Showing posts with label Nota Usrah. Show all posts
Showing posts with label Nota Usrah. Show all posts
2

'Umar, Moga Dapat Bertemumu

Lama saya memendam mahu menulis tentang dia, seorang pemimpin ulung; Syaidina Umar al Khattab. Menulis sedikit, kemudian berhenti, Baru kali ini, saya benar-benar kuat azam setelah mengulit beberapa buku tentang beliau. Setiap kali membaca tentang beliau, saya jatuh cinta pada peribadinya. Teringin benar mahu melihat raut wajah dan perawakan sebenar penglima agung Islami ini.

Solat Witir

Pertama kali saya jatuh cinta, saat membaca tentang pendirian beliau dan Abu Bakar berhubung solat witir. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.wr bertanya kepada Abu Bakr, ‘Bilakah engkau berwitir?’ Jawab Abu Bakr, ‘Awal malam selepas solat Isya’. Soalan yang sama ditujukan kepada Umar. Umar menjawab, ‘Akhir malam.’ Maka baginda berkata, “Adapun engkau wahai Abu Bakar, bersikap berhati-hati (menjaga supaya tidak terlepas solat Witir setiap malam). Manakala engkau wahai Umar, kekal dengan kekuatan azammu (untuk berwitir akhir malam yang afdhal)’.

Saya pengkagum Abu Bakar, selalu mahu dekat dengan peribadinya, tapi saya juga mahu jadi Umar yang tegas, berdisiplin dan kuat azamnya. Kerana itu, saya berharap, kalau punya anak, saya mahu namakan dia Umar. Cuma saya takut, kalau anak saya jadi terlalu tegas tidak mengenal hikmah kerana saya bukan siapa-siapa yang punya kehebatan mencorak peribadi unggul antara tegas Umar dan hikmah Abu Bakr. Ah..cantiknya.

Jaulah Malam

Kemudian, saat membaca tentang jaulah malamnya memeriksa hal ehwal rakyat jelata. Tersentuh saat beliau berkata kepada pembantunya Asim yang ingin membantu beliau membawa karung gandum dan lelemak untuk diberikan kepada sang ibu yang merebus batu mengharap anak tertidur kerana menantikan makan malam yang tiada sebenarnya. Kata Umar, “apakah kamu mahu memikul dosa aku saat aku dihisab di hadapan Tuhan?” Kebetulan, saya waktu itu, baru selesai menemani teman mengajar kelas agama buat wanita gelandangan yang mengharap sesuap nasi dengan memperdagangkan tubuhnya..Kalau engkau masih hidup ya, Umar, pasti akan kau baling genggaman pasir ke muka-muka pembesar negara hari ini yang hidup megah memakai busana angkuh penguasa negara seperti mana yang kau lakukan pada para panglimamu yang berdiri megah berbusana mewah saat menyambutmu hadir menerima penyerahan Baitul Maqdis dari panglima Rom.

Ah, Umar, kalau mahu dihitung dan disifatkan satu persatu cerita tentangmu, pasti ada hati yang merintih merindui hadirnya insan sepertimu memimpin umat yang kalut dan leka dengan bayang-bayang gunung emas dan bukit harta yang disangka boleh membeli syurga.

Didik Rakyat

Umar, rajin berpagi-pagi mengunjungi rakyat yang memulai hari mencari rezeki. Lalu pada setiap orang yang ditemui, ditanyakan khabarnya. Apa khabar, kamu? Baik. Ditanya lagi, apa khabar, kamu? Baik. Diulang lagi soalan, apa khabar kamu? Alhamdulillah, saya baik. Nah, aku bertanya khabar semata-mata mahu mendengar kamu memuji Tuhan di permulaan harimu. Begitu, seorang pemimpin mendidik rakyat.

