0

Muhasabah Jumaat

لا تيأس. فإن اليأس ليس من أخلاق المسلم
Jangan kamu berputus asa kerna putus asa itu bukan daripada akhlak seorang Muslim.

Ada ketikanya kita merasa sangat penat. Mahu berhenti berlari. Mahu terus tidur dan bermimpi. Tapi kita sedar, perasaan galau, lintasan dan hasutan syaitan itu tidak harus mendampingi perjalanan hidup kita yang singkat tapi masih jauh ini.

Entah kenapa minggu ini benar-benar satu ujian buat saya. Ujian hati yang sedikit berat. Dan entah kenapa juga kesabaran saya terhadap karenah manusia tiba-tiba menunjukkan penurunan yang ketara. Saya paksa juga diri berpura-pura sabar. Tasabbar. Memaksa diri bersabar walaupun saya sebenarnya sudah lelah. Tapi entah, Tuhan juga menghadirkan perasaan yang berwarna-warni . Saya marah. Tapi tak sampai berapa minit, orang yg sama membuatkan saya marah, membuatkan saya gembira. Lalu saya simpulkan ia sebagai suatu yang saya sedari sebagai ‘sayang’. Bila kita menyayangi seseorang, kita akan gembira bila melihat dia gembira. Dan kita akan marah bila dia tak seperti yang kita mahukan. Kerana kita mahu dia selalu jadi yang sempurna dan terbaik di mata kita dan orang lain. Ini hasil kesimpulan saya setelah seminggu diuji dengan hal-hal di rumah sewa dan teman-teman.

Semalam hati saya disentuh, ditegur dengan sangat halus tetapi tajam. Membuatkan saya hilang kata-kata, menahan air mata yang bergenang di ruang mata menunggu masa untuk meluru keluar. Saya tidak mendaftarkan diri untuk ke Training Nuqaba’ memikirkan proposal saya yang masih perlukan perhatian. Kak Su di rumah meninggalkan pesan ustaz yang mahu saya segera menghubunginya. Waktu saya datang mengadap beliau di pejabat, redup wajah ustaz merenung saya. Kenapa Maryam? U are not dealing with main switch now. You are playing with something else. Ini satu penghinaan! Saya makin tunduk, tak berani mengangkat muka. Tersentak dengan kata-kata ustaz.

Apa masalah awak? Kalau awak rasa kerja yang awak nak buat itu lebih penting, tak apalah. Ma’aki hak. Ustaz tahu awak dah pergi sem lepas. But I want your contribution to guide your sister. Ini bulan korban Maryam. Student ni kadang-kadang dia lupa, that why I have to remind you. Macam mana? Anti fikirlah. Ustaz tak paksa. Perlahan-lahan saya angkat muka. Sini, saya tulis nama saya ustaz.

Saya seperti anak kecil ditegur ayah. Serabut hati saya terbang. Saya seperti rasa ‘ditempeleng’ dan ia menjadikan saya normal kembali. Syukur. Tuhan masih menghadirkan insan-insan terbaik buat saya. Memang saya seperti hilang arah selepas habis exam. Sukar menyusun jadual yang efektif. Benar kata ustaz. Saya tidak bekerja dengan ‘main switch’ kerana itu saya hilang arah. Saya terlupa menyerahkan urusan hidup pada Dia yang Maha Tahu. Saya merancang dan merancang, berharap dan menyulam azam. Tapi saya gagal bertawakkal penuh pada Tuhan. Saya kata saya serahkan urusan pada-Nya tapi sebenarnya tidak. Saya masih ragu. Saya bertanya-tanya.

Pagi Jumaat yang indah ini saya mahu memuhasabah diri. Bagaimana mahu menyerahkan urusan pada Tuhan? Bagaimana untuk jadi yakin seperti yakinnya Hajar pada Tuhan waktu ditinggal sendiri bersama anak kecil di tengah padang pasir kontang. Saya Maryam. Kata emak, dia mahu saya jadi sabar seperti Maryam. Kuat juga saat sendirian melahirkan Isa a.s. Juga jadi taat dan solehah sepertinya. Hati saya barangkali terlalu sibuk dengan dunia hingga tak merasa lazatnya ibadah. Ihdina Ya Rabb.

Pesan buat hati: Setiap perbuatan yang lahir dari hati akan mudah mengetuk hati.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top