2

Sukarnya Meletak Dunia di Tangan, Akhirat di Hati

Ini catatan hari-hari kalut. Bukan untuk saya sahaja tapi seluruh dunia. Serasa tidak cukup tanah mahu dijejak dan masa berlari pantas. Tidak menoleh pun. Sekadar memberi ruang menghela nafas di tiap-tiap detik yang berlalu. Usai walimah kakak saya memberi sepenuh tumpuan saya pada assignment yang tidak terusik. Sepanjang masa di hadapan laptop. Alhamdulillah ‘kutub khanah’ saya boleh di klik dengan jari. Perisian Maktabah Syamilah banyak membantu saya. Itu pun setelah mengharung perit ‘mengerjakan’ komputer riba ini. Saat-saat getir beginilah selalu beban bertambah. Laptop jem. Terpaksa dihantar ke ‘klinik’. . Waktu itu, Passion ‘meletup’. Entah di mana silapnya. Tahu-tahu Siti sahabat serumah balik membawa khabar ia tidak boleh dihidupkan langsung. Kuat bunyinya hingga memeranjatkan Pak Guard yang berkawal di pintu sekolah tempat Siti bekerja. Saya baru mengambilnya tidak sampai seminggu. Baru menghabiskan seratus lebih untuk menukar kunci baru. Baru mula bergaya-gaya dengan skuter baru itu. Baru di tangan saya. Milik emak yang diguna adik saya di Kelantan sebelum ini. Baru merasa ayu memakai skirt labuh menaiki motor (sesuatu yang tidak boleh jika dengan Yamaha Sport saya). Tiba-tiba dia buat hal pula. Dengan kalut assignment juga imtihan yang menunggu lebih kurang seminggu sahaja lagi serasa sudah terbang sabar saya, terasa mahu dijeritkan serabut di hati. Mujur, waktu itu baru sudah wudu’. Langsung saya mengadap Dia. Mohon dihadiahi sekelumit tenang. Berteleku sebentar mencari diri. Tiada siapa harus menerima bahang amarah dalam diri.

Saya cuba bersikap biasa-biasa. Tidak mahu membuatkan Siti terasa bersalah. Memang sudah takdirnya ia berlaku saat Siti menunggangnya. Skuter merah ini bukan nikmat yang tertulis untuk saya. Padanlah dengan muka saya, beria mahu menukar KAA 1307 yang sudah lama berkhidmat, berkongsi suka duka selama hampir lapan tahun. Memang dia sudah tua. Sudah 17 tahun usianya. Saya sudah terkenal dengan motor itu. Terkenal dengan bunyinya yang cukup untuk membangunkan semua orang dan menyedarkan ahli rumah saya di tingkat atas akan kepulangan saya. Bunyi itu juga membawa bahagia untuk saya. Anak-anak comel di nurseri tingkat bawah rumah saya akan segera menerpa ke pintu setiap kali mendengar bunyinya sama ada waktu pagi ketika saya mahu ke universiti atau pun pulang.

Anak-anak ini selalu mengubat hati saya untuk waktu-waktu serabut ini. Saya pasti meluangkan masa saban hari menatap dan mengelus wajah-wajah mungil yang tidak pernah lokek menghadiahkan saya dengan senyuman paling manis. Senyum yang terlalu mahal untuk diperoleh hari ini. Hari manusia kalut mengejar waktu. Sibuk mengira belanjawan harian. Sibuk berkira-kira setiap kali mahu berpergian; dengan LRT, Rapid atau kereta. Menimbang pengangkutan mana yang lebih menjimatkan. Rebat tunai mana cukup menampung tangki setahun. Mendidih juga darah saya mendengar berita kenaikan minyak. Saya kira Malaysia sudah berada di tahap literasi yang baik. Betulkan, Pak Menteri? Rakyat ramai yang tahu membaca dan tahu juga memilih bahan bacaan untuk mendapat maklumat tepat. Walau apa pun alasannya, saya tetap yakin bahawa pengurusan yang baik, telus dan amanah mampu mengelak ketirisan wang rakyat...diulang, wang rakyat dan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan segala anugerah alam sepatutnya mampu bertahan dalam krisis seperti ini. Tepuk dada tanya iman!


Bercakap tentang kalut dan serabut kita berhadapan dengan kuasa beli yang semakin menurun, saya mengingatkan diri untuk tidak cemburu dengan apa yang berada di tangan orang lain. Nikmat Allah berbeza antara hamba. Kadang-kadang rezeki didatangkan dengan jumlah yang sama tetapi keberkatan akan menentukan kadarnya di sisi manusia. Sebahagian merasa ia terlalu sedikit dan tidak mencukupi sedang sebahagian lain merasa bahagia dilimpahi rezeki. Memang, memang sukar merasa bersyukur dengan apa yang ada. Memang, memang itulah sifat manusia yang Allah gambarkan di dalam al-Quran.

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah. Apabila ditimpa kesulitan, dia berkeluh-kesah. Dan apabila mendapat kebaikan (harta), dia enggan bersedekah...”
al-Insan: 19-21

Sedikit sebanyak, krisis yang sedang kita hadapi hari ini akan memberi kesan kepada keseluruhan perwatakan dan kehidupan kita terutamanya kepada cara kita bertindak balas dengan masalah. Untuk semua, inilah masa menanam sabar mendidik marah dalam diri.

“Kecuali orang-orang yang bersembahyang. Yang mereka itu berkekalan melakukan sembahyang. Dan orang-orang yang dalam hartanya ada hak yang tertentu. Untuk orang yang meminta dan orang-orang miskin yang tidak mahu meminta...”
Al-Insan:22-25
Dalam firman lain Dia menyebut:
إن صلاتك سكن - Sesungguhnya solat itu menjadi ketenangan untuk hati mereka.
Ah, saya sangat teruja membaca keseluruhan ayat. Mari, mari kita semak ayat 103 surah al-Taubah.

“ Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa engkau itu menjadi ketenangan untuk hati mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

Solat secara bahasa bermakna doa. Ada banyak huraian dan sebab turun ayat ini. Sementara saya mencari waktu menelitinya untuk dikongsi, cukuplah kalau kita dapat melihat bagaimana Allah menyebut tentang solat selepas bercakap tentang harta dalam dua contoh yang saya bawa di atas. Memang soal duit dan harta bisa membuat manusia lupa. Kerana itu, iman harus selalu dijaga dengan solat yang istiqamah.

Ayat-ayat Tuhan jarang mengecewakan kita. Dia menghantar ujian dan menghantar juga penyelesaian. Cuma kita, makhluk Tuhan yang terkadang silap membuat pertimbangan. Ah, terasa aman di bawah lembayung kasih sayang Tuhan. Tenang dibelai kasih-Nya. Gelora hati terbang, panasnya hilang disimbah air mata lapang...Redha... Indahnya hidup bersama Tuhan.

2 Komentar:

Mohd Zaki M Noor said...

oh kak maryam@ kaksit. kenal. ni zaki ni. sekarang kat dimashq ke? wa, lama benar tak jumpa. apa khabar? sudah kawin? mana jumpa saya punya blog? huhu.

nour said...

Tak ingat bagaimana blh jumpa blog awak. Tgh cari sesuatu. Tiba-tiba sampai ke itu. Akak sihat. Soalan yg populis(pinjam kata Anwar Ibrahim. Tak kahwin lagi la. Klu kawin mesti jemput awak. Awat, nak carikan mamat arab untuk akak? hehe

Post a Comment

Back to Top