Al-Faruq

Rasulullah s.a.w menggelarnya al-Faruq selepas beliau bersikap tegas dalam menghakimi lelaki munafiq yang cuba mengelak daripada kesalahannya terhadap seorang Yahudi. Lelaki itu telah berjumpa dengan Rasulullah dan kebenaran berpihak kepada sang Yahudi. Tidak puas hati, beliau berjumpa pula dengan Abu Bakr. Apabila keputusan sekali lagi tidak berpihak kepadanya, beliau mengajak Yahudi tersebut bertemu Umardengan harapan keputusan akan memihak kepadanya. Lalu Yahudi tersebut menceritakan tentang perjalanan kes mereka. Umar lantas berkata, “tunggu sebentar sehingga aku keluar”. Beliau keluar dengan membawa sebilah pedang dan memukul lelaki munafiq itu. Kata Umar, beginilah hukumannya bagi mereka yang tidak redha dengan hukum Allah dan hukum nabi-Nya. Rasullullah berkata, anta al-Faruq. (engkaulah pemisah antara yang hak dan batil).

.

Syaitan Takut

Satu keistimewaan beliau, syaitan takut padanya. Kata Rasulullah, “Jika syaitan bertemu engkau di jalanan, maka dia akan mencari jalan lain.’ Hebat! Pastilah kerana kuatnya iman dalam diri sahabat Nabi ini. Kata Umar, “Siapa yang tidak mengenal Jahilliyyah, dia tidak kenal Islam.” Kerana, apabila Tuhan memberi hidayah pada mereka yang kafir atau jahil, mereka akan dapat membezakan kebaikan Islam berbanding lainnya dan benar-benar menghayati nikmat Islam yang diberi Allah. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Umar tentang zaman Jahiliyyahnya, “kadang-kadang kamu menyembah Tuhan yang dibuat daripada kurma dan kurma itu juga yang kamu makan apabila kamu lapar. Tidakkah kamu punya akal?” Jawab Umar, kami punya akal, tapi kami tidak dapat hidayah’.

Profil Umar

Meninggal dunia pada usia 65 tahun, beliau asalnya seorang pembesar Musyrikin yang masuk Islam pada usia 30 tahun berkat doa Nabi s.a.w dan mewakafkan seluruh 35 tahun baki usianya untuk Islam. Beliau merupakan orang kedua yang disayangi baginda di kalangan lelaki selepas Abu Bakr, juga antara sepuluh yang dijanjikan syurga. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang turun muwafaqah/ sesuai dengan pendapatnya atau situasi beliau (muwafaqah-maaf, saya blm jumpa terjemahan paling sesuai untuk maksud muwafaqah ini) antaranya tentang tawanan Badar(Al Anfal:67), ayat Hijab dsb.

Banyak juga pandangan dan ijtihad beliau yang menjadi panduan umat Islam selain merupakan rahmah kepada umat Islam. Antaranya cadangan beliau berkaian pengumpulan Al Quran kepada Abu Bakr berikutan kematian lebih kurang 70 sahabat pada peperangan Yamamah. Himpunan ayat-ayat Al Quran itulah kemudiannya menjadi asas kepada penulisan dan pembukuan al Quran pada zaman Utman. Justeru, jelas sifatnya sebagai seorang yang sensitive dengan hal-hal yang berkaitan dengan survival Islam

Noktah. Sehingga saya bertemu banyak lagi perkara yang menarik untuk dikongsikan tentang Umar. Meminjam kata-kata penulis “عمر بن الخطاب في الإسلام”, Dr Muhd Anis ‘Ubadah الله يا عمر أى رجل كنت يا ابن الخطاب (Allah.. Ya, Umar, lelaki bagaimanakah kamu, wahai Ibn al Khattab).

Baca lagi tentang Umar di:http://saifulislam.com/6164

Rujukan: عمر بن الخطاب في الإسلام, (Dr Muhd Anis ‘Ubadah), ‘Ala Khuto al-Habib (‘Amr Khaled), Sejarah dan Keutamaan Tiga Tanah Suci, (Muhd Isa Selamat), Tafsir Ibn Kathir , Shohih Bukhari dan Sunan Ibn Majah.




