MALU SEORANG PEREMPUAN

Dari Ibn Majah, sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya bagi setiap agama itu, akhlak tertentu. Dan akhlak Islam adalah sifat malu. Menelusuri buku Qisas al-Quran al-Karim tulisan Dr Fadl Hassan Abbas, saya tertarik dengan kupasan beliau pada ayat di bawah waktu membawakan kisah Musa bertemu dua orang perempuan; anak kepada Syeikh Madyan di dalam al-Quran:
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا
"kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu(malu) sambil berkata:" sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami".

Ulas beliau, malu itu hiasan seorang perempuan.

Pada ayat ini, ada 2 cara waqaf(berhenti) :

1)فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي . Kemudian mula kembali dgn membaca عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ ( dalam keadaan tersipu-sipu(malu) dia berkata )
~ Waqaf begini menunjukkan sifat malu waktu berkata-kata~
atau

2) فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ (berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu)
Kemudian mula kembali dgn membaca قَالَتْ إِنَّ أَبِي
~Waqaf begini pula menunjukkan sifat malu waktu berjalan~

Dr Fadl menyimpulkan: kedudukan kalimah(عَلَى اسْتِحْيَاءٍ) di antara dua kalimah (تَمْشِي)dan قَالَتْ memberikan gambaran bahawa sifat malu pada seorang perempuan baik-baik itu harus ada pada perkataan dan perbuatannya.


Waktu bicara tentang ayat ini bersama seorang teman saya, kami sama-sama termenung menopang dagu dan tergelak malu sendiri berkata; haya nisaii(malu seorang perempuan) itu tidak begitu ada pada kita, ya. Bagaimana gambarannya ya? Ngak pa pa, masih ada sifat pemalu itu pada diri kita kan, bilang teman saya, Cut gadis Acheh yang sangat percaya diri dan mandiri. Yang penting kan malu yang dasarnya iman. Malu untuk berbuat munkar dan maksiat yang dilarang Tuhan.

Benar, seorang perempuan itu ada aturan bagaimana mahu menuturkan kata di hadapan lelaki ajnabi, juga bagaimana seharusnya tingkah laku perbuatannya. Al-Quran telah mebentangkan manualnya dan tajribah hidup sudah membuktikan akibatnya jika seorang perempuan( lelaki juga) tidak patuh pada manual itu. Malu itu perisai. Seperti sifat takut juga. Harus ada dalam diri semua kita perempuan supaya lebih hati-hati menjaga diri. Tapi tetap ada peratusnya. Tidak boleh berlebihan malu atau takut. Seperti garam dalam masakan. Biar cantik, tampak enak menyelerakan, tanpa garam, selera jadi mati. Terlebih garam, begitu juga.

Syeikh Hassan dalam kuliahnya tentang malu menyebut Haya' (malu) menurut Ibn Qayyim daripada hayat(hidup). Hujan / al Matar dipanggil haya kerana apabila Allah menurunkan hujan, ia menghidupkan bumi yang mati. Begitulah Allah menghidupkan hati dan ruh dengan malu. Malu akan membuat kita meninggalkan perkara-perkara buruk samada dari segi percakapan, perbuatan atau akhlak dan mengelakkan kita daripada terkurang daripada melaksanakan hak kepada yang berhak.

Malu menurut beliau terbahagi kepada dua bahagian:

1) Malu Fitrah/Jibilliyy/Gharizi
contoh malu jika tidak berpakaian di hadapan manusia. Malu fitrah ini kalau diperhatikan semkain hilang daripada manusia.

2) Malu Iman/Muktasab
diperolehi jika kita kenal Tuhan kita. Tidak akan lahir kecuali kita merasai bersyukur atas nikmat Allah dan merasa kekurangan atas hak-Nya yang tidak kita penuhi. Dengan segala nikmat yang Tuhan beri, maka kita akan jadi malu sendiri pada Dia yang telah memberikan segalanya kepada kita. Malu ini akan dapat kita perolehi dengan ketaatan kita kepada Allah.

Lihat bagaimana Allah Yang Maha Mengetahui dan Melihat segala amal perbuatan, mengetahui segala dosa kita tapi Dia tetap melindunginya, tidak memperlihatkannya pada manusia lain. Memikirkan ini, saya kira, kita harus jadi sangat bersyukur. Betapa kitalah manusia yang selalu lalai dan leka, alpa terkadang hingga tak terlepas daripada berbuat dosa. Tapi Tuhan masih sangat menyayangi kita. Sangat...! Dosa itu kekal antara Dia dan kita. Allah tahu kita tak kan tertanggung malu jika ia terdedah kepada manusia. Ya Rabb, Allahummas turna wala tafdahna. Allahummar zuqna hayaan.( Ya Allah tutupla rahsia kami dan janganla engkau dedahkannya, Ya Allah kurniakanlah kami sifat pemalu) .

Bagaimanakah praktikalnya sifat malu itu? Dan apa pentingnya malu itu? Malu akan menjadikan kita anak yang hormat pada orang tua, hamba yang merendah diri daripada sifat tamak, riya'. Akan mengelakkan kita daripada berbuat yang haram tak kira dari segi apa, makan, berfikir, melakukan...Malu untuk tidak menyempurnakan tugas dan kewajipan seperti yang sepatutnya. Begitu malu itu menjadi perisai kerana malu itu satu bahagian daripada iman.

Hari ini, saya mahu mengatakan kepada diri saya, seorang perempuan; sesungguhnya hiasan terbaik seorang perempuan adalah sifat malu. Aduh,serasanya Syaidina Uthman itu beribu kali pemalunya daripada saya.

1 Komentar:

Shikin said...

Bonda, artikel yang cukup mantap! Syukur, DIA mengurniakan ilham buat bonda untuk dikongsi bersama... ALHAMDULILLAH...

Post a Comment

Back to Top