2

My New Skin

Suatu ketika saat membelek telapak tangan saya, saya menjerit…Wah, kulit baru! Gembira rasa hati. Walaupun tiap2 hari saya meladeni luka-luka kesan accident kecil yang saya alami, namun apabila sebahagian luka itu benar-benar sembuh dan daging merah yang terselah sudah diliputi kulit baru, barulah saya tersedar. Seronok rasanya dapat menyentuh kulit tersebut. Dua minggu saya menahan sakit. Mendisiplinkan diri mencuci luka, menyapu gel gamat dan menelan satu dua jenis ubat untuk membantu mengurangkan sakit badan dan merawat luka-luka dalam badan yang tidak disedari.

Waktu berwuduk dan mandi paling seksa. Kebanyakkan luka berada di anggota wuduk.Muka dan kedua tangan saya. Saya mengambil ruksah, keringanan yang Islam benarkan. Alhamdulillah, Tuhan benar-benar masih membenarkan saya menghirup udaranya. Ia berlaku saat trafik lengang. Jika tidak, saya tidak pasti kalau kereta di belakang saya sempat brek mengejut atau tidak. Saya terjatuh tiba-tiba. Tercampak. Entah apa masalahnya motosikal saya. Yang saya tahu, saya sudah mencium jalan. Cermin mata saya senget sebelah. Saya bangun. Takut mahu memegang muka.Rasa berdarah. Tudung sudah bercalit darah di sana-sini. Koyak juga. Tiga buah kereta berhenti. Seorang lelaki mengalihkan motor saya ke tepi, menguncinya dan memberikan kunci kepada saya. Seorang perempuan muda memegang saya dan memimpin saya ke tepi. Kak Rohaniah namanya. Dia membawa saya ke klinik kemudian menghantar saya pulang. Emak saya risau bukan kepalang. Ayah juga. Lebih-lebih lagi bila mendengar muka saya terluka. Dua hari kemudian, teman saya Zubaidah bersama bapanya yang kebetulan datang ke KL, melawat saya di rumah dengan sekotak besar barang-barang Gamat. Alhamdulillah, sekali lagi Allah mudahkan saya. Tak perlu saya bersusah payah mencari ubat dan makanan tambahan lain untuk kesihatan saya saat-saat begitu.

Semalam saya menonton cd Pidato Kanak-kanak. Ia sebuah rancangan realiti tv di Indonesia dengan nama Pertandingan Da’i Kecil. Hebat bicara kanak-kanak dalam rancangan tersebut sehingga mampu mengalirkan air mata pengadil dan penonton. Air mata saya juga. Seorang pemidato kecil membaca sepotong ayat al-Quran dari surah an-Nisa’, ayat 56

“Sesungguhnya orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, Kami akan campakkan mereka ke dalam api neraka. Apabila kulitnya hangus terbakar Kami gantikan dengan kulit itu dengan kulit yang lain agar mereka merasai azab”


Benar-benar ayat itu menyentuh saya. Begitulah Allah mengingatkan kita tentang azabnya. Al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu sudah menyebut tentang fungsi kulit sebagai deria rasa sebenarnya. Perkembangan Sains kemudiannya membuktikan yang organ yang paling besar dalam tubuh manusia ini (berat lebih kurang 5kg dan jmlh kwsn permukaan lbh kurang 1.5-2.0 mtr persegi ) mempunyai dermis yang punya deria rasa paling sensitive.
Berbalik pada PILDACIL, short form untuk pertandingan tadi. Kagum saya dengan kemampuan Lativi , stesyen tv yang menerbitkan rancangan tersebut. Malaysia kekurangan makanan membina minda seperti itu. Kita berebut mahu bergelar penyanyi, penghibur. Dan berlumba-lumbalah stesen tv kita berpindah dari satu rancangan reality ke satu rancangan yang lain. Untuk kanak-kanak tidak ketinggalan. Berbangga semua ahli keluarga apabila anak-anak layak menyertai. Menitis air mata, tersedu penonton melihat yang tersingkir. Lagu sayu mengiringi. Siapa yang mengiringi tangis anak-anak Palestin yang hilang ayah ibu? Isteri yang hilang suami? Kita makin hilang peduli pada semua itu kerana air mata kita lebih berharga untuk sebuah konsert penyingkiran dan filem cinta sedih.

2 Komentar:

Izzati Hashim said...

Salam alaik.

Surah An-Nisa yg sebut pasal kulit tu, ayat yang ke 56 bukan 58. (=

Maryamnour said...

Ya, ayat 56. Saya dah betulkan.Tersilap pandang barangkali. Jazakillah.

Post a Comment

Back to Top