0

Kembara Itu (catatan 27 Rejab)



Maka, dibawa Engkau kembara ke alam istimewa selepas mengimami solat di Al-Aqsa yang makmumnya para nabi kesemuanya. Berteman Jibril dari langit ke langit bertemu para nabi pembawa risalah sebelumnya. Saat menyapa Adam a.s di langit pertama, terlihat olehmu wajah-wajah bahagia di sebelah kanan dan raut-raut derita di kiri.
(Lalu di bahagian mana akan kami ikut serta... )

Dari langit ke langit...terus. Di langit keenam bertemu Musa a.s. Bertukar salam dan mahu berangkat terus tapi terhalang akan tangisnya Musa a.s. Gerangan apa tangisanmu, sahabat? Kerana umatmu lebih ramai menghuni syurga dari umatku.
(Dan apakah kami dalam jumlah yang dicemburui itu..)

Bertemu Ibrahim a.s di langit ketujuh. Pesanan indah dititipkan. “Sampaikan salamku buat umatmu. Sungguh, syurga ini indah. Segala-galanya, Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar.” Hilang kata nabi yang telah teruji imannya saat thabat menurut perintah menyembelih anak sendiri tika mahu menggambar suasana.
(Ah, kalaulah engkau tahu yang indah neon malam-malam di kota dunia ini telah membutakan hati merindu taman abadi itu.)

Sidratul Muntaha. Itulah perhentian Engkau bertemu Dia. Pasti tak tergambar indahnya bertemu Dia yang tercinta. Pasti hilang langsung parut pedih Engkau kesan dilontar batu di Thaif. Pasti telah terlupakan saat itu hina maki kafir Quraisy. Pasti terubat pilu hati ditinggal pergi tak kembali dua pendukung kuat Engkau; bapa saudara yang teguh menyokong dan isteri; teman pengubat galau hati, kekasih yang setia berkorban segalanya.

Solat. Itu amanah dari Dia untuk Engkau dan umatmu. Disampaikan terus kepada Engkau tanpa Jibril jadi perantara. 50 waktu. Berkata Musa a.s, itu berat. Umatmu tidak akan termampu. Mohonlah keringanan. Engkau pandang Jibril seperti mohon pandangannya. Jibril tiada halangan untuk menghantar kembali Engkau bertemu Dia. Dia memberi kurang. Tapi saat bertemu kembali Musa a.s, begitu diulang lagi katanya. Lalu berulang-aliklah Engkau naik memohon, turun dinasihati. Lima waktu. “Pergi. Mohon lagi.” “Aku sudah malu dengan Dia” Begitulah, dan kewajipan itu tertanggung atas pundak setiap umat Engkau.

Solat. Kalau bukan kerana banyaknya rahsia dan hikmah di sebalik perlakuan yang dianggap ritual semata oleh banyaknya orang hari ini, pasti tidak sebegitu penyerahannya kepada Engkau. Bukankah ia penawar hati, penenang jiwa resah. Ubat dan vitamin berkala yang sepatutnya memberi stamina pada pelakunya. Punya jumlah tertentu mengikut waktu.

Engkau, sehingga detik akhir sebelum kembali ke pangkuan Dia masih giat mengingatkan tentangnya. Engkau sedangkan sudah meninggalkan kami dengan al-Quran dan Sunnahmu yang banyak memberi khabar akan peri pentingnya yang bernama Solat.

Ya, apa kerana jarak antara kita terlalu jauh, lalu jadilah antara kami manusia yang tidak pernah meletak dahinya ke tanah, asal jadinya. Juga yang pernah ikut tunggang tonggek waktu kecil tapi jadi terlupa sekarang. Kerana tuakah dia? Atau yang memang tahu dan faham tapi jadi alpa apabila ada perkara yang lebih utama dalam perkiraannya. Atau yang memang bermudah-mudah kerana malasnya.

Solat. Engkau sudah memberitahu yang ia amalan pertama yang akan dihisab. Ah, kami ini banyak lekanya menghitung untung rugi dunia sehingga terlupakan mizan di sana.
Banyak sekali kalau mahu dibentang bicara engkau tentang ini. Serasa malu mahu terus menyebutnya mengingat nilai solat itu di hati kami.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
“Ya Allah, Jadikanlah aku dan keturunanku orang-orang yang mendirikan solat. Wahai Tuhan kami, makbulkanlah doa kami”

Ya Allah, jadikanlah kami, ahli keluarga kami, sahabat-sahabat kami juga seluruh umat Islam orang-orang yang menjaga solat. Dan jadikanlah solat kami penghalang dari perbuatan keji dan munkar. Juga jadikanlah ia pendorong untuk kami menjadi Muslim yang sebenar.Amin.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top