0

Bahasa yang dirasa

Buku yang baik memang punya aura tersendiri yang mampu menerobos minda dan membelah jiwa menjadi ubat hati yang mujarab. Muqaddimahnya sahaja sudah mampu membuat kita teruja dan mahu terus membaca dan membaca. Saya antara orang yang senang tersihir dengan pilihan kata dan karangan bahasa. Saya pernah ‘sakit’ seketika selepas membaca sebuah novel (antara pemenang hadiah sastera). Saya dilanda ‘konflik diri’ sehingga saya pulang ke kampung. Di rumah pun saya memerap di dalam bilik dan menangis. Puas emak saya memujuk. Sangkanya saya putus cinta. Tapi sekarang bila membaca kembali buku itu, perasaannya biasa-biasa sahaja. Dahulu mungkin kerana saya masih keliru dan kabur tentang impian dan cita-cita lalu terkesan dengan cerita itu.

Dan untuk pengajian saya, saya banyak terdorong oleh bahasa Syed Qutb. Ayat pertama pada muqaddimah Fi Zilalnya sahaja sudah membuat saya jatuh cinta untuk terus mendalami ilmu tafsir. Saya juga sukakan cara beliau waktu mentafsir sesuatu ayat. Saya tidak ingat ayat apa, tetapi beliau menulis lebih kurang begini –“ saya masih tercari-cari kaitan perkara ini dan ini. Kalaulah anda, pembaca menemukan pertalian antara keduanya, kongsikanlah bersama saya.” Ulama Ulum Quran yang terkemudian ada yang berpendapat bahawa manusia akan terus menemui mukjizat-mukjizat baru Al-Quran yang lain daripada yang sedia diketahui. Ya, I’jaz al Quran ini akan selalu ada membuka hati-hati yang mencari dan akal yang mahu berfikir. Kita yang pelbagai bangsa, berbeza bahasa dan berasingan lokaliti ini mampu disatukan dengan petunjuk Al-Quran yang sama isinya di seluruh dunia. Tiada beza. Bezanya cuma, uslub yang mana mengetuk hati kita. Ada pelbagai pendekatan al-Quran dalam mendekati pembacanya. Ada orang terpesona dengan pengulangan ayat-ayatnya, ada yang terpukau dengan kehebatannya mengungkap fakta saintifik waktu belum wujud sebarang kajian empirical dengan teknologi canggih, ada yang teruja dengan rima ayatnya, ceritanya dan pelbagai lagi.

Saya sebenarnya menulis entri ini selepas terpesona dengan muqaddimah Dr. Ahmad Shalabi dalam bukunya- Muqaranah al-adyan/perbandingan agama. Mahu saya kongsikan sedikit ungkapan-ungkapan menarik daripadanya.. Mohon diterima terjemahan saya yang ‘kureng’ ini.

“Ya Rabb. Sesungguhnya antara saat paling indah sepanjang umur adalah sewaktu seseorang itu sampai pada tujuan yang diingininya. Dan aku, dengan bantuan Engkau telah sampai pada tujuan yang kuharapkan dalam bidang pengajian ini.
Ya Rabb. Aku telah memasuki bidang perbandingan agama di antara harapan dan ketakutan. Kemudian, harapan itu mengatasi ketakutan dan bertukar menjadi reality…..
Ya Rabb. Aku bersyukur kepada Engkau seperti syukur orang yang mengetahui hakMu dan mengakui yang kejayaannya adalah daripada Engkau dan hidayahMulah yang mengilhamkanku taufik dan memberikan cahaya di hadapanku.”

Saya berdoa agar diberi kesempatan menelaah buku-buku hebat karangan mereka yang hebat kerana saya tidak tahu entah bila baru berkesempatan berguru dengan mereka-mereka seperti Dr Fadl Hasan ‘Abbas dsb. Untuk anda juga, moga cinta ilmu tidak hilang di hati kita.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top