2

'Umar, Moga Dapat Bertemumu

Lama saya memendam mahu menulis tentang dia, seorang pemimpin ulung; Syaidina Umar al Khattab. Menulis sedikit, kemudian berhenti, Baru kali ini, saya benar-benar kuat azam setelah mengulit beberapa buku tentang beliau. Setiap kali membaca tentang beliau, saya jatuh cinta pada peribadinya. Teringin benar mahu melihat raut wajah dan perawakan sebenar penglima agung Islami ini.

Solat Witir

Pertama kali saya jatuh cinta, saat membaca tentang pendirian beliau dan Abu Bakar berhubung solat witir. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.wr bertanya kepada Abu Bakr, ‘Bilakah engkau berwitir?’ Jawab Abu Bakr, ‘Awal malam selepas solat Isya’. Soalan yang sama ditujukan kepada Umar. Umar menjawab, ‘Akhir malam.’ Maka baginda berkata, “Adapun engkau wahai Abu Bakar, bersikap berhati-hati (menjaga supaya tidak terlepas solat Witir setiap malam). Manakala engkau wahai Umar, kekal dengan kekuatan azammu (untuk berwitir akhir malam yang afdhal)’.

Saya pengkagum Abu Bakar, selalu mahu dekat dengan peribadinya, tapi saya juga mahu jadi Umar yang tegas, berdisiplin dan kuat azamnya. Kerana itu, saya berharap, kalau punya anak, saya mahu namakan dia Umar. Cuma saya takut, kalau anak saya jadi terlalu tegas tidak mengenal hikmah kerana saya bukan siapa-siapa yang punya kehebatan mencorak peribadi unggul antara tegas Umar dan hikmah Abu Bakr. Ah..cantiknya.

Jaulah Malam

Kemudian, saat membaca tentang jaulah malamnya memeriksa hal ehwal rakyat jelata. Tersentuh saat beliau berkata kepada pembantunya Asim yang ingin membantu beliau membawa karung gandum dan lelemak untuk diberikan kepada sang ibu yang merebus batu mengharap anak tertidur kerana menantikan makan malam yang tiada sebenarnya. Kata Umar, “apakah kamu mahu memikul dosa aku saat aku dihisab di hadapan Tuhan?” Kebetulan, saya waktu itu, baru selesai menemani teman mengajar kelas agama buat wanita gelandangan yang mengharap sesuap nasi dengan memperdagangkan tubuhnya..Kalau engkau masih hidup ya, Umar, pasti akan kau baling genggaman pasir ke muka-muka pembesar negara hari ini yang hidup megah memakai busana angkuh penguasa negara seperti mana yang kau lakukan pada para panglimamu yang berdiri megah berbusana mewah saat menyambutmu hadir menerima penyerahan Baitul Maqdis dari panglima Rom.

Ah, Umar, kalau mahu dihitung dan disifatkan satu persatu cerita tentangmu, pasti ada hati yang merintih merindui hadirnya insan sepertimu memimpin umat yang kalut dan leka dengan bayang-bayang gunung emas dan bukit harta yang disangka boleh membeli syurga.

Didik Rakyat

Umar, rajin berpagi-pagi mengunjungi rakyat yang memulai hari mencari rezeki. Lalu pada setiap orang yang ditemui, ditanyakan khabarnya. Apa khabar, kamu? Baik. Ditanya lagi, apa khabar, kamu? Baik. Diulang lagi soalan, apa khabar kamu? Alhamdulillah, saya baik. Nah, aku bertanya khabar semata-mata mahu mendengar kamu memuji Tuhan di permulaan harimu. Begitu, seorang pemimpin mendidik rakyat.

