0

"Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza"

Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza. Itulah tajuk ulasan Pn Siti Hajar Che Man terhadap keempat-empat cerpen yang tersiar dalam Tunas Cipta Disember. Salah satunya adalah “Pacai itu Cendana” tulisan saya yang keempat berjaya menembusi media. Saya kongsikan sedikit ulasan Pn. Siti Hajar dalam Tunas Cipta Januari di sini.
Beliau memetik kata-kata Judson Jerome dalam bukunya The Poet and The Poem(1979), kepekaan dapat ditahapkan kepada enam, iaitu kepekaan kepada diri, fakta, bahasa, seni, umur dan misteri. Keenam-enam kepekaan ini adalah bersumberkan dari dalam diri dan merupakan tindak balas terhadap dunia luar. Dan beliau mengulas cerpen saya sebagai demikian:

“Demikian juga dengan cerpen “Pacai itu Cendana” karya Maryamnour agak unik kerana cerpen ini telah menampilkan semua watak wanita yang diterajui oleh gadis terpelajar bernama Hanis. Cerpen ini juga menarik dan telah berjaya menambah ilmu kepada pembaca khususnya orang Islam iaitu kursus/proses pengurusan jenazah. Pengalaman, pengamatan, penelitian, penyelidikan dan pengetahuan pengarangnya Maryamnour disalurkan/dipindahkan kepada Ustazah Roshayati Samad yang merupakan pengurus jenazah Jabatan Agama Daerah.”

“Pada hemat saya, kisah yang dipaparkan luar biasa, jarang-jarang ada pengarang muda yang bijak memilih kisah atau cerita yang jarang-jarang pula akan memberikan impak kepada pembaca. Dalam hal ini Maryamnour telah “melawan arus” lari daripada konvensi dan berjaya membina invensi. Ceritanya bersahaja tetapi amat signifikan. Judul cerpen yang dipilij juga menarik kerana berjaya memberikan kesan tanda tanya kepada pembaca-apa itu pacai? Sekali lagi pembaca dihidangkan dengan sebuah cerpen didasarkan kepada penelitian, pembacaan, penyelidikan, pengamatan dan praktikal. Setiap satunya dihubungkan dengan bakat Maryamnour yag bijak mengawal proses kreatif. Mesej cerpen ini bersifat dua dalam satu, memenuhi masa senggang dan dalam masa yang sama mendapat ilmu fardu kifayah.

Pembaca diberitahu langkah-langkah awal sebelum seorang itu menemui ajalnya. Pengarang menyatakan secara tertib, bermula dengan (1) adab berziarah orang sakit,(2) tanda-tanda yang kelihatan pada orang yang sudah dekat waktunya, (3) minta orang berkenaan berwasiat, (4) ajar mengucap (5) wajib bagi minum atau titikkan air di mulutnya atau basahkan bibirnya (6) apabila berpisah jasad dengan roh raupkan mata dan ikat dagu (7) salin baju dan tutup dengan kain bersih . Pembaca juga diberitahu bagaimana mayat dimandikan dan apakah keperluan yang perlu disediakan. Setiap satu peralatan dijelaskan secara ringkas tetapi rinci, iaitu kain kapan lima helai, kapas, serbuk kapur barus, serbuk pacai (serbuk cendana), kain harus diukur sesuai dengan ketinggian tubuh. Paling berkesan pesan Mak Yati ialah “jangan terpaksa membeli kain baru. Kita yang silap, si arwah yang difitnah.” Dalam hal ini teknik penyampaian Maryamnour sangat kreatif dan imaginatif. Hal ini kerana (1) beliau berjaya menjalinkan secara selari antara maklumat/fakta dengan elemen susatera, (2) ceritanya segar seolah-olah pembaca turut hadir dalam kursus tersebut (3) campur tangan pengarang cukup minima. Kesannya, pembaca terhibur dan dalam masa yang sama mendapat beberapa info penting tentang pengurusan mayat. Itulah istimewanya sastera!”

“Dalam keasyikan pembaca melewati cara-cara pengurusan mandi mayat, pembaca turut dibekalkan dengan kata-kata nasihat yang disampaikan secara sindiran halus tetapi mengenai sasaran. Umpamanya, telitikan teguran yang diberikan pengarang (1) “hari ini guru datang dengan segala macam alat bantu mengajar sedang pelajar berlenggang-kangkung. Dahulu, guru yang datang dengan tangan kosong dan pelajar sibuk dengan buku dan alat tulis,” (2) Hari ini penceramah terutamanya yang bercakap tentang agama kadang-kadang hampir jadi badut di pentas mahu memastikan pendengar seronok dan mahu belajar. Hakikatnya, itulah yang sebenarnya berlaku dalam dunia realiti. Pemerhatian yang dibuat oleh pengarang adalah tepat Syabas kepada Maryamnour!”

