Hampir menjadi tradisi, setiap kami di Kampung Usrah lebih suka meraikan Hari Raya Korban di rumah kami berbanding pulang ke kampung. Para menantu dan cucu warga Kampung Usrah juga senang meraikannya di sini berbanding pulang ke kampung masing-masing. Istimewanya kerana kami akan melakukan korban selepas solat hari raya, kemudian kaum lelaki berhempas-pulas 'menumbangkan' lembu sebelum kami sama-sama bertakbir waktu lembu disembelih. Kaum perempuan turut serta menyaksikan selain lebih sibuk bertukar cerita. Almaklum, jarang bertemu.
Kemudian, orang lelaki sama-sama melapah lembu, membahagikan dan kemudian emak dan ayah saya selaku 'tekong' akan keluar mengagih-agihkan daging kepada yang berhak. Orang lelaki kemudiannya akan terus memasak sup gear box. (Ops..bahan rempahnya buatan saya yer..hehe). Sungguh ia jadi acara yang ditunggu-tunggu. Ia cukup untuk memenuhkan hari pertama raya korban. Di Johor, tradisi ziarah menziarahi pada Hari Raya Eidul Adha tidak semeriah seperti di Pantai Timur. Waktu berhari raya di Kelantan satu masa dulu, juga di Syria, saya berkeliling ke rumah-rumah sekitar dari pagi santak ke petang.
Di Johor, tidak. Justeru, acara seperti ini, selain menjalankan ibadah korban, memberi ruang dan menggalakkan kami, orang-orang muda menjalankan korban, ia juga medan merapatkan silaturrahim sesama jiran tetangga. Budak-budak muda yang lelaki pun dapat belajar 'menguruskan' lembu seekor dari urusan menyembelih, melapah, menimbang, memasak hingga mengagihkan korban. Emak berpesan supaya kami memulakan azam untuk menjalankan korban. Bukannya mahal pun satu bahagian, kata emak. Tahun ini, rumah saya diwakili abang Luqman saya. Tahun depan...hmmm, harap saya ada rezeki untuk turut serta.Amiin.
Acara melapah lembu nan seekorKata emak permintaan untuk ikut serta dalam korban tahun ini meningkat. Lebih dari 7 orang yang membawa ke 2 ekor lembu. Tapi memandangkan kami tidak cukup kakitangan, emak menolak. Mungkin mereka ke tempat lain. Ruh Eidul Adha semakin berkurang tahun ke tahun. Waktu kecil-kecil dulu, saya menyambutnya di Melaka. Terasa sambutannya. Ohh, mungkin kerana saya anak kecil, kegembiraan itu dirasakan bila menerima duit raya waktu berziarah. Eidul Adha itu pada korban dan takbirnya. 4 hari. Itu yang kita masih gagal melaksanankannya dengan penuh penghayatan. Saya berdoa, moga tahun-tahun akan datang, kita akan dapat memenuhi tuntutan hari raya itu.
0 Komentar:
Post a Comment