Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts

PEDULISME

Bercakap tentang Sejarah, ramai akan membayangkan kelas yang membosankan. Saya pernah sangat meminati Sejarah dan Geografi. Geografi terutamanya adalah subjek kegemaran saya dan saya akan berusaha untuk ‘score’ untuk tidak menghampakan guru Geografi saya waktu di tingkatan satu; Cikgu Rahayu. Saya sangat suka menghafal tempat-tempat yang tercatat di dalam buku; savanna, sahara, air terjun paling tinggi, jurang paling dalam, jadual monsun dan lainnya. Saya kira saya juga cepat (waktu itu) jika diminta memberikan grid longitude dan latitude sesuatu tempat di dunia. Atlas menjadi buku kegemaran saya seperti rancangan National Geographic. Saya lupa bila, tetapi setiap minggu kami akan ke bilik warden (kebetulan cikgu Rahayu adalah warden asrama) untuk menonton National Geographic. Sehingga sekarang saya masih sangat suka melihat peta dunia, menyentuh setiap nama negara dengan tangan sambil melihat jaraknya dengan Malaysia. Dulu, saya cuma teringin, tapi tidak pernah terfikir akan pernah berpeluang keluar melawat negara lain.

Pada saya, Geografi sangat dekat dengan Sejarah kerana Sejarah adalah kisah yang pasti berkitar pada tempat. Lain tempat, lain sejarahnya, lain juga tokohnya. Semasa mengaji di UM, minat saya kepada Sejarah sudah pudar kerana sejarah yang kami belajar dalam TITAS lebih kepada pengulangan sejarah yang pernah dipelajari cuma ditambah perkembangan semasa seperti wawasan 2020 dan sebagainya. Lebih kepada mengingat fakta dan kronologi tanpa melihat isi sejarah dan belajar daripadanya.

SEJARAH ITU MEMBOSANKAN?

Waktu di UiTM Arau, antara subjek yang perlu saya ajar berkaitan dengan sejarah. Saya sudah mula merasa berat. Alhamdulillah, kemudiannya, saya tidak jadi mengajar subjek tersebut kerana muridnya cuma seorang untuk kumpulan tersebut. Dia berpindah ke kelas lain. Pindah ke UNIKOP, saya kembali mendapat subjek Sejarah. Saya menguatkan diri. PEMIKIRAN DAN TAMADUN ISLAM. Saya mencari rentak. Bagaimana untuk saya gembira mengajar dan bagaimana membuatkan pelajar saya seronok belajar. Silibus sekadar membentangkan tentang perkembangan setiap zaman dan sumbangan tokoh-tokoh pada zaman tersebut bermula pada zaman Nabi Muhammad s.a.w hinggalah zaman kejatuhan empayar Islam Turki Othmaniyyah sebelum berpindah kepada perkembangan Islam di Tanah Melayu dan cabaran dunia Islam kontemporari.

Memang, sejarah akan membosankan kalau kita cuma menhafal fakta tapi tidak belajar dari fakta. Justeru, selalu saya sebut kepada pelajar saya, mengapa kita mengulangbaca sejarah kegemilangan Islam? Supaya kita belajar dari sejarah. Belajar menjadi peribadi-peribadi yang pernah mendirikan sejarah tersebut. Tidak cukup menghafal faktor kegemilangan dan keruntuhan tamadun. Harus menggali ke dalam. Belajar peribadi-peribadi unggul selain peribadi-peribadi pengkhianat agama supaya kita bijak memilih untuk menjadi warganegara yang bagaimana. Justeru, setiap saya melewati sesuatau tamadaun, saya akan bawakan kisah peribadi yang pernah wujud dalam tamadun tersebut yang memangnya tidak tercatat dalam buku teks seperti Tareq bin Ziyad, Salahuddin, Muhammad al Fateh dan bebapa tokoh lain.

SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH

Menariknya, saya jadi suka kembali kepada sejarah dan mula mencari-cari kembali buku-buku sejarah. Pertamanya, menghabiskan buku Muhammad bin Abdullah, karya Dr Zulkifli Yusuf, supervisor saya waktu di UM dan isterinya. Kisah-kisah baginda kembai segar dan saya jaja kisah itu di dalam setiap kelas saya. Hari ini saya sedang cuba menghabiskan Secangkir Teh Pengubat Letih karya Abu Saif. (terim kasih kepada Saadah kerana meminjamkan buku ini tepat pada waktunya. Saya sedikit keletihan meladeni karenah pelajar, tapi saya masih sangat positif untuk sentiasa membantu. Kerana saya percaya mereka masih punya jiwa yang cintakan Islam cuma lorongnya mungkin samar-samar). Benar-benar ubat untuk saya agar tidak putus semangat, Saya berharap agar dapat meninggalkan sesuatu buat pelajar saya. Belajar di kolej swasta di pinggir ibukota memang sesuatu yang mencabar. Sangat mudah iman digula-gulakan dengan janji manis dunia remaja menginjak dewasa dan alam kota yang semakin biasa dengan sikap ‘aku tidak pedulisme’ (meminjam kata Abu Saif). Tanya sahaja kepada pelajar saya isu-isu semasa; akan dijawab : Entah! Tak tahu! Tak ambil peduli, la ustazah. Tak nak campur. Kerana itu apabila kebajikan mereka sendiri terabai mereka sekadar boleh berkata, itulah ustazah, kesian kami kan. Itulah, MPP tak buat kerja. Lalu saya tanyakan balik kepada mereka, awak buat kerja apa? Cukuplah jawapan-jawapan mereka menjadi sumber kepada saya memanjangkan lagi kuliah kepada topik PEDULISME!

Membaca kisah Ercan yang disebut oleh pengarang sepertinya mengingat kisah pelajar saya. Saya titipkan di sini catatan pengarang:

"Engkau tahu mengapa selama ini saya tidak pernah tahu apatah lagi untuk berbangga dengan sejarah datuk nenek saya?"

"Sebabnya mudah sahaja. Walaupun saya masih keturunan mereka tetapi sebenarnya saya sudah terputus hubungan. Saya sudah tidak mampu membaca hasil tinggalan Othmaniyyah, bukan sekadar warisan Fatih Sultan Mehmet, malah datuk saya sendiri. Saya sudah tidak boleh membaca catatannya sebab dia mencatat dengan huruf Arab. Saya tidak boleh membaca al Quran. Bagaimana saya boleh menjadi seorang cucu andainya saya tidak boleh memahami bahasa datuk saya sendiri!"