Pn Siti Hajar menutup ulasan beliau dengan mengungkapkan kata Michel Zeraffa yang menyatakan:
“The work of the writer is the expression of a reality which already has in his/her mind a form and a meaning and he/she expresses it by means of technique, and some of which he/she has worked out himself from phenomena he/she has actually observed”.

Secara peribadi, saya agak teruja dengan ulasan beliau kerana pada permulaan menulis saya agak teragak-agak juga untuk mengemukakan cerita tentang pengurusan jenazah, isu tidak popular yang mahu saya angkat sebagai tema cerita saya. Namun, sebenarnya ada perkara lain dalam kepala yang membuatkan saya meneruskan niat.

Pertamanya, warga tua wanita yang kuat semangat menuntut ilmu. Saya kira di kampung dan di bandar situasinya tidak banyak berbeza sekarang. Dan semangat itu saya jumpa di kampung saya sendiri dan di universiti tempat saya belajar sekarang. Jujur, sungguh, saya cemburu! Saya cemburu akan semangat itu. Saya mempunyai satu ketakutan dalam diri. Takut sekiranya nikmat cinta ilmu itu ditarik dari hati saya suatu waktu nanti. Jangan. Kerana usia muda ini pun saya agak cuai dengan disiplin membaca.

Keduanya, persoalan keterlibatan orang-orang muda yang sangat kurang dengan program-program di kampung. Saya cuba mencari sebab akan hal ini. Satunya mungkin kerana kebanyakkan orang muda belajar di sekolah asrama, kemudian menyambung pengajian atau bekerja di tempat yang jauh dari kampung menyebabkan mereka jarang-jarang pulang ke rumah. Ini menyebabkan mereka, (saya juga), kurang mengenali warga di kawasan kejiranan. Justeru, waktu cuti sesekali pulang ke kampung itu tidak dimanfaatkan sebaiknya. Malu pergi majlis kenduri-kendara, malu untuk bertegur sapa dengan pak cik mak cik yang berselisihan dengan kita. Soal kenduri ini, ada isu lain juga- malas. Saya kira ibubapa harus bertegas dengan anak-anak sejak kecil. Harus rajin membawa anak-anak ke majlis-majlis silaturrahim ini. Mungkin leceh sedikit kerana harus mengawasi perilaku anak-anak takut mengaibkan. Tapi itulah proses pembelajaran yang tidak harus sesiapapun tertinggal melaluinya. Kebiasaan ini penting untuk mengelakkan rasa malu dan kekok yang menatijahkan malas pada generasi muda kita. Jika tidak, lihat sahaja anak-anak yang agak liat menyertai majlis ‘orang-orang tua’ seperti rewang dan gotong-royong kampung. Saya ungkapkan sedikit tentang ini dalam cerpen ini. Tapi ada sedikit bahagian yang dipotong oleh editor menyebabkan maksud saya tidak kesampaian. Apapun, saya harap pembaca telah mendapat mesej yang lain. Bahagian yang saya warnakan merah dalam entri lepas adalah bahagian yang dipotong.

Bila saya membaca kembali cerpen itu berkali-kali, saya tersedar ada banyak kelemahan yang saya tidak sedari sehingga terlepas dari proses ‘editing’ saya. Antaranya penggunaan kata ganti diri atau sudut pandangan yang masih kurang kemas di beberapa tempat dalam cerpen ini. Seterusnya, saya menyedari yang saya masih tidak mempunyai satu prinsip tetap dalam mengungkapkan komentar saya terhadap isu-isu terutamanya berkaitan dengan agama. Ia sedikit sukar kerana saya seboleh-bolehnya mahu berlapik dan berlapis mengungkap kata tetapi terkadang ia sukar. Dan kadang-kadang juga saya menjadi terlalu berlapis sehingga yang membaca sukar memahami seperti cerpen saya bertajuk “Perempuan Kala” yang tersiar dalam Wasilah tahun lepas. Apapun, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Terima kasih atas perhatian semua.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top