3

Ziarah Maghribi 5



 
5 Febuari 2012
                                 
Al-Bahaim / Haiwan Ternakan
Cuaca hari ini sangat sejuk.  Saya memulakan hari dengan mengikut ibu mertua ke kandang ternakan.  Kandang itu jika dilihat dari luar seperti rumah biasa. Keadaan di dalam agak gelap. Di tingkat bawah tiada cahaya. Di situ terdapat seekor lembu hitam besar beserta anaknya. Ummi melepaskan  anak lembu yang terikat kakinya. Segera anak lembu itu berlari menuju ibunya dan menyusu. 

Menurut suami saya, sebelum susu diperah, anak lembu mesti menyusu dahulu. Sebentar sahaja. Kemudian, Ummi memisahkan anak lembu itu dan beliau mula memerah susu lembu. Tidak lama, lebih kurang 5-7 minit sahaja untuk mendapatkan sebekas kecil susu segar . Kemudian anak lembu itu dibiarkan menyusu kembali.
Ummi mencampurkan 'taban' (rumput kering) dengan air panas
Biri-biri dan kambing yang kelaparan










Kami kemudiannya naik ke tingkat atas yang tidak berbumbung. Terdapat beberapa ekor biri-biri dan seekor keldai. Ibu mertua saya meletakkan makanan untuk biri-biri tersebut dan membersihkan kandang. Kemudian beliau mencampurkan hampas gandum bersama air panas dan menggaulnya. Beliau kemudiannya menghalau lembu hitam dan anaknya ke tingkat atas untuk makan. Beliau biasanya akan datang ke kandang tiga kali atau dua kali sehari untuk memerah susu. Pada waktu pagi, beliau akan keluar apabila matahari mula menampakkkan diri lebih kurang jam 7 pagi. Kemudian sekali pada waktu tengahari dan sekali lagi pada waktu petang.

Hari ini ada majlis Maulid Nabi di Masjid. Kaum perempuan semuanya datang ke masjid untuk memasak kuskus (coucus)  beramai-ramai. Suami saya setelah Subuh telah mula membaca untuk menyampaikan tazkirah di masjid. Katanya, dia akan bercakap tentang  bida’ah yang masih diamalkan oleh sesetengah orang di kampung mereka seperti perarakan beramai-ramai ke kubur bagi mengingati orang mati dan lain lagi. Antara budaya yang tidak menepati  Syariat yang agak ketara di sini adalah bersalaman antara lelaki perempuan. Apabila bertemu, mereka akan bersalam dan bertanya khabar. Saya juga pada hari pertama terasa sangat janggal. Suami mengingatkan saya agar tidak menyambut salam daripada kaum lelaki atau ikut duduk-duduk di ruang tamu apabila kaum lelaki datang bertandang. Saya perhatikan, rumah mertua saya tidak pernah sunyi daripada tetamu. Ada sahaja tetamu datang bertandang. Kata suami saya, ini kerana kami baru sahaja pulang ke Magrib. Justeru, mereka datang untuk bertanya  khabar dan melihat isteri ‘Jepun’  yang dibawanya dari Malaysia. 
Wanita Barbar dan 'selendang; mereka
WANITA MAGHRIBI
Kaum perempuan di sini, kebanyakkannya tidak bersekolah tinggi. Ramai di kalangan mereka hanya tamat sekolah rendah atau sekolah menengah kemudian berkahwin pada usia muda, 15 tahun, 17 tahun, 19 tahun. Apa yang penting, mereka  wajib tahu memasak dan menguruskan rumah dengan baik. Kaum wanita sejak kecil sudah dididik  untuk memasak , mengemas rumah dan menguruskan binatang ternakan. 

Dahulu, beza umur antara suami isteri sangat ketara. Sekarang, kaum perempuan sudah berani menyuarakan pendapat mereka sekiranya mereka tidak bersetuju dengan pilihan ibubapa. Tetapi saya lihat, kebanyakkan perkahwinan diatur keluarga. Kecuali di bandar-bandar besar yang wanitanya lebih bersosial dan belajar tinggi. 

Kaum perempuan Barbar mempunyai cara berpakaian yang tersendiri. Untuk mereka yang sudah berkahwin, mereka akan mengenakan selendang setiap kali keluar rumah. Selendang ini pelbagai guna sifatnya. Kerana ia besar, maka boleh digunakan untuk mengendong anak di belakang atau meletakkan barangan seperti roti atau kurma atau diletakkan sebahagiannya di atas kepala untuk melindungi daripada panas matahari.