JAWI DAN AL QURAN

Saya mengenang pelajar saya. Ya, ramai yang sudah putus hubungan dengan jawi, justeru anda tahu bagaimana nasib al Quran. Saya yang mahu marah kerana pelajar saya tidak menghafal ayat yang diberikan jadi hiba apabila dia berkata, saya sudah tidak membaca al Quran sejak sekolah menengah lagi. Saya cuma kenal huruf sikit-sikit. Dia hanya sebahagian yang akhirnya mengaku kepada saya dan akur untuk datang belajar Iqra dengan saya. Ramai lagi yang memakai pakaian bodoh sombong dan malu tidak bertempat sehingga merugikan diri sendiri.

Allahummarhamna bil Qur'an. Allahummah dina bil Qur'an. Ya Allah dengan barakah Ramadan, bukalah hati kami kepada al Quran.



BACA SELENGKAPNYA - PEDULISME

Terbalikkan perkataan Ini: كمالك تحت كلامك

Apakah hasilnya setelah anda terbalikkan setiap perkataan? Juga untuk kalimah ini: عقرب تحت برقع. Ini sekadar contoh permainan bahasa.

Bahasa Arab sangat indah. Seperti bahasa lain, bahasa menjadi lebih indah apabila anda menyelami sasteranya.

Waktu mula-mula diperkenalkan dengan buku-buku adab Bahasa Arab, saya sangat teruja. Saya akan berhenti pada satu-satu halaman sambil mengulang-ulang ayat-ayat yang menarik perhatian saya. Benar-benar saya tenggelam dalam adunan bahasa indah sang penulis. Tentunya membaca buku adab berbeza dengan membaca buku bahasa Arab yang berkitar tentang fiqh, Quran atau pun subjek-subjek pengajian saya. Kecuali penulis memang bijak memilih bahasa seperti Syed Qutb, buku-buku pengajian lebih menjurus kepada istilah-istilah tertentu dalam bidang yang ditulis. Mengenali buku-buku adab, membuatkan saya lebih seronok membaca. Kemudiannya, apabila saya mula menulis tesis dan perlu membaca untuk itu, saya dapati tumpuan saya sedikit berubah, saya kurang laju untuk menghabiskan bacaan. Tumpuan saya lebih kepada penggunaan bahasa, bagaimana perkataan-perkataan digabungkan. Saya petik dan pindahkan kata-kata itu dalam helaian-helaian nota saya yang bersepah. Kemudian baru saya melihat sudut pandang penulis bagi sesuatu isu. Tapi tetap, penggunaan bahasa penulis sangat mempengaruhi saya.

Hingga saya terbawa-bawa waktu menulis tesis. Awal-awal, penyelia saya sudah menegur. Katanya, “Elakkan bahasa berbunga-bunga. Tesis adalah penulisan ilmiah”. Saya angguk sambil tersenyum panjang. Membaca menjadi aktiviti yang menyeronokkan tika itu sehingga melambatkan kerja menulis saya. (Oh, pastinya kerana saya ada ‘pembekal’ buku-buku yang tepat dan bermutu). Tambahan lagi, saya menulis sesuatu yang saya suka dan sesuatu yang dekat dengan kita semua: KELUARGA. Pastilah saya sangat tamak mahu mewarnakan tulisan saya dengan rangkaian kata yang menambat hati. Kerana apabila bicara tentang keluarga, kita akan bercakap tentang cinta dan kasih sayang, tentang sesuatu hubungan yang terbentuk, tentang perasaan-perasaan, tentang peribadi-peribadi dan watak yang wujud. Tentunya ia akan menjadi lebih indah sekiranya, perkataan itu dapat disusun supaya bahasanya memikat dan persuasif sifatnya supaya yang membaca akan tertarik dan terus membaca. Kerana menulis adalah tanggungjawab. Bukan sekadar memenuhi kehendak pengajian master. Tetapi juga tanggungjawab kepada yang akan menyelak helaian itu nanti apabila ia sudah di ‘digital’ kan di Perpustakaan Darul Hikmah. Supaya yang membaca akan beroleh sesuatu dari pembacaan itu. (Tesis saya pada waktu catatan ini ditulis baru dua minggu berada di tangan pemeriksa kedua. Doakan segalanya dimudahkan)

MULAKAN DENGAN YANG MUDAH

Saya sangat sukakan bahasa Arab. Saya belajar seperti sukatan yang disediakan waktu di sekolah dan di UM. Cuma, kerana minat yang mendalam, waktu di Nilam Puri (waktu memujuk diri kerana tidak dapat melanjutkan pengajian ke Mesir) saya rajin-rajinkan diri membuat salinan artikel-artikel mudah yang menarik untuk dibaca sperti cerita lucu Juha, artikel tentang perkahwinan, motivasi diri dan sebagainya. Kemudian, saya akan habiskan masa membaca setiap baris dan mencari maksud perkataan yang tidak saya fahami dalam Kamus Mawrid. Aktiviti itu menyeronokkan. Pada saya, kerana saya belajar sendiri, maka saya harus mulakan dengan sesuatu yang mudah dan tidak membebankan yang boleh membuatkan saya cepat bosan.

Justeru, nasihat saya pada adik-adik yang sedang belajar bahasa Arab atau belajar menggunakan bahasa Arab di UNIVERSITI, jadilah budak tadika, cari buku yang menarik dan mudah, drama atau filem bahasa Arab yang mudah. Kemudian, baru pergi kepada yang lebih sukar. Saya harap anda tidak akan cepat putus asa mendalami Bahasa Arab. Anda akan sukakannya nanti. Cuma anda belum berjumpa sesuatu yang ‘memegang’ hati anda untuk terus menyelami bahasa al Quran ini. Atau mungkin kerana anda perlu membetulkan niat. Niat yang kurang betul menjadikan bahasa Arab menjadi sangat payah dan membebankan. Niatlah, supaya bahasa ini akan membantu anda memahami Al Quran. Pasti Tuhan akan melorongkan jalan. Saya menanti anda memindahkan butir-butir tafsir yang indah dalam bahasa Arab kepada bahasa Melayu supaya ramai lagi yang akan mendapat manfaatnya. Apapun, siapa pun anda, saya mengajak anda memulakan pelajaran bahasa Arab, atau memulakan KEMBALI pengajiaan bahasa Arab anda yang terhenti atau mendalami lagi bahasa yang anda telah kuasai setakat ini.

