Gotong royong dijalankan dua hari sebelum hari raya. Orang perempuan kemas surau dan sediakan sarapan. Orang lelaki kemas keliling kampung dan sediakan tempat sembelihan lembu.
Beberapa hari sebelum, Mak Zah datang berbincang minta emak usahakan kalau ada orang mahu turut serta korban tahun ini. Kalau tak cukup 7 orang, alamat tak bermaknalah Raya Haji tahun ini. Apalah ertinya Eidul Adha tanpa korban. Emak telefon sana sini bertanyakan kawan-kawannya. Masih ada 3 bahagian lagi.
Nampaknya niat yang baik dipermudahkan Allah. Korban selain melaksanakan tuntutan fardu kifayah, waktu untuk bersedekah ia juga salah satu cara mengeratkan silaturrahim antara kami sekampung dan mereka yang terlibat. Usai solat dan khutbah yang diimami imam dan khatib muda (anak-anak lelaki yang pulang bercuti), orang lelaki akan berganding-bahu melapah lembu, menimbang dan mengagih-agihkan. Selalunya, ayah saya yang akan pergi mengagihkan daging korban.
Kemudian, mereka akan beramai-ramai masak sup gear box. Kami yang perempuan di rumah, kena sabar jelah menanti hidangan sup panas. Biasanya orang perempuan Cuma kena siapkan sambal kicap untuk dimakan bersama sup dan sediakan rempah sup yang ‘dimasak atas darat’ (ditumis asing. Apabila daging sudah empuk, baru dimasukkan rempah). Tahun ini seperti tahun sebelumnya, hujan di pagi raya dan pagi ini hujannya lebih lebat. Tapi itu semua tidak mematahkan semangat kaum lelaki ini. Beberapa minit selepas usai solat waktu kami yang perempuan masih berbasa-basi bertukar salam dan cerita, mereka sudah berkumpul dekat dengan lembu. Kami yang perempuan menyaksikan penyembelihan itu dari atas surau. Akhir sekali pasti acara menjamu selera bersama-sama yang pastinya tak terlupakan. Iyalah,setahun sekali begini.
Dan seperti biasa, kami berazam agar tahun depan, ada rezeki lagi korban dijalankan di Kampung Usrah. Ini kali yang ketiga saya kira setelah bertahun-tahun kami tidak menghidupkan Eidul Adha kami dengan korban. Setelah pemergian Us. Borhan, Naqib merangkap Ketua Kampung Kg Usrah dan masa yang berlalu menyebabkan ahli-ahli usrah sudah tidak seperti dulu, kami generasi muda sangat berharap agar kampung kami kembali seperti dulu. Saya yang sempat merasai kegemilangan Usrah Rengit waktu di Parit Masjid sehinggalah ke pembentukan Kg Usrah di tanah yang dibeli secara lot oleh ahli-ahli Usrah Rengit sangat menghargai suasana lama yang banyak membentuk kami.
Anda mungkin tidak menemukan nama Kg Usrah pada peta Johor tetapi kalau anda tidak menulisnya di sampul surat, surat anda tidak akan sampai pada kami. Saya percaya, Usrah Rengit yang dulu banyak memberi kesan dan mentarbiah ramai orang sekeliling. Saya sendiri berharap anak-anak saya nanti dapat dibesarkan dalam suasana saya dibesarkan dulu. Tapi memang, sukar membentuk komuniti seperti itu lagi. Ada tidak ada, kami hanya mampu menghidupkan yang termampu, solat jemaah, usrah keluarga dan aktiviti bersama sedikit-sedikit.
0 Komentar:
Post a Comment