lelaki menawarkan anak perempuannya atau saudara perempuannya kepada lelaki soleh seperti yang dilakukan Umar terhadap anaknya Hafsah juga bab perempuan menawarkan dirinya kepada lelaki soleh seperti tawaran seorang perempuan terhadap Rasulullah. Ia sunnah yang termaktub dalam sirah.
Anda mungkin bertanya saya semula, masalahnya bagaimana keadaannya ibubapa hari ini. Apakah mereka cukup memahami soal ini dan punya kriteria pemilihan yang selaras dengan syariah? Tak mengapa, kalau begitu mereka, maka berazamlah kita untuk jadi ibubapa yang seperti dituntut dalam Islam. Ibubapa juga mungkin bertanya, bagaimana anak-anak hari ini, mereka tak mungkin menerima campurtangan ibubapa, pilihan ibubapa. Kalau tanya saya, saya juga sukar untuk mengatakan ya secara spontan. Zaman berubah. Ya zaman berubah tapi kita tetap tak boleh berubah mengikut zaman kan?
Alhamdulillah, saya masih bertemu ibubapa yang bagus faham agamanya dalam menangani soal perkahwinan.
Hati saya tersentuh apabila berhadapan dengan masalah perkahwinan yang agak sukar kondisinya untuk diterima oleh ibubapa tetapi bapa masih lurus fikirnya. Katanya, dalam Islam, apabila anak perempuan minta berkahwin, maka si bapa harus menyegerakan perkahwinan itu. Maka kita redha walaupun situasinya sukar diterima. Tahniah! Beberapa perkara harus disegerakan seperti dalam hadis; bayar hutang, solat, uruskan jenazah dan kahwinkan anak.
Saya sebutkan juga dalam kuliah semalam, gabungan pesanan teman-teman saya saat kami 'sharing moment' sesekali juga pesan dari guru-guru saya. Perkahwinan adalah ujian. Hidup sendirian juga ujian. Tujuan hidup adalah sama: Redha Allah. Kerana hanya dengan redha dan rahmat Allah kita mampu beroleh syurga. Justeru bukan senang membeli syurga. Harganya adalah kesabaran melayari rumahtangga perkahwinan bagi pasangan berkahwin atau kesabaran menghadapi mehnah bersendirian bagi yang bujang. Memahami itu, saya mengakui, benar, syurga itu mahal dan hanya yang sabar akan berjaya mencapai tujuan.
Ayuh kita gali lagi khazanah ilmu mencari jawapan kepada masalah-masalah kita hari ini yang kebanyakkan bermula dari kita sendiri.
BACA SELENGKAPNYA - An-Nur; anjuran memudahkan perkahwinan
0

Khas Untuk Emak

Buat Bonda tercinta, Puan Hjh Ramlah Zainal sempena ulangtahun kelahiran ke-54
Bunda...
Selalu ada
Sentiasa setia
Tetap sabar
Tenang mendengar

Juga terkadang
Ketara risau
Meluah amarah
Memanjang leter
Atau senyap
Membawa rajuk

Bunda
Ketahuilah
Cinta tak pernah pudar
Sayang tidakkan hilang
Doa sentiasa dipanjatkan


Bunda
Kalau pernah hatimu terguris
Kalau pernah air matamu menitis
Kerana aku yang bernama anak
Terkadang lupa menyusun kata
Melurus bicara atau sesekali menunjuk rasa
Maafkan…maafkan …maafkan

Bunda
Masih jauh perjalanan anakanda
Mohon…mohon...mohon
Doa dan pengertian
Izinkan dan redhailah langkah ini

Bunda
Atas segala yang tak mampu
ditulis dengan pena
Atau ditimbang dengan neraca
TERIMA KASIH!
BACA SELENGKAPNYA - Khas Untuk Emak
3

Hormatilah wanita!

Izinkan aku, meraut rasa menjadi kata..

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dia perempuan, dari rusuk lelaki dia diciptakan. Dari tulang yang bengkok. Justeru, kalau mahu meluruskannya, harus berhati-hati dan sabar. Dia manusia seperti engkau. Punya hati, punya rasa. Punya hak sebagai dia; manusia.

Dia isteri, wajib taat pada engkau sang suami. Wajib akur…wajib sedia. Wajib teratur dan mahir mengurus rumahtangga dan anak-anak. Wajib tahu kesukaan suami, wajib menggembirakan engkau, wajib selalu menjaga diri dan maruah engkau. Wajib itu..wajib ini…

Tapi, tetap juga dia manusia biasa, punya rasa, punya hak sebagai manusia. Dia bukan hamba buat disuruh-suruh, dibentak-bentak. Dia bukan haiwan buat disepak terajang dan dilibas dengan segala macam cemeti yang tercapai dengan tangan engkau wahai lelaki. Dia manusia…manusia seperti engkau. Yang tahu rasa sakit, yang kenal warna darah. Yang punya rasa penat, marah, sedih, kecewa, cemburu.

Apa kau kira hanya engkau makhluk yang dikurnia segala pancaindera. Hanya engkau yang mampu melihat, mendengar dan merasa. Apa dia pekak, bisu, buta atau besi yang hanya tahu sejuk dan panas?

Dia manusia…manusia…manusia…hormatilah dia seperti mana engkau mahu dirimu dihormati, sayangilah dia seperti mana engkau mahu disayangi. Cintai dia seperti mana engkau mahu dicintai. Kasihanilah dia seperti mana engkau mahu dikasihani saat terleka dan terlupa sesaat rutin wajibmu. Kerana dia manusia yang tak lepas dari lupa dan leka.

Dia, yang engkau ambil dengan lafaz yang mulia. Yang kau bersaksi dengan ikatan yang diangkat tinggi oleh Tuhan adalah teman yang menjadi amanah buat engkau. Kalau engkau merasa besar sebagai ketua rumahtangga, haruslah engkau malu kerana gagal membimbing ‘pekerja’mu menjadi yang terbaik. Kalau engkau merasa besar sebagai penguasa, malulah kerana engkau gagal melaksanakan tugasmu sehingga rakyatmu tempang menunaikan amanahnya. Malulah…malulah pada dirimu yangmerasa kuat tetapi memilih lawan yang lemah. Kemenangan apa yang mahu kau hebahkan kepada dunia?

Suami adalah kepala, isteri adalah anggota. Bagaimana sesuatu yang saling melengkapi boleh mencemuh dan menyakiti sebahagian yang lain? Dia isteri; dia ibu anak-anakmu...dia amanah dan hadiah berharga dari Tuhan. Jangan terlambat mengenal nilainya sehinggalah dia pergi dari hidupmu.
BACA SELENGKAPNYA - Hormatilah wanita!
0

Sabarlah Hati!

وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
Sabar…mudah melafazkannya tapi sangat sukar meletaknya dalam hati saat diri ‘disentuh’ ujian. Sabar itu; tetap hati dan kuat menanggung kesakitan dan musibah. Juga meletakkan penyerahan penuh kepada Allah, yakin serta redha dengan Qada’ dan Qadarnya.