BACA BUKU ADAB

Untuk menguasai bahasa Arab, anda perlu baca buku adab. Itu pesan ustaz kami waktu saya dan kawan-kawan mengikuti kelas tuisyen bahasa Arab. Selalunya, selepas belajar Nahu yang memeningkan dengan I’krabnya, kami akan berganti-ganti membaca teks adab. Ustaz akan membetulkan baris yang tersalah. Mula-mula agak menakutkan. Lama-lama ia menjadi aktiviti yang menarik dan ia banyak membantu mengaplikasi apa yang telah diajar dalam nahu. Antara buku yang dicadangkan untuk anda baca seperti:

فصول الإجتماعية – علي طنطوي

من وحي القلم- مصطفى صادق الرافعي

ثمرات القلم – محمد طه محمود

نظرات – مصطفى لطفي المنفلوطي

ساعات بين الكتب والناس – عباس العقاس

قطوف أدبية - عبد السلام هارون

Buku-buku ini membantu anda memperkayakan mufradat selain membantu memperbaiki uslub bahasa anda

Ulama’ Islam sangat kaya dengan ilmu. Limpahannya tidak sempat kita kutip. Kerana halangan bahasa. Kerana masa. Kerana malas. Hari ini saya memuhasabah diri. Mencemburui kawan-kawan yang sangat bersemangat menyalut diri dengan ilmu. Mencemburui sang suami yang rajin membuat nota bacaan.

Terima kasih membaca celoteh saya. Hadiahnya nanti. Akan saya kongsikan sebuah buku adab yang menarik karya al-Manfaluti.

BACA SELENGKAPNYA - Terbalikkan perkataan Ini: كمالك تحت كلامك
4

Lintasan Fikiran di Zaman Ujian

Sekadar berkongsi sebuah buku yang baik untuk diselak baca waktu-waktu menanti kawan atau LRT atau di waktu santai. Tajuk buku ini mungkin agak berat tetapi buku ini disusun seperti pepatah atau puisi-puisi pendek. Sesuai juga untuk memujuk hati terhadap kekecewaan kekecewaan terhadap perkara-perkara harian yang berlaku di sekeliling kita. Buku ini adalah lintasan-lintasan fikiran, tanggapan- tanggapan atau secara mudahnya respon penulis terhadap perkara di sekitarnya.

Hasil karya Yaman Siba'ii, anak kepada tokoh tidak asing kepada dunia Islam, Mustafa Siba'ii terbitan Maktabah Usamah, Beirut. Tulisan beliau mungkin hasil pengamatan dan pengalaman hidup berdagang di tempat orang, Spain. Sebelum ini saya pernah membaca buku Mustafa Siba'ii yang tidak jauh bezanya dengan metod buku ini. Menarik juga sebagai bahan bacaan ringan, tajuknya هكذا علمتني الحياة ..(Begini Kehidupan Mengajarku).


Saya kongsikan beberapa bait yang menarik perhatian saya dari buku Yaman Siba'ii ini. Tajuk buku ini خواطر في زمن المحنة (Lintasan fikiran di Zaman Ujian- terjemahan saya, mungkin ada terjemahan lain yg lbh tepat)

الأمل الذي لا يقترن بالعمل الموجه الجاد هو بناء في عالم مخدر وسعادة آنية هي في حقيقتها شقاء مرير ووسادة للأحلام ندرك بعد اليقظة أنها كانت ملأى بالأشواك.
-Impian yang tidak disertai dengan usaha yang bersungguh adalah binaan di alam khayalan dan kebahagiaan sementara yang pada hakikatnya adalah kesengsaraan yang pahit dan mimpi. setelah tersedar, ia hanyalah sesuatu yang penuh dengan duri.

كل دمعة لها نهاية ونهاية الدمعة بسمة وكل بسمة لها نهاية ونهاية البسمة دمعة. والحياة بداية ونهاية وبسمة ودمعة، فلا تفرح كثيرا ولا تحزن كثيرا، اذا أصابتك احداهما فنصيبك من الأخرى مخبوء في صفحة القدر...
- Setiap tangisan ada kesudahannya , dan kesudahan tangisan adalah senyuman. setiap senyuman juga ada kesudahannya. dan kesudahan sebuah senyuman adalah tangisan. kehidupan punya permulaan dan kesudahan; senyuman dan tangisan. Justeru, jangan terlalu gembira dan jangan terlalu sedih. Jika kamu mengalami salah satu daripadanya, maka takdir kamu bagi yang satu lagi tersimpan dalm qada' qadar Tuhan.


لا تدع اليأس يستولي عليك، انظر الى حيث تشرق الشمس كل فجر جديد لتتعلم الدرس الذي أراد الله للناس أن يتعلموه.. ان الغروب لا يحول دون الشروق مرة أخرى في كل صبح جديد..
-Jangan biarkan putus asa menguasai dirimu. Lihatlah kepada matahari yang terbit saban pagi untuk mengajar manusia sesuatu yang Allah ingin kita mempelajarinya. Sesungguhnya matahari tidak akan terbenam melainkan akan terbit semula setiap pagi yang baru.

الألم يفجر الطاقات للإبداع ، والإبداع يثير الدهشة والتساؤل ، والتـساؤل يهدي إلى الإيمان ، ومن الايمان تـنـبـثـق الأخلاق ونـعـرف الحب ، وبالحب نبني الحياة ، وفي الحياة نتعلم الألم !
- Keperitan melahirkan usaha ke arah kreativiti, Kreativiti melahirkan keterujaan dan persoalan. Persoalan membawa kepada keimanan. Daripada iman lahirlah akhlak dan menjadikan kita mengenal cinta. Daripada cinta, kita bina kehidupan. Dan daripada kehidupan kita belajar tentang keperitan.

BACA SELENGKAPNYA - Lintasan Fikiran di Zaman Ujian
2

Teruslah Berlari!

Salam Aidilfitri.Minal ‘aidin wal faizin. Mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan laku. Moga hari raya ini menambah ukuwah, menautkan hati-hati yang dingin dan menjernihkan segala yang keruh.

Lama tidak berblog. Menggunakan kesempatan menunggu bas ke Perlis jam 11 ini, hati terniat mahu mengetik sesuatu.Saya sudah tiba sejak jam 6.30 petang dari Johor. Bercinta rasanya menunggu sehingga hampir tengah malam. Tiket kehabisan. Saya yang lambat, alpa yang saya sudah berpindah jauh ke utara tanah air. Bas dari selatan ke utara tidak banyak dari tempat saya.

Membaca buku Transformasi Ramadan dan Rindu Bau Pohon Tin karya Abu Saif menggamit rindu saya pada kelas-kelas pengajian dan buku-buku di perpustakaan UIA. Dua minggu bercuti cukup memisahkan saya dari dunia penulisan tesis yang masih berbaki minta disiapkan. Waktu mencium tangan emak tadi, emak sudah member amarannya. Siapkan tesis baru kahwin! Saya menunjuk sengih. InsyaAllah. Mana-mana yang dulu mak ya.