Al-Faruq

Rasulullah s.a.w menggelarnya al-Faruq selepas beliau bersikap tegas dalam menghakimi lelaki munafiq yang cuba mengelak daripada kesalahannya terhadap seorang Yahudi. Lelaki itu telah berjumpa dengan Rasulullah dan kebenaran berpihak kepada sang Yahudi. Tidak puas hati, beliau berjumpa pula dengan Abu Bakr. Apabila keputusan sekali lagi tidak berpihak kepadanya, beliau mengajak Yahudi tersebut bertemu Umardengan harapan keputusan akan memihak kepadanya. Lalu Yahudi tersebut menceritakan tentang perjalanan kes mereka. Umar lantas berkata, “tunggu sebentar sehingga aku keluar”. Beliau keluar dengan membawa sebilah pedang dan memukul lelaki munafiq itu. Kata Umar, beginilah hukumannya bagi mereka yang tidak redha dengan hukum Allah dan hukum nabi-Nya. Rasullullah berkata, anta al-Faruq. (engkaulah pemisah antara yang hak dan batil).

.

Syaitan Takut

Satu keistimewaan beliau, syaitan takut padanya. Kata Rasulullah, “Jika syaitan bertemu engkau di jalanan, maka dia akan mencari jalan lain.’ Hebat! Pastilah kerana kuatnya iman dalam diri sahabat Nabi ini. Kata Umar, “Siapa yang tidak mengenal Jahilliyyah, dia tidak kenal Islam.” Kerana, apabila Tuhan memberi hidayah pada mereka yang kafir atau jahil, mereka akan dapat membezakan kebaikan Islam berbanding lainnya dan benar-benar menghayati nikmat Islam yang diberi Allah. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Umar tentang zaman Jahiliyyahnya, “kadang-kadang kamu menyembah Tuhan yang dibuat daripada kurma dan kurma itu juga yang kamu makan apabila kamu lapar. Tidakkah kamu punya akal?” Jawab Umar, kami punya akal, tapi kami tidak dapat hidayah’.

Profil Umar

Meninggal dunia pada usia 65 tahun, beliau asalnya seorang pembesar Musyrikin yang masuk Islam pada usia 30 tahun berkat doa Nabi s.a.w dan mewakafkan seluruh 35 tahun baki usianya untuk Islam. Beliau merupakan orang kedua yang disayangi baginda di kalangan lelaki selepas Abu Bakr, juga antara sepuluh yang dijanjikan syurga. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang turun muwafaqah/ sesuai dengan pendapatnya atau situasi beliau (muwafaqah-maaf, saya blm jumpa terjemahan paling sesuai untuk maksud muwafaqah ini) antaranya tentang tawanan Badar(Al Anfal:67), ayat Hijab dsb.

Banyak juga pandangan dan ijtihad beliau yang menjadi panduan umat Islam selain merupakan rahmah kepada umat Islam. Antaranya cadangan beliau berkaian pengumpulan Al Quran kepada Abu Bakr berikutan kematian lebih kurang 70 sahabat pada peperangan Yamamah. Himpunan ayat-ayat Al Quran itulah kemudiannya menjadi asas kepada penulisan dan pembukuan al Quran pada zaman Utman. Justeru, jelas sifatnya sebagai seorang yang sensitive dengan hal-hal yang berkaitan dengan survival Islam

Noktah. Sehingga saya bertemu banyak lagi perkara yang menarik untuk dikongsikan tentang Umar. Meminjam kata-kata penulis “عمر بن الخطاب في الإسلام”, Dr Muhd Anis ‘Ubadah الله يا عمر أى رجل كنت يا ابن الخطاب (Allah.. Ya, Umar, lelaki bagaimanakah kamu, wahai Ibn al Khattab).

Baca lagi tentang Umar di:http://saifulislam.com/6164

Rujukan: عمر بن الخطاب في الإسلام, (Dr Muhd Anis ‘Ubadah), ‘Ala Khuto al-Habib (‘Amr Khaled), Sejarah dan Keutamaan Tiga Tanah Suci, (Muhd Isa Selamat), Tafsir Ibn Kathir , Shohih Bukhari dan Sunan Ibn Majah.




2 Komentar:

Anonymous said...

aku puas membaca my beloved friend, nak sgt jumper

- wani-

Maryamnour said...

Syukran, rindu ko, senang2 datanglah umah

Post a Comment

Back to Top