Izinkan aku, meraut rasa menjadi kata..
خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dia perempuan, dari rusuk lelaki dia diciptakan. Dari tulang yang bengkok. Justeru, kalau mahu meluruskannya, harus berhati-hati dan sabar. Dia manusia seperti engkau. Punya hati, punya rasa. Punya hak sebagai dia; manusia.
خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dia perempuan, dari rusuk lelaki dia diciptakan. Dari tulang yang bengkok. Justeru, kalau mahu meluruskannya, harus berhati-hati dan sabar. Dia manusia seperti engkau. Punya hati, punya rasa. Punya hak sebagai dia; manusia.
Dia isteri, wajib taat pada engkau sang suami. Wajib akur…wajib sedia. Wajib teratur dan mahir mengurus rumahtangga dan anak-anak. Wajib tahu kesukaan suami, wajib menggembirakan engkau, wajib selalu menjaga diri dan maruah engkau. Wajib itu..wajib ini…
Tapi, tetap juga dia manusia biasa, punya rasa, punya hak sebagai manusia. Dia bukan hamba buat disuruh-suruh, dibentak-bentak. Dia bukan haiwan buat disepak terajang dan dilibas dengan segala macam cemeti yang tercapai dengan tangan engkau wahai lelaki. Dia manusia…manusia seperti engkau. Yang tahu rasa sakit, yang kenal warna darah. Yang punya rasa penat, marah, sedih, kecewa, cemburu.
Apa kau kira hanya engkau makhluk yang dikurnia segala pancaindera. Hanya engkau yang mampu melihat, mendengar dan merasa. Apa dia pekak, bisu, buta atau besi yang hanya tahu sejuk dan panas?
Dia manusia…manusia…manusia…hormatilah dia seperti mana engkau mahu dirimu dihormati, sayangilah dia seperti mana engkau mahu disayangi. Cintai dia seperti mana engkau mahu dicintai. Kasihanilah dia seperti mana engkau mahu dikasihani saat terleka dan terlupa sesaat rutin wajibmu. Kerana dia manusia yang tak lepas dari lupa dan leka.
Dia, yang engkau ambil dengan lafaz yang mulia. Yang kau bersaksi dengan ikatan yang diangkat tinggi oleh Tuhan adalah teman yang menjadi amanah buat engkau. Kalau engkau merasa besar sebagai ketua rumahtangga, haruslah engkau malu kerana gagal membimbing ‘pekerja’mu menjadi yang terbaik. Kalau engkau merasa besar sebagai penguasa, malulah kerana engkau gagal melaksanakan tugasmu sehingga rakyatmu tempang menunaikan amanahnya. Malulah…malulah pada dirimu yangmerasa kuat tetapi memilih lawan yang lemah. Kemenangan apa yang mahu kau hebahkan kepada dunia?
Suami adalah kepala, isteri adalah anggota. Bagaimana sesuatu yang saling melengkapi boleh mencemuh dan menyakiti sebahagian yang lain? Dia isteri; dia ibu anak-anakmu...dia amanah dan hadiah berharga dari Tuhan. Jangan terlambat mengenal nilainya sehinggalah dia pergi dari hidupmu.