Akhir-akhir ini ayah menjadi peminat Saifulislam yang setia. Satu demi satu buku karya beliau dihadamnya dan dikongsi bersama kami anak-anak. Almaklum, anak-anak masing sedang menuju dewasa, sedang mengintai-ngintai untuk membuka lembaran hidup baru berdua. Lucunya, ayah yang membaca, bercerita kembali kepada kami tentang adab pergaulan, tentang pertunangan, tentang kehidupan. Patutnya anak-anak ini yang menghadap. Saya memang sudah lama menyelesaikan Aku Terima NIkahnya 1. ATN 2, hanya sempat dibaca lompat-lompat. Alhamdulillah ayah beli buku selainnya, dapatlah saya tumpang baca. Menarik apa yang dipetik oleh Saifulislam tentang rusa dan singa. Hidup, kita harus terus berlari dan berlari. Rusa berlari supaya dia akan terus hidup dan tidak menjadi mangsa sang singa. Singa juga terus berlari untuk hidup, mendapatkan makanan atau dia harus mati kelaparan. Memang rezeki itu sudah ditetapkan tapi Tuhan menetapkan ia dengan usaha.
.
Lalu kehidupan,biar perit harus tetap diteruskan kerana kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Saya mendengar dan menghadapi mereka-mereka yang kecewa dengan hidup, bertanya tentang kasih sayang Tuhan, putus harapan dan sebagainya. Memang berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Tapi sahabat, adik-adik, putus asa terhadap RAHMAT Allah itu tidak patut ada dalam kamus hidup kita. Hari ini Allah uji kita, siapa tahu ujian itulah tiket untuk ke syurga kalau kita sabar dan bijak menghadapinya. Jangan dikira ujian dan musibah sebagai pengabaian Tuhan pada kita. Ujian adalah peringatan untuk kita kembali pada Dia. Berserah penuh pada-Nya.

Kita tidak masuk syurga dengan amalan kita. Kerana amalan biar sebanyak mana belum tentu dapat membayar setiap helaan nafas, setiap denyutan nadi, setiap kerlipan mata. Nikmat yang melimpah. Justeru, jangan cepat menyoal Tuhan kenapa kebaikan yang kita lakukan tidak dibalas segera. Kenapa pertolongan Tuhan tidak datang saat kita merintih memerlukan. YAKINLAH, PERCAYALAH bahawa janji Allah itu benar. Segala yang baik pasti dibalas baik dan yang buruk pasti mendapat balasan. Cuma cepat atau lambat sahaja. Atau syurga neraka kesudahannya.

Rahmat Tuhan itu melangit luasnya. Jangan sesekali putus harap padanya. Saya berazam dalam diri untuk tetap mengutus doa saya buat adik-adik, sahabat serta anak-anak didik saya agar tetap kuat dan tabah. Saya mungkin tidak mampu berkongsi beban itu. Tapi saya percaya pada kuasa Allah yang mampu meringankan bahkan menghilangkan pedih dan susah yang ditanggung. Kalau Allah mahu menghilangkan serta merta sakit dan susah nabi Ayyub serta merta, bukan mustahil untuk Dia melakukan yang sama pada kita. Tidak ada yang mustahil dalam kuasa Allah. PERCAYALAH!

Bersangka baiklah dalam urusan Tuhanmu, dik.

Doa pelindung diri daripada godaan. Dibaca oleh nabi kepada seorang lelaki yang datang meminta izin untuk berzina. Elok dibaca oleh ibubapa kepada anak-anak.

Untuk anak lelaki:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهُ وأََحْسِنْ فَرْجَهُ وَاغْفِرْ لَهُ

Untuk anak perempuan:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهَا وأََحْسِنْ فَرْجَهَا وَاغْفِرْ لَهَا

Untuk diri sendiri:
اللهم طَهّرْ قَلْبِي وأََحْسِنْ فَرْجِي وَاغْفِرْ لِي


BACA SELENGKAPNYA - Teruslah Berlari!
2

The Alchemist; Sesekali Menyulam Mimpi


“I want to tell you a story about dream,” said the alchemist.


Saya sudah berhenti bermimpi. Itu kata saya pada diri. Tersedar setelah membaca kembali karangan saya untuk kelas tambahan bahasa Arab yang saya ikut. Jejak ke bumi, tidak seperti saya yang sebelum-belumnya. Tapi setelah membaca buku The Alchemist, malam itu saya dibawa jauh, saya melihat di bawa ke alam entah apa memahami makna-makna perkataan. Lucu. Dan saya kembali menyulam angan-angan.


Saya tak pasti kalau Paulo Coelho terpengaruh dengan kisah Yusuf dan mimpinya. Yang pasti dia tahu tentang kisah ini kerana terdapat dialog dari ketua kabilah yang menyentuh tentang kisah Yusuf dan Mesir. Secara ringkasnya, The Alchemist membawa kisah seorang pengembala biri-biri, mengembara mengikut mimpi, ke Piramid di Mesir. Mengharung padang pasir, belajar tentang alam dan kehidupan. Bertemu cinta juga. Saya mengulum senyum. Teringat mimpi saya waktu begitu kepingin belajar di Mesir lama dahulu. Memang tak kesampaian. Mungkin ‘piramid’ itu yang datang kepada saya. Siapa tahu…

Bahasa buku ini mudah. Ayatnya pendek-pendek tapi segera juga menyentuh dan membuatkan saya selalu tersenyum sendiri waktu membaca. Satu lagi tarikan buku ini kepada saya pastilah kerana ia berkaitan dengan padang pasir dan orang Arab. Budaya dan tradisi. Arab, juga sedikit tentang Islam dan akhlaknya melalui gambaran Coelho terhadap beberapa karakter.


Saya tinggalkan anda dengan beberapa petikan dari buku ini yang menarik saya:


“I’m an adventurer, looking for treasure”


“-You don’t have to do any cleaning….The Qoran requires me to feed a hungry person”
-“Well then, why did you let me do it” –Because the crystal was dirty. And both you and I needed to cleanse our minds of negative thoughts”

“Because it’s the thought of Mecca that keeps me alive…..”


“Never stop dreaming”


“We are afraid of losing what we have, whether it’s our life or our possessions and property. But this fear evaporates when we understand that our life stories and the history of the world we written by the same hand.”

“…..the language that everyone on earth was capable of understanding in their heart. It was love. Something older than humanity, more ancient than the desert …….It was the pure Language of the World. It required no explanation, just as the universe needs none as it travels through endless time."

“One is loved because one is love. No reason is needed for loving.”

-"You’re crying?”
-I’m a woman of the desert…….but ABOVE ALL, I’M A WOMAN.”

“…Every search ends with the victor’s being severely tested.”


“Maktub” It is written.


Terima kasih pada Ummu Hani , pemilik buku ini. Awak mesti terlupa yang buku ini telah berkurun bersama akak. Baru beberapa minggu lalu berjaya membacanya. Ya, setiap sesuatu ada tempat dan waktunya kecuali Dia.
BACA SELENGKAPNYA - The Alchemist; Sesekali Menyulam Mimpi
0

Memilih dan Membaca; Caranya?