BACA SELENGKAPNYA - 'Umar, Moga Dapat Bertemumu

Muhasabah untuk Naik Pangkat

إذا المرء لم يلبس ثيابا من التقى تجرد عريانا وإن كاسيا
وخير خصال المرء طاعة ربه ولا خير فيمن كان لله عاصييا
Sekiranya seseorang belum mengenakan pakaian taqwa,
Masih ia dianggap telanjang biar berpakaian,
Sebaik-baik perilaku hamba adalah ketaatan kepada Tuhannya,
Tidak ada kebaikan bagi orang yang bergelumang dengan dosa


Kata-kata, pesan, peringatan bukanlah terlalu sukar untuk sampai ke pendengaran kita terutama jika kita dikurniakan teman-teman yang baik atau bertemu buku-buku yang baik. Bezanya, ia kadang-kadang sukar untuk sampai ke hati. Tapi ada masa dan ketika tertentu, kata-kata yang sering singgah di telinga itu segera masuk ke dasar hati. Menyentuh. Kerana masa yang betul, mungkin juga kerana orang yang betul. Cuma, perubahan memerlukan kekuatan hati, kefahaman yang jelas dan kesungguhan. Menjadi lebih baik memang dituntut dalam kehidupan seorang Mukmin. Kita kadang-kadang merasa selesa, merasa sempurna, merasa cukup sebagai orang biasa yang memiliki iman yang biasa juga. Tapi imankan bertahap. Makam manusia di sisi Tuhan berbeza sesuai dengan beza ketaqwaannya. Kalau berkerja, kita sentiasa mahu kenaikan gaji saban tahun atau kenaikan pangkat. Justeru di sisi Tuhan, selalukah kita menilai, memuhasabah dan bekerja keras untuk ‘naik pangkat?'Di mata Dia. Dalam berkawan pun ada tahapnya. Kenalan, kawan, teman baik, kawan rapat, sahabat dan pelbagai lagi perkataan yang setiap satu mempunyai konotasi tersendiri.

Tapi memang, untuk keluar dari zon selesa(comfort zone) bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi kalau mahu istiqamah dengan perubahan. Berubah memang mudah. Hari ini begini, esok, tukar kepada perkara baru yang kita inginkan. Tapi untuk memastikan kita kekal dengan perubahan tersebut pada hari-hari seterusnya bukan mudah. Sesetengah orang, untuk berubah itu sendiri sukar. Belum bicara tentang konsistensi. Kerana takut dikata orang ‘dah buang tebiat?,’ ‘nak mati ke?’, ‘demam ke?’ atau mungkin juga berperang dengan diri sendiri. Contoh, apabila sesuatu itu sudah jadi kebiasaan dan bukanlah ia satu kesalahan dari segi ‘uruf’ (kebiasaan setempat) dan mungkin juga kerana ada perbezaan pandangan ulama’, justeru, untuk mengambil pendapat yang lebih ‘syadid’ atau tegas, ia menjadi dilema. Mengapa mahu berbeza sedangkan menjadi biasa itu kan lebih baik, tidak perlu menghadap pelbagai persoalan. Tapi bak kata ustaz, jadilah ghuraba’. Orang asing. Berbeza. Bila orang bertanya mengapa bermakna orang bersedia untuk mendengar. Peluang dakwah lebih baik. Berbanding kita yang berbuih mulut bercakap kepada orang yang akalnya beku untuk mendengar. Dakwah bil hal. Anda berjalan… dan keindahan Islam tergambar daripada peribadi anda. Anda menjadi magnetik. Menarik manusia mendekati, mencontohi.

Dalam kursus Nuqaba’ dua semester lalu, waktu membincangkan tentang bagaimana menghadapi fitnah akhir zaman, Ustaz Ismail Chong Abdullah mencadangkan tiga formula– 3 G/Ghin.

1) Ghuraba’- menjadi asing/berbeza. Hadith sudah menyebut, beruntunglah mereka yang berbeza. Berbeza untuk mempertahankan iman dan Islam.

2) Ghaza- menyebut Ghaza akan mengingatkan kita kepada perjuangan antara hak dan batil yang tidak akan pernah selesai sehingga hari kiamat. Justeru, ujian itu lumrah. Untuk melihat siapa yang sabar.

