Kata Prof Arif di masjid UIA, Kalaulah dosa itu punya bau, maka akan larilah orang daripada mereka yang melakukan dosa kerana bau yang tidak tertahan akannya.
Setiap anak adam itu berbuat salah. Tetapi sebaik-baik orang yang berbuat dosa itu adalah orang yang bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Orang yang bertaubat nasuha akan kembali seperti orang yang tiada dosa.
Perbanyakkan ketaatan dengan melazimi yang fardu dan memperbanyakkan perkara sunat dan taubat kerana dalam al Quran ada menyebut, kebaikan itu penghapus dosa.
(.هود:114 إن الحسنات يذهبن السيئات)
Dalam suatu hadith riwayat termizi, Nabi juga ada menyebut, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun kamu berada dan gantikanlah setiap kejahatan itu dengan kebaikan kerana kebaikan akan menghapuskan dosa tersebut…”
Kembalilah pada-Nya. Jangan sesekali putus asa dari Rahmat Allah.
Buang Bayi
Menyesali kes-kes buang bayi yang semakin ketara, kita semua berharap akan ada penyelesaian untuk kemelut sosial yang semakin membarah ini. Terbaru, kanak-kanak dicampak dari tingkat 5 sebuah pangsapuri. Esoknya, seorang bayi ditemui dalam ruang buang sampah sebuah rumah teres. Apa yang dikesalkan adalah kebanyakkan penyelesaian masalah yang dicadangkan tidak bersifat pencegahan sedangkan Islam mengajar kita menyelesaikan masalah dari akar umbinya. Penyelesaian yang ada seperti mewujudkan baby hatch dan sekolah perlindungan adalah penyelesaian sementara yang tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sebenar. Kita sama-sama akur perasan ‘tidak mengaku anak’ sehingga sanggup membuang bayi ini adalah kesan rasa malu.
Dosa Menghalang Rahmah
Malu kerana dosa. Dosa inilah yang telah menghilangkan fitrah keibuan seorang wanita sehingga sanggup membunuh anaknya. Dosa itulah yang menutup cebisan sifat rahmah Allah dari memasuki ruang hati mereka yang tergamak membunuh nyawa yang tidak berdosa.
Tuhan telah mencipta 100 rahmat dan memberikan makhluk-makhlukNya satu daripada 100 sifat itu untuk dikongsi bersama. Dengan sifat itulah, seorang ibu mengasihi anaknya tanpa syarat dan binatang-binatang menyayangi anak-anaknya seperti harimau yang garang tetapi rahmah pada anaknya, gajah yang besar tidak pula hilang perasaaan memijak anaknya. Lalu mengapa manusia hilang sifat rahmahnya?
Malu dan 'Iffah Maryam
Dalam Quran ada menyebut tentang Maryam yang melahirkan anak tanpa suami. Memang Tuhan sendiri menggambarkan bagaimana sukarnya seorang perempuan menghadapi saat itu sehingga Maryam sendiri berkata, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini sehingga tiada siapa akan mengingati aku.’’ Menurut ulama’, ada dua sebab mengapa Maryam berdoa seperti itu. Pertama, dia tidak mahu orang memandang serong pada agamanya dan membuat fitnah pada dirinya. Kedua, dia tidak mahu kaumnya dikaitkan dengan penzinaan yang akan merosakkan nama baik kaumnya. (Mereka adalah kaum baik-baik jika dilihat dari kisah bagaimana mereka berebut-rebut untuk menjadi penjaga Maryam, anak yatim). As Syakrawi dalam tafsirnya menyebut, kalaulah anak perempuan Syeikh Madyan begitu malu (baca tentang malu di sini) ketika menjemput Nabi Musa ke rumahnya atas permintaan ayahnya, apatah lagi Maryam yang membawa anaknya bertemu kaumnya sedang tiada bersamanya suami.
Dalam situasi Maryam, dia memang sangat malu tetapi kerana dia tahu itu kuasa Tuhan dan dia sendiri perempuan yang baik-baik, maka sifat Rahmah itu masih kekal dalam dirinya. Waktu Jibril datang menjelma sebagai seorang lelaki, cepat-cepat Maryam bertegas, “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa”. Kata ulama’, ‘iffah(pemeliharaan kehormatan) Maryam pada waktu itu adalah sebaik-baik amal kerana beliau menunjukkan sikap tegas dan hati-hati sedangkan lelaki di hadapannya tidak menunjukkan sebarang niat serong. Malah hanya mereka berdua dalam bilik tersebut.
Teringat saya bicara Prof Husim. Kaunselor terkenal itu menyatakan, salah satu sebab seorang perempuan membuang bayi adalah kerana dia tidak boleh memaafkan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu. Lalu, kebenciaannya pada lelaki itu menyebabkan dia mahu menghapus segala yang berkaitan dengan lelaki tersebut termasuk bayi yang dikandungnya. Ini mungkin kesan kes perkosaan atau zina tetapi lelaki enggan bertanggungjawab. Kita simpati pada kes-kes kelahiran kesan perkosaan tetapi kita harap janganlah ditambah derita itu dengan bebanan dosa membuang anak. Kita lebih marah pada mereka yang membuang anak hasil zina. Dosa ditambah dosa.
Pelajari Sifat Maha Pengampun Tuhan
Seorang lelaki datang menemui Rabiatul Adawiyah dan bertanya,"Aku telah bertaubat. Apakah Tuhan akan ampunkan dosaku?" Rabiatul Adawiyah menjawab," Ya Jahil, engkau bertaubat kerana Tuhan telah mengampunkan engkau. Tidakkah engkau membaca ayat Quran yang menyebut:
ثم تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.) Justeru, jangan persoal adakah Tuhan menerima taubat kita atau tidak kerana apabila timbul keinginan bertaubat bermakna Tuhan memang ingin kita kembali pada-Nya dan melorongkan kita untuk bertaubat.
Tuhan itu Maha Pengampun. Dan dia sangat cinta akan orang yang meminta ampun-bertaubat. Bukankan cinta Tuhan itu paling tinggi nilainya?
قال الحسن البصري رحمه الله: "استعينوا على السيئات القديمات بالحسنات الحديثات، وإنكم لن تجدوا شيئا أذهب بسيئة قديمة من حسنة حديثة، وأنا أجد تصديق ذلك في كتاب الله: {إن الحسنات يذهبن السيئات}(10).
Bacaan tambahan tentang taubat dalam bahasa Arab di:
http://almoslim.net/node/125619,http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5581&version=1&template_id=104&parent_id=15
0 Komentar:
Post a Comment