Kata Saydina Ali: Manusia itu terbahagi tiga; orang yang berilmu, orang yang menuntut ilmu, dan mereka yang hanya mengikut, condong mengikut angin, tidak dipandu dengan cahaya ilmu dan tidak berlindung pada tempat yang kukuh. Justeru, setiap Muslim perlu bertanya kepada dirinya: apakah hak-hak al-Quran dan Sunnah yang telah dipenuhi olehnya? Sesiapa yang telah bermula, sempurnakanlah. Dan bagi mereka yang belum bermula, apa lagi yang ditunggu? Jadilah orang yang berilmu atau yang menuntut ilmu dan janganlah menjadi yang ketiga, dia akan binasa.

Ini antara petikan akhir dalam buku kecil “Bagaimana Anda Memilih Buku-Buku Islamik dan Membacanya” tulisan Ustaz Muhammad ‘Izzudin Taufiq terbitan Darul Qalam, Qahirah. Mengandungi empat bab; Kelebihan ilmu dan nilainya di sisi Islam, Maksud ‘mempunyai pengetahuan agama’, Ringkasan Manhaj dan Cadangan Praktikal.

Atas permintaan seorang sahabat, saya keluarkan isi-isi utama dalam kitab ini. Dan kerana masa yang agak terbatas, tak dapatlah saya nak mengulasnya lebih lanjut dalam bahasa Melayu. Secara peribadi, buku ini mengembalikan ‘hammasah’/semangat untuk terus membaca. Diperkenalkan oleh seorang sahabat yang saya anggap guru minggu lalu. Antara buku dalam senarai cadangan yang diulas oleh beliau yang menarik hati saya dan saya berazam untuk membacanya minggu depan adalah buku bertajuk ‘Hal Nahnu Muslimun’ (Adakah kita Muslim?), …maaf saya canggung dengan terjemahan yang saya beri. Mungkin lebih menarik kalau diterjemahkan sebagai, adakah kita layak digelar Muslim atau adakah kita benar-benar Muslim. Maaf, saya tak pernah mengikut kelas terjemahan. Diceritakan, seorang pemuda yang iltizam sebenarnya, setelah membaca buku ini menyatakan yang dia tidak layak digelar Muslim selepas membaca buku ini. Saya merasa kecil di tengah-tengah dunia buku. Terlalu banyak yang belum saya ulit dan terasa terlambat. Tapi hati saya terpujuk dengan kata-kata akhir dalam buku ini yang saya sebutkan di atas. Memang, bukan mudah untuk jatuh cinta pada buku dan terus berharap agar ia tetap kekal jadi teman.

Penulis pada bab Cadangan Praktikal ketika membicarakan tentang teknik membaca, antara membaca laju dan perlahan, postur badan, sempat juga menyentuh tentang membaca;antara paksaan atau hobi mengulas antara lainnya begini:

"Seseorang memang merasa lama apabila memaksa dirinya duduk membaca dan menelaah. Tetapi, setelah beberapa waktu, dia akan dapati perasaan jemu membaca itu akan berkurang sedikit demi sedikit. Ketika itu, membaca dan menelaah akan bertukar menjadi hobinya. Dia akan selalu rindu untuk membaca, dan akan menghabiskan berjam-jam tanpa rasa bosan hingga dia tak mampu berpisah dengan buku. Ketika membaca bertukar menjadi hobi yang disukai, jadual membaca yang disediakan terasa mudah diikuti dan jadilah buku-buku temannya sehingga ruh bercerai dari jasad." Di mata saya, tergambar susuk seseorang seperti ini. Dia mungkin bukan As-Suyuti atau As Syafie atau Ibn Sina. Sekurang-kurangnya seumur hidup saya, saya melihat secara dekat seseorang yang sedang berusaha mencontohi mereka. Bukan master atau Phd yang dikejarnya. Kerana dia Muslim, dia memahami tuntutan menuntut ilmu dan dia sedar betapa kitalah masyarakat yang paling banyak membuang masa berbanding yang lain. Kerana itu kita masih di belakang.

Di bawah ini, harap bermanfaat untuk mereka yang memahami bahasa Arab.


كيف تختار الكتاب الإسلامى وتقرؤه

لمحمد عز الدين توفيق، القاهرة: دار القلم للنشر والتوزيع،



الفصل الأول: فضل العلم ومنزلته في الإسلام

لفصل الثاني: ماذا يعني العلم بالدين
-العلم بكتاب الله-حقوق القرآن؛ حق التلاوة، حق التدبر، حق العمل، حق التبليغ، حق الحفظ
(علم اللغة، التجويد والقراءات،التفسير وأحكام القرآن)
-العلم بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم

الفصل الثالث: ملاحظات منهجية
1) أساس العلم نبذ التقليد
2) الاطلاع الواسع شرط في عمق الفهم والنقد
3) الاطلاع على الفكرة شرط في تأييدها أو معارضتها
4) لا يكفي الاطلاع على الفكرة بل لا بد من الفهم الصحيح لها
5) الفهم الصحيح لأي علم يسلتزم الاطلاع عليه من مصادره الأساسية
6) صواب الباحث في بعض أبحاثه لا يضفي الصواب على كل انتاجه –العصمة لله وحده
7) موضوعات كل علم تحاكم إلى منهجه المناسب
8) لا نهجر حقا قال به مبطل
9) ليس من اللازم دائما تتبع كل فكرة في مصادرها الاصلية
10) الوضوح والصراحة من سمات البحث العلمي (فلا يستعجل بإصدار حكم أو اغلاق موضوع حتى يستوثق أنه استجمع حيثياته، واستكمل معلوماته)

الفصل الرابع: اقتراحات عملية
1) تصحيح الهدف من القراءة والتعلم
- أن يعرف ربه ؛مدارسة القرآن والسنة، علم العقائد والملل والنحل وعن عجائب المخلوقات والآفاق
- -وأن يعرف كيف يعبده؛ كتب السنة، الفقه والأحكام، السيرة والبدع
- – ويعرف كيف يدعو إليه؛ فقه الدعوة، كتب التاريخية والمذكرات
2) إعداد أسماء الكتب وترتيبها
1- في بداية التعرف على الإسلام:
- محاسن الإسلام وخصائصه – لماذا يعبد ربه
- الأحكام والشريعة –كيف يعبده ويطيعه
2- العلم الكلي أولا ثم الجزئي

Cadangan kitab untuk bacaan:

المجموعة الأولى:
1)تفسير الجزء الأخير من القرآن بعد حفظ سوره –ابن كثير، ابن الجوزي، الظلال