3) Ghilaf- ghilaf bermakna penutup. Setiap sesuatu perlu dilindungi untuk menjaganya.Seperti kita menutup makanan untuk melindungi daripada kekotoran dan serangga. Seorang ‘alim didatangi oleh seorang lelaki yang memohon nasihat daripadanya. Lalu beliau berkata: Sediakan penutup/pelindung bagi agamamu seperti penutup Mushaf. Lalu si lelaki bertanya, apakah pelindung agama? Jelas beliau, tinggalkan berkata-kata kecuali untuk perkara yang perlu, tinggalkan dunia kecuali apa yang perlu bagimu dan tinggalkan bercampur gaul dengan manusia kecuali apa yang perlu bagimu. Ketahuilah, zuhud itu bermula dengan menjauhi yang haram; yang kecil atau besar, menjalankan segala kefarduan;yang susah atau senang, dan tinggalkan dunia kepada ahlinya; urusan yang kecil atau besar.

Bukankan disebut di dalam hadith; sebaik-baik perkara bagi seorang Muslim adalah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya. Ya, dengan masa yang terbatas dan kewajipan yang terlalu banyak untuk diselesaikan, mengapa masih menyia-nyiakan waktu dengan perkara yang tidak memberi nilai kepada peningkatan diri sebagai Mu’min…? Wahai diri…


ضدان يا أختاه ما اجتمعا دين الهدى، والفسق والصد
والله ما أزرى بأمتنا إلا ازدواج ما له حد
BACA SELENGKAPNYA - Muhasabah untuk Naik Pangkat
2

Adab, Adab, Adab


Ad-Din Nasiihah. Sungguh hujung minggu ini hati saya dijamu dengan hidangan yang hampir tak mampu saya menghadamnya. Terlalu banyak. Sedikit berat. Cuba juga saya menghimpunnya ke sisi. Biar saya tidak mampu mengunyahnya hari ini, tapi saya mahu simpan buat bekalan. Bila saya bersedia, saya akan berusaha menghadamnya.

Mengenali Ustaz semenjak semester lalu adalah anugerah buat saya. Bermula dengan tanggapan biasa, pandangan saya berubah bila ustaz mula menghujankan satu demi satu tarbiahnya. Saya selalu suka mahu berlama-lama menghadap ustaz. Tapi, ya kesibukkannya tidak mengizinkan dan semester ini selalunya tak sampai dua minit saya dapat bercakap dengan ustaz.

Saya mula memahami kata ustaz. Amal…amal…amal.Tak guna menghimpun setinggi gunung ilmu, berkejar ke sana ke mari mahu menggalinya sebanyak mungkin tapi tetap sifar pada amal. Tetap gagal pada adab. ADAB! ADAB! ADAB! Ini yang ustaz ulang dan ulang dalam setiap pertemuan Nuqaba’ atau nama glamernya di UIA ini fasilitator. Semester ini tugasan saya bertambah. Halaqah dan Fardu Ain. Sungguh saya bersyukur terpilih menyertai kumpulan kecil fasilitator Fardu Ain. Ustaz lebih tegas, lebih berat menekan di sana sini. Usai mesyuarat pertama kami, waktu kaki perlahan menuruni tangga, saya akhirnya sedar. Ini yang saya cari. Bagaimana pun saya tidak boleh lari. Jiwa saya terubat dalam dunia ini. Bukan mencari sesuatu di luarnya. Saya tetap akan berasa kosong. Larikah saya dari tugas ini selama hampir dua tahun? Saya bukan lari, saya berniat mahu bawa diri dan belajar lagi di luar lingkungan biasa saya sebelum ini. Tapi ya, bila kita tidak beroganisasi, maka kita bermain-main dengan diri sendiri.

Tarbiah itu apa? Pengurusan. Education means management. Everything is a part of the whole system. Ingat, setiap butiran itu penting. Biar sesuatu itu kecil tapi ia penting untuk menyempurnakan satu system. Kerana itu kita harus membuka horizon pemikiran kita. Bukan menghadkan pemikiran pada dunia kecil di sekitar kita sahaja. Pengurusan melambangkan profesionalisme kita. Profesionalisme terlihat daripada pengurusan masa dan skill perhubungan kita. Maaf, saya mahu menyusun isi untuk dikongsi juga sebagai catatan yang lebih tersusun. Maaf kalau masih tidak teratur. Itu bayangan apa yang di kepala saya. Saya masih belum dapat menyusun segalanya sebaiknya.

