Saya harus bangun dari mimpi indah yang menguliti zon selesa saya.
Tahun baru, harus saya mulakan dengan penuh azam. Penuh sedar memahami ‘the big picture’ dan melalui hidup penuh ceria meninggalkan kerisauan semalam.
Saya hamba Dia, harus memahami tujuan hidup dan dunia tempat saya menumpang lalu sebelum kembali menemui Dia.
وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ }الأنبياء35
Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Dia, sejak saya belum melihat manis senyum, hijau daun dan biru laut, merasa hangat dakapan, nyaman angin dan sejuk air, mendengar kekek tawa, kicau burung dan kokok ayam, menikmati kasih insan dan nyanyi alam telah lama pemurah mengizinkan saya menjadi juara dari sekian banyak yang berlumba mahu mengenal dunia, kemudian menetapkan empat perkara untuk saya –rezeki, ajal kematian, amalan dan bahagia deritanya saya.
Ah, terima kasih Tuhan, kerana masih memberi rahmat untuk hamba yang kedekut amat mengintai waktu menunduk malu mengaku bisu mengucap rindu pada Engkau yang tak pernah lupa memberi ruang mencari peluang memahami hakikat – suatu kesempurnaan sebuah penciptaan seorang Maryam.
Maaf. Kerana setua ini masih merangkak memaham makrifat. Hanya syukur mampu dipanjat kerana masih sudi mencampak cahaya dalam hati.
Moga mampu menjadi… dari lilin ke purnama penuh.
1 Muharam 1430H
0 Komentar:
Post a Comment