5 Febuari
2012
Al-Bahaim /
Haiwan Ternakan
Cuaca hari ini sangat sejuk. Saya memulakan hari dengan mengikut ibu
mertua ke kandang ternakan. Kandang itu
jika dilihat dari luar seperti rumah biasa. Keadaan di dalam agak gelap. Di
tingkat bawah tiada cahaya. Di situ terdapat seekor lembu hitam besar beserta
anaknya. Ummi melepaskan anak lembu yang
terikat kakinya. Segera anak lembu itu berlari menuju ibunya dan menyusu.
Menurut suami saya, sebelum susu diperah, anak lembu mesti menyusu dahulu.
Sebentar sahaja. Kemudian, Ummi memisahkan anak lembu itu dan beliau mula
memerah susu lembu. Tidak lama, lebih kurang 5-7 minit sahaja untuk mendapatkan
sebekas kecil susu segar . Kemudian anak lembu itu dibiarkan menyusu kembali.
Ummi mencampurkan 'taban' (rumput kering) dengan air panas |
Biri-biri dan kambing yang kelaparan |
Kami kemudiannya naik ke tingkat
atas yang tidak berbumbung. Terdapat beberapa ekor biri-biri dan seekor keldai.
Ibu mertua saya meletakkan makanan untuk biri-biri tersebut dan membersihkan
kandang. Kemudian beliau mencampurkan hampas gandum bersama air panas dan
menggaulnya. Beliau kemudiannya menghalau lembu hitam dan anaknya ke tingkat
atas untuk makan. Beliau biasanya akan datang ke kandang tiga kali atau dua
kali sehari untuk memerah susu. Pada waktu pagi, beliau akan keluar apabila
matahari mula menampakkkan diri lebih kurang jam 7 pagi. Kemudian sekali pada
waktu tengahari dan sekali lagi pada waktu petang.
Hari ini ada majlis Maulid Nabi
di Masjid. Kaum perempuan semuanya datang ke masjid untuk memasak kuskus (coucus) beramai-ramai. Suami saya setelah Subuh telah
mula membaca untuk menyampaikan tazkirah di masjid. Katanya, dia akan bercakap
tentang bida’ah yang masih diamalkan
oleh sesetengah orang di kampung mereka seperti perarakan beramai-ramai ke
kubur bagi mengingati orang mati dan lain lagi. Antara budaya yang tidak
menepati Syariat yang agak ketara di
sini adalah bersalaman antara lelaki perempuan. Apabila bertemu, mereka akan
bersalam dan bertanya khabar. Saya juga pada hari pertama terasa sangat
janggal. Suami mengingatkan saya agar tidak menyambut salam daripada kaum
lelaki atau ikut duduk-duduk di ruang tamu apabila kaum lelaki datang
bertandang. Saya perhatikan, rumah mertua saya tidak pernah sunyi daripada
tetamu. Ada sahaja tetamu datang bertandang. Kata suami saya, ini kerana kami
baru sahaja pulang ke Magrib. Justeru, mereka datang untuk bertanya khabar dan melihat isteri ‘Jepun’ yang dibawanya dari Malaysia.
Wanita Barbar dan 'selendang; mereka |
WANITA MAGHRIBI
Kaum perempuan di sini,
kebanyakkannya tidak bersekolah tinggi. Ramai di kalangan mereka hanya tamat
sekolah rendah atau sekolah menengah kemudian berkahwin pada usia muda, 15
tahun, 17 tahun, 19 tahun. Apa yang penting, mereka wajib tahu memasak dan menguruskan rumah dengan
baik. Kaum wanita sejak kecil sudah dididik
untuk memasak , mengemas rumah dan menguruskan binatang ternakan.
Dahulu, beza umur antara suami isteri sangat ketara. Sekarang, kaum perempuan
sudah berani menyuarakan pendapat mereka sekiranya mereka tidak bersetuju
dengan pilihan ibubapa. Tetapi saya lihat, kebanyakkan perkahwinan diatur
keluarga. Kecuali di bandar-bandar besar yang wanitanya lebih bersosial dan
belajar tinggi.
Kaum perempuan Barbar mempunyai
cara berpakaian yang tersendiri. Untuk mereka yang sudah berkahwin, mereka akan
mengenakan selendang setiap kali keluar rumah. Selendang ini pelbagai guna sifatnya. Kerana ia besar, maka boleh digunakan untuk mengendong anak di
belakang atau meletakkan barangan seperti roti atau kurma atau diletakkan
sebahagiannya di atas kepala untuk melindungi daripada panas matahari.