Mari kita mulakan.
أن القرآن مأدبة الله فتعلموا من مأدبته ما أستطعتم .
Sesungguhnya Al-Quran itu adalah hidangan daripada Allah. Justeru, belajarlah daripadanya sebanyak mungkin.
Ma’dabah berasal daripada kata asal Adab. Para salaf selalu berpesan kepada anak-anak mereka: Wahai anakku, jadikan amalmu seperti garam dan adabmu seperti tepung. Maksudnya, amal yang sedikit tapi penuh dengan adab lebih baik daripada amal yang banyak tapi sifar adabnya.

Kata Hasan al-Basri
من لا ادب له لا علم له، ومن لا صبر له لا دين له ومن لا ورع له لا زلفى له.
Sesiapa yang tiada adab, tiada baginya ilmu. Dan siapa yang tidak punya sabar, tiada agama padanya dan sesiapa yang tidak wara’, tiadalah dia dekat dengan Allah.

Adab menurut al Qusyairi dalam Ar Risalah adalah himpunan sifat-sifat baik dan hasilnya adalah- faqih dalam urusan agama, zuhd pada dunia dan mengetahui hak-hak Allah.

Menurut Abi Nasr As-Sirraj, manusia itu terbahagi kepada tiga dari segi adabnya:
1- Adab ahli dunia: Mereka yang hafal ilmu dan teori
2- Adab ahli agama: Latihan jiwa, didik anggota badan , hafal tentang hukum dan tidak menurut hawa nafsu
3- Adab ahli khusus: Kebersihan hati, jaga rahsia, tunai janji, jaga waktu.

Ustaz selalu mengulang soal waktu. Soal adab ahli khusus. Kalau seorang naqib/h tidak boleh menjaga adab berkaitan waktu ini, bagaiman pula dengan orang lain. Adab tidur sebagai contoh. Apabila tidak dipatuhi dengan baik akan menyebabkan masalah yang lain. Kebanyakkan remaja di AS mati di jalanraya kerana tidak menjaga adab tidur. Mereka berjaga malam bermain internet. Kurang tidur menyebabkan mereka hilang focus apabila memandu dan menyebabkan ramai di antara mereka mati di jalanraya atas sebab ini.

Saya kira isu tidur bukan sesuatu yang remeh. Rata-rata remaja hari ini tidurnya lewat hingga ke 2, 3 pagi. Melantak ke subuh hingga tengahari. Habit ini menjadi karekter. Saya perhatikan. Saya akui benarnya pepatah Inggeris ini.
Watch your actions, for they become habits. Watch your habits, for they become character. Watch your character, for it becomes your destiny.
Karekter apa yang terhasil kesan habits bangun lambat ini? Malas! Tanya ibubapa di rumah bagaimana anak remaja mereka. Membantu di pagi hari..Tidak. Kalau menurut Sunnah, jika kita tidak punya urusan penting selepas Isyak, sebaiknya tidur terus supaya mudah bangun pagi. Tapi kebanyakkan kita ambil remeh perkara ini dengan melayari internet, jaga kebun maya di facebook(huhu), berpindah dari satu drama korea ke satu yang lain, sms, borak dsb. Apa lagi adab lain yang kita tidak patuhi? Adab makan, adab menggunakan handphone, adab bekerja dan menuntut ilmu dan lainnya. Saya pun apa kurangnya tapi, ia…berazamlah kita untuk jadi Muslim yang baik. Yang menurut sunnah. Manhaj hidup ini sudah tersusun sebenarnya. Cantik dan sempurna. Cuma kita…kata ustaz, yang Sahabat suka itulah yang kita benci sekarang dan apa yang Sahabat benci kita suka…Kita yang menukar tujuan hidup kita dari salvation kepada globalization. Kita sambung di lain hari.