2)سلسلة الأصول الثلاثة ؛الله والرسول والإسلام لسعيد حوى
3)خصائص الإسلام العامة للقرضاوي-7 خصائص
4) الإسلام يتحدى لوحيد الدين خان
5) الإيمان والحياة للقرضاوي
6) التوحيد الذي هو حق الله على العبيد للشيخ محمد بن عبد الوهاب
7) مسائل الجاهلية محمد عبد الوهاب وتوسع فيها محمود شكري الالوسي
8) العقيدة الطحاوية الالباني
9) العبادة في الإسلام للقرضاوي
10) منهاج المسلم لأبي بكر الجزائري
11) فقه السنة للسيد سابق – وتعليقه للالباني
12)الحلال والحرام في الإسلام للقرضاوي
13) الرحيق المختوم صفي الرحمان المباركفوري
14) رياض الصالحين من كلام سيد المرسلين للامام النووي
15) جامع العلوم والحكم في شرح خمسين حديثا من جوامع الكلام لابن رجب الحنبلي
16) صفة صلاة النبي من التكبير الى التسليم كأنك تراها للالباني
17) ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين لأبي الحسن الندوي
18) الكبائر للذهبي
19)هل نحن مسلمون لمحمد قطب
20) سبل السلام في شرح بلوغ المرام للصنعاني
المجموعة الثانية:
1 ) دليل الثقافة الإسلامية لمحمد رياض
2)ثقافة الداعية للقرضاوي
3) جند الله ثقافة وأخلاقا لسعيد حوى
BACA SELENGKAPNYA - Memilih dan Membaca; Caranya?
0

Berikan Setitis Kasih-Mu

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan yang hari demi hari memberi peluang kepada saya melihat dan memahami hidup. Sudahkah anda mengucapkan syukur hari ini? Sudah baca doa bangun tidur? Aduuh, ini soalan untuk anak kecil. Kenapa? Yang dewasa ini tidak terlupakah membaca doa?
Syukur. Syaidina Umar mempunyai satu kebiasaan. Beliau suka bertanyakan khabar rakyatnya. Apa khabar anda pagi ini? Baik, jawab seorang lelaki. Beliau mengulang pertanyaannya, apa khabar awak pagi ini? Baik. Diulang lagi soalan yang sama, apa khabar awak pagi ini? Baik, Alhamdulillah. Ha, itu yang aku nak dengar, kata Syaidina Umar. Aku bertanya khabarmu supaya aku boleh mendengar puji dan syukur itu dari dirimu.
Ahh, lihat bagaimana seorang pemimpin mendidik rakyatnya tentang syukur.
Saya semakin jatuh cinta dengan Umar. Dan sepulangnya saya dari Rumah Sinar Salam menemankan sahabat saya Ustazah Huda, waktu mengulit buku 'al-Usrah al Muthla fi Daui al Quran wa as Sunnah/Keluarga Ideal Menurut alQuran dan Sunnah, sekali lagi saya jatuh cinta kepada Umar. Saya menangis sendiri. Saya merintih sendiri..Di mana Umar untuk ummat ini?



Buku itu bercerita: Seorang sahabat bernama Aslam menceritakan: Aku keluar bersama Umar pada satu malam. Lalu kami ternampak cahaya. Kata Umar, marilah kita ke sana, Aslam. Kami mendekat dan kami dapati ada seorang wanita bersama anak-anaknya. Wanita itu sedang memasak sesuatu di atas api dan anak-anaknya sedang menanti, menangis kelaparan. Umar memberi salam. Mengapa anak-anak ini masih tidak tidur? Mereka lapar. Lalu, apakah yang engkau masak dia atas api itu? Air. Aku jerangkan supaya mereka akan tidur. Allah akan mengadili antara kami dan Umar.
Maka Umar pun bergegas pulang menuju ke tempat penyimpanan gandum, mengambil sedikit daripadanya dan sedikit daripada lemak. Beliau berkata, wahai Aslam, letakkan di atas bahuku untukku galas. Maka aku berkata, tidak, biar aku yang membawanya. Lantas Umar menjawab, adakah engkau akan memikul dosa aku di hari kiamat kelak? Lalu beliau memikulnya sendiri. Kami kembali ke rumah wanita tadi. Beliau menguli gandum tadi, meletakkan sedikit dan membiarkannya di atas api sehingga masak. Asap menyelimuti janggutnya. Apabila siap makanan tersebut, Umar berkata, berikan aku pinggan. Dan Umar menghulurkan makanan itu kepada anak-anak kecil tadi. Kata Umar, makanlah sehingga kenyang. Kami menunggu sehinggalah anak-anak itu tidur. Kemudian kami pun beredar. Umar berkata: Wahai Aslam, kelaparanlah yang menyebabkan mereka berjaga dan menangis!
Ah..Umar.
Saya bertanya kepada mak cik di sebelah saya waktu dia menikmati hidangn petang kuew tiaw goreng dan telur mata kerbau; acik duduk di mana? Tak de rumah. Menumpang di rumah tinggal. Ooo. Saya mengangkat bayi comel yang terbaring tenang di hadapan kami sepanjang sesi kelas agama petang itu. Ibunya di sebelah kiri saya tersenyum. Dah dua tahun, tapi masih belum boleh berjalan. Ayahnya masuk pusat serenti. Abang dia, tinggal dengan nenek di rumah. Akak tinggal dengan emak. Tapi memang datang sini. Sejak datang sini, ringanlah beban. Mereka belikan susu anak, bagi makan. Seorang bayi lagi sedang dalam pangkuan ibunya. 'Masih belum dipastikan samada dia punya HIV atau tidak, kata Kak Fida, pengurus rumah itu kepada saya.
Saya menatap wajah-wajah di hadapan saya. Tua muda. Ada sebaya nenek,mak cik-mak cik saya dan ada juga yang mungkin sebaya saya. Masing-masing punya kehidupan silam yang hitam. Masih ada juga yang masih mengjalani kehidupan hari ini yang bercampur warnanya-kehidupan kupu-kupu malam.
Huda bercakap tentang syukur hari itu. Tentang nikmat terbesar yang harus disyukuri-iman dan islam. Saya ikut diberi peluang. Saya kongsikan tentang Umar- katanya: Aku merasa nikmat iman kerana aku kenal Jahiliyyah. Kami berkongsi tangis dalam bicara. Kita bercakap ria tentang syurga. Kampung yang kekal abadi. Apakah cukup bekal ke sana?
Saya melihat wajah-wajah kaum sejenis saya. Saya menyimpan pedih di dalam hati. Di mana suaminya, bapanya, adik beradik lelakinya? Lelaki-lelaki yan mendatanginya, apa terlupakah kalian yang wanita itu harus dimuliakan? Diletak di tempat yang selayaknya sebagaimana Rasulullah mengembalikan kemuliaan wanita dengan kedatangan Islam. Apa jalan berliku yang dilalui Rasulullah itu kalian buang dari ingatan lalu kalian kembalikan tempat wanita-wanita itu seperti dulu; waktu perempuan itu bagai barang dagangan, harta warisan...
Ah, perempuan, setelah dimuliakan, apa kita sanggup kembali dihina.
Semua orang ada kisahnya. Saya dan anda juga ada kisah sendiri. Tapi kita tak dilahirkan untuk hidup sendiri, kan. Kita diajar untuk berkenalan, saling memahami dan bermasyarakat. Mukmin itu seperti bangunan. Saling menguatkan. Kalau ada yang tersilap sama kita betulkan. Justeru, kalau ada masa yang terluang, sama kita hulurkan bantuan dan kalau ada ruang ingatan, dalam doa jangan dilupakan. Hari ini mungkin hari kita melihat sukar dan perit hidup orang lain. Siapa tahu hari esok hari kita. Lalu kita harap dengan sedikit tulus doa dan ikhlas kita hari ini, akan dimudahkan jalan-jalan hidup kita yang akan datang.
Selamat berjuang!
BACA SELENGKAPNYA - Berikan Setitis Kasih-Mu
0