Commuter
Marriage / Perkahwinan Jarak Jauh
Ramai lelaki di sini merantau ke
Perancis dan Spain untuk bekerja. Justeru, perkahwinan jarak jauh (PJJ) atau
istilah yang lebih tepat; perkahwinan komuter (commuter marriage) adalah biasa
di sini sejak dulu. Wanita mereka sudah
lali ditinggal selalu. Namun, generasi muda yang saya lihat tidak lagi tabah
hati seperti nenek dan ibu mereka. Saya mendengar keluhan tentang betapa
sukarnya kehidupan berjauhan dengan suami. Sangat sukar. Bahkan ada yang
menyesal berkahwin dengan lelaki yang sering berpergian. Berjumpa hanya
sesekali setahun. Ada yang kadang-kadang langsung tidak pulang selama beberapa
tahun. Peluang pekerjaan yang kurang di Magrhribi selain gaji lumayan yang
ditawarkan di negara Eropah menjadi sebab kaum lelaki memilih untuk bekerja di
luar negara.
Bercakap tentang PJJ ini, saya
mendengar cerita yang lebih menyedihkan dan mengejutkan daripada sepupu yang
bekerja di luar negara. Menurut beliau ada di antara kawan-kawannya yang sudah
berkahwin dan meninggalkan suami di Malaysia, berkahwin lagi dengan suami
warganegara tempat mereka bekerja. Alasannya, supaya kehidupannya terjamin. Di
negara tersebut ada tempat mengadu dan bila balik ke Malaysia, ada suami
menunggu. ‘Secured’ kata mereka. Iman bukan lagi neraca untuk hidup.
Sungguh, perkahwinan itu asalnya adalah supaya kehidupan dua insan disatukan.
Tetapi apabila maksud perkahwinan itu tidak ditepati, maka inilah antara kesan
yang terlalu pahit untuk kita hadapi.
Isu ini bukan kecil. Saya tahu,
pihak bertanggungjawab sudah mula sedar perkara ini. Dalam Seminar Keluarga
Nasional (membincangkan input untuk Dasar Keluarga Negara) yang saya hadiri
tahun lepas, LPPKN menyebut, mereka sedang menjalankan kajian terhadap perkara
ini. Mereka sendiri mempunyai lebih kurang 100 pekerja yang berstatus PJJ.
Justeru kita harap para pembuat dasar akan lebih prihatin soal ini. Mudahkanlah
urusan perpindahan antara suami isteri yang berjauhan. Kurangkanlah birokrasi yang merenyahkan. Saya
yakin, urusan pertukaran ini ada penyelesaiannya. Tetapi pihak yang berwajib
perlu menunjukkan komitmen dengan memikirkan kesan langsung PJJ ini kepada
kualiti kehidupan berkeluarga yang semakin dianggap kurang penting berbanding
kualiti kerja di pejabat.
Kalau kita imbas dalam sejarah,
Syaidina Umar pernah memerintahkan supaya tentera yang berperang dibenarkan
pulang selepas empat bulan, tempoh
seorang wanita boleh bersabar tanpa suami di sisi. Lihat, keprihatinan
beliau dalam mentadbir. Hanya selepas mendengar keluhan seorang wanita dalam
syairnya ketika melewati jalan-jalan di kota Madinah, segera Umar
mengeluarkan arahan. Hari ini kita sudah ada statistik, minta sahaja kepada
LPPKN, tanya bahagian pertukaran di Kementerian Pelajaran dan lain-lain, bukti
yang lebih kukuh daripada keluhan seorang wanita. Justeru, apa yang kita perlukan adalah political
will bagi memastikan institusi kekeluargaan yang merupakan entiti penting
dalam pembinaan negara terjamin.
3 Komentar:
Assalaam kak Nour,
Akak sihat ke? Rindu dengan cerita akak...
Amelia
Pembaca senyap
Salam. terima kasih Amelia. Mood menulis hilang beberapa waktu ni. InsyaAllah, sebab ada permintaan, nanti akak sambung. Actually, dah ada serba sedikit tulisan dalm laptop. blm sempat kemaskini lagi. Terima kasih.
salam sukses gan, bagi2 motivasi .,
Hargailah hari kemarin,mimpikanlah hari esok, tetapi hiduplah untuk hari ini.,
ditunggu kunjungan baliknya gan .,.
Post a Comment