Commuter Marriage / Perkahwinan Jarak Jauh
Ramai lelaki di sini merantau ke Perancis dan Spain untuk bekerja. Justeru, perkahwinan jarak jauh (PJJ) atau istilah yang lebih tepat; perkahwinan komuter (commuter marriage) adalah biasa di sini sejak dulu.  Wanita mereka sudah lali ditinggal selalu. Namun, generasi muda yang saya lihat tidak lagi tabah hati seperti nenek dan ibu mereka. Saya mendengar keluhan tentang betapa sukarnya kehidupan berjauhan dengan suami. Sangat sukar. Bahkan ada yang menyesal berkahwin dengan lelaki yang sering berpergian. Berjumpa hanya sesekali setahun. Ada yang kadang-kadang langsung tidak pulang selama beberapa tahun. Peluang pekerjaan yang kurang di Magrhribi selain gaji lumayan yang ditawarkan di negara Eropah menjadi sebab kaum lelaki memilih untuk bekerja di luar negara.

Bercakap tentang PJJ ini, saya mendengar cerita yang lebih menyedihkan dan mengejutkan daripada sepupu yang bekerja di luar negara. Menurut beliau ada di antara kawan-kawannya yang sudah berkahwin dan meninggalkan suami di Malaysia, berkahwin lagi dengan suami warganegara tempat mereka bekerja. Alasannya, supaya kehidupannya terjamin. Di negara tersebut ada tempat mengadu dan bila balik ke Malaysia, ada suami menunggu. ‘Secured’ kata mereka. Iman bukan lagi neraca untuk hidup. Sungguh, perkahwinan itu asalnya adalah supaya kehidupan dua insan disatukan. Tetapi apabila maksud perkahwinan itu tidak ditepati, maka inilah antara kesan yang terlalu pahit untuk kita hadapi.

Isu ini bukan kecil. Saya tahu, pihak bertanggungjawab sudah mula sedar perkara ini. Dalam Seminar Keluarga Nasional (membincangkan input untuk Dasar Keluarga Negara) yang saya hadiri tahun lepas, LPPKN menyebut, mereka sedang menjalankan kajian terhadap perkara ini. Mereka sendiri mempunyai lebih kurang 100 pekerja yang berstatus PJJ. Justeru kita harap para pembuat dasar akan lebih prihatin soal ini. Mudahkanlah urusan perpindahan antara suami isteri yang berjauhan.  Kurangkanlah birokrasi yang merenyahkan. Saya yakin, urusan pertukaran ini ada penyelesaiannya. Tetapi pihak yang berwajib perlu menunjukkan komitmen dengan memikirkan kesan langsung PJJ ini kepada kualiti kehidupan berkeluarga yang semakin dianggap kurang penting berbanding kualiti kerja di pejabat.

Kalau kita imbas dalam sejarah, Syaidina Umar pernah memerintahkan supaya tentera yang berperang dibenarkan pulang selepas empat bulan, tempoh  seorang wanita boleh bersabar tanpa suami di sisi. Lihat, keprihatinan beliau dalam mentadbir. Hanya selepas mendengar keluhan seorang wanita dalam syairnya ketika melewati jalan-jalan di kota Madinah, segera Umar mengeluarkan arahan. Hari ini kita sudah ada statistik, minta sahaja kepada LPPKN, tanya bahagian pertukaran di Kementerian Pelajaran dan lain-lain, bukti yang lebih kukuh daripada keluhan seorang wanita.  Justeru, apa yang kita perlukan adalah political will bagi memastikan institusi kekeluargaan yang merupakan entiti penting dalam pembinaan negara terjamin.



3 Komentar:

Anonymous said...

Assalaam kak Nour,

Akak sihat ke? Rindu dengan cerita akak...

Amelia
Pembaca senyap

Maryamnour said...

Salam. terima kasih Amelia. Mood menulis hilang beberapa waktu ni. InsyaAllah, sebab ada permintaan, nanti akak sambung. Actually, dah ada serba sedikit tulisan dalm laptop. blm sempat kemaskini lagi. Terima kasih.

Outbound Training Malang said...

salam sukses gan, bagi2 motivasi .,
Hargailah hari kemarin,mimpikanlah hari esok, tetapi hiduplah untuk hari ini.,
ditunggu kunjungan baliknya gan .,.

Post a Comment

Back to Top