Cadangan bacaan lanjut: Min Adab Al-Islam ('Abd al-Fattah Abu Guddah)
BACA SELENGKAPNYA - Adab, Adab, Adab
2

My New Skin

Suatu ketika saat membelek telapak tangan saya, saya menjerit…Wah, kulit baru! Gembira rasa hati. Walaupun tiap2 hari saya meladeni luka-luka kesan accident kecil yang saya alami, namun apabila sebahagian luka itu benar-benar sembuh dan daging merah yang terselah sudah diliputi kulit baru, barulah saya tersedar. Seronok rasanya dapat menyentuh kulit tersebut. Dua minggu saya menahan sakit. Mendisiplinkan diri mencuci luka, menyapu gel gamat dan menelan satu dua jenis ubat untuk membantu mengurangkan sakit badan dan merawat luka-luka dalam badan yang tidak disedari.

Waktu berwuduk dan mandi paling seksa. Kebanyakkan luka berada di anggota wuduk.Muka dan kedua tangan saya. Saya mengambil ruksah, keringanan yang Islam benarkan. Alhamdulillah, Tuhan benar-benar masih membenarkan saya menghirup udaranya. Ia berlaku saat trafik lengang. Jika tidak, saya tidak pasti kalau kereta di belakang saya sempat brek mengejut atau tidak. Saya terjatuh tiba-tiba. Tercampak. Entah apa masalahnya motosikal saya. Yang saya tahu, saya sudah mencium jalan. Cermin mata saya senget sebelah. Saya bangun. Takut mahu memegang muka.Rasa berdarah. Tudung sudah bercalit darah di sana-sini. Koyak juga. Tiga buah kereta berhenti. Seorang lelaki mengalihkan motor saya ke tepi, menguncinya dan memberikan kunci kepada saya. Seorang perempuan muda memegang saya dan memimpin saya ke tepi. Kak Rohaniah namanya. Dia membawa saya ke klinik kemudian menghantar saya pulang. Emak saya risau bukan kepalang. Ayah juga. Lebih-lebih lagi bila mendengar muka saya terluka. Dua hari kemudian, teman saya Zubaidah bersama bapanya yang kebetulan datang ke KL, melawat saya di rumah dengan sekotak besar barang-barang Gamat. Alhamdulillah, sekali lagi Allah mudahkan saya. Tak perlu saya bersusah payah mencari ubat dan makanan tambahan lain untuk kesihatan saya saat-saat begitu.

Semalam saya menonton cd Pidato Kanak-kanak. Ia sebuah rancangan realiti tv di Indonesia dengan nama Pertandingan Da’i Kecil. Hebat bicara kanak-kanak dalam rancangan tersebut sehingga mampu mengalirkan air mata pengadil dan penonton. Air mata saya juga. Seorang pemidato kecil membaca sepotong ayat al-Quran dari surah an-Nisa’, ayat 56

“Sesungguhnya orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, Kami akan campakkan mereka ke dalam api neraka. Apabila kulitnya hangus terbakar Kami gantikan dengan kulit itu dengan kulit yang lain agar mereka merasai azab”


Benar-benar ayat itu menyentuh saya. Begitulah Allah mengingatkan kita tentang azabnya. Al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu sudah menyebut tentang fungsi kulit sebagai deria rasa sebenarnya. Perkembangan Sains kemudiannya membuktikan yang organ yang paling besar dalam tubuh manusia ini (berat lebih kurang 5kg dan jmlh kwsn permukaan lbh kurang 1.5-2.0 mtr persegi ) mempunyai dermis yang punya deria rasa paling sensitive.
Berbalik pada PILDACIL, short form untuk pertandingan tadi. Kagum saya dengan kemampuan Lativi , stesyen tv yang menerbitkan rancangan tersebut. Malaysia kekurangan makanan membina minda seperti itu. Kita berebut mahu bergelar penyanyi, penghibur. Dan berlumba-lumbalah stesen tv kita berpindah dari satu rancangan reality ke satu rancangan yang lain. Untuk kanak-kanak tidak ketinggalan. Berbangga semua ahli keluarga apabila anak-anak layak menyertai. Menitis air mata, tersedu penonton melihat yang tersingkir. Lagu sayu mengiringi. Siapa yang mengiringi tangis anak-anak Palestin yang hilang ayah ibu? Isteri yang hilang suami? Kita makin hilang peduli pada semua itu kerana air mata kita lebih berharga untuk sebuah konsert penyingkiran dan filem cinta sedih.
BACA SELENGKAPNYA - My New Skin
Back to Top