Yang Tercinta

Saya kehilangan cinta dan rindu yang selalu lebat bertandang pabila tiba Rabiul Awal dek kesibukan dengan assignment dan presentation. Tidak sempat membajanya sebaik tahun-tahun sebelumya. Tak mengapalah, sementara saya mengairi kembali hati saya, saya tinggalkan dulu catatan ini.
Sekadar mahu berkongsi, membaca sejarah memang bukan minat ramai dari kita. Namun, saya sukakan sebuah buku hadiah daripada seorang teman dari Syria bertajuk ‘Ala khuta alhabib’ (nak terjemahkan apa ya.. perjalanan kekasih) karya daie Mesir yang saya senangi uslub dan pendekatan penulisannya; Amr Khaled (http://www.amrkhaled.net/).
Ada banyak buku sirah yang boleh kita ulit. Seorang guru saya di Syria juga menulis sebuah buku –Sirah Nabawiyah yang saya kira sangat detail dengan peta-peta kawasan dan ditambah sekali dengan syamail Muhammadiah lengkap pula dengan referensinya. Juga sebuah buku bagus yang selalu saya dengar dari mulut-mulut penceramah namun saya masih belum berkesempatan membacanya – al Rahik al-Makhtum. Saya mahu ulang kembali pesan Ustaz Arif yang pernah saya tulis dlm entri Rabiul Awal tahun lepas.."Bacalah sirah, dan kamu akan rasa seperti kamu hidup bersama baginda." Berasakah kita?

Hai kekasih…
Dengarkah kau getar hati
Ini…panas air mata rindu
Mencari sungai kasih yang
alurnya ke Raudah
Kekasih,
Ini rayu jiwa
Mohon diterima sebagai ummat
Agar mudah menumpang syafaat
Saat berhimpun di hari gawat.
BACA SELENGKAPNYA - Yang Tercinta
0

Bahasa yang dirasa

Buku yang baik memang punya aura tersendiri yang mampu menerobos minda dan membelah jiwa menjadi ubat hati yang mujarab. Muqaddimahnya sahaja sudah mampu membuat kita teruja dan mahu terus membaca dan membaca. Saya antara orang yang senang tersihir dengan pilihan kata dan karangan bahasa. Saya pernah ‘sakit’ seketika selepas membaca sebuah novel (antara pemenang hadiah sastera). Saya dilanda ‘konflik diri’ sehingga saya pulang ke kampung. Di rumah pun saya memerap di dalam bilik dan menangis. Puas emak saya memujuk. Sangkanya saya putus cinta. Tapi sekarang bila membaca kembali buku itu, perasaannya biasa-biasa sahaja. Dahulu mungkin kerana saya masih keliru dan kabur tentang impian dan cita-cita lalu terkesan dengan cerita itu.

Dan untuk pengajian saya, saya banyak terdorong oleh bahasa Syed Qutb. Ayat pertama pada muqaddimah Fi Zilalnya sahaja sudah membuat saya jatuh cinta untuk terus mendalami ilmu tafsir. Saya juga sukakan cara beliau waktu mentafsir sesuatu ayat. Saya tidak ingat ayat apa, tetapi beliau menulis lebih kurang begini –“ saya masih tercari-cari kaitan perkara ini dan ini. Kalaulah anda, pembaca menemukan pertalian antara keduanya, kongsikanlah bersama saya.” Ulama Ulum Quran yang terkemudian ada yang berpendapat bahawa manusia akan terus menemui mukjizat-mukjizat baru Al-Quran yang lain daripada yang sedia diketahui. Ya, I’jaz al Quran ini akan selalu ada membuka hati-hati yang mencari dan akal yang mahu berfikir. Kita yang pelbagai bangsa, berbeza bahasa dan berasingan lokaliti ini mampu disatukan dengan petunjuk Al-Quran yang sama isinya di seluruh dunia. Tiada beza. Bezanya cuma, uslub yang mana mengetuk hati kita. Ada pelbagai pendekatan al-Quran dalam mendekati pembacanya. Ada orang terpesona dengan pengulangan ayat-ayatnya, ada yang terpukau dengan kehebatannya mengungkap fakta saintifik waktu belum wujud sebarang kajian empirical dengan teknologi canggih, ada yang teruja dengan rima ayatnya, ceritanya dan pelbagai lagi.

Saya sebenarnya menulis entri ini selepas terpesona dengan muqaddimah Dr. Ahmad Shalabi dalam bukunya- Muqaranah al-adyan/perbandingan agama. Mahu saya kongsikan sedikit ungkapan-ungkapan menarik daripadanya.. Mohon diterima terjemahan saya yang ‘kureng’ ini.

“Ya Rabb. Sesungguhnya antara saat paling indah sepanjang umur adalah sewaktu seseorang itu sampai pada tujuan yang diingininya. Dan aku, dengan bantuan Engkau telah sampai pada tujuan yang kuharapkan dalam bidang pengajian ini.
Ya Rabb. Aku telah memasuki bidang perbandingan agama di antara harapan dan ketakutan. Kemudian, harapan itu mengatasi ketakutan dan bertukar menjadi reality…..
Ya Rabb. Aku bersyukur kepada Engkau seperti syukur orang yang mengetahui hakMu dan mengakui yang kejayaannya adalah daripada Engkau dan hidayahMulah yang mengilhamkanku taufik dan memberikan cahaya di hadapanku.”

