3

Solat itu Ubat

Waktu membincangkan isu perkahwinan jarak jauh dalam tesis saya, saya masih bujang. Saya tuangkan segala fikiran juga himpunkan kisah berkaitan. Hari ini, saya ingatkan kembali diri pada kisah Hajar. Sesekali berpisah, saya sudah menangis bengkak mata. Dekat padahal. Saya bawakan kisah itu buat tatapan.

Hajar, memang layak untuk dikagumi. Saat ditinggal suami di padang pasir kontang bersama anak yang masih bayi dia mengekor mengejar Ibrahim. Isteri mana yang tidak terpinga-pinga ditinggalkan begitu sahaja di tempat yang tiada tanaman, tiada kehidupan. Hanya padang pasir yang terbentang luas. “Suamiku, ke mana engkau mahu pergi meninggalkan kami di tempat yang tiada teman, tiada suatu pun”. Diulang pertanyaannya berkali-kali. Sepi. Ibrahim tidak membalas.

Kerana dia wanita hebat, tidak panjang bebelnya, tidak meninggi suaranya, tidak berkata itu ini tentang hak. Dia, sekadar mahu kepastian,“ Adakah Allah yang mengarahkanmu meninggalkanku di sini?”. Balas Ibrahim, “Ya”. Terlalu berat beban di dada, sedih dan kecamuk jiwa disorok di sudut hati. Kerana Tuhan, Ibrahim akur. Hajar, sesaat mendengar jawapan, segera menelan hiba, pantas yakin dengan Tuhannya. “Kerana ini arahan-Nya. Pasti Dia tidak akan mensia-siakan kami”.(Membiarkan kami begitu sahaja di padang pasir ini).

Ibrahim terus berjalan, tidak mungkin dia berpaling mengambil kembali anak isteri, mengingkari Tuhannya. Dari kejauhan, penuh harap dia berdoa,

{ رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ } [ابراهيم: 37 ].

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dari hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Terus Ibrahim mengadu rawan hati pada Tuhan, tentang kasih yang terbuku di hati pada anak dan isteri yang ditinggalkan.

رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ وَمَا يَخْفَى عَلَى اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! (Ibrahim:38)

Panjang doanya, dalam sedih, tidak lupa dia memuji, mengucap syukur kepada Tuhan yang telah menganugerahkannya anak pada isteri yang asalnya tidak mampu melahirkan dan saat dia sendiri sudah tua. Bukankan anak itu pinjaman Tuhan. Bukan milik dia sepenuhnya. Tidak patut untuk dia mempersoalkan, kenapa Tuhan mahu memisahkan dia dengan anaknya.

“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.

Dan dia tidak lupa memohon dengan doa meminta dikuatkan dirinya dan keturunannya dengan tiang agama; SOLAT.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunan. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim: 40)

Solat adalah perjumpaan hamba dengan Tuhan. Juga waktu manusia mengulang kembali mu’ahadah/perjanjian diri; bahawa sesungguhnya hanya Engkau yang kami sembah dan hanya pada Engkau kami mohon pertolongan. Justeru Tuhan, atas kelemahan ini, tunjukkanlah kami jalan yang lurus seperti mana engkau tunjukkan jalan kepada para Nabi, solihin, siddiqin. Jangan engkau biarkan kami terleka, lalai mengikut jalan orang-orang yang kau murkai dan jalan orang-orang yang sesat.

Solat adalah waktu fikiran direhatkan dari segala kecamuk dunia, dari segala sedih yang menyeksa. Solat, menenangkan. Solat itu ubat. Waktu sahabat-sahabat membaca syair dan rindu pada Mekah menyapa, Nabi menyuruh Bilal azan, kata baginda, Arihna biha ya Bilal, Arihna biha ya Bilal. Kerana laungan azan adalah seruan untuk solat.

Begitu, sirah para nabi mengajar kita, solat itu bukan untuk sesiapa. Untuk kita, manusia yang hidupnya tidak lekang dari ujian, dari kecamuk perasaan.

Lazimi solat, anak-anak didikku. Kasihankan ruh di dalam dirimu yang setiap masa menjerit minta dikasihani. Kau penuhkan perutmu dengan makanan tapi kau biarkan ruhmu kelaparan. Diri kita itu himpunan dua unsur yang tidak terpisah; ruh dan jasad. Mana mungkin manusia dapat berfungsi sebaiknya jika salah satu daripada unsur tersebut lemah atau mati.

Moga Ramadan membangun ruh kita untuk selalu dekat pada-Nya.

3 Komentar:

Najibah said...

saya tak pernah jemu baca coretan awak bonda...semuanya penuh ilmu dan pedoman!

Maryamnour said...

Syukran.Azam Ramadan nak menulis dengan lebih kerap. Harapnya terlaksana.

usu said...

kita juga kak cik.. :O

Post a Comment

Back to Top