Inggrid, rakan saya dari Colombia sewaktu saya tanyakan perbezaan yang dirasakan di Malaysia termenung panjang, berfikir dan sesekali tersenyum memandang saya. Barangkali dia teragak-agak mahu berkongsi dengan saya. Saya mengajaknya bertemu bagi memudahkan komunikasi kami berbanding dalam mesej yang terhad. Dia meminta cadangan buku-buku yang baik untuk dibaca tentang Islam.
“Masyarakat di sini tidak semesra kami.” Saya sedikit terkejut tapi cuba menyembunyikannya. Selalunya orang akan mengatakan masyarakat Malaysia sangat peramah. “Kenapa?” Soal saya. Dia menggeleng. Keluarga di sana apabila bertemu, kami sangat mesra. Memeluk satu sama lain. Duduk berdekatan dan berbual mesra. Di sini tidak. Saya sedar, setiap kali bertemu, Inggrid jarang menyalami saya tapi segera memeluk dan melaga pipi dengan saya.
Awak rindukan keluarga awak? Sangat, ujarnya. Saya mencari-cari jawapan yang sesuai. Saya melalui kedua-dua situasi, satu keluarga yang sangat peramah sehingga anda tidak segan berkongsi sesuatu dan satu lagi keluarga yang membuatkan anda kekok apabila berada di kelompok mereka. Untuk saya sendiri, ada cara sendiri menilai kedekatan saya dengan sesebuah keluarga. Selalunya, apabila saya boleh wewenang, bebas berada di dapur, memasak atau membantu itu bermakna orang-orang itu melayan saya seperti keluarganya. Tapi apabila saya datang ke rumah mana-mana saudara terdekat tetapi saya hanya pandai bersalam atau membuat sesuatu apabila diminta, atau saya kena ringan mulut bertanya, maka itu bermakna kemesraan kami masih agak jauh.
Justeru saya ceritakan padanya tentang keluarga saya yang kecoh dan tentang kedua-dua situasi di atas. Bergantung, kata saya. Tapi yang pasti, setiap kali saya pulang ke rumah nenek di kampung di Melaka, situasinya sangat meriah. Mak cik mak cik saya akan memeluk saya erat dan mencium pipi saya. Haha, terasa seperti baby comel yang baru lahir. Kemudian, mereka akan mengajak saya ke rumah mereka. Bersungguh-sungguh mereka mengajak. Ko naik bas, turun depan simpang, nanti Mak Lang ambil. Begitu. Dan apabila ada apa-apa kenduri di rumah nenek, suasananya jadi sangat meriah. Dari menyembelih kambing atau ayam, melapah sehingga memasak dilakukan bersama. Nenek memang pantang kalau orang perempuan terutamanya cucu-cucu yang sedang meningkat umur tak masuk dapur. Anak dara pemalas katanya. Hidangan yang paling istimewa pastinya ikan sembilang salai masak cili padi. Pergh, adik-adik lelaki saya kadang-kadang akan makan untuk kali kedua di dapur bersama kami yang duduk di dapur. Makan bersama tetamu lain kena ‘control’.
Mungkin keluarga di Melaka masih dalam suasana kampung dan mak cik-mak cik saya kebanyakannya sudah berumur. Berbeza dengan saudara yang berada di Kuala Lumpur dan masih sekitar 30-an. Apa pun, emak dan ayah memang selalu memastikan kami akan ikut aktiviti keluarga seperti kenduri atau hari keluarga. Penting supaya kami saling kenal antara satu sama lain. Dan saya juga belajar-belajar untuk lebih ‘mesra alam’, buang malu dan malas untuk bertanya khabar dan bertukar cerita dengan mereka-mereka yang terasa jauh ini. Tapi saya pasti, itu pun tidak mudah untuk kebanyakan kita kerana selalunya kita selesa duduk diam, layan hand set, baca paper dan membiarkan tv mengisi ruang kosong antara kita.
Inggrid dan teman-teman foreigner saya, mereka tetamu yang harus dirai. Tapi saya selalu rasa kurang. Saya pernah merasa lebih. Dirai lebih daripada keluarga sendiri. Segala keperluan dicukupkan. Kasih sayang itu yang saya masih terkenang, masih rasa berhutang budi dengan mereka-mereka yang 'menggantikan' keluarga saya waktu saya musafir sebentar di Syria, habibati. Sehingga saya sering rasa malu dengan keupayaan saya menghormati tetamu. Mereka...mengajar saya tentang cinta.
0 Komentar:
Post a Comment