PEDULISME

Bercakap tentang Sejarah, ramai akan membayangkan kelas yang membosankan. Saya pernah sangat meminati Sejarah dan Geografi. Geografi terutamanya adalah subjek kegemaran saya dan saya akan berusaha untuk ‘score’ untuk tidak menghampakan guru Geografi saya waktu di tingkatan satu; Cikgu Rahayu. Saya sangat suka menghafal tempat-tempat yang tercatat di dalam buku; savanna, sahara, air terjun paling tinggi, jurang paling dalam, jadual monsun dan lainnya. Saya kira saya juga cepat (waktu itu) jika diminta memberikan grid longitude dan latitude sesuatu tempat di dunia. Atlas menjadi buku kegemaran saya seperti rancangan National Geographic. Saya lupa bila, tetapi setiap minggu kami akan ke bilik warden (kebetulan cikgu Rahayu adalah warden asrama) untuk menonton National Geographic. Sehingga sekarang saya masih sangat suka melihat peta dunia, menyentuh setiap nama negara dengan tangan sambil melihat jaraknya dengan Malaysia. Dulu, saya cuma teringin, tapi tidak pernah terfikir akan pernah berpeluang keluar melawat negara lain.

Pada saya, Geografi sangat dekat dengan Sejarah kerana Sejarah adalah kisah yang pasti berkitar pada tempat. Lain tempat, lain sejarahnya, lain juga tokohnya. Semasa mengaji di UM, minat saya kepada Sejarah sudah pudar kerana sejarah yang kami belajar dalam TITAS lebih kepada pengulangan sejarah yang pernah dipelajari cuma ditambah perkembangan semasa seperti wawasan 2020 dan sebagainya. Lebih kepada mengingat fakta dan kronologi tanpa melihat isi sejarah dan belajar daripadanya.

SEJARAH ITU MEMBOSANKAN?

Waktu di UiTM Arau, antara subjek yang perlu saya ajar berkaitan dengan sejarah. Saya sudah mula merasa berat. Alhamdulillah, kemudiannya, saya tidak jadi mengajar subjek tersebut kerana muridnya cuma seorang untuk kumpulan tersebut. Dia berpindah ke kelas lain. Pindah ke UNIKOP, saya kembali mendapat subjek Sejarah. Saya menguatkan diri. PEMIKIRAN DAN TAMADUN ISLAM. Saya mencari rentak. Bagaimana untuk saya gembira mengajar dan bagaimana membuatkan pelajar saya seronok belajar. Silibus sekadar membentangkan tentang perkembangan setiap zaman dan sumbangan tokoh-tokoh pada zaman tersebut bermula pada zaman Nabi Muhammad s.a.w hinggalah zaman kejatuhan empayar Islam Turki Othmaniyyah sebelum berpindah kepada perkembangan Islam di Tanah Melayu dan cabaran dunia Islam kontemporari.

Memang, sejarah akan membosankan kalau kita cuma menhafal fakta tapi tidak belajar dari fakta. Justeru, selalu saya sebut kepada pelajar saya, mengapa kita mengulangbaca sejarah kegemilangan Islam? Supaya kita belajar dari sejarah. Belajar menjadi peribadi-peribadi yang pernah mendirikan sejarah tersebut. Tidak cukup menghafal faktor kegemilangan dan keruntuhan tamadun. Harus menggali ke dalam. Belajar peribadi-peribadi unggul selain peribadi-peribadi pengkhianat agama supaya kita bijak memilih untuk menjadi warganegara yang bagaimana. Justeru, setiap saya melewati sesuatau tamadaun, saya akan bawakan kisah peribadi yang pernah wujud dalam tamadun tersebut yang memangnya tidak tercatat dalam buku teks seperti Tareq bin Ziyad, Salahuddin, Muhammad al Fateh dan bebapa tokoh lain.

SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH

Menariknya, saya jadi suka kembali kepada sejarah dan mula mencari-cari kembali buku-buku sejarah. Pertamanya, menghabiskan buku Muhammad bin Abdullah, karya Dr Zulkifli Yusuf, supervisor saya waktu di UM dan isterinya. Kisah-kisah baginda kembai segar dan saya jaja kisah itu di dalam setiap kelas saya. Hari ini saya sedang cuba menghabiskan Secangkir Teh Pengubat Letih karya Abu Saif. (terim kasih kepada Saadah kerana meminjamkan buku ini tepat pada waktunya. Saya sedikit keletihan meladeni karenah pelajar, tapi saya masih sangat positif untuk sentiasa membantu. Kerana saya percaya mereka masih punya jiwa yang cintakan Islam cuma lorongnya mungkin samar-samar). Benar-benar ubat untuk saya agar tidak putus semangat, Saya berharap agar dapat meninggalkan sesuatu buat pelajar saya. Belajar di kolej swasta di pinggir ibukota memang sesuatu yang mencabar. Sangat mudah iman digula-gulakan dengan janji manis dunia remaja menginjak dewasa dan alam kota yang semakin biasa dengan sikap ‘aku tidak pedulisme’ (meminjam kata Abu Saif). Tanya sahaja kepada pelajar saya isu-isu semasa; akan dijawab : Entah! Tak tahu! Tak ambil peduli, la ustazah. Tak nak campur. Kerana itu apabila kebajikan mereka sendiri terabai mereka sekadar boleh berkata, itulah ustazah, kesian kami kan. Itulah, MPP tak buat kerja. Lalu saya tanyakan balik kepada mereka, awak buat kerja apa? Cukuplah jawapan-jawapan mereka menjadi sumber kepada saya memanjangkan lagi kuliah kepada topik PEDULISME!

Membaca kisah Ercan yang disebut oleh pengarang sepertinya mengingat kisah pelajar saya. Saya titipkan di sini catatan pengarang:

"Engkau tahu mengapa selama ini saya tidak pernah tahu apatah lagi untuk berbangga dengan sejarah datuk nenek saya?"

"Sebabnya mudah sahaja. Walaupun saya masih keturunan mereka tetapi sebenarnya saya sudah terputus hubungan. Saya sudah tidak mampu membaca hasil tinggalan Othmaniyyah, bukan sekadar warisan Fatih Sultan Mehmet, malah datuk saya sendiri. Saya sudah tidak boleh membaca catatannya sebab dia mencatat dengan huruf Arab. Saya tidak boleh membaca al Quran. Bagaimana saya boleh menjadi seorang cucu andainya saya tidak boleh memahami bahasa datuk saya sendiri!"

JAWI DAN AL QURAN

Saya mengenang pelajar saya. Ya, ramai yang sudah putus hubungan dengan jawi, justeru anda tahu bagaimana nasib al Quran. Saya yang mahu marah kerana pelajar saya tidak menghafal ayat yang diberikan jadi hiba apabila dia berkata, saya sudah tidak membaca al Quran sejak sekolah menengah lagi. Saya cuma kenal huruf sikit-sikit. Dia hanya sebahagian yang akhirnya mengaku kepada saya dan akur untuk datang belajar Iqra dengan saya. Ramai lagi yang memakai pakaian bodoh sombong dan malu tidak bertempat sehingga merugikan diri sendiri.

Allahummarhamna bil Qur'an. Allahummah dina bil Qur'an. Ya Allah dengan barakah Ramadan, bukalah hati kami kepada al Quran.



1 Komentar:

[[syidin]] said...

semoga perjuangan ustazah mndidik anak muda dirahmati dn di berkati .

dah lama x dgar brite ustazah .
saya peljjar uitm arau kos sains komputer

Post a Comment

Back to Top