Bukan mudah berorganisasi. Menyusun barisan penggerak sesuatu aktiviti memerlukan kesabaran lebih-lebih lagi jika latar belakang berbeza. Pendidikan dan pengalaman adalah ukurannya. Banyak pula faktor sampingan yang harus diurus dengan bijaksana. Orang tua merasa lebih makan garam; terkadang menjadi sangat berhati-hati. Orang muda semangatnya menyala, tak mudah kalah sebelum mencuba; terkadang menjadi terlalu terburu-buru. Bukan mudah mengimbang semua ini dalam sebuah organisasi. Bangsa ini budayanya begini, bangsa itu lain pula gayanya. Akhirnya, kalau sama-sama memasang niat, ikhlas demi Islam, bertolak ansur dan berlapang dada, memakai adab dan akhlak Islam, segalanya pasti berjaya. Tapi memang bukan mudah. Bukan. Sehingga saya hampir merasa menjadi lone ranger itu lebih mudah biar beban bertambah. Tapi saya tidak akan belajar banyak jika begitu, juga tidak memberi peluang kepada orang lain untuk mengajar dan belajar. Saya harus selalu semat pesan ustaz dalam diri. Lebih ramai yang awak kenal, lebih banyak yang awak belajar dan lebih peluang untuk menyumbang. Hidup untuk memberi akan jadi lebih bermakna. Ilmu dapat dikongsi sebelum ditanya, kelak…di hadapan Dia. Seminggu yang padat selesai. Saya belajar banyak minggu ini. Berorganisasi adalah satu seni. Didapati dengan sabar, pengamatan dan pengalaman. Ia adab ahli ad-Dunya kalau ditanya pada ustaz. Rabu, Talk on Simple But Meaningful: A Life’s Perspective untuk anak-anak Halaqah gabungan lima kumpulan. Lebih kurang dua ratus lebih pelajar terlibat. Saya jemput Kak Mas dan Kak Wyder daripada Dream Team. Alhamdulillah. Sabtu, Camp Assessment untuk pelajar Fardu ‘Ain. Semester ini kami mengambil cabaran menjalankan sesuatu yang berbeza dari sem lalu. Asalnya adalah cadangan dari Bro Kamal untuk mengadakannya di kawasan Male Sport Complex. Ruang permainan dan padang yang luas dengan pohon-pohon hijau. Lalu program ini mendapat namanya; Raudathus Solihin. Lebih kurang tiga ratus lebih pelajar terlibat. Saya terpaksa menjadi sangat teliti untuk mengurus pengisian ala-ala Treasure Hunt. Alhamdulillah, walaupun sedikit sukar sehingga mesyuarat-mesyuarat kami kadangkala jadi tegang namun kedewasaan masing-masing membantu. Ini ibu beranak tiga, perspektifnya pasti berbeza untuk mengawal pelajar seramai itu. Ini penggerak yang tidak pernah tahu tentang permainan penuh dengan check point, kerisauannya perlu ditenangkan. Pepatah arab mengatakan, kita akan jadi musuh kepada sesuatu yang kita tidak tahu. PERSPEKTIF. Lalu untuk menjadi pemimpin yang berjaya, harus memahami latar yang pelbagai dan bijak mengurusnya. Kesannya, jiwa tidak cepat marah dan rasa tidak puas hati akan mudah didiamkan. Tapi bukan mudah untuk menjadi se’sensitif’ ini. Kerana seseorang kalau punya jiwa pemimpin, ketua, selalu mahu sesuatu dengan segera, sempurna. Perfect, zero defect! Tapi menjadi Mr/s Perfectionist juga bukan sesuatu yang mudah. Kerana kesakitan itu harus ditanggung sendiri. Kerana malas melayan ‘kelembapan’ sesuatu kerja, atau ketidaksempurnaannya, seseorang lebih rela menanggung beban bertambah yang sepatutnya boleh dikongsi bersama. Atau kerana minda ‘tak mahu menyusahkan’ orang lain juga. Semua ini tidak patut ada dalam organisasi yang berjaya. Muslim terutamanya. Sempurna? Siapa yang sempurna. Manusia diciptakan untuk saling memerlukan. Saling menyempurnakan. Mukammil. Seperti Allah mencipta Hawa pelengkap kepada Adam. Justeru, berorganisasi akan mengajar banyak. Mengajar sabar, mengajar kita melihat ke dalam diri, memuhasabah. Menghargai kelebihan anugerah Tuhan pada kita dan pada mereka di sekeliling kita. Bukan mengajar hasad(envy). Kalau cemburu (jealous) itu biasa. Tapi hasad itu bahaya. Sifat milik ahli kitab dahulu. Hasad itu apabila kita merasa cemburu terhadap nikmat yang Allah beri kepada orang lain dan kita mahu nikmat itu ditarik dari dia. Seperti ahli kitab hasadkan nikmat nubuwwah(kerasulan) pada Muhammad. Lalu, berhati-hatilah kita dari terpalit dengan salah satu dari empat rukun kufur ini- hasad.
Bercakap tentang cemburu, minggu lalu, saya cemburukan seseorang. Cemburukan ketekunan dan fokusnya pada ilmu. Cemburu dengan keberkatan waktu yang Allah anugerahkan padanya. Lalu saya berdoa memohon keberkatan waktu. Saat diuji dengan kesibukan berganda minggu ini, saya hampir collapse. Waktu yang padat sehingga saya hampir demam dan kekurangan tidur. Saya yang meminta hidup saya diisi sepenuhnya, lalu kenapa mahu merungut sekarang? Saya masih kalah memaham makna hidup. Hidup sebagai Muslim. Muslimah! Ingatan Dia dalam kalam-Nya (alMaarij:19-22), Sesungguhnya manusia itu diciptakan dalam keadaan berkeluh kesah. Jika dia ditimpa keburukan, dia akan merungut. Dan jika menerima kebaikan, dia jadi kikir. Kecuali orang-orang yang solat. Begitu… kembalilah padaNya, Tuhan yang mengatur dan membolak-balikkan hati.
0 Komentar:
Post a Comment