0

Jalan Juang yang Berliku (1)

The world is supported by four things: the learning of the wise, justice of the great, the prayer of the righteous and valor of the brave. Uni of Cordova under the Umayyad ruler.


Bismillah. Lama sungguh saya tidak memperbaharui catatan kesan memberikan sepenuh tumpuan saya kepada penyediaan research proposal. Konstrin utama saya adalah bahasa. Memilih untuk menulis dalam Bahasa Inggeris berbanding Arab benar-benar menuntut kerja keras yang bukan sedikit dalam keadaan saya lebih cenderung membiasakan diri berfikir dan bercakap dalam bahasa Arab tiga tahun kebelakangan ini. Dr Thameem, pensyarah kelas Research Methodology berjaya mengubah fikiran saya. Untuk siapa kajian anda? Jika hanya untuk masyarakat universiti dan mereka yang memahami bahasa Arab, teruskan. Tapi kalau mahu manfaatnya lebih kepada masyarakat Malaysia, berusahalah menulis dalam b.Inggeris walaupun anda terpaksa bersusahpayah untuk itu. Dan saya…mengambil cabaran itu . Ini baru proposal. Seperti mahu menangis memerah otak, menguliti buku demi buku dan mencernakan seribu satu kusut idea yang bermain di kepala.
Saya sudah memilih untuk berjuang dalam dunia ilmu ini. Justeru saya tidak harus tumbang dek onak di awal ranjau perjuangan. Saya berpindah dari satu tutor ke satu tutor yang lain selain berjumpa dengan beberapa individu dalam usaha mencari bimbingan bahasa Inggeris terbaik. Saya jadi sangat memilih. Ya, memang saya perlu memilih pada tahap ini kerna saya tak punya banyak masa. Akhirnya saya selesa dengan khidmat dari English Writing Lab. Saya boleh menulis apa yang saya mahu dan tutor di situ akan membantu saya memperbaiki tatabahasa, struktur ayat dan paling penting memastikan idea saya dapat dilahirkan tanpa cacat dan difahami pembaca.

Pada tutor itu saya nyatakan kerisauan tentang keupayaan bahasa saya. Dia tersenyum. Dia anak kelahiran Bosnia Herzegovina dari tempat bernama Srebrenica kalau saya tidak tersilap. Ada satu lagi tempat yang lebih kurang sama namanya di sana. Dia berada di Bosnia ketika ethnic cleansing; kebiadapan kuffar itu berlaku. Alhamdulillah, Srebenica adalah satu-satunya tempat yang tidak mengalami perang secara langsung. Mereka cuma kekurangan dari segi makanan dan keperluan asas. Berbalik kepada bahasa, katanya dia belajar di dalam bahasa Jerman ketika di sana. Alhamdulillah, 4 tahun mendalami ilmu bahasa Inggeris di UIA, dia kini guru saya.

Seronok berkongsi cerita tentang perkembangan Islam di sana. Dia jadi peramah daripada anggapan awal saya apabila saya tanyakan tentang Islam di Bosnia. Saya katakan yang seorang kawan meminta saya mencarikan seseorang daripada Bosnia kerana bapanya berhasrat mahu menghasilkan dekumentari tentang Islam di Bosnia. Ada sebak yang saya kesan dalam bicaranya. Benarlah, ketiadaan khilafah Islam menyebabkan kita tidak sedar yang kita punya saudara seagama di Bosnia dan Kosova sehinggalah perang itu meletus dan membuka mata kita. Katanya, mereka sendiri tidak tahu yang Kosova punya penduduk beragama Islam sebelum itu. Muslim di Malaysia padanya pasti boleh berkongsi pengalaman dalam membina kembali kehidupan di sana.

0 Komentar:

Post a Comment

Back to Top