Dari mana datangnya sabar? Ia natijah dari kefahaman yang benar. Sesiapa yang menemui jalan yang betul dan mengetahui hasil dan akibat jalan itu, akan mampu menempuhinya dan bersabar atas apa yang akan dihadapinya. Sabar juga adalah sebab untuk kita menambah kefahaman dan ilmu dan sebab untuk kita mencapai tujuan hidup. Sabar itu natijah pada apa yang telah berlaku dan sebab kepada apa yang akan berlaku selepasnya. Ilmu membuahkan sabar dan sabar melahirkan lebih kefahaman dan kesedaran. Begitulah kitar kehidupan kita.
Justeru kita harus faham setiapa sesuatu yang berlaku, juga amal yang kita lakukan adalah natijah kepada yang sebelumnya juga sebab kepada apa yang akan datang. Sebagai contoh, sesiapa yang mengetahui dan merasakan bahawa belajar Al-Quran, faham dan berpegang dengan ajarannya itu penting untuk menukar biah yang tidak elok dalam masyarakat, akan dapat bersabar untuk sentiasa mendampingi Al Quran dan belajar isinya. Kerana pengajiannya akan memberikan dia kefahaman dan kesedaran yang lebih baik. Bagitulah Rasulullah s.a.w mengajar sahabat tentang sabar dan istiqamah dalam melakukan kebaikan yang akan menghasilkan natijah yang diharapkan.

Kita, adalah mereka yang sukakan kemudahan dan mahu segala-galanya tercapai segera. Terkadang menjadi terlalu terburu-buru untuk mendapatkan sesuatu. Kita mahu benih yang disemai hari ini segera menjadi pokok selepas dua hari. Begitu kejahilan kita tentang tabiat tumbuhan. Terburu-buru dan jahil, itu pasangannya. Terburu-buru; ia seolah-olah kita mahu mengatasi tabiat dan peraturan sesuatu. Lawannya adalah cuba memahami sunnah dan tabiah setiap sesuatu dan berusaha mencapainya dengan meminimakan waktu dan usaha. Terburu-buru adalah seperti kita masuk rumah melalui bumbung atau dari tingkap belakang rumah contohnya berbanding memilih jalan yang sepatutnya; masuk melalui pintu.

Sabar itu wahai hati, adalah seperti engkau menanam benih di dalam tanah. Kemudian engkau menyiram dan menjaganya setiap hari. Dan engkau tunggu sehingga ia tumbuh dan membesar menjadi pokok seterusnya mengeluarkan buah. Dan bukanlah sabar itu seperti yang difahami sesetengah orang; menunduk, berserah pada keadaan dan takdir tanpa ada usaha untuk mengubahnya.

Sabar itu, sabar berusaha dan sabar membina hidupmu. Sabar melakukan kewajipanmu. Sabar mendaki gunung cita.
ومن يتهيب صعود الجبال يعش ابد الدهر بين الحفر

Seseorang bertanya kepada seorang ahli falsafah, apa yang perlu aku buat, aku tidak sabar dalam menuntut ilmu. Maka jawab failasuf itu, justeru hendaklah engkau bersabar terhadap kesengsaraan kesan daripada kejahilan engkau nanti.

Begitulah yang wajib engkau fahami wahai hati tentang sabar. Dengan sabar inilah Allah menghapuskan kesilapan engkau dan menambahkan pahalamu.
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
Dalam sebuah hadith pula disebut, tidaklah seseorang hamba itu diuji dengan kesusahan, kesedihan walau cucukan duri melainkan Allah menghapuskan dosa-doanya.

Sabar yang sebenar itu hati, kerana ia lahir dari kefahaman yang betul, tidak akan membiarkan engkau merasa tertekan. Betapa kesabaran itu juga terkadang hancur hanya dengan engkau marah dan membentak sesaat. Lalu rugilah engkau dari segala pahala dan penghapusan dosa yang dijanjikan Tuhan.
لحظة يا صاحبي إن تغفل ألف ميل زاد بعد المنزل

Sungguh, sabar itu kekuatan yang perlu selalu dilatih dalam diri...perlu lahir dari kefahaman dan tidak akan diperolehi tanpa usaha mendaki puncak yang jalannya penuh jurang dan liku.

Dipetik dan diadaptasi dari ‘Adwa’ min Surah Luqman’ oleh Hannan Lahham, terbitan Dar Al-Thaqafah, Damsyiq.
BACA SELENGKAPNYA - Sabarlah Hati!
0

Wahai Anak, Kembalilah

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلاَ تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ
Hud[42]
(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

Bergenang air mata tatkala menyelami perasaan Nuh ‘alaihis Salam. Lihat kecamuk dan gelora jiwa seorang ayah melihat anak tenggelam di depan mata. Lebih perit lagi, kerana dia tahu, itulah perpisahan akhir dia dan anaknya. Mana bisa dia melihat lagi anaknya kerana dia maklum dengan ingatan Tuhan. Hanya yang beriman akan selamat. Yang inkar akan tenggelam. Itulah pemisah antara dia dan anaknya. Kufur. Hubungan nasab sudah tiada erti. Tuhan memberitahu, Nuh, dia bukan anakmu, bukan ahli keluargamu. Akhirnya, Tuhan memberi tanda aras. Akidah yang menentukan hubungan sebenar.
Nuh memanggil, wahai anak, ke mana engkau mahu pergi. Bagaimana engau mahu lari dari ketentuan Tuhan. Naiklah bersama-sama kami ke dalam bahtera, akan selamatlah engkau.

قَالَ سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاء قَالَ لاَ عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللّهِ إِلاَّ مَن رَّحِمَ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ
Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

Tapi hati anak sedikit pun tidak terusik dengan pujukan si ayah sedang ayah sangat mengetahui situasi dan hakikat sebenar kejadian yg akan berlaku. Ini bukan air bah seperti banjir biasa yang kau sangkakan anakku ..hari ini bukan seprti hari-hari ujian biasa yang kau sangka bisa kau hadapi cabarannya. Tidak anakku..Tidak ada yang akan terselamat.Tidak ada melainkan dengan rahmat Allah.

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءكِ وَيَا سَمَاء أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاء وَقُضِيَ الأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْداً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.

Ah, anak, apa bisa melihat tangis di penjuru kalbu seorang bapa, seorang ibu. Apa pernah terlihat linangan air mata pada setiap doa di hujung solat. Rintih dan rayu kasih seorang ibu, sayang seorang bapa. Memohon pada Tuhan, kembalikan..kembalikan dia ke jalan-Mu Tuhan. Kembalikan iman dalam hati anak ini Tuhan, apalah kiranya kau berlemah lembut dalam ketentuan-Mu padanya. Lorongkan jalan kebenaran buatnya. Suluhi hidupnya dengan cahaya-Mu. Pulangkan dia kepada kami. Pulangkan…
وَنَادَى نُوحٌ رَّبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابُنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

Masih seorang bapa tidak kenal putus asa. Terus berdoa pada Tuhan, moga-moga anaknya terlepas azab di akhirat.

قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلاَ تَسْأَلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.
Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Anak-anak mungkin dekat dengan ibu bapa tapi hakikatnya jauh. Kerana penghubung itu terputus. Penghubung dari doa dan solat setiap waktu. Hubungan hati yang lahir dari iman yang utuh. Bagi yang sudah pergi, apakah hubungan anak dan ibubapa masih kekal; apakah doa kita diterima sebagai doa dari anak yang soleh dan solehah.
BACA SELENGKAPNYA - Wahai Anak, Kembalilah
2

'Uruf atau Syariah?