Saya berdoa agar diberi kesempatan menelaah buku-buku hebat karangan mereka yang hebat kerana saya tidak tahu entah bila baru berkesempatan berguru dengan mereka-mereka seperti Dr Fadl Hasan ‘Abbas dsb. Untuk anda juga, moga cinta ilmu tidak hilang di hati kita.
BACA SELENGKAPNYA - Bahasa yang dirasa

Islamic Jerusalem

Mungkin memang kebetulan, saat saya membuka IKIM.fm memang isu Palestin yang sedang hangat dibincangkan. Pertama, 230208 lalu. Muna Jasman rancak menemubual Dr Fattah al-‘Uwaisi, seorang sarjana dari Institut al-Makhtum, United Kingdom. Bicara dibuka dengan pengenalan Dr al-Uwaisi tentang dirinya, lebih khusus lagi tentang zaman kanak-kanak beliau yang menurut beliau telah mendidik dan menjadikan beliau seperti yang dikenali hari ini. Air mata saya tidak mahu berhenti mengiringi bicara beliau. Beliau mengungkapkan jutaan terima kasih pada ibubapanya yang telah mengajar erti hidup pada beliau. Hidup di khemah pelarian, sebagai manusia yang dinafikan hak menghirup udara segar, berlari berkejaran bersama rakan-rakan sepermainan di tanahair sendiri. Segalanya bersukat. Air, makanan juga kawasan yang terhad.

Saya tidak mampu membayangkan itu. Kalau saya seorang ibu, mampukah saya bangun dari kebencian menggunung pada mereka yang telah merampas bahagia saya bersama keluarga, menafikan peluang persekolahan yang sempurna untuk anak-anak saya, membunuh jiwa-jiwa yang saya sayangi.. Ratapan, kesedihan berpanjangan juga dendam membara tidak cukup untuk mengembalikan hak yang telah dirampas. Saya selalu ingin belajar tentang semangat dalaman mereka. Selalu ingin kenal wanita-wanita hebat yang berjaya melahirkan pemuda-pemuda yang mencintai syahid. Teringin benar menopang dagu menadah cerita perempuan yang dari rahimnya lahir Umar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi juga Syed Qutb yang Fi Zilalnya selalu menjadi ubat hati saya. Tapi memang terlalu sedikit yang dibicarakan tentang wanita-wanita pilihan ini. Lalu saya harus terus membaca dan menggali rahsia sebelum tiba giliran saya memikul amanah berat-mendidik generasi muda Islam.

Berbalik kepada soal Palestin, beliau menyarankan beberapa perkara yang harus ada dalam usaha menyelesaikan isu ummah ini antaranya – al-ru’yah, al-‘azimah, al-sabr. Beliau membawa ideanya tentang Islamic-Jerusalem yang sedang cuba dikembangkan sebagai salah satu disiplin ilmu di universiti-universiti dunia. Bicara yang paling menyentuh hati apabila beliau berkata, setiap orang di dunia punya tanahair, tempat yang kita pasti akan kembali walaupun setelah mengembara jauh. Tetapi rakyat Palestinlah, warga dunia yang tidak punya tempat untuk kembali. Ya Allah…..

Ditanya pandangannya tentang cara menyelesaikan masalah perebutan bumi al-Quds itu, katanya: Saya memahami daripada sejarah. Tidak ada cara lain dalam menyelesaikan isu ini selain menghapuskan kezaliman ke atas orang yang dizalimi. ‘Ikdilu..(Berlaku adillah). Kembalikan keadilan seperti yang sepatutnya sebagaimana Umar mengembalikan keadilan kepada kedua-dua masyarakat Muslim dan bukan Muslim di Palestin dahulu. Noktah.
Kedua, 060308.
Rancangan tv tidak ada yang menarik perhatian saya. Saat saya membuka radio, perbincangan tentang Islamic-Jerusalem sudah di pertengahan. Bersama dua orang pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya yang kedua-duanya pernah belajar di Institut al-Makhtum. Di akhir rancangan baru saya tahu, Segmen Duniaku Buku rupanya. Membicarakan buku Islamik Jerusalem... (lupa saya judulnya) yang dilancarkan 130208 lalu di Balai Ilmu, Universiti Malaya. Baru saya teringat, minggu lepas sewaktu kunjungan saya ke rumah seorang sahabat di Petaling Jaya, saya sempat menguliti buku tersebut. Tulisan Dr al-Uwaisi yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. Segmen itu juga membicarakan usaha memperkenalkan Islamic Jerusalem sebagai salah satu subjek di institusi pengajian tinggi.. Menurut mereka, ini adalah perjuangan dalam dunia intelektual dalam menyebarluaskan kefahaman tentang konsep itu.

Apa yang perlu difahami adalah, bumi al-Quds memang diiktiraf sebagai tempat suci bagi ketiga-tiga agama-Islam, Kristian dan Yahudi. Apa yang perlu diakui adalah, sejarah telah membuktikan hanya Islam yang berlaku adil apabila memegang kuasa mentadbdir bumi itu. Umar tidak mengusir masyarakat bukan Islam saat beliau menguasainya. Lihat sebaliknya apabila kuasa lain yang memerintah. Tidak ada toleransi (al-tadafu’) agama diamalkan.
Allah…. Saya semakin memahami isu ini. Semakin cantik nampaknya Islam di mata saya. Perlahan-lahan saya memahami kunci ilmu. Teringat kata-kata Us Zahazan, kata-kata guru beliau sebenarnya tentang para ulama yang punya waktu untuk menulis, berkongsi ilmu ; Allah akan buka keberkatan masa apabila hambaNya ikhlas. Apa kaitan keberkatan dengan isu ini? Saya melihat lahirnya pemikir-pemikir Islam yang dibukakan Allah akal fikirannya untuk terus berkhidmat untuk agama ini. Sama seperti kagumnya saya melihat sidang cendiakawan fiqh dunia Islam di UIA tiga hari ini membincangkan soal wakaf-takaful. Mereka masing-masing hadir dengan pendapat masing-masing, bahas dan berbahas. Saya tidak sempat mengikuti sidang hari terakhir. Tapi saya percaya, kalau pun bukan di sidang itu, keputusan akhirnya nanti benar-benar satu rahmat daripada perbezaan pendapat yang ada. Objektif akan tercapai-untuk kemaslahatan ummah. Dua pahala untuk yang berijtihad dan betul. Masih ada satu pahala untuk mereka yang berusaha dalam berijtihad walaupun tersilap. Kita…?

Doa untuk mereka yang dizalimi di bumi Palestin. Juga doa buat mereka yang berkhidmat untuk agama ini…

For those yang berminat utk membeli buku di atas atau mahu memahami lbh lanjut tentang isu ini (Islamic Jerusalem) boleh email pada Dr Roslan Nor -
m_roslan@um.edu.my (013-9913048) or r_hisyamudin@um.edu.my (013-3527161).

BACA SELENGKAPNYA - Islamic Jerusalem
Back to Top