0

Terima Kasih, Cikgu



تعلم فليس المرء يولد عالما وليس أخو علم كمن هو جاهل

Belajarlah, kerana manusia itu tidak dilahirkan terus menjadi alim
Dan tiadalah orang alim itu dapat disamakan dengan orang jahil


Guru memberi banyak. Bermula daripada senyuman, salam, patah-patah perkataan yang dilontarkan hinggalah kemarahan dan tegurannya selalu menyemai minat, menyuntik inspirasi, membakar semangat, menumbuhkan harapan dan memberi cahaya pada hidup.

Dia contoh, dia qudwah, dia ikutan, dia sumber inspirasi, dia pembimbing rohani, dialah guru. Justeru, hadiah apa selayaknya buat menghargai dia atas segala tunjuk ajar, jerih payah, tenang sabar, marah tegurnya sehingga kita menjadi kita hari ini. Saya teringat, cikgu-cikgu waktu di sekolah selalu mengucapkan; kami tak harap sebarang balasan, hadiahkan kami dengan kejayaan, cukuplah.




Sempena Hari Guru, 16 Mei, saya mahu berjeda sebentar, mengingat kembali kenangan saya dengan guru-guru yang memimpin dan membimbing saya. Terima kasih tidak terhingga, jazakumullah khairal jaza’ untuk semua yang pernah mendidik dan mengajar saya walau satu huruf sekalipun, walau sekelumit pengalaman yang dikongsi bersama, walau sepatah teguran yang menghiris hati, walau hamburan kemarahan yang menggongcang jiwa…terima kasih. Saya belajar menjadi dewasa dengan segalanya.

Saya mahu mengakui, minat dan jurusan yang saya pilih hari ini adalah kesan kekaguman saya pada contoh yang dipamerkan guru-guru saya di sekolah menengah. Juga, banyak pesan guru yang saya jadikan antara prinsip dan panduan saya menyelesaikan masalah hari ini. Saya cemburukan ilmu guru-guru saya, kesabaran mereka, akhlak dan budi mereka, ketenangan yang terpancar juga faham hidup mereka yang mengkagumkan saya.

Satu yang paling saya kagumi, mereka tidak perlu bicara menggunakan ayat bombastik, sedikit ungkapan sudah mengesankan dan menusuk ke hati. Saya percaya, mereka beramal dengan ilmu yang mereka curahkan. Itu rahsia yang semua orang tahu tetapi sedikit amat yang mampu mencapainya. Saya masih bertatih, masih berasa terlalu kerdil bila membandingkan antara ilmu yang saya tahu dengan amal yang saya lakukan.

Pesan saya pada diri, pada yang membaca, pada yang bergelar murid juga pada ibubapa, hormati dan hargailah guru. Rasul s.a.w bersabda:
“ Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajarilah juga dengan ilmu itu ketenangan jiwa dan kerendahan hati serta rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajari kamu.”

Syauqi dalam syairnya bermadah:

قُم للمعلم وَفِّهِ التَّبخِيلا كاد المعلمُ أن يكون رسولاَ
أعلمتَ أشرفَ أو أجلَّ مِن الذي يَبنِي ويَنشِيء أنفُسا وعُقُولاَ

Berdirilah tanda hormat kepada guru dan sempurnakan sanjungannya
Hampir sahaja guru itu seperti Rasul
Tahukah engkau siapa yang lebih mulia
Ialah orang yang mendidik jiwa dan menyuburkan akal fikiran

Dedikasi ini teristimewa untuk guru-guru saya sejak kecil:
Tadika Islam Rengit, Sekolah Kebangsaan Rengit, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang, Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Akademi Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, guru-guru di Damsyik, Syria, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga semua yang mengajar saya mengenal Tuhan, memaham hidup.
بارك الله فيهم وجزاهم خير الجزاء.

Juga ingatan untuk bekas teman-teman sekerja saya, guru-guru di Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak yang banyak membantu saya memahami tugas seorang guru. Buat teman-teman yang bertugas sebagai guru, pendidik- siruu ala barakatillah. Pada anak-anak murid saya – Belajarlah dan terus belajar. Moga nyalaan cinta ilmu takkan padam di hati kalian

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top