Masih kekal ingatan Us. Nasir waktu saya di SMAKJ;” kalau kamu jadi ibu bapa, ingat, anak-anak bukan milik kamu. Ia pinjaman. Justeru jangan terlalu kecewa, bersedih, makan hati bila anak-anak tak balik raya. Mereka ada kehidupan sendiri yang kita kena cuba untuk faham.” Mungkin ramai yang membantah. Fahami betul-betul, ayat ini bukan bercakap soal tanggungjawab anak-anak, itu tak dinafikan, mereka perlu bertanggungjawab, mereka perlu sedar dan tahu. Pesan itu berkisar soal bagaimana seharusnya ibu bapa melihat anak-anak supaya kekecewaan mereka tidak akan menyakitkan mereka, tidak akan menyebabkan mereka terlepas kata mendoakan anak-anak pada perkara yang kurang baik untuknya.

Saya belum menjadi ibu. Justeru, seperti tidak adil untuk saya bercakap kerana seperti kata orang, kau tak tahu perasaan jadi mak bapak. Kalau kau tahu, kau pasti akan buat perkara yang sama. Itu satu isu. Tapi saya tak nafikan banyak isu lain yang harus kita teliti bersama. Apa yang penting di akhirnya adalah bagaimana meletakkan Islam di atas. Tapi memang bukan mudah. Kerana hari ini, adat, uruf dan ‘apa orang kata’ itu lebih penting dari melihat sesuatu isu dari sudut syariahnya.

Semalam waktu saya bicara dengan seorang kawan satu isu, dia menyebut; akak kena pikirkan uruf sekarang. Semua tu kan dah jadi biasa. Lalu saya menyebut, awak bertanya, apa pandangan Islam. Maka adalah menjadi kewajipan akak untuk menyatakan perspektif Islam dalam soal ini. Apakah kerana uruf tidak begitu, maka Islam harus mengikut uruf. Islam yang harus mengikut suasana atau suasana itu harus diurus mengikut acuan Islam.

Saya teringat bengkel tentang kokurikulum dan pembinaan syaksiah yang saya hadiri minggu lalu anjuran CCAC UIA. Perbincangannya memang hebat, menarik. Tapi akhirnya saya lebih cenderung dengan idea Cikgu Sidek Baba tentang ‘adabization’ dan persoalan yang dibangkitkan oleh Murabbi saya, Ustaz Ismail Abdullah. Katanya, apakah pasaran yang membentuk pendidikan atau pendidikan yang seharusnya membentuk pasaran, Kerana hari ini kita galak menyatakan mahu melahirkan graduan yang menepati kehendak pasaran, yang kompetitif, produktif. Justeru, kita melihat pelajar harus dibentuk sehingga menepati kehendak pasaran. Tambah beliau, selagi kita tidak memahami maksud dan tujuan sebenar penciptaan, maka selagi itu kita akan gagal menjadi pengurus bumi sebaiknya. Ya, selagi kita tidak memahami makna hidup sebagai hamba Allah( عباد الله), khalifatullah (خليفة الله), ummah wasota(أمة وسطا), dan sebaik-baik ummah (خير أمة).

Waktu saya bertemu beliau, mohon pandangan terhadap beberapa kemusykilan saya, beliau kembali membangkitkan tentang bengkel kami. Katanya, kita boleh berfikir out of the box, tapi kita tetap tidak boleh berfikir out of the big box. Setiap sesuatu harus berjalan dalam system-Nya. (صبغة الله).

Tentang ‘adabization’ yang dibangkitkan oleh Cikgu Sidek Baba, ia bukanlah sesuatu yang asing di kalangan kami yang bekerja dengan Ustaz Ismail. Memang itulah tumpuan ustaz dan selalu diulang-ulang. Apabila ‘adabization ‘ dibangkitkan oleh Cikgu sebagai satu learning outcome yang sangat penting, idea itu disambut dengan baik oleh kebanyakkan peserta. Hasil pembelajaran dalam aktiviti ko kurikulum sepatutnya adalah melahirkan pelajar-pelajar yang punya syaksiah yang baik dan BERADAB. Beradab dengan manusia, juga punya adab dengan alam. Bukankan Islam itu rahmatan lil ‘alamin. Jadi Muslim yang berjaya harus menjadi suatu ‘rahmah’ bukan sahaja kepada Muslim bahkan kepada alam seluruhnya. Jangan kita rasa berjaya tetapi makhluk Allah yang lain terseksa dengan kejayaan kita.

Kembali. Jauh sungguh isi saya menyimpang dari muqaddimah. Sejak menyibukkan diri dengan disertasi, lebih banyak isu-isu kekeluargaan yang harus saya lihat dengan lebih dekat selain menjadi kewajipan saya untuk menelitinya dari perspektif Al Quran. Dan akhir-akhir ini, banyak pula perbincangan dan mesyuarat meja bulat, empat segi juga mesyuarat dapur tidak rasmi membincangan tentang isu perkahwinan. Saya mendapat pandangan yang tidak banyak berbeza. Hampir sama dari mulut ke mulut. Sakitnya kan, apabila uruf/situasi setempat telah mengatasi peranan syariah dalam memudahkan urusan menyempurnakan agama(perkahwinan), urus tadbir rumahtangga sehingga penyelesaian konflik dalam keluarga. Banyak sungguh adab Islami yang semakin jauh dan hilang dalam diri-diri kita. Oh, saya tidak mengatakan 'u'ruf itu salah kalau ia baik dan menepati kehendak Islam.

Sahabat, kita bukan manusia sempurna dan terbaik. Tapi saya percaya, kita harus selalu punya azam dan usaha untuk jadi sempurna dan terbaik menurut acuan –Dia, Tuhan yang Maha Tahu. Harus selalu mahu naik pangkat di mata Dia, walau jalan itu sangat sukar, sangat asing, sangat berbeza. Persoalannya, bersediakah kita?

Doakan saya, mampu menyelesaikan disertasi ini secepat mungkin dan diberi ilham oleh Allah.
BACA SELENGKAPNYA - 'Uruf atau Syariah?

Muhasabah untuk Naik Pangkat

إذا المرء لم يلبس ثيابا من التقى تجرد عريانا وإن كاسيا
وخير خصال المرء طاعة ربه ولا خير فيمن كان لله عاصييا
Sekiranya seseorang belum mengenakan pakaian taqwa,
Masih ia dianggap telanjang biar berpakaian,
Sebaik-baik perilaku hamba adalah ketaatan kepada Tuhannya,
Tidak ada kebaikan bagi orang yang bergelumang dengan dosa


Kata-kata, pesan, peringatan bukanlah terlalu sukar untuk sampai ke pendengaran kita terutama jika kita dikurniakan teman-teman yang baik atau bertemu buku-buku yang baik. Bezanya, ia kadang-kadang sukar untuk sampai ke hati. Tapi ada masa dan ketika tertentu, kata-kata yang sering singgah di telinga itu segera masuk ke dasar hati. Menyentuh. Kerana masa yang betul, mungkin juga kerana orang yang betul. Cuma, perubahan memerlukan kekuatan hati, kefahaman yang jelas dan kesungguhan. Menjadi lebih baik memang dituntut dalam kehidupan seorang Mukmin. Kita kadang-kadang merasa selesa, merasa sempurna, merasa cukup sebagai orang biasa yang memiliki iman yang biasa juga. Tapi imankan bertahap. Makam manusia di sisi Tuhan berbeza sesuai dengan beza ketaqwaannya. Kalau berkerja, kita sentiasa mahu kenaikan gaji saban tahun atau kenaikan pangkat. Justeru di sisi Tuhan, selalukah kita menilai, memuhasabah dan bekerja keras untuk ‘naik pangkat?'Di mata Dia. Dalam berkawan pun ada tahapnya. Kenalan, kawan, teman baik, kawan rapat, sahabat dan pelbagai lagi perkataan yang setiap satu mempunyai konotasi tersendiri.

