Hati saya dibawa terbang. Hari ini ke India dan Sri Lanka.
Pagi-pagi saya saya menyibukkan diri di dapur; menggoreng terung, tahu dan tempe. Sambal kicap sudah saya siapkan sejak semalam. Sengaja saya buat lebih supaya senang. Saya sediakan untuk Cut, gadis Aceh di asrama juga ibu serta adiknya yang berkunjung ke Malaysia. Saya singgah bertemu Sarah, wanita India pertengahan 30-an di tingkat bawah untuk mengucapkan selamat berangkat, lalu saya tunjukkan tempe padanya. Dia membulatkan mata, terus mencicah tempe pada kicap, manarik nafas dan tersenyum menggeleng kepala. Maryam, it's good. it's tasty. Ustazah Aminah, wanita lewat 40-an saya kira, dari Sri Lanka turut menyertai sarapan pagi kami. Memang sengaja saya masak lebih. Kalau kebetulan Sarah dan Ustz Aminah menyukainya, satu tupperware sudah saya siapkan untuk mereka. Saya senang mereka menyukainya lebih-lebih lagi sambal kicap yang pedas itu. Sesetengah rakan Melayu saya, tidak menggemari tempe, justeru saya agak teragak-agak pada mulanya untuk memberi Sarah dan Us. Aminah merasa tempe goreng. Kak Jannah, gadis Aceh bersebelahan bilik Sarah mnghadiri program di Janda Baik. Jika tidak pasti meriah sarapan kami seperti sebelum ini. Saya menghantar mereka ke teksi yang akan membawa mereka ke KLIA. "Doakan saya dalam safar/perjalanan anda. Jangan lupa pulang ke mari." Sarah memeluk erat. Wanita tabah yang punya anak berusia 15 tahun itu, memeluk saya erat. Ust. Aminah terseyum. "La nansaki." (Kami tidak akan melupakan awak).
Begitu ukhuwah terjalin. Perkenalan yang singkat terutamanya dengan Ustz Aminah. Baru seminggu kami rapat saya kira. Tapi sudah cukup kuat membekas dalam hati. Berat melepaskan mereka pulang. Waktu cuti beginilah baru saya banyak masa luang mengunjungi mereka di asrama dan membiasakan lidah saya berbahasa Inggeris dengan Sarah dan berbahasa Arab dengan Ustz Aminah, bakal DR (PHD-bahasa Arab). Namanya pun cuti, justeru mereka harus pulang ke negara masing-masing dan saya juga akan pulang ke Johor.
Semalam juga ada tamu, rakan-rakan usrah. Biasanya kami buat di UIA tapi kerana kuliah sudah berakhir, masing-masing tidak berada di kampus, lebih baik usrah dibuat di rumah. Begitu kami memutuskan. Hidangan petang yang ringkas. Betik potong, Karamel dan teh dibubuh daun pudina. Saya harus menyediakan sesuatu yg boleh diterima tekak sahabat Columbia saya, Sakeenah. Dua orang lagi Melayu. Tiada masalah. Memang penggemar tempe dan sambal kicap saya. Hannan, seorang lagi juga dari Columbia tidak dapat hadir kerana harus menguruskan beberapa perkara sebelum anak kecilnya, Maria menjalani pembedahan mata hari ini. Agak terkocoh juga saya semalam. Kerana sepanjang pagi saya habiskan di HUKM bertemu doktor gigi untuk review perkembangan appliance yang saya gunakan. Keputusannya, harus bertukar ke treatmant plan seterusnya.
Kebetulan giliran saya membentangkan tafsir dalam usrah semalam. Kelam kabut saya bersedia. Mahu memasukkan info dan memaksa otak saya menterjemah segala kefahaman itu ke dalam bahasa Inggeris. Surah yang ringkas, padahal. Surah Quraisy. Tapi kerana harus dlm BI, saya harus bersedia. Tapi kami seronok membincangkannya semalam. Memikir tentang tradisi orang Arab yang berkelana ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syam pada musim panas. Mengapa Yaman pada musim sejuk dan Syam pada musim panas. Pemilihan itu bersebab. Dan tradisi itu kalau diteliti, masih diamalkan sekarang. Tradisi keluar dari negara pada kedua musim tersebut. Juga bercakap tentang padang pasir kontang tanpa arah dan petunjuk. Tentang Tuhan yang Maha Pengasih menganugerahkan mereka rasa selamat untuk berpergian, selamat untuk meninggalkan kota Mekah. Juga Tuhan yang Maha Pemurah yang menganugerahkan mereka rezeki.
Lalu kata Allah, kalau engkau tidak mahu menyembah Aku atas alasan-alasan tertentu, engkau masih tetap perlu menyembah aku kerana sebab yang mudah ini- Aku yang memberi engaku makan dan Aku yang menghadirkan rasa selamat dan menjamin keselamatan engkau dalam perjalanan jauh dan menjauhkan engkau dari rasa takut.
**********************************
Saya harus mengucap syukur kepada Dia yang menghadirkan teman-teman baik untuk saya semester ini. Ya, saya memang keseorangan semester lepas. Baru cuba-cuba kenal budaya UIA. Memahaminya. Maksud saya- cara hidup di sini. Bersendirian atau berkumpulan- mengikut bangsa atau negara atau benua. Saya? Saya memilih kedua-duanya. Menggabungkan semuanya. Saya selesa bersendirian ke mana-mana sejak di sekolah menengah lagi. Saya tak suka menunggu dan ditunggu. Tapi saya suka berkawan dan belajar dari manusia di sekeliling saya. Siapa pun anda, ingat, anda dialu-alukan menwarnai kanvas hidup saya. Terima kasih kerana menghulur dan menyambut jalinan ukuwah-nikmat kasih sayang anugerah Dia.
Blog Berhabuk
3 years ago
0 Komentar:
Post a Comment