Sesekali bila rindu datang menyapa, saya pejamkan mata membeli kad panggilan antarabangsa. Sesekali… buat melunas rasa di hati, sesekali…tanda ingatan yang tak pernah putus pada guru-guru yang telah menanam cinta Al Quran dan cinta ilmu pada saya. Anisah Maryam ‘Iwad, itu nama guru Al-Quran saya. Di Syria, kami memanggil guru-guru perempuan dengan panggilan Anisah. Maryam li Maryam, kata guru-guru lain saat mengetahui nama kami sama.
Selepas bertukar salam, soalan pertama yang pasti akan ditanya pada saya ialah; kaifa hal Al Quran ma’aki? Bagaimana khabar awak dan Al-Quran ? Dan soalan itu akan ditanya berkali-kali. Juga ditanya jika saya sudah mula mengajar Al Quran. Dan soalan terakhir sebelum gagang diletak yang selalu membuat saya hilang kata… sudahkah kamu mula menghafaz Al-Quran? Saya kehilangan dalih selalunya. Memang saya akur, saya tidak berusaha pun melainkan mengulang surah-surah yang pernah saya hafal dan cuba menghafal ayat-ayat baru yang menarik perhatian saya. Kerana saya kira, memang saya harus ada cukup azam untuk menghafal. Dan saya tidak punya itu. Justeru, selalu saya dalihkan pada hati, belajar tafsir itu lebih penting. Memahami dan cuba mengamal isinya lebih baik. Kata orang, makin bertambah usia, makin kurang kemampuan hafazan. Tapi makin meningkat kemampuan untuk faham sesuatu. Usia emas untuk menghafaz itu sehingga 23 tahun. Saya sudah beberapa tahun melepasi usia itu.
Begitu, hubungan guru-guru saya dengan Al-Quran. Sangat akrab. Sehingga bual bicara pun tak harus lari dari itu. Anisah Maryam itu usianya setahun lebih muda dari saya. Orang tegas, serius dan jarang bicara soal peribadi dengan saya. Berbanding teman-teman saya yang boleh berbicara sedikit bebas, antara saya dan Anisah Maryam penghubungnya cuma Quran. Cuma saya ingat waktu saya sedikit sukar dan putus asa dengan bacaan saya, dia cuba menenangkan ketegangan saya. Waktu itulah dia bertanya tentang peribadi saya. Tentang keluarga saya. Berapa orang adik-beradik saya. Tapi tetap pada soalannya, ada latihan untuk makhraj Kho yang saya selalu gagal mengeluarkannya dengan betul. Kam ikhwah ‘indak? Kam ‘umru akhik?
Di sini, saya cuba meminjam semangat dan kesungguhan guru-guru saya. Waktu Magrib, saya pastikan saya sudah berada di rumah, tidak lagi bebas melepak di bilik kawan-kawan di UIA atau berlama-lamaan di maktabah. Anak-anak jiran saya pasti tidak lepas dipaksa ibu mereka mengaji. Tapi mereka anak-anak yang taat. Jarang membantah. Juga akan gembira kalau melihat motor saya belum berada di parkirnya. Kak Maryam takda, cuti mengajilah hari ni. Anak-anak, sekitar 8-11 tahun sangat cepat menangkap pengajaran. Biar ada juga terkadang ambil lewa dengan sesetengah hukum atau berlumba untuk cepat habis membaca. Maka menjeritlah saya. Nun sabdu, mim sabdu berapa harakat? Mad wajib berapa? Ni keretapi nak pergi mana?
Bulan ini saya ada cabaran baru, mengajar pasangan suami isteri sekitar 30-an dan emak si suami. Masih awal untuk saya bercerita. Tapi ada beberapa perkara menarik hati saya. Si isteri yang bersungguh pada mulanya lebih-lebih lagi selepas bermimpi dia melihat kuburnya dan suami. Si suami bertanya pada saya pada hari pertama saya mengajar mereka. Agak-agak umur macam kami ni, boleh belajar tak..ok tak, boleh ke? Saya senyum. Tak da yang namanya terlambat bila nak belajar ni. Mungkin untuk belajar ilmu lain ada sedikit sukar. Tapi percayalah, Quran ni lain. Ia ada mukjizat tersendiri. Yang penting, kita nak. Kita ada niat, ada azam, ada kesungguhan. Percayalah, Allah akan bantu. Dan waktu si suami agak lambat mengingat huruf dan selalu tersilap. Saya ingatkan pesan guru saya waktu saya menangis di Syria kerana mutu bacaan saya yang paling teruk saya kira antara kami berempat. Waktu saya sukar menyebut kho, waktu saya gagal menyebut huruf sofir – sin, sod dengan betul kerana susunan gigi saya pada waktu itu(cross bite). Pesan dari hadith- orang yang membaca lancar tanpa sukar mendapat satu pahala dan bagi mereka yang membaca terbata-bata, agar sukar, maka baginya dua pahala.
Saya senang hati mendengar laporan dari kawan saya, teman isteri si suami. Untuk pertama kalinya dalam hidup, kata si isteri, suaminya menyuruh solat. Kemudian, sama-sama mereka membaca Iqra’. Saya mahu berdoa terus…tolong…tolong ikut berdoa bersama saya. Moga Al-Quran dengan mukjizatnya akan menjadikan mereka istiqamah dengan perubahan mereka. Moga Allah akan anugerahkan hidayah dan taufiqNya sentiasa untuk mereka. Saya mendengar beberapa cerita kurang menarik tentang kehidupan rumahtangga mereka sebelum ini. Justeru, saya harap Al-Quran ini akan terus menyatukan mereka. Dan moga malam Sabtu dan petang Ahad saya akan selalu lapang untuk mereka. Moga saya tak menjadi guru yang malas. Saya terkenang guru-guru Al Quran saya yang sanggup menghabiskan masa dari jam 7 pagi hingga 7 malam bersama kami. Jam tujuh pagi musim sejuk, saat semua orang lena dibawah selimut tebal, mereka datang menaiki perkhidmatan awam untuk kami. Demi Al-Quran. Saya, guru yang dijemput dan dihantar ini, mahu memberi alasan apa pula?
Sahabat, tidak pernah ada istilah terlambat untuk belajar. Untuk selalu memperbaiki diri. Dulu saya kira bacaan saya sudah bagus, malah boleh mengajar orang lain. Tapi di Syria, sebaliknya. Hingga saya merasakan itulah pelajaran paling susah saya pelajari. Dua bulan untuk menyudahkan 30 juzu’ Al Quran dengan tajwid yang betul memang cukup mencabar. Dengan tidur yang terbatas dan kurang peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di Syria, Alhamdulillah…rupanya anugerah Al-Quran ini lebih berharga dari segala yang kami terlepas darinya. Al Fatihah buat Syeikh Mukhyiddin Hasan Kurdi yang pergi beberapa bulan lalu, Syeikh yang menguji bacaan kami usai kami menyelesaikan Al Quran seluruhnya. Moga Al Quran jadi saksi amalannya. Juga moga Allah berkati kehidupan guru-guru saya.
Ya Allah, hidupkan hati kami dengan cinta Al Quran, sinarilah hidup kami dengan cahayanya. Jadikan kami orang yang mengambil panduan dan mengamalkan pesannya. Amin, Ya Robb.
1 Komentar:
Hmm..best tulisan ko ni..menyentuh naluri.. rindu plak aku kat ko maryam.
Post a Comment