Tapi memang, untuk keluar dari zon selesa(comfort zone) bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi kalau mahu istiqamah dengan perubahan. Berubah memang mudah. Hari ini begini, esok, tukar kepada perkara baru yang kita inginkan. Tapi untuk memastikan kita kekal dengan perubahan tersebut pada hari-hari seterusnya bukan mudah. Sesetengah orang, untuk berubah itu sendiri sukar. Belum bicara tentang konsistensi. Kerana takut dikata orang ‘dah buang tebiat?,’ ‘nak mati ke?’, ‘demam ke?’ atau mungkin juga berperang dengan diri sendiri. Contoh, apabila sesuatu itu sudah jadi kebiasaan dan bukanlah ia satu kesalahan dari segi ‘uruf’ (kebiasaan setempat) dan mungkin juga kerana ada perbezaan pandangan ulama’, justeru, untuk mengambil pendapat yang lebih ‘syadid’ atau tegas, ia menjadi dilema. Mengapa mahu berbeza sedangkan menjadi biasa itu kan lebih baik, tidak perlu menghadap pelbagai persoalan. Tapi bak kata ustaz, jadilah ghuraba’. Orang asing. Berbeza. Bila orang bertanya mengapa bermakna orang bersedia untuk mendengar. Peluang dakwah lebih baik. Berbanding kita yang berbuih mulut bercakap kepada orang yang akalnya beku untuk mendengar. Dakwah bil hal. Anda berjalan… dan keindahan Islam tergambar daripada peribadi anda. Anda menjadi magnetik. Menarik manusia mendekati, mencontohi.

Dalam kursus Nuqaba’ dua semester lalu, waktu membincangkan tentang bagaimana menghadapi fitnah akhir zaman, Ustaz Ismail Chong Abdullah mencadangkan tiga formula– 3 G/Ghin.

1) Ghuraba’- menjadi asing/berbeza. Hadith sudah menyebut, beruntunglah mereka yang berbeza. Berbeza untuk mempertahankan iman dan Islam.

2) Ghaza- menyebut Ghaza akan mengingatkan kita kepada perjuangan antara hak dan batil yang tidak akan pernah selesai sehingga hari kiamat. Justeru, ujian itu lumrah. Untuk melihat siapa yang sabar.

3) Ghilaf- ghilaf bermakna penutup. Setiap sesuatu perlu dilindungi untuk menjaganya.Seperti kita menutup makanan untuk melindungi daripada kekotoran dan serangga. Seorang ‘alim didatangi oleh seorang lelaki yang memohon nasihat daripadanya. Lalu beliau berkata: Sediakan penutup/pelindung bagi agamamu seperti penutup Mushaf. Lalu si lelaki bertanya, apakah pelindung agama? Jelas beliau, tinggalkan berkata-kata kecuali untuk perkara yang perlu, tinggalkan dunia kecuali apa yang perlu bagimu dan tinggalkan bercampur gaul dengan manusia kecuali apa yang perlu bagimu. Ketahuilah, zuhud itu bermula dengan menjauhi yang haram; yang kecil atau besar, menjalankan segala kefarduan;yang susah atau senang, dan tinggalkan dunia kepada ahlinya; urusan yang kecil atau besar.

Bukankan disebut di dalam hadith; sebaik-baik perkara bagi seorang Muslim adalah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya. Ya, dengan masa yang terbatas dan kewajipan yang terlalu banyak untuk diselesaikan, mengapa masih menyia-nyiakan waktu dengan perkara yang tidak memberi nilai kepada peningkatan diri sebagai Mu’min…? Wahai diri…


ضدان يا أختاه ما اجتمعا دين الهدى، والفسق والصد
والله ما أزرى بأمتنا إلا ازدواج ما له حد
BACA SELENGKAPNYA - Muhasabah untuk Naik Pangkat
0

Berorganisasi; Mencari Diri

Bukan mudah berorganisasi. Menyusun barisan penggerak sesuatu aktiviti memerlukan kesabaran lebih-lebih lagi jika latar belakang berbeza. Pendidikan dan pengalaman adalah ukurannya. Banyak pula faktor sampingan yang harus diurus dengan bijaksana. Orang tua merasa lebih makan garam; terkadang menjadi sangat berhati-hati. Orang muda semangatnya menyala, tak mudah kalah sebelum mencuba; terkadang menjadi terlalu terburu-buru. Bukan mudah mengimbang semua ini dalam sebuah organisasi. Bangsa ini budayanya begini, bangsa itu lain pula gayanya. Akhirnya, kalau sama-sama memasang niat, ikhlas demi Islam, bertolak ansur dan berlapang dada, memakai adab dan akhlak Islam, segalanya pasti berjaya. Tapi memang bukan mudah. Bukan. Sehingga saya hampir merasa menjadi lone ranger itu lebih mudah biar beban bertambah. Tapi saya tidak akan belajar banyak jika begitu, juga tidak memberi peluang kepada orang lain untuk mengajar dan belajar. Saya harus selalu semat pesan ustaz dalam diri. Lebih ramai yang awak kenal, lebih banyak yang awak belajar dan lebih peluang untuk menyumbang. Hidup untuk memberi akan jadi lebih bermakna. Ilmu dapat dikongsi sebelum ditanya, kelak…di hadapan Dia. Seminggu yang padat selesai. Saya belajar banyak minggu ini. Berorganisasi adalah satu seni. Didapati dengan sabar, pengamatan dan pengalaman. Ia adab ahli ad-Dunya kalau ditanya pada ustaz. Rabu, Talk on Simple But Meaningful: A Life’s Perspective untuk anak-anak Halaqah gabungan lima kumpulan. Lebih kurang dua ratus lebih pelajar terlibat. Saya jemput Kak Mas dan Kak Wyder daripada Dream Team. Alhamdulillah. Sabtu, Camp Assessment untuk pelajar Fardu ‘Ain. Semester ini kami mengambil cabaran menjalankan sesuatu yang berbeza dari sem lalu. Asalnya adalah cadangan dari Bro Kamal untuk mengadakannya di kawasan Male Sport Complex. Ruang permainan dan padang yang luas dengan pohon-pohon hijau. Lalu program ini mendapat namanya; Raudathus Solihin. Lebih kurang tiga ratus lebih pelajar terlibat. Saya terpaksa menjadi sangat teliti untuk mengurus pengisian ala-ala Treasure Hunt. Alhamdulillah, walaupun sedikit sukar sehingga mesyuarat-mesyuarat kami kadangkala jadi tegang namun kedewasaan masing-masing membantu. Ini ibu beranak tiga, perspektifnya pasti berbeza untuk mengawal pelajar seramai itu. Ini penggerak yang tidak pernah tahu tentang permainan penuh dengan check point, kerisauannya perlu ditenangkan. Pepatah arab mengatakan, kita akan jadi musuh kepada sesuatu yang kita tidak tahu. PERSPEKTIF. Lalu untuk menjadi pemimpin yang berjaya, harus memahami latar yang pelbagai dan bijak mengurusnya. Kesannya, jiwa tidak cepat marah dan rasa tidak puas hati akan mudah didiamkan. Tapi bukan mudah untuk menjadi se’sensitif’ ini. Kerana seseorang kalau punya jiwa pemimpin, ketua, selalu mahu sesuatu dengan segera, sempurna. Perfect, zero defect! Tapi menjadi Mr/s Perfectionist juga bukan sesuatu yang mudah. Kerana kesakitan itu harus ditanggung sendiri. Kerana malas melayan ‘kelembapan’ sesuatu kerja, atau ketidaksempurnaannya, seseorang lebih rela menanggung beban bertambah yang sepatutnya boleh dikongsi bersama. Atau kerana minda ‘tak mahu menyusahkan’ orang lain juga. Semua ini tidak patut ada dalam organisasi yang berjaya. Muslim terutamanya. Sempurna? Siapa yang sempurna. Manusia diciptakan untuk saling memerlukan. Saling menyempurnakan. Mukammil. Seperti Allah mencipta Hawa pelengkap kepada Adam. Justeru, berorganisasi akan mengajar banyak. Mengajar sabar, mengajar kita melihat ke dalam diri, memuhasabah. Menghargai kelebihan anugerah Tuhan pada kita dan pada mereka di sekeliling kita. Bukan mengajar hasad(envy). Kalau cemburu (jealous) itu biasa. Tapi hasad itu bahaya. Sifat milik ahli kitab dahulu. Hasad itu apabila kita merasa cemburu terhadap nikmat yang Allah beri kepada orang lain dan kita mahu nikmat itu ditarik dari dia. Seperti ahli kitab hasadkan nikmat nubuwwah(kerasulan) pada Muhammad. Lalu, berhati-hatilah kita dari terpalit dengan salah satu dari empat rukun kufur ini- hasad.

