0

Sabarlah Hati!

وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
Sabar…mudah melafazkannya tapi sangat sukar meletaknya dalam hati saat diri ‘disentuh’ ujian. Sabar itu; tetap hati dan kuat menanggung kesakitan dan musibah. Juga meletakkan penyerahan penuh kepada Allah, yakin serta redha dengan Qada’ dan Qadarnya.

Dari mana datangnya sabar? Ia natijah dari kefahaman yang benar. Sesiapa yang menemui jalan yang betul dan mengetahui hasil dan akibat jalan itu, akan mampu menempuhinya dan bersabar atas apa yang akan dihadapinya. Sabar juga adalah sebab untuk kita menambah kefahaman dan ilmu dan sebab untuk kita mencapai tujuan hidup. Sabar itu natijah pada apa yang telah berlaku dan sebab kepada apa yang akan berlaku selepasnya. Ilmu membuahkan sabar dan sabar melahirkan lebih kefahaman dan kesedaran. Begitulah kitar kehidupan kita.
Justeru kita harus faham setiapa sesuatu yang berlaku, juga amal yang kita lakukan adalah natijah kepada yang sebelumnya juga sebab kepada apa yang akan datang. Sebagai contoh, sesiapa yang mengetahui dan merasakan bahawa belajar Al-Quran, faham dan berpegang dengan ajarannya itu penting untuk menukar biah yang tidak elok dalam masyarakat, akan dapat bersabar untuk sentiasa mendampingi Al Quran dan belajar isinya. Kerana pengajiannya akan memberikan dia kefahaman dan kesedaran yang lebih baik. Bagitulah Rasulullah s.a.w mengajar sahabat tentang sabar dan istiqamah dalam melakukan kebaikan yang akan menghasilkan natijah yang diharapkan.

Kita, adalah mereka yang sukakan kemudahan dan mahu segala-galanya tercapai segera. Terkadang menjadi terlalu terburu-buru untuk mendapatkan sesuatu. Kita mahu benih yang disemai hari ini segera menjadi pokok selepas dua hari. Begitu kejahilan kita tentang tabiat tumbuhan. Terburu-buru dan jahil, itu pasangannya. Terburu-buru; ia seolah-olah kita mahu mengatasi tabiat dan peraturan sesuatu. Lawannya adalah cuba memahami sunnah dan tabiah setiap sesuatu dan berusaha mencapainya dengan meminimakan waktu dan usaha. Terburu-buru adalah seperti kita masuk rumah melalui bumbung atau dari tingkap belakang rumah contohnya berbanding memilih jalan yang sepatutnya; masuk melalui pintu.

Sabar itu wahai hati, adalah seperti engkau menanam benih di dalam tanah. Kemudian engkau menyiram dan menjaganya setiap hari. Dan engkau tunggu sehingga ia tumbuh dan membesar menjadi pokok seterusnya mengeluarkan buah. Dan bukanlah sabar itu seperti yang difahami sesetengah orang; menunduk, berserah pada keadaan dan takdir tanpa ada usaha untuk mengubahnya.

Sabar itu, sabar berusaha dan sabar membina hidupmu. Sabar melakukan kewajipanmu. Sabar mendaki gunung cita.
ومن يتهيب صعود الجبال يعش ابد الدهر بين الحفر

Seseorang bertanya kepada seorang ahli falsafah, apa yang perlu aku buat, aku tidak sabar dalam menuntut ilmu. Maka jawab failasuf itu, justeru hendaklah engkau bersabar terhadap kesengsaraan kesan daripada kejahilan engkau nanti.

Begitulah yang wajib engkau fahami wahai hati tentang sabar. Dengan sabar inilah Allah menghapuskan kesilapan engkau dan menambahkan pahalamu.
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
Dalam sebuah hadith pula disebut, tidaklah seseorang hamba itu diuji dengan kesusahan, kesedihan walau cucukan duri melainkan Allah menghapuskan dosa-doanya.

Sabar yang sebenar itu hati, kerana ia lahir dari kefahaman yang betul, tidak akan membiarkan engkau merasa tertekan. Betapa kesabaran itu juga terkadang hancur hanya dengan engkau marah dan membentak sesaat. Lalu rugilah engkau dari segala pahala dan penghapusan dosa yang dijanjikan Tuhan.
لحظة يا صاحبي إن تغفل ألف ميل زاد بعد المنزل

Sungguh, sabar itu kekuatan yang perlu selalu dilatih dalam diri...perlu lahir dari kefahaman dan tidak akan diperolehi tanpa usaha mendaki puncak yang jalannya penuh jurang dan liku.

Dipetik dan diadaptasi dari ‘Adwa’ min Surah Luqman’ oleh Hannan Lahham, terbitan Dar Al-Thaqafah, Damsyiq.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top