"Saya tidak punya sijil, saya hanya punya sekeping hati," luah kak Fida, pengurus Rumah Sinar Salam dalam linangan air mata.
Cuti hujung minggu lalu benar-benar membawa saya jauh ke dalam diri. Che Da mengajak saya menyertai team ajk dari Dream Team mengelolakan program SPIES di bawah naungan kerajaan negeri Selangor. Saya temui kembali wajah-wajah ikhlas penuh bersungguh- team Nisa' actually; Kak Mas, Kak Wyder, Kak Muna, Wani dan lain-lain. Saya datang dengan niat memerhati dan kalau ada perlu ditolong, saya tolong. Kesudahannya, saya kira saya adalah peserta. Segala pengisian sepertinya disediakan untuk saya, seorang pelajar master yang mamai membaca arah hidup. Peserta yang datang daripada pelbagai latarbelaknag itu seolah-olahnya menjadi guru saya. Mereka, bekas-bekas penagih tegar, pekerja seks, transeksual, homeless dan lain-lain menjadi guru saya sepanjang dua hari berkampung di Shah Alam.
Mereka orang-orang yang diuji. Sepanjang jalan ke hotel tempat berlangsungnya program saya mengadu perit hati saya atas ujian yang hadir pada Che Da. Selepas bertemu mereka, saya kira perit hati saya terubat. Saya mengadu sakit pada Tuhan, rupanya mereka lebih sakit malah bertanya, apa Tuhan tidak sayangkan saya kerana menghantar ujian demi ujian kepada saya. Saya sudah bertaubat, Ya Allah.
Saya melihat tulus hari mereka mahu berubah, mahu dibimbing, mahu disayangi. Sangat tersentuh jiwa mendengar, bila seorang dari mereka bangun dan berkata, terima kasih, kerana akhirnya kami sedar, masih ada yang prihatin dan sayangkan kami. Aduh...saya melihat ke dalam diri, apa saya istiqamah pada tiap solat saya, berdoa penuh tulus, dari hati seorang saudara seIslam penuh kasih mendoakan saudaranya yang lain. Kata Nabi s.a.w, ad dua' fi zohri al ghaib mustajab-lebih kurang maknanya, doa yang tidak diketahui orang yang didoakan itu mustajab.
Ya, hidup ini cuma transit, persinggahan buat mengumpul bekal untuk pulang ke kampung abadi. Tuhan sudah memberitahukan itu sejak Adam diciptakan di syurga. Tuhan berkata, syurga ini kampungmu, Adam. Kelak engkau akan kembali ke sini. Engkau akan bersinggah sebentar di dunia. Ingat, engkau mengenal syaitan sebagai musuhmu di sini, di dunia kelak, dia tetap juga musuhmu. Kubiarkan engkau mengenal syurga sebelum kau dihantar menjadi khlifah di bumi agar engkau tetap terkenang kampungmu yang indah dan penuh nikmat. Agar engkau akan selalu rindu dan berusaha keras mengumpul bekal buat persediaan pulang ke mari.
Tapi cuma Tuhankan yang tahu, amalan mana yang diterima buat menjadi tiket pulang ke kampung hakiki itu. Di sini, beli tiket, pasti dapat naik bas. InsyaAllah kalau tiada aral melintang. di sana, entah dengan tiket apa kita mahu melangkah, ya. Kerana masuk syurga itu dengan rahmat-Nya bukan dengan amalan. Kerana amalan sebesar mana pun belum tentu dapat membayar nikmat sepasang mata anugerah Tuhan. Juga sekeping hati miliknya yang selalu kita buat bermain. Hati, yang selalu kita kelirukan dengan dunia. Tertipu selalu antara transit atau destinasi.
A'masy, seorang tabiin apabila dipuji kerana punya anak murid yang ramai menolak pujian itu dan berkata: anak muridku ini dalam menanggapi ilmu terbahagi 3.
1) mati sebelum mengerti
2) menjual akhirat dengan dunia
3) mereka yang mengerti dan memanfaatkannya
Tuhan, kurniakan kami hati yang mengerti.
Allahumma faqqihna fiddin.
0 Komentar:
Post a Comment