Musim Bunga Kerohanian- nama indah untuk Ramadan diberi oleh Dr Uthman El-Muhammady di TV3 pagi ini. Pagi indah 17 Ramadan. Tuhan…cepat benar tahun berlalu. Kita kembali bertemu hari istimewa dalam Ramadan ini. Saya mahu kongsikan beberapa perkara tentang al Quran dan petikan-petikan kata-kata indah yang selalu membuat hati berbunga bila membaca, menambah cinta pada kalam Tuhan.
“Al-Quran adalah sahabat hidup.Ayat-ayatnya mempunyai naungan yang rendang di sebalik maknanya”
“Setiap surah adalah teman yang dekat, tercnta dan menyenangkan. Memiliki keperibadian tersendiri dan ciri-ciri khusus. “
“Al-Quran bukanlah ensiklopedia pengetahuan Islam yang memberi aku pengetahuan tapi tidak membimbing peribadi dalam perjalanan hidup”
-Syed Qutb-
Sahabat, al Quran itu punya beberapa hak untuk dipenuhi. Pertama-Haqqul iman. kita harus beriman dengannya. Kedua- Perlu dibaca. Ketiga- Perlu ditadabbur, difahami. Keempat- Perlu diamalkan isinya. Kelima-Perlu disampaikan kandungannya. Keenam-hak untuk dihafaz
Saya kira soal beriman dan membaca itu, kita mungkin sudah pas. Jadi harus upgrade hubungan kita dengan al-Quran ke peringkat ketiga. Faham. Bagaimana mahu memahami kalau tidak tahu berbahasa Arab. Terjemahan kan ada. Untuk permulaan, kita harus berdikit-dikit rajin membaca terjemahan. Kemudian, boleh pergi pada tafsir-tafsir terpilih. Tafsir Ibn Kathir contohnya yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu. Tafsir Hamka dan Tafsir Syed Qutb juga(Fi Zilal al Quran). Ketika imam membaca ayat-ayat panjang waktu solat Terawih, saya selalu cemburu pada orang-orang Arab kerana itu bahasa mereka. Saya kira solat menjadi saat rehat yang menenangkan.Taraawih..kan waktu untuk rehat. Ia waktu mengulang kembali pesan Tuhan seperti Tuhan sedang bicara. Berpindah dari satu pesan kepada pesan lain, dari satu cerita kepada cerita yang lain.
Tapi saya selalu pesan pada diri. Kefahaman itu milik Dia. Milik Allah. Dia akan beri kepada orang yang dicintai. Memang kalau anda tidak faham sepatah b.Arab pun, selain usaha, berdoalah moga Allah kurniakan kefahaman pada kita. Kalau hebat b.Arab sekalipun tapi Allah tidak buka pintu untuk faham, maka tiada gunanya. Faham itu dilihat dari amal. Sedikit yang difahami dan diamalkan itu lebih baik dari mengumpul ilmu setinggi gunung tetapi sifar amalnya.
Kata Ibn Umar, generasi pertama umat ini iaitu para sahabat Rasul s.a.w hanya menghafal satu surah namun mereka diberikan rezeki untuk beramal sesuai dengan al Quran. Sementara generasi akhir dari umat ini, mereka membaca al Quran, dari anak kecil hingga orang buta namun mereka tidak diberikan rezeki untuk mengamalkan isinya.
Kata Ibn Umar, generasi pertama umat ini iaitu para sahabat Rasul s.a.w hanya menghafal satu surah namun mereka diberikan rezeki untuk beramal sesuai dengan al Quran. Sementara generasi akhir dari umat ini, mereka membaca al Quran, dari anak kecil hingga orang buta namun mereka tidak diberikan rezeki untuk mengamalkan isinya.
Kata Mu’adz bin Jabal : Pelajarilah apa yang kalian kehendaki untuk diketahui namun Allah SWT tdak akan memberikan pahala kepada kalian hingga kalian beramal!
Saya kira kita harus banyak membaca sirah, melihat bagaimana akhlak generasi al Quran supaya tergambar pada kita bagaimana seharusnya peribadi kita, ummat yang punya bimbingan alQuran. Umair bin Hamam, seorang sahabat saat mendengar janji Allah dalam al Quran buat orang-orang yang berjihad bertanya kepada Rasulullah. Saat iUmair sedang makan kurma. Katanya, di mana saya kalau saya mati dalam perang ini? Rasulullah menjawab: Di Syurga. Lalu Umair berkata: Sungguh, menunggu masuk syurga sampai menghabiskan tujuh biji kurma ini adalah sangat lama. Lantas dibuangnya sisa kurma itu dan terus maju ke medan jihad sehingga syahid.
Lihat keyakinan mereka pada janji Tuhan. Kita, biar mendengar gandaan pahala dan janji syurga, masih ‘kering’ hati mahu menyambut tawaran istimewa.
Ayuh kita perbaiki azam, moga cinta kita pada Al Quran seperti cinta Ummu Aiman, pengasuh Rasulullah. Saat Abu Bakar dan Umar datang berziarah, menangis dia kerana teringat akan kewafatan Nabi yang mulia. Lalu berkatalah kedua sahabat ini, “mengapa engkau menangis? Rasululullah sudah mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.” Maka dijawab oleh Ummu Aiman, “ Aku menangis bukan kerana meninggalnya baginda. Tapi aku menangis kerana terputusnya wahyu Allah yang datang kepada baginda pada pagi dan petang hari”. Menangislah kedua sahabat baginda ini mendengar jawapan tersebut.
Sahabat, cinta bukan lalang yang tumbuh sendiri. Ia harus ditanam dan dijaga selalu. Justeru, marilah sama-sama kita tanam dalam hati cinta kita pada Al-Quran dan kita baja dan siram setiap hari dengan usaha kita memahaminya.
0 Komentar:
Post a Comment