0

Dan cita-cita itu terus mekar...

Memang pantang saya diajak bicara soal cita-cita atau diajukan tentang kehidupan saya terutamanya soal belajar ini. Cepat sahaja hati saya berkembang...mekar...menguntum harapan. Saya belum mahu berputus asa. Saya mahu terus berlari. Kalau boleh mahu terbang. Saya tidak pernah memutuskan untuk berhenti mengejar impian, keinginan dan kemahuan saya. Saya selalu bahagia dikelilingi impian yang kadang-kadang menyeksakan juga kerana dia tidak pernah mahu beralah meninggalkan situasi saya. Semput-semput saya mengikutinya. Dipaksakan juga. Ah...itulah impian, cita-cita dan cinta. Mana mungkin dibuang dari hidup hanya kerana satu dua duri di jalanan yang menghalang. Dan saya berazam, mahu terus membajanya, mahu terus menyemai dengan penuh disiplin biar terkadang tuang juga dek kemalasan yang menyapa. Hidup kan lebih bermakna dengan perjuangan.

وانصب فإن لذيذ العيش في النصب!
BACA SELENGKAPNYA - Dan cita-cita itu terus mekar...
0

Jom Buat Selepas Ramadan

Ha nahnu nuwaddi’u Ramadan..itulah permulaan sayu khutbah Jumaat minggu lalu. Kita telah mengucapkan selamat tinggal kepada bulan penuh keberkatan. Kita, atau Ramadan yang mengucapkan selamat tinggal kepada kita sebenarnya?

‘Ala kulli hal, eloklah kiranya kita bertanya kepada diri resolusi Ramadan kali ini. Saya, walau sudah merancang-rancang dalam kepala beberapa perkara, dek kekangan assignment dan hambatan peperiksaan yang kian hampir, masih tidak sempat menyusun, menulis apatah lagi mematuhinya dengan teratur. Tapi saya benar-benar mahu mengubah beberapa pendekatan saya terhadap sesetengah perkara.

Apa yang dapat saya simpulkan dari Dr Mumtaz, pensyarah Islamic Critical Thinking saya, ada dua factor yang membawa kepada kejayaan mereka yang ingin berubah atau ingin mengubah sesuatu. Mengubah dunia mungkin? Pertama, kefahaman. Kedua, keberanian. Faktor kedua ini jarang ada pada kebanyakkan orang. Dalam sejarah dunia, Imam Khomeini adalah contoh seorang yang berani berdasarkan tindakan-tindakannya dalam ketika Revolusi Iran. Ya, ramai orang punya cita-cita, punya keinginan mencorak sekeliling mereka tapi berapa ramai yang mencapai target. Benar, kejayaan bukan isunya tapi usaha itu yang akan dikira dan dinilai. Tapi siapa yang tidak mahu berjaya, kan?

Apapun, biarlah saya kongsikan dahulu 7 perkara yang disebut khatib Jumaat lalu sebagai resolusi Ramadan yang harus diusahakan bagi memastikan kesinambungan tarbiah Ramadan berkekalan hinggalah kita bertemu Ramadan seterusnya.

1) Sentiasa memohon hidayah agar terus istiqamah. Beramallah dengan doa

{رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ }آل عمران8
2) Sentiasa menghadiri majlis ilmu dan mendekati orang-orang soleh (suhbatul
ulama’).
3) Menjaga amalan sunat walaupun sedikit. Bukankah amalan yang disukai Allah
itu sifatnya berterusan walupun sedikit.
4) Segera mengganti puasa yang tertinggal dan segera bertaubat dari dosa-dosa
samada kecil atau besar.
5) Perbanyakkan berzikir dan beristigfar.
6) Membaca sirah para sahabat dan orang-orang soleh. Mengenali mereka dapat
membangkitkan semangat terhadap amal soleh.
7) Istiqamah dengan bacaan al-Quran dan mulalah menghafalnya.