Bercakap tentang cemburu, minggu lalu, saya cemburukan seseorang. Cemburukan ketekunan dan fokusnya pada ilmu. Cemburu dengan keberkatan waktu yang Allah anugerahkan padanya. Lalu saya berdoa memohon keberkatan waktu. Saat diuji dengan kesibukan berganda minggu ini, saya hampir collapse. Waktu yang padat sehingga saya hampir demam dan kekurangan tidur. Saya yang meminta hidup saya diisi sepenuhnya, lalu kenapa mahu merungut sekarang? Saya masih kalah memaham makna hidup. Hidup sebagai Muslim. Muslimah! Ingatan Dia dalam kalam-Nya (alMaarij:19-22), Sesungguhnya manusia itu diciptakan dalam keadaan berkeluh kesah. Jika dia ditimpa keburukan, dia akan merungut. Dan jika menerima kebaikan, dia jadi kikir. Kecuali orang-orang yang solat. Begitu… kembalilah padaNya, Tuhan yang mengatur dan membolak-balikkan hati.
BACA SELENGKAPNYA - Berorganisasi; Mencari Diri
2

The Alchemist; Sesekali Menyulam Mimpi


“I want to tell you a story about dream,” said the alchemist.


Saya sudah berhenti bermimpi. Itu kata saya pada diri. Tersedar setelah membaca kembali karangan saya untuk kelas tambahan bahasa Arab yang saya ikut. Jejak ke bumi, tidak seperti saya yang sebelum-belumnya. Tapi setelah membaca buku The Alchemist, malam itu saya dibawa jauh, saya melihat di bawa ke alam entah apa memahami makna-makna perkataan. Lucu. Dan saya kembali menyulam angan-angan.


Saya tak pasti kalau Paulo Coelho terpengaruh dengan kisah Yusuf dan mimpinya. Yang pasti dia tahu tentang kisah ini kerana terdapat dialog dari ketua kabilah yang menyentuh tentang kisah Yusuf dan Mesir. Secara ringkasnya, The Alchemist membawa kisah seorang pengembala biri-biri, mengembara mengikut mimpi, ke Piramid di Mesir. Mengharung padang pasir, belajar tentang alam dan kehidupan. Bertemu cinta juga. Saya mengulum senyum. Teringat mimpi saya waktu begitu kepingin belajar di Mesir lama dahulu. Memang tak kesampaian. Mungkin ‘piramid’ itu yang datang kepada saya. Siapa tahu…

Bahasa buku ini mudah. Ayatnya pendek-pendek tapi segera juga menyentuh dan membuatkan saya selalu tersenyum sendiri waktu membaca. Satu lagi tarikan buku ini kepada saya pastilah kerana ia berkaitan dengan padang pasir dan orang Arab. Budaya dan tradisi. Arab, juga sedikit tentang Islam dan akhlaknya melalui gambaran Coelho terhadap beberapa karakter.


Saya tinggalkan anda dengan beberapa petikan dari buku ini yang menarik saya:


“I’m an adventurer, looking for treasure”


“-You don’t have to do any cleaning….The Qoran requires me to feed a hungry person”
-“Well then, why did you let me do it” –Because the crystal was dirty. And both you and I needed to cleanse our minds of negative thoughts”

“Because it’s the thought of Mecca that keeps me alive…..”


“Never stop dreaming”


“We are afraid of losing what we have, whether it’s our life or our possessions and property. But this fear evaporates when we understand that our life stories and the history of the world we written by the same hand.”

“…..the language that everyone on earth was capable of understanding in their heart. It was love. Something older than humanity, more ancient than the desert …….It was the pure Language of the World. It required no explanation, just as the universe needs none as it travels through endless time."

“One is loved because one is love. No reason is needed for loving.”

-"You’re crying?”
-I’m a woman of the desert…….but ABOVE ALL, I’M A WOMAN.”

“…Every search ends with the victor’s being severely tested.”


“Maktub” It is written.


Terima kasih pada Ummu Hani , pemilik buku ini. Awak mesti terlupa yang buku ini telah berkurun bersama akak. Baru beberapa minggu lalu berjaya membacanya. Ya, setiap sesuatu ada tempat dan waktunya kecuali Dia.
BACA SELENGKAPNYA - The Alchemist; Sesekali Menyulam Mimpi
0

Memilih dan Membaca; Caranya?


Kata Saydina Ali: Manusia itu terbahagi tiga; orang yang berilmu, orang yang menuntut ilmu, dan mereka yang hanya mengikut, condong mengikut angin, tidak dipandu dengan cahaya ilmu dan tidak berlindung pada tempat yang kukuh. Justeru, setiap Muslim perlu bertanya kepada dirinya: apakah hak-hak al-Quran dan Sunnah yang telah dipenuhi olehnya? Sesiapa yang telah bermula, sempurnakanlah. Dan bagi mereka yang belum bermula, apa lagi yang ditunggu? Jadilah orang yang berilmu atau yang menuntut ilmu dan janganlah menjadi yang ketiga, dia akan binasa.

Ini antara petikan akhir dalam buku kecil “Bagaimana Anda Memilih Buku-Buku Islamik dan Membacanya” tulisan Ustaz Muhammad ‘Izzudin Taufiq terbitan Darul Qalam, Qahirah. Mengandungi empat bab; Kelebihan ilmu dan nilainya di sisi Islam, Maksud ‘mempunyai pengetahuan agama’, Ringkasan Manhaj dan Cadangan Praktikal.

Atas permintaan seorang sahabat, saya keluarkan isi-isi utama dalam kitab ini. Dan kerana masa yang agak terbatas, tak dapatlah saya nak mengulasnya lebih lanjut dalam bahasa Melayu. Secara peribadi, buku ini mengembalikan ‘hammasah’/semangat untuk terus membaca. Diperkenalkan oleh seorang sahabat yang saya anggap guru minggu lalu. Antara buku dalam senarai cadangan yang diulas oleh beliau yang menarik hati saya dan saya berazam untuk membacanya minggu depan adalah buku bertajuk ‘Hal Nahnu Muslimun’ (Adakah kita Muslim?), …maaf saya canggung dengan terjemahan yang saya beri. Mungkin lebih menarik kalau diterjemahkan sebagai, adakah kita layak digelar Muslim atau adakah kita benar-benar Muslim. Maaf, saya tak pernah mengikut kelas terjemahan. Diceritakan, seorang pemuda yang iltizam sebenarnya, setelah membaca buku ini menyatakan yang dia tidak layak digelar Muslim selepas membaca buku ini. Saya merasa kecil di tengah-tengah dunia buku. Terlalu banyak yang belum saya ulit dan terasa terlambat. Tapi hati saya terpujuk dengan kata-kata akhir dalam buku ini yang saya sebutkan di atas. Memang, bukan mudah untuk jatuh cinta pada buku dan terus berharap agar ia tetap kekal jadi teman.

