Sejujurnya, entri ini adalah entri penghormatan, terima kasih dan rasa terhutang budi kepada salah seorang guru yang banyak jasanya membentuk saya. Beliau guru saya waktu di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang. Selain mengajar kami waktu itu, beliau juga Ketua Warden. Saya lupa adakah beliau juga penasihat pengawas pada waktu itu. Yang pasti, beliau adalah rujukan utama saya dan sahabat-sahabat yang ditugaskan sebagai pengawas dan jawatankuasa asrama. Ustaz banyak membimbing dan mendidik kami secara langsung atau tidak. Dan secara peribadi, saya banyak terkesan dengan teguran umumnya dalam kuliah-kuliah. Serasa teguran itu bukan umum, sepertinya untuk saya, masuk ke jantung, tepat menusuk, menyentak! Begitu, saya tahu saya ada berbuat salah atau tersilap mencatur langkah. Kerana teguran itu berbentuk umum, maka saya tidak merasa malu pada kawan-kawan, tapi saya tahu, saya harus membetulkan diri. Sehingga saya menyambung pelajaran di UM, Nilam Puri, masih saya mengutusinya buat bertanya kemusykilan terutamanya hal-hal rumit yang sukar saya fahami atau temui jawapannya seperti soal kesufian saat segelintir sahabat waktu itu cenderung belajar tentang itu secara mendalam.
Tanpa saya sedar, jawapan ustaz tentang persoalan yang saya ajukan padanya menjadi asas kepada saya dalam membuat pertimbangan kehidupan seterusnya. Saya ingat, saya coretkannya pada kad nota berwarna kuning dan selalu juga saya pandang waktu memujuk diri saya ketika merasa konflik dan kecewa kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat belajar di Mesir waktu itu. Kata Ustaz, ada lima perkara saya perlu tahu sebelum ikut-ikut orang memilih faham hidup, tariqat dan sebagainya:
1)Tahu keperluan anda
2)Tahu kehidupan andaÉ
3) Tahu kemampuan anda
4) Tahu apa yang anda akan dapat
5)Tahu apa yang akan anda korbankan
Seminggu ini, saya terjumpa blog ustaz. Membacanya kembali membawa saya ke zaman persekolahan peringkat menengah. Zaman lurus, taat, bersungguh, tegas dengan diri. Melihat saya yang penuh azam, penuh disiplin dan tegas juga mendisiplinkan orang sehingga jadi kebencian orang. Zaman penuh nasihat, tazkirah, majlis ilmu. Zaman dikelilingi guru-guru yang sering membetulkan, memandu, menunjuk jalan.
Buat ustaz dan semua guru-guru saya, Jazakumullahu khairal jaza’. Saya sama sekali tidak terbalas jasa itu. Moga kalian dalam jagaan Tuhan dan diberkati-Nya. Sekarang, saya juga sedang meniti jalan yang sama, mengajar dan akan terus berazam untuk jadi pendidik yang terbaik. Terima Kasih!
0 Komentar:
Post a Comment