Nabi s.a.w mengutus orang menyeru di Mekah pada hari raya: “Sesungguhnya ini adalah hari makan, minum dan mengingati Allah. Maka, janganlah seorang pun daripada kamu berpuasa”.
Hari Raya bagi Mukmin di Dunia
Disebutkan oleh Ibnu Rejab al-Hanbali di dalam bukunya Kitab Lataif al Ma’arif fima Limawasim al-‘Am min al-Wazhoif, sesungguhnya bagi orang Mukmin itu tiga hari raya di dunia dan hari raya merupakan hari bergembira . Kegembiraan Mukmin itu disebabkan mereka telah sempurna mengerjakan ketaatan kepada Allah dan beroleh ganjaran yang dijanjikan Allah. Tiga hari raya tersebut adalah:
1)Hari raya yang berulang iaitu hari Jumaat- disambut meraikan kejayaan Mukmin menyempurnakan rukun Islan yang kedua sepanjang minggu. Pada hari ini, kaum Muslimin berhimpun mengingati Allah dengan solat Jumaat. Kerana ia dianggap hari raya, maka dilarang bagi seseorang itu berpuasa pada hari Jumaat tanpa menggandingkannya dengan hari lain. Berhimpun dan solat pada Jumaat menyerupai himpunan pada musim haji. Setengah pendapat mengatakan ia adalah haji bagi orang miskin. Allah mengampunkan dosa orang yang menghayati Jumaat sehingga Jumaat yang seterusnya sekiranya tidak diselangi antara hari-hari tersebut dengan perbuatan dosa besar. Ia seperti haji mabrur dimana pelakunya diampunkan dosa sehingga haji yang akan datang.
2) Hari raya Aidil Fitri- dirayakan setelah sempurna mengerjakan rukun Islam yang ketiga iaitu puasa Ramadan dimana Allah menjanjikan pengampunan dosa dan dibebaskan daripada api neraka sekiranya sempurna puasa seseorang Mukmin.
3) Hari raya Aidil Adha- dirayakan dengan sempurnanya rukun haji yang utama iaitu wukuf di Arafah. Sekiranya sempurna haji seseorang, maka diampunkan Allah dosanya. Kata Nabi, Haji itu Arafah. Dan hari Arafah itu adalah hari pelepasan daripada api neraka bagi mereka yang berada di Arafah dan bagi yang tidak berada di sana. Justeru, jadilah hari selepasnya 10 Zulhijjah hari raya.
Sebagai satu rahmah daripada Allah, tidak diwajibkan bagi umat Islam melaksanakan haji setiap tahun, tapi rahmah dan ampunan Allah tetap menyeliputi orang yang tidak ke Arafah. Sebagai ganti, orang yang tidak berhaji disunatkan puasa pada 9 Zulhijjah dan melakukan Korban pada hari raya haji. Munurut riwayat daripada Sufyan bin Uyaynah, larangan puasa pada orang yang berwukuf adalah kerana mereka adalah tetamu Allah, maka tidaklah Allah membiarkan tetamunya berlapar.
Hari Raya di Akhirat
Bagi orang-orang beriman, hari raya di akhirat adalah apabila Allah menziarahi mereka dan mereka menziarahi Allah selain merasa nikmat terbesar melihat wajah Allah di Akhirat.
Makna Hari Raya Sebenar
Al-Hasan ditanya bilakah hari raya? Katanya, “Setiap hari apabila seseorang tidak melakukan dosa adalah hari raya dan setiap hari apabila orang Mukmin melakukan ketaatan dan mengingati-Nya adalah hari raya.”
Hari raya kata nabi, “Hari makan, minum dan mengingati Allah. Oleh itu janganlah seseorang pun berpuasa’. Justeru, hari raya adalah gabunagn ketiga perkara tersebut. Tidaklah bermakna hari raya itu sekiranya dipenuhkan dengan makan dan minum sahaja tanpa diberikan ruang bagi mengingati Allah.
Amalan Bulan Zulhijjah
1) Memperbanyakkan tahlil ( لا إله إلا الله), tahmid –Alhamdulilah dan takbir, Allahuakbar apabila masuk bulan Zulhijjah. Bagi mereka yang tidak berwukuf, disunatkan bertakbir bermula pagi 9 Zulhijjah.
2) Melakukan korban pada 10 Zulhijjah dan hari tasyrik.
3) Puasa pada hari Arafah - Rasulullah bersabda: “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang” (Muslim).
Sesungguhnya amalan pada hari Arafah sangat besar pahalanya. Sahabat bertanya kepada Nabi, adakah melebihi jihad? Kata Nabi ya, kecuali jika seseorang itu keluar berjihad dengan harta dan nyawa tetapi pulang tanpa keduanya. Pulang tanpa nyawa bermakna syahid. Begitulah besarnya pahala beramal pada hari Arafah.
0 Komentar:
Post a Comment