Penulis pada bab Cadangan Praktikal ketika membicarakan tentang teknik membaca, antara membaca laju dan perlahan, postur badan, sempat juga menyentuh tentang membaca;antara paksaan atau hobi mengulas antara lainnya begini:

"Seseorang memang merasa lama apabila memaksa dirinya duduk membaca dan menelaah. Tetapi, setelah beberapa waktu, dia akan dapati perasaan jemu membaca itu akan berkurang sedikit demi sedikit. Ketika itu, membaca dan menelaah akan bertukar menjadi hobinya. Dia akan selalu rindu untuk membaca, dan akan menghabiskan berjam-jam tanpa rasa bosan hingga dia tak mampu berpisah dengan buku. Ketika membaca bertukar menjadi hobi yang disukai, jadual membaca yang disediakan terasa mudah diikuti dan jadilah buku-buku temannya sehingga ruh bercerai dari jasad." Di mata saya, tergambar susuk seseorang seperti ini. Dia mungkin bukan As-Suyuti atau As Syafie atau Ibn Sina. Sekurang-kurangnya seumur hidup saya, saya melihat secara dekat seseorang yang sedang berusaha mencontohi mereka. Bukan master atau Phd yang dikejarnya. Kerana dia Muslim, dia memahami tuntutan menuntut ilmu dan dia sedar betapa kitalah masyarakat yang paling banyak membuang masa berbanding yang lain. Kerana itu kita masih di belakang.

Di bawah ini, harap bermanfaat untuk mereka yang memahami bahasa Arab.


كيف تختار الكتاب الإسلامى وتقرؤه

لمحمد عز الدين توفيق، القاهرة: دار القلم للنشر والتوزيع،



الفصل الأول: فضل العلم ومنزلته في الإسلام

لفصل الثاني: ماذا يعني العلم بالدين
-العلم بكتاب الله-حقوق القرآن؛ حق التلاوة، حق التدبر، حق العمل، حق التبليغ، حق الحفظ
(علم اللغة، التجويد والقراءات،التفسير وأحكام القرآن)
-العلم بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم

الفصل الثالث: ملاحظات منهجية
1) أساس العلم نبذ التقليد
2) الاطلاع الواسع شرط في عمق الفهم والنقد
3) الاطلاع على الفكرة شرط في تأييدها أو معارضتها
4) لا يكفي الاطلاع على الفكرة بل لا بد من الفهم الصحيح لها
5) الفهم الصحيح لأي علم يسلتزم الاطلاع عليه من مصادره الأساسية
6) صواب الباحث في بعض أبحاثه لا يضفي الصواب على كل انتاجه –العصمة لله وحده
7) موضوعات كل علم تحاكم إلى منهجه المناسب
8) لا نهجر حقا قال به مبطل
9) ليس من اللازم دائما تتبع كل فكرة في مصادرها الاصلية
10) الوضوح والصراحة من سمات البحث العلمي (فلا يستعجل بإصدار حكم أو اغلاق موضوع حتى يستوثق أنه استجمع حيثياته، واستكمل معلوماته)

الفصل الرابع: اقتراحات عملية
1) تصحيح الهدف من القراءة والتعلم
- أن يعرف ربه ؛مدارسة القرآن والسنة، علم العقائد والملل والنحل وعن عجائب المخلوقات والآفاق
- -وأن يعرف كيف يعبده؛ كتب السنة، الفقه والأحكام، السيرة والبدع
- – ويعرف كيف يدعو إليه؛ فقه الدعوة، كتب التاريخية والمذكرات
2) إعداد أسماء الكتب وترتيبها
1- في بداية التعرف على الإسلام:
- محاسن الإسلام وخصائصه – لماذا يعبد ربه
- الأحكام والشريعة –كيف يعبده ويطيعه
2- العلم الكلي أولا ثم الجزئي

Cadangan kitab untuk bacaan:

المجموعة الأولى:
1)تفسير الجزء الأخير من القرآن بعد حفظ سوره –ابن كثير، ابن الجوزي، الظلال

2)سلسلة الأصول الثلاثة ؛الله والرسول والإسلام لسعيد حوى
3)خصائص الإسلام العامة للقرضاوي-7 خصائص
4) الإسلام يتحدى لوحيد الدين خان
5) الإيمان والحياة للقرضاوي
6) التوحيد الذي هو حق الله على العبيد للشيخ محمد بن عبد الوهاب
7) مسائل الجاهلية محمد عبد الوهاب وتوسع فيها محمود شكري الالوسي
8) العقيدة الطحاوية الالباني
9) العبادة في الإسلام للقرضاوي
10) منهاج المسلم لأبي بكر الجزائري
11) فقه السنة للسيد سابق – وتعليقه للالباني
12)الحلال والحرام في الإسلام للقرضاوي
13) الرحيق المختوم صفي الرحمان المباركفوري
14) رياض الصالحين من كلام سيد المرسلين للامام النووي
15) جامع العلوم والحكم في شرح خمسين حديثا من جوامع الكلام لابن رجب الحنبلي
16) صفة صلاة النبي من التكبير الى التسليم كأنك تراها للالباني
17) ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين لأبي الحسن الندوي
18) الكبائر للذهبي
19)هل نحن مسلمون لمحمد قطب
20) سبل السلام في شرح بلوغ المرام للصنعاني
المجموعة الثانية:
1 ) دليل الثقافة الإسلامية لمحمد رياض
2)ثقافة الداعية للقرضاوي
3) جند الله ثقافة وأخلاقا لسعيد حوى
BACA SELENGKAPNYA - Memilih dan Membaca; Caranya?
5

Cameron Highland; Cuti Perpisahan

Mengukir Detik Manis Bersama

Cut, teman saya hampir saban hari sejak dua minggu lalu mengulang pujukannya supaya saya memasukkan acara percutian ke Cameron dalam jadual saya sebelum dia berangkat pulang ke Acheh. Tesisnya sudah selesai. Cuma menunggu kelulusan senat sahaja. Saya, dari sehari ke sehari menangguh kerana beberapa urusan yang belum selesai. Akhir minggu lalu, saya selesaikan urusan proposal untuk program gabungan Halaqah kami juga beberapa hal peribadi yang tertangguh. Segera kami bertanya Mr Google segala berkaitan dengan Cameron Highland. Segalanya diselesaikan hari Jumaat, dua hari sebelum kami bertolak ke tanah tinggi itu. Urusan menempah penginapan, juga acara ronda-ronda di sana.

