Du'a: Cucu saudara saya |
4 February 2012
Susu Lembu, Minyak Zaitun dan Zubdah
Cuaca sangat baik pada hari kedua saya di rumah mertua. Sejuk tetapi matahari memancar sedikit terik. Saya duduk di bumbung yang terbuka memanaskan badan.
Cuaca malam tadi sangat sejuk tetapi saya tidur dengan lena berbungkuskan dua helai selimut tebal. Ibu mertua saya, awal-awal telah keluar selepas Subuh memerah susu lembu di kandang ternakan mereka. Beliau balik dengan sebaldi susu segar. Tanpa bau. Beliau memanaskan susu tersebut dalam sebuah periuk kecil dan memanaskan air yang dicampur serbuk kopi dalam teko khas kopi. Setelah susu mendidih, susu itu dimasukkan ke dalam termos panas. Kopi yang telah mendidih kemudiannya dicampur ke dalam termos tadi. dan dihidangkan bersama gula. Setiap orang memasukkan gula mengikut selera masing-masing. Beliau kemudiannya membuka bekas berisi roti yang diselimutkan dengan kain dan menghulurkannya kepada saya mangkuk kecil berisi minyak zaitun. Asli. Saya, ibu mertua, dan kakak ipar, Hakimah, mencicah roti ke dalam minyak zaitun. Sarapan yang ringkas tetapi sangat segar, sihat.
Ummi sedang memulakan rutin menguli roti |
Ibu mertua saya memang ligat orangnya. Selesai sarapan beliau mengunjukkan bekas berisi air suam kepada saya sambil mengajak saya melihatnya membuat roti. Saya ikut ke bilik khas membuat roti.
Bilik tersebut juga menempatkan minyak-minyak zaitun asli yang diisi dalam bekas-bekas yang dibuat dari tanah liat. Biasanya zaitun dari ladang akan dibawa ke kedai dan mereka akan membayar harga bagi proses mengisar zaitun untuk dijadikan minyak.
Selain itu, terdapat juga zubdah atau marjerin buatan sendiri. Biasanya, susu yang tidak habis diminum, selepas sehari akan dimasukkan ke dalam mesin khas. Mesin itu akan mengaduk susu tersebut. Setelah beberapa jam, lemak daripada susu itu akan terapung. Lemak yang terasing akan diasingkan. Inilah keju asli. Susu yang berbaki biasanya sudah menjadi sedikit masam dan pada peringkat ini susu biasanya dipanggil laban-susu masam. Laban ini akan diletakkan di bawah matahari, kemudiannya, setelah beberapa hari, siap untuk diminum. Keju asli tadi kemudiannya akan dikumpulkan dari sehari ke sehari daripada lebihan susu, dibersihkan, dicampur garam dan dibiarkan beberapa lama sehingga menjadi zubdah-dipanggil zubdah har- Har di dalam bahasa Arab bermaksud panas tetapi sekiranya merujuk kepada marjerin ini ia bermaksud masin. Mereka sangat sukakan zubdah har ini. Biasanya ia akan dicampur dengan nasi atau spageti atau dimakan bersama Musamman (ala-ala roti canai).
Kiri: Roti yang sudah siap dibakar. Kanan: Roti yang menunggu giliran |
Berbalik kepada ibu mertua saya, selepas menguli roti, beliau meninggalkannya dan langsung ke dapur mengeluarkan sayuran dari peti sejuk. Tangannya cekatan mengupas kulit lobak, tomato, bawang dan kentang. Kemudian, beliau memanaskan lada benggala hijau di atas api. Semuanya diketepikan. Beliau seterusnya mengemas rumah. Saya pada hari-hari awal hanya menjadi pemerhati; melihat letak duduknya barang-barang di dapur, melihat rutin, melihat sukatan gula yang digemari ibu mertua, kakak ipar dan bapa mertua saya, melihat aturan memasak, melihat cara mereka bekerja agar saya boleh turut serta.
Sering juga tugas di dapur terganggu dengan bunyi loceng pintu. Kadang-kadang ada wanita datang menjual permaidani buatan tangan yang berharga lebih kurang 200 dirham atau RM80. Kadang-kadang datang ar Ruhal- atau orang-orang yang duduk jauh di pergunungan yang datang mencari kerja atau mencari sesuatu buat mengalas perut di waktu pagi. Biasanya, mereka akan dijamu dengan kopi dan roti.
Di sini, saya makan secara teratur hampir lima kali sehari. Sarapan, minum pagi atau dipanggil minum waktu Dhuha, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Harira adalah hidangan wajib setiap hari untuk minum petang. Itu kegemaran bapa mertua saya. Sarapan kedua saya hari ini adalah Iflik. Iflik ialah tepung yang dibentuk menjadi bebola-bebola kecil. Ia direbus dan ditambah lada hitam dan garam sahaja. Kemudian, dihidangkan bersama zubdah har seperti yang saya ceritakan tadi. Jika ada kesempatan, Insya Allah, saya akan kongsikan resepi-resepi masakan Maghribi yang telah saya pelajari.
Couscous |
Makanan di sini memang menyihatkan. Asli dan segar. Rasanya berbeza apabila saya cuba memasak di Malaysia. Faktor bahan adalah sebabnya. Sebagai contoh, mereka hanya menggunakan daging anak lembu yang berusia lebih kurang setahun. Justeru, dagingnya lembut dan rasanya manis berbanding lembu di Malaysia yang disembelih apabila sudah tua.
Buah Zaitun di sini juga berbeza dengan yang saya biasa makan di Malaysia juga di Syria. Memang lebih sedap di sini terutamanya yang dijeruk sendiri di rumah seperti yang dihasilkan oleh kakak ipar saya. Cuma, memang ada beberapa makanan yang saya kira kebanyakan orang Malaysia tidak akan menyukainya seperti
Couscous . Kerana terbiasa, saya sudah menyukainya dengan syarat, ada lada hijau hidup yang dimasak sekali. Ramai yang bertanya, berpa kali saya makan nasi selama 40 hari di sana. Lebih kurang tiga atau empat kali sahaja. Selebihnya roti. Tahankah perut Melayu tanpa nasi? Ya, tahan. Bahkan perut saya meragam hampir dua minggu sekembalinya ke Malaysia, mungkin kerana sudah tidak tahan cili atau mungkin terkejut disogok nasi setiap hari. Wallahu'aklam.
2 Komentar:
Assalamualaikum Kak Nour,
Seronoknya baca pengalaman kak Nour. Teringin nak ziarah magribi. Sambung cepat ye kak....
pembaca senyap
Waalaikumussalam.
Terima kasih kerana setia membaca catatan yang tidak seberapa ini. Jemputlah ke Magribi, sambung belajar atau ziarah, menimba pengalaman hidup yang baru.
Post a Comment