0

Jalan Juang yang Berliku (2)

Saya jadi terharu. Tambah semangat bila teringat pepatah “When you stop reading, you stop leading.” Kitalah umat yang tertinggal kesan kecuaian kita dengan ilmu. Saya dan anda semua pasti mahu melihat keadilan Islam memakmurkan seluruh muka bumi. Pilihanraya Malaysia yang ke 12 bakal menjelma. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab. Kalau anda seorang Muslim, pasti anda telah belajar dan tahu ciri-ciri pemimpin yang baik. Tidak kiralah calon itu Muslim atau tidak, dia mesti mempunyai ciri-ciri lengkap seorang pemimpin. Berjiwa besar, punya wawasan kepimpinan yang jelas serta mampu memaju kemajuan pembangunan fizikal, intelektual dan rohani. Tolonglah…kita perlukan keseimbangan. Tidak cukup arkitek yang mampu melakar peta pembangunan, bangunan tertinggi, tercanggih dunia dan segala ‘ter’ lagi, kita perlukan arkitek untuk ummah ini, untuk masyarakat yang mendewakan kemajukan fizikal lantas kemajuan akhlak dalam diri tertinggal.

Teringat saya salah satu tajuk yg dibentangkan dlm kelas adalah bagaimana membangunkan modal insan dengan etika dan nilai moral melalui system pendidikan Islam. Proposal ini adalah kesan kekecewaan melihat jiwa-jiwa kosong yang menceduk falsafah pendidikan Barat yang berasaskan kepentingan individu(self-interest).. Lalu kita lihat berapa ramai korporat yang keparat, pemimpin yang korup dan rendah nilai moralnya. Dosa boleh dimaafkan begitu sahaja asal berani mengakui kesilapan- gentleman. Hukum siapa ini? Bagaimana mahu mengubah masyarakat kalau diri sendiri tak kurang kroniknya.

Saya mahu memetik bicara Muhammad Qutb, seorang pemikir Islam apabila membicarakan tentang Islah atau pembaharuan. Katanya, keinginan untuk melakukan pembaharuan lahir dari perasaan tentang teruknya keadaan semasa dan ancamannya atau bahayanya untuk masa akan datang. Kesedaran inilah yang akan mempengaruhi seluruh urat fikir dan rasa hati yang membawa kepada tindakan seterusnya. Atau sekiranya kita hilang deria rasa dan kesedaran terhadap apa yang berlaku, tenggelam dalam arus zaman, sesungguhnya musibah sedang menanti. Allah sudah menyebut berapa banyak umat yang dihapuskan atas kemungkaran yang dilakukan dan umat itu akan digantikan dengan umat yang lebih baik. Kita semua mahu menjadi atau mengaku baik kan? Sanggupkah diganti dengan umat yang lain?

Antara kita mungkin sudah ramai yang memasuki zon selesa lalu tidak ada apa yang perlu dirisaukan dengan kepincangan ummmah. Tiada kena mengena dengan kita dan keluarga kita. Yakinkah? Sekurang-kurangnya pertimbangkanlah dunia yang mahu kita tinggalkan untuk anak, cucu atau cicit kita. Untuk Muslim, kita pasti mahu berjumpa dan duduk-duduk di sofa empuk syurga Allah. Bagi non-Muslim, hukum alam pasti tak terhalang. Yang baik dibalas baik begitulah sebaliknya. Lalu, urusan memilih mereka yang bakal mengetuai urusan pembangunan dan pembaharuan bumi dan segala isinya dari segala aspek bukan persoalan enteng!

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top