Saya tinggalkan sebentar netbook dan thesis. Cut, teman rapat yang setia mendengar cerita dan omelan saya akan mengucapkan selamat tinggal hujung minggu ini. Sabtu lalu, Hanan, teman dari Columbia ikut musafir bersama suami dan anaknya ke Mesir untuk mendalami bahasa Arab dan pengajian Islam. Hanan baru usai sarjana dalam bidang undang-undang manakala suaminya sarjana muda dalam bidang apa ya…saya terlupa. Hanan rakan usrah saya. Dia dan suaminya memeluk Islam waktu masih di Columbia lagi sebelum ke Malaysia. Temannya, Sakinah, juga dari Columbia berkahwin dengan lelaki Melayu dan menetap di sini. Tahu siapa nama anak Sakinah? Maryam. Hehe. Kami jadi rapat kerana halaqah. Juga dalam sebulan ini, ada lagi yang bakal pergi. Saya mula terasa kehilangan seorang demi seorang rakan. Mula terasa tua berada di UIA. Tapi, saya masih mahu setia di sini. Ya, kerna masih belum selesai. Juga kerana peluang belajar seperti makin terbuka dan terbuka. Lebih ramai yang saya kenal hari ke hari. Dan mereka adalah orang yang kaya dengan ilmu, tidak kedekut berkongsi masa mengajar saya. Saya, memang selalu dahaga. Kalau ada yang sudi berkongsi bekal di perjalanan, mengapa mahu saya menolaknya. Saya merasa detik-detik akhir saya di sini semakin berharga dan bermakna.
Cameron Highland
Asalnya Cuma berdua setelah yang lain tidak dapat ikut serta. Akhirnya berlima. Saya, Cut, Rini dan Mimi juga dari Aceh dan Fatimah, Muslimah Cina dari China yang telah lama menetap di sini. Baru menyudahkan Phd nya dalam bidang bahasa Arab. Kami menaiki bas dari Pudu jam 3.30ptg Ahad. Saya duduk berdua bersama Fatimah. Mimi dan Rini. Cut sendirian. Memangnya dia tisak suka sendiri. Saya terlupa. Waktu di hotel malam itu katanya, dia berkata dalam hati, tak mengapalah. Dia adalah penghubung dua hubungan. Rakan-rakan senegaranya dan kami, rakan-rakan belajar.

Perjalanan sederhana laju. Tenang sahaja pada awalnya. Tapi apabila bas mula mendaki Cameron, perjalanan jadi mencabar. Saya benar-benar terlupa akan masalah ‘mabuk darat’ saya. Tiada langsung persediaan untuk itu. Kerana sudah lama saya ‘sembuh’ dari itu. Tapi kali ini saya benar-benar jadi tak keruan. Memaksa diri untuk tidur pun tak mampu. Terpaksalah saya berperang. Alhamdulilah, saya tidak muntah di perjalanan. Pemandangan cantik sepanjang jalan tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Kondisi bas juga adalah faktornya. Ya, sesuailah dengan harga yang kami bayar.
Cantik, Masya Allah…memang. Kehijauannya, ketenangannya, redupnya. Jauh dari Kuala Lumpur yang penuh asap dan sesak. Kami tiba jam 8 lebih. Turun sahaja, kedengaran suara melaungkan nama saya. Pihak Kang Traveller Hotel sudah menanti kami. Tempatnya tidak jauh dari perhentian bas di Tanah Rata itu, cumanya kerana malam dan kami belum biasa, mereka menjemput kami. Hmm…memang tak boelh komen banyakla dengan harga yang kami bayar. Jangan tertipu dengan perkataan ‘hotel’ itu, ya. Kami memang menempah dua bilik without attached bathroom. Tak mengapalah. Kami berkongsi pun, berlima. Saya, Cut dan Fatimah sebilik- RM55. Rini dan Mimi berdua, RM45. Menurut maklum balas di internet, Kang Traveller Lodge /Hotel memang antara pilihan backpacker kerana harganya dalam bajet murah.

Cuaca sedikit dingin. Usai solat jama’, kami keluar makan. Saya sebenarnya, sudah membawa sedikit bekalan kerana kata orang makanan di situ agak mahal. Tapi tidak juga sebenarnya. Haraganya lebih kurang sama seperti Kuala Lumpur. Satu kelebihan menginap di sini, banyak pilihan kedai makan Muslim juga kemudahan kedai runcit dan bank berdekatan. Ini di Tanah Rata. Kalau di Brincang, satu lagi kawasan pilihan, saya tak pasti. Kebanyakkan kedai-kedai ditutup awal. Jam 10 sudah mulai sunyi. Kami menapak pulang ke Hotel setelah selesai melihat-lihat kawasan sekitar.
Kami mula kedinginan. Tapi dinginnya nyaman. Tidaklah sampai menggigit ke tulang. Tidur saya enak malam itu. Tenang. Membuang segala risau. Cuti sekejap, kata Cut. Kami tidur lewat. Bertukar cerita, berkongsi rasa. Yang sama. Tuhan kan Maha Mendengar. Kami tidak akan pernah berputus asa dari Rahman dan Rahim-Nya.
Acara pagi Isnin adalah lawatan ke lapan tempat. Kami di bawa melawat menaiki kenderaan pacuan 4 roda. Malangnya, Kilang The tutup pada hari Isnin, justeru kami tidak dapat melihat proses pembutan teh. Sekadar melawat lading sahaja. Memandankan kami semua Muslim, Mr Balan Tandok tidak membawa kami ke Buddist temple.

Tempat pertama dan paling menarik pastinya Rose Garden. Tak terucaplah dengan kata-kata. Kemudian Butterfly Farm, Bee Farm, Ladang Teh, Strawberry F arm dan akhir sekali ke pasar di mana saya memborong sayur. Penuh kedua-dua tangan saya menjinjitnya. Memang saya tak tahan hati kalau melihat sayur segar dengan harga yang murah.
Kalau ada umur, saya kira pada masa akan datang saya akan memilih pakej lawatan ladang yang akan membawa kita melihat bagaimana sayuran ditanam, melawat kampong orang asli, air terjun, juga ada pakej merentas hutan. Pasti menarik. Mr Balan yang membawa kami memberitahu, lebih baik pada masa akn datang, kami menyewa 4 by 4 seharian dan mereka akan membawa kami ke mana sahaja pilihan kami.

Kami selesai jam satu tengahari. Pulang, makan tengahari dan menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur jam 1.45. kali ini bas yang lebih selesa dan pastinya lebih mahal. Tak mengapalah. Kami sudah keletihan dan saya pun tak sanggup berperang dengan jalan yang seperti ular kena palu itu. Sampai di UIA jam tujuh malam menaiki teksi dari KL Sentral. Cut puas kerana impiannya tercapai. Saya senang kerana sangat teruja dengan keindahan milik Tuhan. Ahh…nyamannya masih terasa di hati. Lembut anginnya masih terasa membuai tubuh. Sesekali memberi rehat pada diri, musafir menambah pengalaman, mengenal kawan di perjalanan. Moga ikatankan berkekalan.

Untuk yang berminat untuk jalan-jalan cara backpacker to Cameron Highland sehari semalam; Contoh belanjawan saya
Tambang pergi (KURNIA BESTARI) RM22.5
Penginapan (RM55 ÷ 3) RM18.3
Countryside Tour (8 tempat) +tiket masuk RM25 + RM 10
Tambang pulang (Unitity) RM35
Makan (3 kali-sendiri) RM15
Souvenirs, strawberry, teh, sayur RM50
Jumlah: RM175.8

*Hanya dua bas ke sana-Kurnia dan Unitity. Masuk ke Rose garden dan Butterfly Farm masing-masing RM5. Hari Isnin, factory tutup, jadi rugi kalau pergi hari ini. Ada banyak pakej lawatan, boleh pilih ikut minat dan bajet. Sebaiknya, tempah tempat penginapan sebelum pergi.
BACA SELENGKAPNYA - Cameron Highland; Cuti Perpisahan

Apa Khabar Awak dan Quran?

