Mengapa kita sering mengulang-ulang bacaan al-Fatihah dan
sering juga kita menjadikannya pembuka bagi sesuatu majlis?
Menurut Ibn Qayyim al Jawziyyah, Al-Fatihah merupakan
syifa’, ubat dan penyembuh bagi penyakit hati. Penyakit-penyakit hati ini
bertitik tolak daripada dua perkara
1) Rosak niat – Rosak niat itu
meliputi rosak tujuan hidup dan salah
cara mencapai maksud hidup. Orang kafir,
sudah pastilah tujuan hidup bukan menuju Tuhan. Begitu juga orang-orang yang
mengikuti hawa nafsunya, apa yng diperbuat semuanya kerana tepuk dada tanya selera,
bukan tanya iman. Juga orang-orang yang gila kuasa, pemburu tahta yang
menggunakan segenap kekuasaanyya untuk mengekalkan kedudukannya atau
meninggikannya dengan segala macam cara biar bertentangan dengan syariat. Mereka
inilah yang memakai prinsip matlamat menghalalkan cara.
Manusia apabila tidak tahu atau lupa tujuan hidup, maka dia akan berbuat sesuka
hatinya. Bukankah apabila kita mengetahui bahawa dunia ini sementara, tempat
mengumpul bekal ke tempat yang dituju,
akhirat yang abadi akan menjadikan kita manusia yang berhati-hati dengan setiap
perlakuan kita kerana kita tahu setiap perkara; baik atau buruk, walau nilainya
cuma sebesar biji sawi, tetap akan dijadikan bukti di pengadilan kelak, samada
menjadi jalan ke syurga atau lorong ke
neraka.
Kesan rosak tujuan hidup: Dimurkai Allah. Ubatnya?
إياك
نعبد وإياك نستعين.(hanya Engkau yang kami sembah dan hanya pada Engkau kami mohon pertolongan) Setiap hari kita mengulang paling kurang
17 kali Al-Fatihah.Justeru, sebanyak itu jugalah kita mengingatkan diri kembali
kepada tujuan kita diciptakan. Kata Tuhan, Pencipta Sekalian Alam, “Tidaklah
aku jadikan engkau wahai jin dan manusia melainkan untuk beribadat”. Wahai
diri, engkau tidak diciptakan sia-sia. Jambatan usia jikalau panjang bukanlah
tempat untuk berfoya-foya atau berbuat sesuka rasa.
2) Rosak ilmu – Manusia
apabila jahil, malas menuntut ilmu, tidak membuka fikiran kepada dunia yang
luas dan berkembang, akan cepat tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Penyakit
jahil inilah yang menimpa orang-orang
Nasrani. Kejahilan terhadap sifat Maha Berkuasanya Tuhan menyebabkan mereka
enggan menerima bahawa Nabi Isa dijadikan oelh Allah tanpa bapa. Lalu, diolah
segala macam teori bagi ‘memaksakan’ baginda seperti mempunyai ibu dan bapa.
Kesan rosak ilmu: Sesat
Ubatnya:
إهدنا الصراط المستقيم. Wahai Tuhan, tunjukkanlah kami jalan yang
lurus, bukan jalan orang-orang yang sesat. Janganlah engkau tutup hati-hati
kami daripada faham ilmu dan cahaya kebenaran.
0 Komentar:
Post a Comment