وخير خصال المرء طاعة ربه ولا خير فيمن كان لله عاصييا
Sekiranya seseorang belum mengenakan pakaian taqwa,
Masih ia dianggap telanjang biar berpakaian,
Sebaik-baik perilaku hamba adalah ketaatan kepada Tuhannya,
Tidak ada kebaikan bagi orang yang bergelumang dengan dosa
Kata-kata, pesan, peringatan bukanlah terlalu sukar untuk sampai ke pendengaran kita terutama jika kita dikurniakan teman-teman yang baik atau bertemu buku-buku yang baik. Bezanya, ia kadang-kadang sukar untuk sampai ke hati. Tapi ada masa dan ketika tertentu, kata-kata yang sering singgah di telinga itu segera masuk ke dasar hati. Menyentuh. Kerana masa yang betul, mungkin juga kerana orang yang betul. Cuma, perubahan memerlukan kekuatan hati, kefahaman yang jelas dan kesungguhan. Menjadi lebih baik memang dituntut dalam kehidupan seorang Mukmin. Kita kadang-kadang merasa selesa, merasa sempurna, merasa cukup sebagai orang biasa yang memiliki iman yang biasa juga. Tapi imankan bertahap. Makam manusia di sisi Tuhan berbeza sesuai dengan beza ketaqwaannya. Kalau berkerja, kita sentiasa mahu kenaikan gaji saban tahun atau kenaikan pangkat. Justeru di sisi Tuhan, selalukah kita menilai, memuhasabah dan bekerja keras untuk ‘naik pangkat?'Di mata Dia. Dalam berkawan pun ada tahapnya. Kenalan, kawan, teman baik, kawan rapat, sahabat dan pelbagai lagi perkataan yang setiap satu mempunyai konotasi tersendiri.
Tapi memang, untuk keluar dari zon selesa(comfort zone) bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi kalau mahu istiqamah dengan perubahan. Berubah memang mudah. Hari ini begini, esok, tukar kepada perkara baru yang kita inginkan. Tapi untuk memastikan kita kekal dengan perubahan tersebut pada hari-hari seterusnya bukan mudah. Sesetengah orang, untuk berubah itu sendiri sukar. Belum bicara tentang konsistensi. Kerana takut dikata orang ‘dah buang tebiat?,’ ‘nak mati ke?’, ‘demam ke?’ atau mungkin juga berperang dengan diri sendiri. Contoh, apabila sesuatu itu sudah jadi kebiasaan dan bukanlah ia satu kesalahan dari segi ‘uruf’ (kebiasaan setempat) dan mungkin juga kerana ada perbezaan pandangan ulama’, justeru, untuk mengambil pendapat yang lebih ‘syadid’ atau tegas, ia menjadi dilema. Mengapa mahu berbeza sedangkan menjadi biasa itu kan lebih baik, tidak perlu menghadap pelbagai persoalan. Tapi bak kata ustaz, jadilah ghuraba’. Orang asing. Berbeza. Bila orang bertanya mengapa bermakna orang bersedia untuk mendengar. Peluang dakwah lebih baik. Berbanding kita yang berbuih mulut bercakap kepada orang yang akalnya beku untuk mendengar. Dakwah bil hal. Anda berjalan… dan keindahan Islam tergambar daripada peribadi anda. Anda menjadi magnetik. Menarik manusia mendekati, mencontohi.
Dalam kursus Nuqaba’ dua semester lalu, waktu membincangkan tentang bagaimana menghadapi fitnah akhir zaman, Ustaz Ismail Chong Abdullah mencadangkan tiga formula– 3 G/Ghin.
1) Ghuraba’- menjadi asing/berbeza. Hadith sudah menyebut, beruntunglah mereka yang berbeza. Berbeza untuk mempertahankan iman dan Islam.
2) Ghaza- menyebut Ghaza akan mengingatkan kita kepada perjuangan antara hak dan batil yang tidak akan pernah selesai sehingga hari kiamat. Justeru, ujian itu lumrah. Untuk melihat siapa yang sabar.
3) Ghilaf- ghilaf bermakna penutup. Setiap sesuatu perlu dilindungi untuk menjaganya.Seperti kita menutup makanan untuk melindungi daripada kekotoran dan serangga. Seorang ‘alim didatangi oleh seorang lelaki yang memohon nasihat daripadanya. Lalu beliau berkata: Sediakan penutup/pelindung bagi agamamu seperti penutup Mushaf. Lalu si lelaki bertanya, apakah pelindung agama? Jelas beliau, tinggalkan berkata-kata kecuali untuk perkara yang perlu, tinggalkan dunia kecuali apa yang perlu bagimu dan tinggalkan bercampur gaul dengan manusia kecuali apa yang perlu bagimu. Ketahuilah, zuhud itu bermula dengan menjauhi yang haram; yang kecil atau besar, menjalankan segala kefarduan;yang susah atau senang, dan tinggalkan dunia kepada ahlinya; urusan yang kecil atau besar.
Bukankan disebut di dalam hadith; sebaik-baik perkara bagi seorang Muslim adalah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya. Ya, dengan masa yang terbatas dan kewajipan yang terlalu banyak untuk diselesaikan, mengapa masih menyia-nyiakan waktu dengan perkara yang tidak memberi nilai kepada peningkatan diri sebagai Mu’min…? Wahai diri…
ضدان يا أختاه ما اجتمعا دين الهدى، والفسق والصد
والله ما أزرى بأمتنا إلا ازدواج ما له حد
1 Komentar:
salam. akak... terimakasih pencerahan-nya :)
yuk, naik pangkat naik gaji ! lho? hehehehe. kesimpulan yang aneh kah? ^_^ Bolehkan kita memacu diri menuju perubahan untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya pahala?susah juga ya murni nak mengharap ridha Allah saja. Tapi kalau gunakan pahala sebagai alat pancing bolehlah ya agaknya?hehehe daripada gerak monoton di jurang dosa selalu :D
Anyway...tulisannya boleh dikirimkan ke magazine ni kak ;)
Post a Comment