Terbalikkan perkataan Ini: كمالك تحت كلامك

Apakah hasilnya setelah anda terbalikkan setiap perkataan? Juga untuk kalimah ini: عقرب تحت برقع. Ini sekadar contoh permainan bahasa.

Bahasa Arab sangat indah. Seperti bahasa lain, bahasa menjadi lebih indah apabila anda menyelami sasteranya.

Waktu mula-mula diperkenalkan dengan buku-buku adab Bahasa Arab, saya sangat teruja. Saya akan berhenti pada satu-satu halaman sambil mengulang-ulang ayat-ayat yang menarik perhatian saya. Benar-benar saya tenggelam dalam adunan bahasa indah sang penulis. Tentunya membaca buku adab berbeza dengan membaca buku bahasa Arab yang berkitar tentang fiqh, Quran atau pun subjek-subjek pengajian saya. Kecuali penulis memang bijak memilih bahasa seperti Syed Qutb, buku-buku pengajian lebih menjurus kepada istilah-istilah tertentu dalam bidang yang ditulis. Mengenali buku-buku adab, membuatkan saya lebih seronok membaca. Kemudiannya, apabila saya mula menulis tesis dan perlu membaca untuk itu, saya dapati tumpuan saya sedikit berubah, saya kurang laju untuk menghabiskan bacaan. Tumpuan saya lebih kepada penggunaan bahasa, bagaimana perkataan-perkataan digabungkan. Saya petik dan pindahkan kata-kata itu dalam helaian-helaian nota saya yang bersepah. Kemudian baru saya melihat sudut pandang penulis bagi sesuatu isu. Tapi tetap, penggunaan bahasa penulis sangat mempengaruhi saya.

Hingga saya terbawa-bawa waktu menulis tesis. Awal-awal, penyelia saya sudah menegur. Katanya, “Elakkan bahasa berbunga-bunga. Tesis adalah penulisan ilmiah”. Saya angguk sambil tersenyum panjang. Membaca menjadi aktiviti yang menyeronokkan tika itu sehingga melambatkan kerja menulis saya. (Oh, pastinya kerana saya ada ‘pembekal’ buku-buku yang tepat dan bermutu). Tambahan lagi, saya menulis sesuatu yang saya suka dan sesuatu yang dekat dengan kita semua: KELUARGA. Pastilah saya sangat tamak mahu mewarnakan tulisan saya dengan rangkaian kata yang menambat hati. Kerana apabila bicara tentang keluarga, kita akan bercakap tentang cinta dan kasih sayang, tentang sesuatu hubungan yang terbentuk, tentang perasaan-perasaan, tentang peribadi-peribadi dan watak yang wujud. Tentunya ia akan menjadi lebih indah sekiranya, perkataan itu dapat disusun supaya bahasanya memikat dan persuasif sifatnya supaya yang membaca akan tertarik dan terus membaca. Kerana menulis adalah tanggungjawab. Bukan sekadar memenuhi kehendak pengajian master. Tetapi juga tanggungjawab kepada yang akan menyelak helaian itu nanti apabila ia sudah di ‘digital’ kan di Perpustakaan Darul Hikmah. Supaya yang membaca akan beroleh sesuatu dari pembacaan itu. (Tesis saya pada waktu catatan ini ditulis baru dua minggu berada di tangan pemeriksa kedua. Doakan segalanya dimudahkan)

MULAKAN DENGAN YANG MUDAH

Saya sangat sukakan bahasa Arab. Saya belajar seperti sukatan yang disediakan waktu di sekolah dan di UM. Cuma, kerana minat yang mendalam, waktu di Nilam Puri (waktu memujuk diri kerana tidak dapat melanjutkan pengajian ke Mesir) saya rajin-rajinkan diri membuat salinan artikel-artikel mudah yang menarik untuk dibaca sperti cerita lucu Juha, artikel tentang perkahwinan, motivasi diri dan sebagainya. Kemudian, saya akan habiskan masa membaca setiap baris dan mencari maksud perkataan yang tidak saya fahami dalam Kamus Mawrid. Aktiviti itu menyeronokkan. Pada saya, kerana saya belajar sendiri, maka saya harus mulakan dengan sesuatu yang mudah dan tidak membebankan yang boleh membuatkan saya cepat bosan.

Justeru, nasihat saya pada adik-adik yang sedang belajar bahasa Arab atau belajar menggunakan bahasa Arab di UNIVERSITI, jadilah budak tadika, cari buku yang menarik dan mudah, drama atau filem bahasa Arab yang mudah. Kemudian, baru pergi kepada yang lebih sukar. Saya harap anda tidak akan cepat putus asa mendalami Bahasa Arab. Anda akan sukakannya nanti. Cuma anda belum berjumpa sesuatu yang ‘memegang’ hati anda untuk terus menyelami bahasa al Quran ini. Atau mungkin kerana anda perlu membetulkan niat. Niat yang kurang betul menjadikan bahasa Arab menjadi sangat payah dan membebankan. Niatlah, supaya bahasa ini akan membantu anda memahami Al Quran. Pasti Tuhan akan melorongkan jalan. Saya menanti anda memindahkan butir-butir tafsir yang indah dalam bahasa Arab kepada bahasa Melayu supaya ramai lagi yang akan mendapat manfaatnya. Apapun, siapa pun anda, saya mengajak anda memulakan pelajaran bahasa Arab, atau memulakan KEMBALI pengajiaan bahasa Arab anda yang terhenti atau mendalami lagi bahasa yang anda telah kuasai setakat ini.

BACA BUKU ADAB

Untuk menguasai bahasa Arab, anda perlu baca buku adab. Itu pesan ustaz kami waktu saya dan kawan-kawan mengikuti kelas tuisyen bahasa Arab. Selalunya, selepas belajar Nahu yang memeningkan dengan I’krabnya, kami akan berganti-ganti membaca teks adab. Ustaz akan membetulkan baris yang tersalah. Mula-mula agak menakutkan. Lama-lama ia menjadi aktiviti yang menarik dan ia banyak membantu mengaplikasi apa yang telah diajar dalam nahu. Antara buku yang dicadangkan untuk anda baca seperti:

فصول الإجتماعية – علي طنطوي

من وحي القلم- مصطفى صادق الرافعي

ثمرات القلم – محمد طه محمود

نظرات – مصطفى لطفي المنفلوطي

ساعات بين الكتب والناس – عباس العقاس

قطوف أدبية - عبد السلام هارون

Buku-buku ini membantu anda memperkayakan mufradat selain membantu memperbaiki uslub bahasa anda

Ulama’ Islam sangat kaya dengan ilmu. Limpahannya tidak sempat kita kutip. Kerana halangan bahasa. Kerana masa. Kerana malas. Hari ini saya memuhasabah diri. Mencemburui kawan-kawan yang sangat bersemangat menyalut diri dengan ilmu. Mencemburui sang suami yang rajin membuat nota bacaan.

Terima kasih membaca celoteh saya. Hadiahnya nanti. Akan saya kongsikan sebuah buku adab yang menarik karya al-Manfaluti.

1 Komentar:

ummu busyra said...

seronoknya apabila dah rasa kenikmatan utk belajar bahasa Arab...sya pulak rasa kepeningan yang menikam...mcmne ye.. (bahi)

Post a Comment

Back to Top