Salam Aidilfitri.Minal ‘aidin wal faizin. Mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan laku. Moga hari raya ini menambah ukuwah, menautkan hati-hati yang dingin dan menjernihkan segala yang keruh.
Lama tidak berblog. Menggunakan kesempatan menunggu bas ke Perlis jam 11 ini, hati terniat mahu mengetik sesuatu.Saya sudah tiba sejak jam 6.30 petang dari Johor. Bercinta rasanya menunggu sehingga hampir tengah malam. Tiket kehabisan. Saya yang lambat, alpa yang saya sudah berpindah jauh ke utara tanah air. Bas dari selatan ke utara tidak banyak dari tempat saya.
Membaca buku Transformasi Ramadan dan Rindu Bau Pohon Tin karya Abu Saif menggamit rindu saya pada kelas-kelas pengajian dan buku-buku di perpustakaan UIA. Dua minggu bercuti cukup memisahkan saya dari dunia penulisan tesis yang masih berbaki minta disiapkan. Waktu mencium tangan emak tadi, emak sudah member amarannya. Siapkan tesis baru kahwin! Saya menunjuk sengih. InsyaAllah. Mana-mana yang dulu mak ya.
Akhir-akhir ini ayah menjadi peminat Saifulislam yang setia. Satu demi satu buku karya beliau dihadamnya dan dikongsi bersama kami anak-anak. Almaklum, anak-anak masing sedang menuju dewasa, sedang mengintai-ngintai untuk membuka lembaran hidup baru berdua. Lucunya, ayah yang membaca, bercerita kembali kepada kami tentang adab pergaulan, tentang pertunangan, tentang kehidupan. Patutnya anak-anak ini yang menghadap. Saya memang sudah lama menyelesaikan Aku Terima NIkahnya 1. ATN 2, hanya sempat dibaca lompat-lompat. Alhamdulillah ayah beli buku selainnya, dapatlah saya tumpang baca. Menarik apa yang dipetik oleh Saifulislam tentang rusa dan singa. Hidup, kita harus terus berlari dan berlari. Rusa berlari supaya dia akan terus hidup dan tidak menjadi mangsa sang singa. Singa juga terus berlari untuk hidup, mendapatkan makanan atau dia harus mati kelaparan. Memang rezeki itu sudah ditetapkan tapi Tuhan menetapkan ia dengan usaha.
.
Lalu kehidupan,biar perit harus tetap diteruskan kerana kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Saya mendengar dan menghadapi mereka-mereka yang kecewa dengan hidup, bertanya tentang kasih sayang Tuhan, putus harapan dan sebagainya. Memang berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Tapi sahabat, adik-adik, putus asa terhadap RAHMAT Allah itu tidak patut ada dalam kamus hidup kita. Hari ini Allah uji kita, siapa tahu ujian itulah tiket untuk ke syurga kalau kita sabar dan bijak menghadapinya. Jangan dikira ujian dan musibah sebagai pengabaian Tuhan pada kita. Ujian adalah peringatan untuk kita kembali pada Dia. Berserah penuh pada-Nya.
Kita tidak masuk syurga dengan amalan kita. Kerana amalan biar sebanyak mana belum tentu dapat membayar setiap helaan nafas, setiap denyutan nadi, setiap kerlipan mata. Nikmat yang melimpah. Justeru, jangan cepat menyoal Tuhan kenapa kebaikan yang kita lakukan tidak dibalas segera. Kenapa pertolongan Tuhan tidak datang saat kita merintih memerlukan. YAKINLAH, PERCAYALAH bahawa janji Allah itu benar. Segala yang baik pasti dibalas baik dan yang buruk pasti mendapat balasan. Cuma cepat atau lambat sahaja. Atau syurga neraka kesudahannya.
Rahmat Tuhan itu melangit luasnya. Jangan sesekali putus harap padanya. Saya berazam dalam diri untuk tetap mengutus doa saya buat adik-adik, sahabat serta anak-anak didik saya agar tetap kuat dan tabah. Saya mungkin tidak mampu berkongsi beban itu. Tapi saya percaya pada kuasa Allah yang mampu meringankan bahkan menghilangkan pedih dan susah yang ditanggung. Kalau Allah mahu menghilangkan serta merta sakit dan susah nabi Ayyub serta merta, bukan mustahil untuk Dia melakukan yang sama pada kita. Tidak ada yang mustahil dalam kuasa Allah. PERCAYALAH!
Bersangka baiklah dalam urusan Tuhanmu, dik.
Doa pelindung diri daripada godaan. Dibaca oleh nabi kepada seorang lelaki yang datang meminta izin untuk berzina. Elok dibaca oleh ibubapa kepada anak-anak.
Untuk anak lelaki:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهُ وأََحْسِنْ فَرْجَهُ وَاغْفِرْ لَهُ
Untuk anak perempuan:
اللهم طَهّرْ قَلْبَهَا وأََحْسِنْ فَرْجَهَا وَاغْفِرْ لَهَا
Untuk diri sendiri:
اللهم طَهّرْ قَلْبِي وأََحْسِنْ فَرْجِي وَاغْفِرْ لِي
2 Komentar:
Bonda, aku rindu hang...rindu bicara hang yg sentiasa berkongsi semangat...huhuhu..
Che Da,hari ni saya balik UIA. Che Da, apa khabar thesis?Jom kita speed up!
Post a Comment