Anak-anak sangat lucu, menghiburkan selalu mengubat rawan. Waktu sedang khusyuk menulis di papan putih saya mendengar alunan..you' re not alone...hmm..ada ramai pengganti Michael Jackson dalam kelas saya. Lagi sekali Muallimah dengar, dia kena zikir. Saya menulis semula. Mereka menyanyi kembali. Kali ini entah lagu siapa. Bangun..anta, Subhanallah 33, anta Alhamdulillah 33, Anta Allahuakbar 33. Sekarang. baca betul2 itu zikir pada Allah. berdosa dibuat main. Anak-anak itu akur. Duduk dan senyum. Kita selawatla Muallimah. Terus mereka melagukan Sollallahu 'ala muhammad tanpa menunggu izin saya. Marah saya terbang. Anak-anak ini hati mereka masih putih. Tidak menyimpan, tiada dendam. Segera sahaja semua dilupakan, ya, termasuk pesan dan nasihat. Sering marah saya bertukar gelak. Pandai juga mereka memuji juga sangat prihatin memerhati. Ammar, si kecil yang selalu suka berlawan cakap dengan saya dan sering membuat hati saya kalah mahu memarahinya bersuara: Muallimah..muallimah lainlah hari ni. Kenapa? Minggu lepas muallimah lain. Apa yang lainnya. Tudung muallimah, yang lain menyampuk. Minggu lepas kat sini, minggu ni kat sini pula. Hai..silang tudung saya pun dia prihatin.
Semput juga saya bila kembali mengajar tuisyen. Dua-dua kelas lelaki. Hero-hero belaka. Yang aktif, yang perlahan sedikit, yang banyak cakap, yang termenung sentiasa, yang tersengih selalu, yang memerhati ..semuanya. Tahap mereka bercampur. Agak sukar juga saya mengatur pengajaran agar tiada yang ketinggalan. Ini tuisyen. Ibubapa mahu melihat perubahan walaupun mereka sendiri tidak berubah. Say tidak banyak pilihan kerana bekerja dengan orang. Kelas tuisyen persendirian saya biasanya tidak boleh lebih 5 orang. Anak-anak ini pulang dari sekolah jam 3.30 terus ke kelas tuisyen untuk tempuh dua jam lagi. Bayangkan bagaimana tepunya otak. Itu pada kita, tapi anak-anak ini masih juga aktif tapi tak kurang yang sudah hilang energi. Lalu saya kadang-kadang serba-salah mahu marah pada yang tertidur. Ada seorang. Kasihan sungguh. Nampak benar dia tidak mampu melawan kantok. Saya tidak sampai hati.
Anak-anak ini datang tuisyen dengan pelbagai tujuan. Memang yang pertama, ibubapa mahu prestasi anak-anak dibaiki. Ibubapa ini niatnya murni. Mahu selalu yang terbaik untuk anak-anak. Tapi anak-anak memangnya sukar memahami itu. Ada yang datang kerana ikut kawan. Yang lain kerana, boleh makan mee hun sup atau mee rebus selepas kelas di kafe ustaz. Kalau menunggu di sekolah tidak dapat peluang itu. Kalau ikut ke pusat tuisyen, seronok sedikit.
Dua tiga orang, kelas ke dua masih sama. Menganga melihat saya. Harus saya bertempik dulu, mana buku, pensil- tak bawa. Dia hanya berlenggang. Aduhai..anak. Saya lihat beg kawannya yang seorang lagi, dengan buku terkelipit di sana sini, nampak tidak terurus buku-buku pelajaran anak itu. Patutla dia tak bawa buku untuk tuisyen. Waktu belajar matanya selalu dihalakan ke siling ataupun kerjanya menoleh ke kanan kiri, cuba mengganggu rakan lain. Dia ada misi lain ke tuisyen. Bukan mendengar saya di hadapan dengan segala aksi dan riak muka.
Ada beberapa perkara kadang-kadang saya tidak mampu meluahnya secara terus-terang. Pusat tuisyen harus melihat bukan sahaja keuntungan tapi bagaimana proses pembelajaran mampu jadi lebih efektif. Ibubapa pula, usahlah melepas tanggungjawab, merasa lega kerana anak sudah dihantar tuisyen. Tambahan. Anak mesti jadi lebih baik. Belum tentu. Tolong, saya merayu, anak-anak ini perlu diberi sedikit perhatian. Tolong, buka beg mereka, tengok apa yang anak-anak anda tulis dalam buku. Tengok apa yang anak-anak anda conteng. Kadang-kadang kami guru ini sudah hilang akal mahu bercakap dengan anak tuan puan. Bolehkah kita bekerjasama?
ليس اليتيم من انتهى أبواه من هم الحياة وخلفاه ذليلا
إن اليتيم هو الذي تلقى له أما تخلت أو أبا مشغولا
Bukanlah anak yatim itu siapa yang ibubapanya telah berhenti menanggung keperitan hidup(meninggal) dan meninggalkannya hina dina,
Bahkan si yatim itu ialah anak yang anda dapati
Ada ibu tidak peduli, ada ayah selalu banyak kerjanya.
Saya memang bukan seorang ibu. Saya sendiri takut memikir bagaimana saya menjaga anak nanti. Apa mampu saya imbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab saya sebagi ibu. Para bapa..tolonglah. Tolong sekali duduk bersama anak-anak, bukan tolong fikir dan arah sahaja. Ada 11 kisah yang dipaparkan dalam al Quran bercakap soal hubungan ibubapa anak. (Rujuk: al Aba' wal abna' fil quran karya Abd Halim Mustafa yang sudah diterjemahkan ke bahasa Malaysia). Hanya satu sahaja hubungan antara ibu dan anak iaitu Maryam dan Isa. Selainnya, bapa dan anak. Apa ertinya itu tuan-tuan? Saya galakkan anda mendengat tafsir quran di IKIM jam 6.30 Isnin-Khamis. Sekarang Ustaz sedang berbicara tentang surah Tahrim, tentang rumahtangga Rasulullah, tentang hak suami isteri. Ayuh, biarlah hidup kita dipandu ilmu.
0 Komentar:
Post a Comment