0

To Know is To Be

Mengapa ilmu itu penting ? Mengapa kita belajar? Apa kerana kita mahu digelar sarjana atau pakar dalam bidang kita atau apa? Tersilap memahami konsep pendidikan menjadikan kita hamba ijazah, hamba pangkat, hamba harta dan selainnya.

Kata Ustaz, to know is to be. Kita belajar untuk tahu. Kita tahu untuk beramal dengannya. Bukan sekadar jadi teori atau coretan di buku mahupun himpunan aksara pada folder dalam laptop. Dalam Quran memang kita dididik untuk jadi bangsa membaca, berfikir dan mengkaji –Iqra’... jangan berhenti di situ. Baca sambungannya..bismi rabbikallazi kholak. Baca, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Justeru, pendidikan harus dipandu dengan panduan Ilahi. Membaca itu memang usaha kita tapi kita tak harus lupa, Tuhan yang menciptakan kita, menciptakan segala sesuatu. Lalu kita akan sedar betapa hebat pun kita nanti, kita hanya hamba kerdil yang segala sesuatu adalah pinjaman dari Dia, yang Maha Kaya. Kaya dengan sifat rahmah, kaya dengan sifat pemurah, kaya dengan sifat penyayang, kaya dengan maaf, kaya segala. Tapi kita rupanya tidak belajar dari sifat kaya Tuhan.

Makin kita beroleh nikmat, makin kedekut kita, makin kikir kita untuk berkongsi dengan yang lain. Makin bongkak kita. Makin tidak bertamadun juga terkadang. Kerana kita gagal untuk memahami beberapa perkara asas dalam pendidikan. Gagal untuk kenal diri sebenarnya. Hamba, khalifah, sebaik-baik umat(khair ummah), ummah wasota.

Kita gagal faham, justeru gagal bersyukur. Menarik untuk melihat ayat quran yang menyebut “sekiranya kamu bersyukur akan aku tambahkan nikmat untukmu”. Ayat ini dari surah Ibrahim di mana pokok perbincangannya adalah dakwah. Justeru? Bersyukur yang sebenar itu bagaimana? Kita harus menyibukkkan diri dakwah.

Kalau menyebut dakwah, sepertinya ia suatu yang sangat besar, milik ustaz ustazah yang mengambil jurusan agama, lulusan timur tengah atau mana-mana pondok. Tapi sebenarnya tidak. Ok, gantikan ia dengan perkataan yang lebih mudah; mengajak orang ke arah kebaikan, sesuai seperti yang dikehendaki Islam. Justeru, ia milik semua kan, tugas bersama. Dari komponen kecil terpenting masyarakat iaitu keluarga hinggalah kepada masyarakat yang lebih besar lingkungannya.

Untuk permulaan, tak perlu pergi jauh-jauh. Pertama, lihat diri kita dulu kerana dakwah ini bermula dari kita sendiri. Islah nafsak, wad’uu gairak- Perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain. Diri itu yang asas. Kemudian orang terdekat. Teman rapat contohnya. Jangan kita terkejut nanti di akhirat, teman baik kita sendiri akan saman. Dalam Quran disebut, teman baik itu di akhirat nanti akan saling menyalahkan kecuali orang yang bertaqwa. Kenapa? Kerana sebagai teman kita tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang sepatutnya. Belum sebut lagi orang lain, mereka dari agama lain yang akan sama menyaman kita kerana kita tidak menyampaikan Islam pada mereka.

Bila sebut dakwah , ia berkaitan dengan agama. Islam itu sendiri. Agama, untuk sesetengah kita adalah satu penjara, satu beban. Ia bukan rahmah, solusi untuk masalah kita. Justeru, kita tidak gembira mengamalkan agama mahupun berbangga dan jauh sekali ingin berkongsi kegembiraan dan keseronokan kita beragama kepada orang lain. Mengapa? Kerana kita mengambil agama dari sudut hukum sahaja, wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Kita tidak pergi jauh lagi memahami mengapa wajib itu wajib, haram itu haram? Ada banyak penjelasan tentang ini. Tapi, mari kita renungkan penjelasan ringkas tentangnya. Mengapa kita kena solat? Tak solat tak bolehkah?Solat 5 waktu itu wajib.Macam makan.kena makan tak? Kena. Kalau tak, mati. Hukum-hukum WAJIB ini juga berkaitan hidup dan mati juga. Apa yang mati kalau kita tidak solat? Jiwa. Apa yang akan mati kalau kita berbuat perkara yang haram? Jiwa.

Ingat, diri kita terdiri dari dua komponen, jasad dan ruh. Jasad makanannya- nasi, sayur, ikan, daging. Ruh makanannya- solat, puasa,sedekah,zakat. Untuk dapat kesihatan yang sempurna, kita perlu nutrien yang cukup. Karbohidrat, protein, vitamin, zat galian. Cuba fikirkan ini:
Hidangan asas – nasi = Solat wajib ( solat 5 waktu)
Hidangan Sampingan- ayam, daging, sayur = solat-solat sunat.
Kita pasti perlukan hidangan sampingan itu kan supaya badan kita cukup nutrien. Justeru, untuk ruh kita, apa kata kita set ke dalam fikiran kita, kalau kita malas nak melakukan amalan sunat, maka pada hari itu, makan nasi sahaja. Tahan diri dari makan hidangan berwarna warni yang enak-enak.
To know is to be. Mari sama-sama ingatkan diri kita untuk amal apa yang kita belajar biar sedikit. Berapa ramai dari kita yang berilmu tapi amalnya sifar. Kerana itu keindahan ilmu itu tidak terserlah pada peribadinya. Dan lahirlah dalam masyarakat manusia-manusia terpelajar tetapi rendah nilai akhlaknya kerana mereka orang yang membaca.. menurut perintah Iqra’ tetapi tidak dengan bismi rabbikallazi khalaq.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top