Khatib menitipkan pesan salafussoleh; seburuk-buruk kaum adalah mereka yang tidak mengenali Allah kecuali pada bulan Ramadan. Moga Allah jauhkan kita daripada sifat ini.

Terlanjur menulis, saya ingat seorang guru berpesan, untuk orang-orang bujang terutamanya, banyakkanlah menghadiri majlis ilmu agar bercahaya wajah.:). Betul juga menurut saya. Mendengar ilmu, hati tenang, terbang gelisah. Tidaklah cepat dahi berkerut. Ubat awet muda yang mujarab. Moga Allah kekal mencampakkan rasa cinta ilmu ke dalam hati-hati kita hingga saat kita bertemu Dia. Saya selalu takut, saya hilang minat pada buku-buku dan majlis ilmu. Melihat buku-buku di khutub khanah UIA, saya berharap-harap dalam hati agar saya tidak pergi jauh dari dunia itu. Saya mahu fasa-fasa hidup saya dipandu dengan ilmu bukan sembrono berfikir dan membuat keputusan tanpa panduan. Terima kasih kepada Dr Mumtaz. Saya sangat teruja untuk terus mendengar kuliah-kuliah beliau tentang pemikiran kritikal menurut perspektif Islam. Maaf, saya harus berhenti. Harus studi untuk peperiksaan subjek itu Jumaat ini. Doakan saya.
BACA SELENGKAPNYA - Jom Buat Selepas Ramadan
0

Cerita Cinta dan Cita-cita

“Prol, ayah kau pesan pada ibu, belanja sekolah itu memang makin mahal tapi kalau anak kita punya cita-cita, duit itu bukan masalah kerana cita-cita itu akan memandu hidup anak kita,” jelas Bu Endang akan keengganannya untuk berkahwin dengan Pak Aji kepada Saprol.
“Kalau kamu punya anak, jadi seperti Bu Endang. Pelihara cita-cita anak kamu,” pesan Pak Haji kepada menantu dan anaknya, Fendi dan Sarah dalam genang air mata meredakan Bu Endang berhijrah. Petikan dari : Drama Kiamat Sudah Dekat

Apa cita-cita Saprol? Mahu jadi rocker. Pada Bu Endang, mempunyai anak yang punya cita-cita tidak kira apa cita-citanya adalah satu keberuntungan. Harus diusahakan cita-cita itu.

Saprol? Saprol akhirnya kerana berat untuk berpindah, meredakan ibu untuk berkahwin dengan Pak Aji. Kerana padanya, kalau berpindah pun belum tentu dia akan jadi rocker nanti. Cita-cita akan berubah. Kalau berbapakan Pak Aji, pasti tak perlu pindah. Hidup lebih mudah.

Pada Bu Endang, soal perkahwinan dengan Pak Aji masih samar. Hari ini, keputusan harus dibuat atas apa yang jelas dan yakin. Dia tidak harus bermain dengan sesuatu yang tidak pasti. Soal hati, memang payah dan lambat pula prosesnya.

Pak Aji, seperti Bu Endang. Kerana dia sendiri tidak pasti akan perasaannya. Akan keputusan terbaik terutamanya soal cinta /perkahwinan di usia tua ini. Lalu, memutuskan untuk meneruskan hasrat ke Tanah Suci Mekah bersama anak menantu dan kawan-kawan mereka tanpa memikir soal Bu Endang. Apa yang ada di tangan itu diusahakan. Apa yang masih samar dalam pertimbangan akal biarpun mungkin sudah lama jelas tertulis dalam takdir Ilahi harus diketepi dahulu.

Itulah akhirnya episod 1 siri ini. Ini kali kedua saya menonton ‘ending’nya. Pertama di TV9 dan kedua ini di saluran Suria, Singapura. Tapi kenapa ya, tak tertangkap isu di atas waktu nonton kali pertama.

Itulah cita-cita dan keyakinan kita pada Tuhan.
BACA SELENGKAPNYA - Cerita Cinta dan Cita-cita
Back to Top