Sesekali bila rindu datang menyapa, saya pejamkan mata membeli kad panggilan antarabangsa. Sesekali… buat melunas rasa di hati, sesekali…tanda ingatan yang tak pernah putus pada guru-guru yang telah menanam cinta Al Quran dan cinta ilmu pada saya. Anisah Maryam ‘Iwad, itu nama guru Al-Quran saya. Di Syria, kami memanggil guru-guru perempuan dengan panggilan Anisah. Maryam li Maryam, kata guru-guru lain saat mengetahui nama kami sama.

Selepas bertukar salam, soalan pertama yang pasti akan ditanya pada saya ialah; kaifa hal Al Quran ma’aki? Bagaimana khabar awak dan Al-Quran ? Dan soalan itu akan ditanya berkali-kali. Juga ditanya jika saya sudah mula mengajar Al Quran. Dan soalan terakhir sebelum gagang diletak yang selalu membuat saya hilang kata… sudahkah kamu mula menghafaz Al-Quran? Saya kehilangan dalih selalunya. Memang saya akur, saya tidak berusaha pun melainkan mengulang surah-surah yang pernah saya hafal dan cuba menghafal ayat-ayat baru yang menarik perhatian saya. Kerana saya kira, memang saya harus ada cukup azam untuk menghafal. Dan saya tidak punya itu. Justeru, selalu saya dalihkan pada hati, belajar tafsir itu lebih penting. Memahami dan cuba mengamal isinya lebih baik. Kata orang, makin bertambah usia, makin kurang kemampuan hafazan. Tapi makin meningkat kemampuan untuk faham sesuatu. Usia emas untuk menghafaz itu sehingga 23 tahun. Saya sudah beberapa tahun melepasi usia itu.

Begitu, hubungan guru-guru saya dengan Al-Quran. Sangat akrab. Sehingga bual bicara pun tak harus lari dari itu. Anisah Maryam itu usianya setahun lebih muda dari saya. Orang tegas, serius dan jarang bicara soal peribadi dengan saya. Berbanding teman-teman saya yang boleh berbicara sedikit bebas, antara saya dan Anisah Maryam penghubungnya cuma Quran. Cuma saya ingat waktu saya sedikit sukar dan putus asa dengan bacaan saya, dia cuba menenangkan ketegangan saya. Waktu itulah dia bertanya tentang peribadi saya. Tentang keluarga saya. Berapa orang adik-beradik saya. Tapi tetap pada soalannya, ada latihan untuk makhraj Kho yang saya selalu gagal mengeluarkannya dengan betul. Kam ikhwah ‘indak? Kam ‘umru akhik?

Di sini, saya cuba meminjam semangat dan kesungguhan guru-guru saya. Waktu Magrib, saya pastikan saya sudah berada di rumah, tidak lagi bebas melepak di bilik kawan-kawan di UIA atau berlama-lamaan di maktabah. Anak-anak jiran saya pasti tidak lepas dipaksa ibu mereka mengaji. Tapi mereka anak-anak yang taat. Jarang membantah. Juga akan gembira kalau melihat motor saya belum berada di parkirnya. Kak Maryam takda, cuti mengajilah hari ni. Anak-anak, sekitar 8-11 tahun sangat cepat menangkap pengajaran. Biar ada juga terkadang ambil lewa dengan sesetengah hukum atau berlumba untuk cepat habis membaca. Maka menjeritlah saya. Nun sabdu, mim sabdu berapa harakat? Mad wajib berapa? Ni keretapi nak pergi mana?

Bulan ini saya ada cabaran baru, mengajar pasangan suami isteri sekitar 30-an dan emak si suami. Masih awal untuk saya bercerita. Tapi ada beberapa perkara menarik hati saya. Si isteri yang bersungguh pada mulanya lebih-lebih lagi selepas bermimpi dia melihat kuburnya dan suami. Si suami bertanya pada saya pada hari pertama saya mengajar mereka. Agak-agak umur macam kami ni, boleh belajar tak..ok tak, boleh ke? Saya senyum. Tak da yang namanya terlambat bila nak belajar ni. Mungkin untuk belajar ilmu lain ada sedikit sukar. Tapi percayalah, Quran ni lain. Ia ada mukjizat tersendiri. Yang penting, kita nak. Kita ada niat, ada azam, ada kesungguhan. Percayalah, Allah akan bantu. Dan waktu si suami agak lambat mengingat huruf dan selalu tersilap. Saya ingatkan pesan guru saya waktu saya menangis di Syria kerana mutu bacaan saya yang paling teruk saya kira antara kami berempat. Waktu saya sukar menyebut kho, waktu saya gagal menyebut huruf sofir – sin, sod dengan betul kerana susunan gigi saya pada waktu itu(cross bite). Pesan dari hadith- orang yang membaca lancar tanpa sukar mendapat satu pahala dan bagi mereka yang membaca terbata-bata, agar sukar, maka baginya dua pahala.

Saya senang hati mendengar laporan dari kawan saya, teman isteri si suami. Untuk pertama kalinya dalam hidup, kata si isteri, suaminya menyuruh solat. Kemudian, sama-sama mereka membaca Iqra’. Saya mahu berdoa terus…tolong…tolong ikut berdoa bersama saya. Moga Al-Quran dengan mukjizatnya akan menjadikan mereka istiqamah dengan perubahan mereka. Moga Allah akan anugerahkan hidayah dan taufiqNya sentiasa untuk mereka. Saya mendengar beberapa cerita kurang menarik tentang kehidupan rumahtangga mereka sebelum ini. Justeru, saya harap Al-Quran ini akan terus menyatukan mereka. Dan moga malam Sabtu dan petang Ahad saya akan selalu lapang untuk mereka. Moga saya tak menjadi guru yang malas. Saya terkenang guru-guru Al Quran saya yang sanggup menghabiskan masa dari jam 7 pagi hingga 7 malam bersama kami. Jam tujuh pagi musim sejuk, saat semua orang lena dibawah selimut tebal, mereka datang menaiki perkhidmatan awam untuk kami. Demi Al-Quran. Saya, guru yang dijemput dan dihantar ini, mahu memberi alasan apa pula?

Sahabat, tidak pernah ada istilah terlambat untuk belajar. Untuk selalu memperbaiki diri. Dulu saya kira bacaan saya sudah bagus, malah boleh mengajar orang lain. Tapi di Syria, sebaliknya. Hingga saya merasakan itulah pelajaran paling susah saya pelajari. Dua bulan untuk menyudahkan 30 juzu’ Al Quran dengan tajwid yang betul memang cukup mencabar. Dengan tidur yang terbatas dan kurang peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di Syria, Alhamdulillah…rupanya anugerah Al-Quran ini lebih berharga dari segala yang kami terlepas darinya. Al Fatihah buat Syeikh Mukhyiddin Hasan Kurdi yang pergi beberapa bulan lalu, Syeikh yang menguji bacaan kami usai kami menyelesaikan Al Quran seluruhnya. Moga Al Quran jadi saksi amalannya. Juga moga Allah berkati kehidupan guru-guru saya.

Ya Allah, hidupkan hati kami dengan cinta Al Quran, sinarilah hidup kami dengan cahayanya. Jadikan kami orang yang mengambil panduan dan mengamalkan pesannya. Amin, Ya Robb.
BACA SELENGKAPNYA - Apa Khabar Awak dan Quran?
Back to Top